Tentang Kebenaran


 

(Dengan sengaja meminjam tajuk buku Saharil. Kikiki)

Mengetahui tentang kebenaran, sungguhpun ada masa sangat menyakitkan tetapi ada waktunya sangat menghiburkan. Apabila kau tahu kebenaran dan rahsia tentang sesuatu, kemudian ada seorang yang lain bercerita tentang sesuatu itu seolah-olah dia mengetahui semua tetapi semua yang diketahui adalah palsu dan bohong, kau akan tersenyum dan berkata dalam hatinya.

“Betapa kasihannya kamu.”

Perasaan mengetahui tentang kebenaran dan selepas itu ada orang bercakap tentang hal tersebut tetapi tidak betul dan orang itu seperti ditipu dan dikaburi dengan fakta auta yang salah, kau merasakan terapung di langit, kemudian memandang semua yang dibawah dengan pandangan yang neutral. Kau seperti melihat boneka-boneka manusia yang sedang tersenyum, bersedih, menangis, tertawa kemudian kau sendiri tahu, mereka semua hanya memakai topeng-topeng sahaja. Kau akan melayang dan tertawa-tawa sendiri dalam hati. Tiada apa yang dapat kau lakukan kecuali tertawa.

Ini juga seperti kau melihat semua rancangan realiti tivi, mungkin kau sedikit cemas, ragu, terharu dengan aksi yang dipamerkan tetapi kau juga tahu, semua itu hanya skrip sahaja, yang diatur oleh orang-orang dibelakang tabir yang ingin menjual cerita kepada penonton. Kau adalah orang yang tahu semuanya hanya drama, tetapi penonton yang lain tak semuanya tahu bahawa itu hanya drama sahaja. Mungkin mereka merasakan itulah cerita sebenar.

Apabila kau berasa di situasi itu, apa yang kau dapat lakukan, bukankah kau hanya boleh duduk sahaja, memerhati, melihat dan mungkin tertawa dan tersenyum sambil bersenda dengan hati sendiri.

Tak usah marah-marah dan rasa hendak tegakkan keadilan. Kadang-kala berdiam diri dan memerhati adalah tindakan paling bijak sekali J