Membangunkan Sesuatu Yang Baru


Bukannya mudah…

Kita boleh sahaja berkata macam-macam dan itu ini semasa mahu membangunkan sesuatu benda yang baru untuk menolak benda lama. Atau membangunkan sesuatu benda yang baru daripada ketiadaan.

Pengalaman terlibat dalam membangunkan satu majalah baru memang sangat menghiburkan sekaligus melelahkan. Seolah-olah tenaga berpusat pada satu titik dan disedut perlahan-lahan. Bermula dengan kosong dan blur terhadap konsep majalah. Berdikit-dikit saya membangunkan konsep, memilih font, membina skrip, panel sehinggalah ke proses akhir. Saya masih ingat lagi semasa majalah yang dibangunkan hasil idea saya sudah siap di PDF-kan. Saya seolah-olah melihat anak yang saya asuh sedang tersenyum atau tertawa melihat saya. Betapa menyenangkan.

Ketika mula bekerja dan sehingga kini komik yang saya bangunkan sudah masuk ke edisi 05, betapa banyak yang perlu ditempuh. Pemilihan watak, pemilihan warna yang sesuai, layout, susunan cerita, storyline semuanya di tangan saya. Betapa menyebalkan berhadapan dengan pelukis yang banyak kerenah, dateline yang menyesakkan. Kadang-kadang betapa sedihnya melihat mereka tidak bersungguh-sungguh menyiapkan kerja atau ilustrasi yang separuh hati.

Dalam kelelahan dan melihat pelukis atau pereka grafik yang ditugaskan seperti mahu atau tidak mahu, saya dihambat kesal. Tidak bolehkah kita mencintai sesuatu pekerjaan biarpun bukan kepakaran atau minat kita. Seperti saya, yang nihil atau serba tidak tahu bagaimana mahu membangunkan sebuah komik atau menjadi editor sebuah komik, menyahut sahaja cabaran, belajar daripada asas, membuat kajian dan mencintai watak-watak dalam komik yang saya bangunkan sehingga satu pejabat tahu betapa sinonimnya saya dan watak komik tersebut.

Apakah mereka yang bekerja di bawah pasukan saya tidak boleh begitu?

++++++


Terkemudian hari, saya diberi amanat membangunkan sebuah majalah sastera yang baru. Saya dan kawan-kawan langsung tiada modal atau duit untuk terbitkan tapi saya dan kawan-kawan punya impian. Dan impian itu yang menggerakkan dan menghidupkan semangat supaya merealisasikan Majalah seni dan sastera ini (kononnya mahu melawan Dewan Sastera yang dikatakan semakin dimakan zaman dan layak duduk di akrib sahaja). Membangunkan konsep pop, hip, urban dengan suntikan vintage dan klasik dalam masa seminggu, mencari kawan-kawan pasukan yang berminat dan cintakan majalah ini untuk sama-sama bekerjasama, berjumpa atau menghubungi penulis yang sudi menyumbang karya walau tanpa bayaran, sememangnya menuntut masa dan pengorbanan yang bukan sedikit.

Oleh kerana impiannya, majalah ini yang bermula dengan zine untuk mengumpul dana, akhirnya menjadi suara yang baru dan menjadi alternatif kepada semua orang yang bagus dan berbakat (tetapi mungkin tertolak oleh aliran sastera semasa) untuk masyarakat membaca karya mereka. Walaupun medium internet sudah ada dan boleh diakses dengan mudah tetapi melihat hasil tulisan sendiri di atas kertas tentu sahaja menimbulkan perasaan yang berbeza. Nah, majalah ini saya dan kawan-kawan cuba bangunkan dengan impian menjadikan: seni dan sastera sebagai gaya hidup.

Mungkin, ada zine di luar sana yang hanya mahu tumbuh sebagai zine sahaja tetapi saya dan kawan-kawan tidak berharap begitu. Kami sentiasa menganggap walaupun keluaran pertama adalah zine, hari ini atau kemudian hari, ia tetap sebuah majalah yang telah kami letakkan sepenuh hati, tenaga, masa dan emosi ke dalamnya. Berharap benar-benar menjadi sebuah majalah seni dan sastera yang dicintai oleh semua penyokong, peminat dan penggiat seni dan sastera.

Cabaran? Tentu sahaja. Emosi? Tentu sahaja.

Adalah sukar untuk menyakin orang bahawa pendirian majalah ini yang neutral terhadap mana-mana aliran atau mana-mana gaya, bentuk penulisan sekalipun. Asalkan tulisannya yang bagus dan selayaknya pemikiran mereka dibaca oleh masyakarat di luar sana, bukanlah hanya tersimpan dalam kamar blog atau seputar meja kopi. Tetapi itulah salah sebuah impian yang saya dan kawan-kawan mahu suntikkan ke dalam majalah ini. Malah, di kemudian hari berharap sebelah kaki majalah ini ada di malaysia manakala sebelah lagi di Indonesia. Tersebab itu, saya dan kawan-kawan mula berhubung dengan penyair dan penulis Indonesia untuk menyumbang karya dan berkongsi citarasa yang sama mahupun berbeza.

