Pencuri yang mencuri daripada seorang pencuri


 

Ketika di MPR 2006, tetamu undangan kami ialah allahyarham SN Othman Kelantan. Ketika itu, beliau baru sahaja menerima anugerah sasterawan negara. Semasa sesinya dia bercerita bahawa dia sedang menyiapkan sebuah cerpen berdasarkan tentang pengalaman dirinya.

Kisahnya dia menaiki keretapi, tiba-tiba dia perasan dompetnya tiada. Ketika itu berdekatan dengan dirinya ada seorang pemuda yang dipoketnya baju dompet yang mirip dengan dirinya. Dia terus menghampiri pemuda itu, mengambil dompet itu kembali dan menuduh pemuda itu mencuri. Walaupun pemuda itu menafikan, dia tetap mengambil dompet dan turun daripada keretapi tersebut. Apabila pulang ke rumah, anaknya menunjukkan dompet miliknya yang tertinggal di rumah. Ketika itu, barulah dia sedar, bukanlah pemuda itu yang mencuri dompetnya tetapi dialah yang mencuri daripada pemuda itu.

Kisah ini sangat terkesan kepada saya. Walaupun saya seakan pernah mendengar cerita itu di mana-mana tetapi ketika mendengar, buat saya fikir berfikir sebelum bertindak. Jangan menuduh tidak usul periksa.

Tetapi banyak dalam hidup ini, begitulah kita kejadian atau peristiwa yang dihadapi. Tuduh menuduh. Rampas merampas. Sehingga kita sendiri tidak tahu siapakah yang menjadi pencuri yang mungkin mencuri daripada seorang pencuri lain.

Bak kata Pak Agi, life is cycle. Mungkin kau fikir hari ini hak kau dicuri orang lain. Esok, mungkin kau tidak tahu, mungkin kau yang mencuri daripada orang lain pula.

Life is cycle…

Kepalaku: Kantor Paling Sibuk di Dunia


Dalam situasi sekarang, yang penuh dengan tugasan di pejabat, penuh tugasan di luar pejabat juga, serta projek kecil tetapi berjiwa besar yang sedang diusahakan, puisi Ann Mansyur ini benar-benar tepat menggambarkan keadaan sekarang.


KEPALAKU: KANTOR PALING SIBUK DI DUNIA

: Alifiah

ENGKAU tahu? Kepalaku: kantor paling sibuk di dunia.
Anehnya, hanya seorang bekerja tiada lelah di sana.
Tak mengenal hari Minggu atau hari libur nasional.
Tak pula mengenal siang dan malam. Tak mengenal
apa-apa kecuali bekerja, bekerja, bekerja dan bekerja.

Kadang-kadang ingin sekali suatu pagi melihatnya datang
menyodorkan sehelai map berisi surat permohonan cuti.
Ingin pergi ke satu tempat yang jauh, mengasingkan diri
beberapa hari di awal Desember yang lembab sembari
merayakan hari ulang tahun sendiri. Lalu di depan pintu
kantor terpasang sebuah tanda berwarna merah: Tutup.

Tetapi ia betul-betul seorang pekerja keras.
Setiap saat ia berada di kantor. Mungkin hendak
menyelesaikan seluruh persoalan waktu yang tidak
pernah mampu selesai itu: tentang masa lampau
yang tersisa di masa sekarang, tentang keinginan
berhenti atau tak berhenti, juga tentang perihal lain
yang sepele namun sungguh rumit buat dijelaskan.

Ya, percayalah! Kepalaku: kantor paling sibuk di dunia.
Anehnya, hanya seorang bekerja tiada lelah di sana
:engkau saja!

*Kredit gambar Jamie Baldridge

Tentang Kebenaran


 

(Dengan sengaja meminjam tajuk buku Saharil. Kikiki)

Mengetahui tentang kebenaran, sungguhpun ada masa sangat menyakitkan tetapi ada waktunya sangat menghiburkan. Apabila kau tahu kebenaran dan rahsia tentang sesuatu, kemudian ada seorang yang lain bercerita tentang sesuatu itu seolah-olah dia mengetahui semua tetapi semua yang diketahui adalah palsu dan bohong, kau akan tersenyum dan berkata dalam hatinya.

“Betapa kasihannya kamu.”

