Alangkah anehnya sebuah persahabatan, lebih aneh daripada seribu cinta. Bersahabat tidak seperti cinta yang penuh rasa ingin memiliki, inginkan balasan, ingin disayangi. Bersahabat seperti tidak meminta apa-apa balasan. Tiada ikatan khusus. Hanya bersahabat. Sederhana sekali semangat bersahabat, solidariti atau apa sahaja pebendaharaan kata yang sesuai.
Saya sering sahaja teringat SAJAK T Alias Taib berjudul Hutan Persahabatan.
T. Alias Taib
Hutan Persahabatan
Berkawan denganmu
Ialah berkawan dengan ilmu,
Dengan akal yang selalu di raut,
Renung yang selalu dikikir
Dan hujah yang selalu diasah.
Berkawan denganmu
Ialah bermusuh dengan musuhmu,
Dengan si fitnah yang beraja
Pada api perasaan,
Dan si dengki yang bersedia
Membentesmu dari belakang.
Ah, kawan, lupakan mereka.
Mari teruskan perburuan kita
Di hutan persahabatan kekal ini.
Aku tidak memerlukan kata-kata indah
Tetapi tangan ikhlasmu
Apabila terjatuh di perburuan ini.
Aku hanya ingin menemanimu
Di perjalanan yang penuh halangan
Dan perburuan yang menyukarkan.
Aku tidak memerlukan mereka,
Mari teruskan persahabatan kita.
Tapi sayangnya, di sini, saya harus membakar hutan persahabatan ini kerana telah terlalu banyak api yang sahabat mulakan, telah terlalu lelah untuk saya padamkan. Lebih baik, saya bakar sahaja hutan ini supaya tidak akan sesak pada pandangan matamu. Tetapi bukankah kamu yang memang mahu membakar hutan ni, atau telah mula membakarnya, lama dahulu?
Betapa sedihnya melihat hutan ini terbakar. Bersama jutaan gambar dan kenang-kenangan. Ingatan bukankah untuk dikenang dan dilupakan juga?