Hari Raya yang Biasa-Biasa


Semasa zaman saya kecil, hari raya bukan sahaja soal duit raya tetapi kuih muih yang sedap, makanan yang eksotik dan tentunya kemeriahan pergi ke rumah saudara mara. Saya selalu berharap abah dan ibu akan pulang ke rumah lewat dan berlama-lamaan di kampung sehingga saya dapat mengikuti rombongan baraan (kumpulan beraya dari rumah ke rumah dalam sebuah kampung). Sebab baraan di kampung nenek lebih hebat dan meriah berbanding dengan baraan di tempat kediaman saya. Lebih-lebih lagi apabila pergi dengan sepupu sepapat dan memang kebiasaan kalau dikampung, satu kampung itu paling-paling tidak ada bau bau bacang dengan kita.

Selain itu, saya dan adik selalu menemani abah beraya di rumah saudara maranya pada malam raya. Kami biasanya beraya di rumah atuk belah ibu kerana atuk belah abah sudah lama meninggal. Tetapi jarak kampung atuk belah ibu dan atuk belah abah tidak jauh. Kadang-kala saya dan adik akan menemani abah sampai jauh malam tetapi perkara itu tidak pernah menjemukan dan sentiasa dinanti setiap tahun. Namun sekarang sudah tidak begitu. Sudah tiada lagi aktiviti berkunjung ke rumah saudara mara pada malam raya. Apakah menjadi dewasa, hari raya sudah semakin membosankan?

Dan dahulu ketika hari raya sahaja, saya akan berbaju kurung (kecuali ketika ke sekolah). Jadi, kalau mahu saya kelihatan ayu, manis serta sopan santun hanya di waktu hari raya sahaja. Jarang benar saya memiliki sepasang baju kurung. Sehingga saya masuk ke sekolah menengah dan bersekolah asrama, barulah saya sedar koleksi baju kurung saya sangat kurang dan terpaksa meminjam baju kakak (saya hampir sama besar dengan kakak waktu tingkatan 1) sehingga baju kurung saya siap ditempah. Hanya bila dewasa ini, koleksi baju kurung saya hampir tiga almari.

Tentulah semakin saya dewasa, rasa meriah hari raya itu semakin jarang dirasai. Semuanya hanyalah makanan dan rancangan tivi. Kadang kala saya tidak beli sebarang baju raya baru mahupun kasut dan handbag baru dan beraya dengan baju kurung yang lama-lama sahaja. Saya tidak merasa teruja mahu membeli sebarang persiapan raya. Perayaan raya yang dikosmetikkan oleh stesen tivi tentang kemeriahan berkunjungan, persiapan menghadapi raya tidak langsung tidak bertempias kepada saya.

Hari raya hanyalah hari yang biasa-biasa sahaja bagi saya selain setiap rumah menghidangkan makanan sedap dan rumah yang dirias cantik. Yang lain tiada. Hanyalah seperti hari-hari biasa sahaja.

Saya sentiasa berharap, di masa-masa akan datang saya akan merasa kemeriahan dan keseronokan menyambut hari raya seperti mana masa saya kecil dahulu. Aminnn…

Salam Perantauan


Kami dari Universiti Jordan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada sanak keluarga dan kawan-kawan yang berada di Malaysia terutamanya di Kampung Selangat, Kampung Sepakat, Kampung Melayu Ampang dan di seluruh pelusuk kampung di Malaysia.

Kami tak dapat pulang beraya kerana tiket kapal terbang sangat mahal sekarang. Huwa!

Well, gambar ini kami ambil tahun lepas semasa buat rombongan beraya dari rumah kawan. Semasa gambar ini ditangkap dan diupload di facebook, saya dan kawan-kawan berseloroh dan berkata, tahun depan boleh gunakan gambar ini untuk hantar ke Salam Perantauan. Latar dah macam kat Jordan dah.