Perasaan mengetahui tentang kebenaran dan selepas itu ada orang bercakap tentang hal tersebut tetapi tidak betul dan orang itu seperti ditipu dan dikaburi dengan fakta auta yang salah, kau merasakan terapung di langit, kemudian memandang semua yang dibawah dengan pandangan yang neutral. Kau seperti melihat boneka-boneka manusia yang sedang tersenyum, bersedih, menangis, tertawa kemudian kau sendiri tahu, mereka semua hanya memakai topeng-topeng sahaja. Kau akan melayang dan tertawa-tawa sendiri dalam hati. Tiada apa yang dapat kau lakukan kecuali tertawa.

Ini juga seperti kau melihat semua rancangan realiti tivi, mungkin kau sedikit cemas, ragu, terharu dengan aksi yang dipamerkan tetapi kau juga tahu, semua itu hanya skrip sahaja, yang diatur oleh orang-orang dibelakang tabir yang ingin menjual cerita kepada penonton. Kau adalah orang yang tahu semuanya hanya drama, tetapi penonton yang lain tak semuanya tahu bahawa itu hanya drama sahaja. Mungkin mereka merasakan itulah cerita sebenar.

Apabila kau berasa di situasi itu, apa yang kau dapat lakukan, bukankah kau hanya boleh duduk sahaja, memerhati, melihat dan mungkin tertawa dan tersenyum sambil bersenda dengan hati sendiri.

Tak usah marah-marah dan rasa hendak tegakkan keadilan. Kadang-kala berdiam diri dan memerhati adalah tindakan paling bijak sekali J

Permintaan Sederhana II


Selepas sekolah menengah, saya bertekad hendak belajar menjahit baju kurung dan baju melayu. Impian saya, kalau nanti dah ada berumah yang ada tangga, suami saya akan memakai baju melayu yang dijahit oleh saya. Semua baju melayu yang dipakai oleh suami dan anak-anak akan dijahit dengan tangan sendiri.

Selepas sekolah menengah, ibu tidak sempat mengajar kemahiran menjahit, ketika di universiti, saya cuba mencari kelas menjahit, malangnya saya tiada kenderaan untuk pergi ke tempat tersebut dan pengangkutan awan di sekitar universiti sangat teruk. Selepas habis belajar pun saya masih tidak berjaya menyempatkan diri belajar menjahit hatta baju kurung sendiri. Lagipun pulang ke tanah tumpah darah, kos perbelanjaan belajar menjahit sangat mahal berbanding ketika di universiti.

+++

Setelah bekerja, tiba-tiba saya terfikir. Bagaimana sekiranya bakal suaminya saya tidak menyenangi baju melayu, tidak seperti saya yang sangat mencintai baju tradisional orang melayu itu. Bagaimana kalau dia selesa berbaju kameja, berkot, berdasi bukannya berbaju melayu, bersamping songket?

Bagaimana kalau dia tidak bernuasa Melayu sedangkan saya sangat konservatif, sangat Melayu, sangat mencintai budaya?

Jadi saya senyum sendiri sahaja. Kadang kala kenyataan memang tak seindah impian kan?


Notakakitangan : Kepada bakal suami saya (yang saya sendiri pun tidak tahu siap), silalah mencintai baju melayu ya. Anda akan kelihatan sungguh kacak sekali. Hi hi hi

Durian Oh Durian (Memoir)


<p>Di belakang rumah saya, ada beberapa batang pokok durian. Saya membesar dibawah daun-daun durian yang gugur, tempat saya bermain sewaktu musim durian belum tiba. Sebaik sahaja melihat putik durian, saya sudah tidak berapa berani berlari-lari dibawahnya atau memanjat dahannya. Ya, saya membesar dengan aktiviti memanjat pokok sekitar rumah saya.

Apabila musim durian tiba, saya, adik, abang serta abah akan berjaga menunggu durian gugur. Walaupun sedang menonton tivi, sedang makan malam, kami akan berdebar-debar menunggu bunyi durian gugur. Sebaik sahaja ada bunyi debuk debuk, cepat-cepat kami ambil lampu suluh dan mula menyuluh durian di bawah pokok dekat tanah. Kalau malam itu bernasib baik, mungkin dapat lebih daripada 5 biji. Jika tidak bernasib baik mungkin hanya sebiji atau tidak ada langsung. Kadang kala sampai bertimbun-timbun durian. Itu musim yang paling meriah dan saya dapat lesen berjaga malam atas alasan menunggu durian gugur. Perasaan itu semakin menyeronokkan apabila pagi-pagi sebelum pergi ke sekolah, saya akan meluangkan masa untuk mencari durian di bawah pokok.

