Kotak Muzik Komedi Putar


Hujung minggu lepas, saya terjumpa benda yang saya cari selama ini.

Kotak muzik komedi putar!


Selalu kotak muzik berupa penari balet sahaja seperti yang ditunjukkan dalam Black Swan. Oh moment dia tidur sambil mendengar lagu daripada kotak muzik, saya sangat suka. Tetapi sangat susah untuk jumpa kotak muzik komedi putar. Kalau ada pun daripada kayu bukannya diukir daripada batu marmar.

Ketika saya terpandangnya secara tidak sengaja di dalam kedai itu, bukan niat mencari seperti kebiasaan, hati saya sudah mengelopak bunga. Si kotak muzik komedi putar sedang duduk dengan penuh anggun di sana. Siap menggoda saya.

Saya meminta pekerja kedai mengambil kotak muzik itu (yang terletak di rak yang tinggi), kemudian memutar untuk memainkan lagunya. Ah lagu kegemaran yang saya ingin dengar daripada sebuah kotak muzik sedang berdendang di sana. Ada beberapa jenis lagu yang selalu diletakkan dalam kotak muzik dan ada beberapa lagu tertentu sahaja yang saya suka dan salah satunya ada dalam kotak muzik komedi putar yang menawan itu. Adakah ini jodoh?

Saya meletakkan kembali kotak muzik itu dan mengucapkan terima kasih kepada pekerja terbabit. Ya, walaupun saya sangat menyukai kotak muzik tetapi saya sudah tetapkan bahawa ada dua benda yang saya tidak akan beli iaitu anak patung dan juga kotak muzik. Bukankah dalam entri sebelum ini, saya sudah katakan bahawa kedua-duanya adalah untuk dihadiahkan oleh orang lain bukannya untuk dibeli kepada diri sendiri. Ya, sedikit aneh di situ tetapi prinsip itu seperti sudah dipegang bertahun-tahun.

Menyedihkan kan? Kau terjumpa benda yang kamu mahu selama ini tetapi tidak boleh memiliki. Bukan tak nak memiliki…. cuma hanya tak boleh memilikinya.

Lalu saya tinggalkan kedai itu sambil membiarkan muzik daripada kotak muzik komedi putar itu beralun perlahan.