Semasa di tahun universiti, saya rajin sekali melihat gambar-gambar salam perantauan, manalah tahu ternampak gambar kawan-kawan yang pernah kenal dan terputus hubungan. Masa itu zaman facebook bukanlah kegilaan ramai. Ramai juga kawan yang saya tak sangka akan terjumpa di antara ribuan salam perantauan. Namun lama-lama apabila jaringan hubungan sudah membuatkan dunia hilang sempadan. Salam perantauan sudah tidak menjadi benda yang mengujakan. Kalau dalam sesaat kita boleh mengetahui khabar kawan-kawan kita di seluruh dunia, salam perantauan seakan kurang value lagi. Mungkin itu yang saya rasa, mungkin lain apa yang mereka di kampung atau yang tiada kemudahan akses internet. Mungkin salam perantauan masih relevan lagi.

Sehingga tahun lepas, terdapat isu apabila pelajar UTP menghantar gambar berlatar Malaysia (tetapi seperti luar negara) dan membuat salam perantauan dan dihantar ke salah sebuah akhbar terkemuka tanah air (hiperbola, ok!) dan disiarkan. Mereka yang sengaja memparodikan salam perantauan. Mungkin semua telah jemu dengan segala protokol dan kebiasaan yang menjemukan di bulan raya dan cuba melanggar kebiasaan dengan begitu.

Tahun ini, rasanya Obefiend telah membuat troll untuk slaam perantauan dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar IPTA seluruh negara. Kadang kala lucu sungguh ucapan daripada mereka yang undersea ni.

Mengukur Bahagia


Susah untuk mengukur rasa bahagia.

Ada yang sudah punya rumah yang besar, kereta yang mewah, kerja yang baik, keluarga yang baik tetapi masih belum bahagia.

Ada pula yang tidak punya pekerjaan yang baik, rumah yang sempurna, kenderaan yang apa adanya tetapi sudah rasa bahagia apabila pula ke rumah melihat isteri dan anak-anaknya.

Soalan yang selalu ditanya, “Awak rasa bahagia tak?” bukanlah soalan yang tepat. Tetapi soalan yang setepatnya ditanya, “Adakah awak berasa cukup bahagia?”

Apabila kita cukup merasa bahagia, kita tidak akan mencari yang lain untuk merasa bahagia sebab kita sudah merasakan apa yang kita ada sudah cukup membahagiakan. Tidak perlu apa-apa pernambahan. Jika ada, itu satu anugerah dan kelebihan.

Tetapi apabila kita tidak merasa cukup bahagia, lambakkan di depan mata: rumah besar, kerja yang baik, isteri/suami yang sempurna, anak-anak nan santun atau apa sahaja, tidak dapat membuatkan hatinya tenteram dan dia akan berterusan mencari-mencari apa-apa sahaja yang dia fikirkan boleh membuatkan cukup bahagia. Lama-lama sikap mencarinya akan bertukar menjadi sikap tamak. Dan selamanya tidak apa yang dapat membahagiakannya.

Janganlah bertanya kepada pasangan anda, “Apakah awak merasa bahagia?” tetapi bertanyalah “Apakah awak cukup merasa bahagia?” atau “Apakah saya cukup untuk membahagiakan awak?”.

KeyChain dari Kesayangan-kesayangan.


Semenjak berkasih dengan Arjuna, saya selalu menggantungkan ole-ole keychain hasil pemberian kawan-kawan yang pergi bercuti di mana-mana. Entah mungkin satu ritual atau apa, setiap kali kawan-kawan pergi bercuti, keychain akan dijadikan ole-ole paling wajib. Rasanya hanya saya yang belum belikan apa-apa untuk mereka. Tidak berkesempatan bercuti ke mana-mana.

Walhal, dahulu banyak juga orang yang memberi keychain tetapi saya tidak tahu mahu menggunakan di mana. Saya suka kunci saya simple sahaja tanpa perlu aksesori tambahan. Tetapi bermula dengan keychain anak gajah hadiah Ode dan seterusnya, saya fikir apa salahnya letakkan semua keychain hadiah kesayangan-kesayangan saya bergantungan di kunci Arjuna, kekasih hati saya itu.

Namun tidak semua keychain itu dapat bertahan lama. Ada yang baru sahaja digantung sudah hilang, ada yang retak, terpatah dan sebagainya. Yang tinggal hanyalah gelung besinya sahaja, yang saya tidak tanggalkan supaya bertanda sudah banyak keychain yang menghuni gantungan kunci Arjuna.