Membelah durian, membuka pangsa durian seakan menunggu Pandora dibuka di depan saya. Saya tertanya apakah rasa durian ini, sedapkah, sudah masakkah atau keras? Tapi durian dibelakang rumah saya jarang mengecewakan saya. Semakin dewasa, pokok durian tidak pernah gagal menimbulkan suasana meriah yang sangat jarang ada.

Segalanya berubah apabila kami punya jiran di belakang rumah. Apabila musim durian menjadi musim kehilangan durian. Apabila berbunyi sahaja dan kami pantas ke belakang tapi durian sering kali hilang. Lama-lama kami jadi jemu dan musim durian bukanlah musim yang menggembirakan lagi. Kami pun sudah dewasa dan meninggalkan rumah untuk ke sekolah asrama, pokok durian yang sama tua dengan usia saya sudah semakin lelah mengeluarkan buahnya. Akhirnya ibu menebang hampir semua pokok durian dibelakang rumah dan menggantikan dengan pokok lain.

Setiap kali musim durian kini, saya begitu banyak durian dijual ditepi jalan, hanya hulur duit, boleh sahaja makan durian dengan sewenangnya. Baru-baru ini, saya pulang ke kampung, sepanjang perjalanan nampak lori-lori yang buka gerai jualan durian. Ketika di kampung saya mengidam makan durian. Sangatlah tidak nikmat makan durian sekarang yang hanya dibeli ditepi jalan sahaja. Ketika itu betapa rindunya saya pada pokok durian dan bunyi durian serta kenangan saya berlari-lari di bawah pokok durian untuk mencari durian.

Manusia Biasa


Maafkan saya, jika tidak boleh menggembirakan hati semua orang. Maafkan saya jika saya telah melukakan hati orang. Maafkan saya untuk semua kecelakaan ini.

Maafkan saya jika saya sudah tidak boleh lagi tersenyum untuk semua kedukaan dan kelukaan.

Jika boleh, saya ingin semua orang gembira.

Jika perlu lukakan hati saya untuk kegembiraan dan kebahagiaan, lukakanlah.

Akhirnya, saya sedar, saya hanya manusia biasa. Manusia biasa sahaja. Tidak punya kuasa untuk buat apa-apa….

Revolusi II : Varsiti Tepi Laut


< p>Di tahun dua, saya di varsiti tepi laut, saya telah dihubungi oleh seseorang dari pihak HEPA. Saya diminta menjadi calon untuk pilihan raya. Masa itu tentu sekali saya suka dan gembira kerana di mata saya menjadi MPP boleh merubah sedikit sebanyak demografi varsiti saya yang serba membosankan serta masih belum banyak kemudahan sebagai sebuah universiti. Lebih-lebih lagi, saya didewasakan dengan bahan bacaan bahawa suara MPP merupakan suara yang penting (majalah MINDA) dan tentu sahaja kisah kebangkitan mahasiswa lewat tahun 1960-an.

Kami (calon-calon) MPP ditempatkan di kem. Rupanya saya mewakili bahagian kebudayaan dan ada yang dibawa daripada bahagian lain. Kami diberi taklimat bahawa pilihan raya kampus ini harus dimenangi dan jangan biarkan pembangkang menang sebab akan membawa kemudaratan kepada universiti. Walaupun dikatakan varsiti saya bertanding atas tiket bebas tapi sebenarnya tidak begitu. Itulah drama yang pertama.

