Hari Raya yang Biasa-Biasa


Semasa zaman saya kecil, hari raya bukan sahaja soal duit raya tetapi kuih muih yang sedap, makanan yang eksotik dan tentunya kemeriahan pergi ke rumah saudara mara. Saya selalu berharap abah dan ibu akan pulang ke rumah lewat dan berlama-lamaan di kampung sehingga saya dapat mengikuti rombongan baraan (kumpulan beraya dari rumah ke rumah dalam sebuah kampung). Sebab baraan di kampung nenek lebih hebat dan meriah berbanding dengan baraan di tempat kediaman saya. Lebih-lebih lagi apabila pergi dengan sepupu sepapat dan memang kebiasaan kalau dikampung, satu kampung itu paling-paling tidak ada bau bau bacang dengan kita.

Selain itu, saya dan adik selalu menemani abah beraya di rumah saudara maranya pada malam raya. Kami biasanya beraya di rumah atuk belah ibu kerana atuk belah abah sudah lama meninggal. Tetapi jarak kampung atuk belah ibu dan atuk belah abah tidak jauh. Kadang-kala saya dan adik akan menemani abah sampai jauh malam tetapi perkara itu tidak pernah menjemukan dan sentiasa dinanti setiap tahun. Namun sekarang sudah tidak begitu. Sudah tiada lagi aktiviti berkunjung ke rumah saudara mara pada malam raya. Apakah menjadi dewasa, hari raya sudah semakin membosankan?

Dan dahulu ketika hari raya sahaja, saya akan berbaju kurung (kecuali ketika ke sekolah). Jadi, kalau mahu saya kelihatan ayu, manis serta sopan santun hanya di waktu hari raya sahaja. Jarang benar saya memiliki sepasang baju kurung. Sehingga saya masuk ke sekolah menengah dan bersekolah asrama, barulah saya sedar koleksi baju kurung saya sangat kurang dan terpaksa meminjam baju kakak (saya hampir sama besar dengan kakak waktu tingkatan 1) sehingga baju kurung saya siap ditempah. Hanya bila dewasa ini, koleksi baju kurung saya hampir tiga almari.

Tentulah semakin saya dewasa, rasa meriah hari raya itu semakin jarang dirasai. Semuanya hanyalah makanan dan rancangan tivi. Kadang kala saya tidak beli sebarang baju raya baru mahupun kasut dan handbag baru dan beraya dengan baju kurung yang lama-lama sahaja. Saya tidak merasa teruja mahu membeli sebarang persiapan raya. Perayaan raya yang dikosmetikkan oleh stesen tivi tentang kemeriahan berkunjungan, persiapan menghadapi raya tidak langsung tidak bertempias kepada saya.

Hari raya hanyalah hari yang biasa-biasa sahaja bagi saya selain setiap rumah menghidangkan makanan sedap dan rumah yang dirias cantik. Yang lain tiada. Hanyalah seperti hari-hari biasa sahaja.

Saya sentiasa berharap, di masa-masa akan datang saya akan merasa kemeriahan dan keseronokan menyambut hari raya seperti mana masa saya kecil dahulu. Aminnn…

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s