Namun, begitu banyak keychain yang bergantungan dan berpergian di gelungan kunci Arjuna, hanya satu sahaja yang bertahan dan pernah kenal erti lelah untuk pergi, Si  Menara Eiffiel  itu. Begitu kukuh keychain si besi  Menara Eiffiel  itu mengikut saya ke mana-mana, dihempas, dicampak dalam beg, digenggam. Saya tertanya, apakah Si  Menara Eiffiel itu tidak mengenal erti putus asa dan lelah, bergantungan di sana setelah begitu ramai rakan-rakannya mengucapkan selamat tinggal pada gantungan kunci Arjuna? Apakah selama-lamanya Si Menara Eiffiel itu mahu ada di situ. Keychain  Menara Eiffiel  yang angkuh dan tegar itu tidak pernah menjawab pertanyaan saya dan hanya teroleng-oleng di gantungan kunci Arjuna.


R.I.P

Keychain Gajah Merah – Ode

Keychain Gua Kelam – Aidil

Keychain Bandung – Hani

Keychain Aussie – Hani

Keychain Bandung – Nissa’

Dan lain-lain yang tak terlupakan.

Penyiasat Remaja


Kata Miyuki kepada Hajimie dalam satu siri komik Penyiasat Remaja.

“Sepasang kaki tidak dapat memijak dua pelantar kapal.”

Saya ingin sahaja mengulang kata-kata Miyuki yang diambil daripada peribahasa Cina itu lewat kebelakangan ini dengan menambah di belakangnya…

“… kalau kau mahu juga buat begitu, pastikan bila kau terjatuh, kau tak tarik kapal sama-sama tenggelam bersama kau. Basah dan tenggelamlah seorang diri.”

+++


Sebab itu saya tidak pernah jemu membaca Penyiasat Remaja dan Penyiasat Remaja Q. Ini adalah koleksi komik yang saya wajib ulang baca setiap tahun. Siapa yang cakap komik kegemarannya Detektif Conan dan menolak kedua-dua komik kesayangan saya ini, saya anggap mereka tasteless! Walaupun komik Detektif Conan sangat banyak dan siri televisyennya boleh ditonton di TV3 sehingga sekarang berbanding Penyiasat Remaja tetapi orang yang mempunyai citarasa yang bagus akan tahu membezakan jauhari dan manikam dengan kaca. Hik hik hik.

Sebenarnya, apabila membaca komik Penyiasat Remaja, saya dihiburkan dengan kegeniusan Hajimie menyelesaikan masalah, kelicikan penjenayah, bukti alibi dan emosi cerita tersebut. Malah setiap pengakhiran kes yang diselesaikan Hajimie, selepas pembunuh membongkarkan tujuan semua pembunuhan dilakukan, saya mendalami emosi pembunuhnya dan sebab-sebab mereka melakukan pembunuhan. Semuanya bermula dengan dendam dan rasa tak puas hati. Ada yang membalas dendam di atas apa telah mangsa lakukan kepada kenalan atau orang kesayangan mereka atas alasan supaya orang kesayangan mereka berasa tenang di alam sana. Mungkin kita fikirkan tindakan kita pada orang lain tidak memberi kesan. Kita mungkin tidak menyangka perbuatan yang kita fikirkan hanya bermain-main rupanya membenihkan rasa dendam dan mewujudkan keinginan membunuh.

Hajimie sering memberikan jawapan kepada pembunuh itu yang akhirnya kembali kepada kemanusiaan dan kasih sayang. Benarkah dengan membunuh atas tiket membalas dendam dan menuntut bela dapatkan membuatkan roh si mati tenang? Tetapi apakah pembunuh itu akan berasa tenang dan berbahagia? Bukankah membalas dendam dan berbuat jahat kembali itu menjadikan pembunuh juga sekejam mangsanya? Kalau seseorang mati kerana orang lain,bukankah orang itu berkorban supaya orang yangdiselamatkan hidup dan berbahagia? Walau atas apa alasan pun, kita tidak pernah punya kuasa untuk menjatuhkan hukuman pada orang lain.