Walaupun dikatakan bahawa pilihan raya kampus bersih daripada campur tangan luar, tapi tidaklah begitu sebenarnya. Di pihak bukan pembangkang sekalipun (pihak kami) ada sahaja saluran dan ceramah dari pihak luar (kerajaan tentunya)

Seperti biasa, apabila penamaan calon tamat, saya disuruh berkempen. Walaupun saya disuruh berceramah, meraih undi tapi itu bukan passion saya. Saya tak pandai jual muka dan berkata pada orang ‘undilah saya’. Pertama, bukan saya yang beria-ia mahu menjadi calon. Keduanya, saya mula merasa ada yang tak kena di situ. Ketika itu drama kedua bermula. Rupanya, antara pihak kerajaan sekalipun ada dua pasukan. Satu yang ingin menaikkan bahagian kebudayaan dan satu lagi yang mahu menaikkan bahagian akademik. Setiap bahagian ada calon-calon yang tertentu dinaikkan supaya apabila mereka menjadi MPP, idealogi pihak yang menaikkan mereka akan dilaksanakan. Saya tidak kisah itu semua. Tapi di sebalik kata-kata yang kononnya pilihan raya yang bersih, tanpa apa-apa idealogi pun banyak permainan politik di dalamnya. Saya jadi sungguh kecewa.

Kemudian, ketika malam pilihan raya, saya mendapat tahu bahawa formasi untuk MPP telah ditetapkan. Oleh itu ada jentera khas yang akan mengajak pengundi (pelajar) mengundi calon-calon tertentu (dari pasukan bukan pembangkang) yang merupakan calon pilihan pihak-pihak tertentu. Walaupun saya tidak tahu siapakah dalam formasi itu tetapi saya sudah mula tidak mahu mengambil peduli apakah itu pilihan raya kampus sebenarnya. Saya tidak menghantar mesej kepada rakan-rakan kursus saya supaya turun mengundi. Saya mendiamkan diri sahaja dan protes untuk mempromosi diri. Jika begitu licik cara mereka membina barisan kepimpinan, begitulah barisan kepimpinan itu akan kelihatan nanti. Pengalaman semasa di maktab atas kayangan, betul-betul mengingatkan saya.

Pada malam yang sama juga, saya mendapat tahu, bahawa pada pilihan raya tahun lepas, ada yang memfitnah calon daripada bukan pembangkang dengan menayangkan banner (mengandungi kata-kata kesat dan hinaan) pada pagi pilihan raya. Rupanya itu bukannya daripada calon atau pasukan pembangkang sebaliknya daripada pasukan bukan pembangkang sendiri. Tujuannya supaya apabila mengundi melihat calon bukan pembangkang dihina sedemikian rupa dan calon bukan pembangkang tetap berlagak cool, pengundi berasa sangat bersimpati dan memberi imej buruk pada pihak pembangkang. Saya tersenyum sendiri pada malam itu.

Saya melihat langit malam yang gelap. Kemudian balik tidur untuk bangun pagi supaya boleh menayang muka manis di atas pentas. Sepanjang proses pilihan raya itu syaa memandang muka pengundi yang mengundi. Saya berasa kasihan pada mereka dan mahu sahaja menyuruh mereka tidak perlu datang mengundi. Kemudian kami (calon) dimomokkan bahawa jumlah orang yang turun mengundi tidak ramai dan kalau tidak melepasi 50% yang turun mengundi, pilihan raya akan dibuat sekali lagi. Saya sungguh berat hati untuk melalui pilihan raya sekali lagi lalau menghantar mesej kepada kawan-kawan saya supaya turun mengundi. Tetapi saya tidak pesan mengundi saya, saya pesan turun mengundi sahaja supaya saya tidak perlu berdepan dengan kepura-puraan ini lagi. Teman sekuliah saya sibuk dengan kelas dan lab. Saya balas dan kata tidak mengapa. Saya kembali duduk.

Selepas proses pengiraan undi, saya hanya ketinggalan beberapa undi sahaja. Saya tersenyum dan sangat lega sebab tidak menang. Tidak perlu lah ke golongan itu. Golongan yang saya bayangkan begitu bersih tetapi hanyalah menjadi boneka pihak atasan. Siapa kata pilihan raya kampus itu benar-benar bersih daripada campur tangan luar?

Masa zaman saya sekolah dan membaca sekian banyak artikel mengenai pilihan raya kampus dan MPP, saya memandang golongan ini kebal dan imuniti dari campur tangan bukan pelajar. Benar-benar membawa suara pelajar. Tapia apa yang saya lihat, mereka banyak melaksanakan apa yang pihak atasan mahukan. Sekian lamanya menjadi boneka. Mungkin ini pandangan saya sahaja.Padangan orang ketiga yang mereka akan kata “kau tak tahu apa-apa” Pergolakan di dalamnya memang saya tidak tahu. Tapi bukankah sekian ramai pelajar memandangnya seperti saya juga?