Selain daripada itu, saya sukakan terjemahan komik ini. Tatabahasa yang bagus, terjemahan yang bagus. Saya selalu kagum dengan terjemahan komik dari Jepun (Penyiasat Remaja) dan komik aksi (Alam Perwira, Pedang Setiawan, Dewata Raya) yang menggunakan Bahasa Melayu Aras Tinggi dan pemilihan perbendaharaan kata yang indah dan tepat. Kadang kala bahasa komik yang merosakkan bahasa anak-anak bukanlah yang dibawa dari luar sebaliknya komik tempatan yang terlalu banyak dilambakkan bahasa slanga atas alasan mahu membuatkan komik itu terasa humor. Rasanya bukan membuatkan komik itu terasa humor tetapi terasa bodoh sekali.

Berbuka, terawih dan babrican


Pertama kali berbuka di masjid ialah pada tahun lepas, semasa berkerja di Shah Alam. Ini semua hasil idea Nissa’ Yusof yang mengimpikan untuk berbuka di masjid sejak zaman dia di UiTM.


Oleh kerana tiada pengalaman langsung berbuka di masjid Shah Alam, kami pun datanglah dekat waktu berbuka dengan sangkaan baik adalah makanan berbuka untuk kami dan mengandaikan bahawa tiada orang yang mahu berbuka di masjid. Nyata sangkaan kami tersasar di jalan apabila semua tempat penuh dan tiada apa untuk kami berbuka. Dengan langkah longlai, kami merencana untuk berbuka selepas solat Maghrib. Ketika itu seorang penjual di bazaar masjid menawarkan bubur lambuk kepada kami kerana kasihan pada kami yang tidak dapat makanan berbuka.

Selepas itu, kami sudah pintar mengatur strategi waktu berbuka dan bila masanya untuk datang sebelum semua tempat berbuka telah diisi dengan orang. Ada kalanya saya yang akan datang dulu, ada waktunya Nissa’ yang akan datang. Bergantung pada kekangan kerja dan komitmen yang harus dipenuhi.

Di masjid Shah Alam, menu berbuka bukan calang-calang. Kadang-kala nasi ayam, ada waktunya nasi beriani. Kalau nasi putih, lengkap ayam/daging dan sayur-sayuran yang dimasak sangat sedap, lebih bagus rasanya berbanding beli di Pasar Ramadan. Tidak lupa buah-buahan, kurma dan bubuk lambuk untuk melengkapi menu berbuka puasa. Sebab itu hampir kebanyakan masa berbuka, kami lebih memilih untuk berbuka di masjid berbanding bersesak-sesak di Pasar Ramadan atau bersidang lintang pukang di dapur.

Apa yang lebih menyeronokkan, kami boleh naik untuk terawih. Di antara sela waktu maghrib dan terawih, jika tidak membaca al-Quran, kami akan mengambil kesempatan duduk di beranda masjid sambil merenung langit. Sesekali membeli barbican (yang pertama kali baru dicuba), di bawah menara masjid itu kami bertukar-tukar kisah kerja, gosip-gosip, kisah hati ke hati atau hanya sekadar mendiamkan diri sambil minum barbican yang sungguh pekat gasnya.

Sesekali mahu bertukar angin, kami membeli makanan di Pasar Ramadan dan berbuka di bawah langit luas di dataran Shah Alam. Tidak sedikit yang memilih berbuka di dataran Shah Alam. Bukan orang bujang sahaja, ada juga yang berkeluarga dan membentang tikar di atas rumput hijau tersebut.

Sejurus selepas raya, saya bertukar tempat kerja, bertukar tempat tinggal. Ramadan tahun ini tidak sama dengan Ramadan tahun lepas. Sungguhpun masih seronok, tentulah tidak seseronok berbuka di Masjid Shah Alam, berterawih dengan Imam yang sungguh merdu suaranya dan bergelak ketawa dibawah anjung menara masjid.

Begitulah, jangka masa setahun banyak membezakan kenangan-kenangan yang menyulam di dalamnya.