Bagaimana mengukur tulisan yang bagus dan layak diterbit? Tentu sahaja persoalan itu sering berlegar dan kayu ukur sering sahaja diminta oleh golongan cerdik pandai. Tentu sahaja, saya sebagai editor/ pengurus studio/ pereka letak grafik (bidan terjun) dan ketua pengarangnya, Wan Nor Azriq serta sidang editorial mengalami kesukaran untuk meletakkan penanda aras dan kayu ukur kerana nilai kebagusan yang bersifat subjektif. Apatah lagi untuk menerangkan pada orang dengan bahasa yang mudah. Tetapi tentu sahaja apabila sesuatu karya yang menimbulkan perasaan yang lain dan luar biasa apabila membacanya, ada nilai kebagusannya di situ. Lalu saya dan kawan-kawan meletakkan tanda aras yang mudah sahaja, majalah ini mahu tulisan yang menampilkan suara pengarang di dalamnya. Bukan tulisan yang terlalu didaktik, ilmiah atau ada orang katakan bahasa yang terlalu DBP. Tulisan yang seperti boleh di baca di blog-blog. Yang paling penting apabila kita membaca tulisannya, kita dapat merasakan suara pengarang sedang memberontak, sedang marah, sedang memujuk, sedang bermanis muka, sedang merayu manja atau apa sahaja di dalamnya dan betapa dekatnya dia dan isu yang ditulis. Bukanlah tulisan yang terbentuk seperti kuih tempah atau tulisan yang pendapatnya diceduk sahaja daripada pemikiran tokoh-tokoh terdahulu tanpa melalui proses saring fikir yang kritis dan jitu.

Mungkin pihak pemerhati masih melihat dunia sastera muktahir masih dikuasai nama-nama besar seperti Faisal Tehrani dan angkatannya. Mereka juga turut berkata, apakah tiada nama baru yang boleh menumbangkan nama Faisal, contohnya? Itu kata pemerhati sastera muktahir yang mungkin hanya duduk selingkar di menara sahaja. Dalam hati saya, ya, ada. Tentu sahaja ada. Tetapi mereka-mereka yang berpotensi menumbang Faisal Tehrani dan angkatannya seperti sudah jemu dengan birokrasi aliran semasa yang hanya mahu menerima karya-karya yang berbau seperti Faisal Tehrani atau pun mengikut teori sastera sarjana bijak pandai sahaja. Lalu memilih untuk bergerak seperti gerilya bawah tanah. Itu hanya teori saya. Oleh itu, adalah besar harapan saya, tiada kasta lagi dalam sastera di dalam majalah ini.

Ya, di dalam majalah (atau zine buat sementara waktu) ada terlalu banyak impian di dalamnya. Terlalu banyak cita-cita yang mahu saya dan kawan-kawan tunaikan. Terlalu banyak suara yang mahu diangkat. Terlalu sampai kadang-kala hampir sahaja saya mahu rebah. Tetapi saya selalu sahaja berharap kawan-kawan yang menemani saya di dalam sidang editorial sama ada sebagai kolumnis tetap mahupun pekerja tak bergaji sentiasa mempunyai kecintaan, kesungguhan dan minat yang sungguh mendalam untuk membangunkan majalah ini. Hanya itu sahaja yang akan menyokong dan mendokong saya untuk bertahan dan meneruskan usaha yang besar jiwanya ini.

Berbagi Kekasih Puisi


Untuk kekasih puisiku Aan Mansyur aku seperti tidak mahu lagi berkongsi kekasih. Seperti aku berkongsi kekasih puisiku terdahulu Sapardi Djoko Damono dengan semua yang mahu dan kenal apa itu sajak lirik.

Aku benci, terlalu benci untuk kau baca puisi-puisi milik kekasihku dan kau kata kau turut menyenangi beberapa puisi atau sebahagian puisinya. Lalu kau tiba-tiba mahu berkongsi kekasih puisiku dan mengatakan dia kekasih puisimu juga (atau suka puisinya)

Banyak benda di dalam dunia ini yang telah dan untuk dikongsikan dan aku telah banyak berkongsi benda dengan orang lain dan kamu tentunya, kafe yang kusukai, buku yang kubaca, teman kesayangan, warna kesukaan, jenis kek atau apa sahaja tetapi kalimat dan kata-kata yang dibentuk oleh kekasih puisiku, aku enggan berbagi.

Biar hanya aku sahaja yang tahu kesederhanaan kalimat yang diungkapkan, atau kerendahan hatinya semasa bermain hujan dan menukilkan ke dalam kalimat, atau keindahan kata-kata yang dipilih dan disusun daripada jutaam kata-kata di luar sana. Biar hanya aku sahaja. Hanya aku.

Aku tidak suka kau mencemari dan menyatakan kau menyenangi kekasih puisiku hanya untuk memenangi hati orang sahaja.

Kisah 1 hari yang indah


 

 

 

Sengaja saya memberi satu hari yang penuh dengan memori yang indah kepada kamu supaya kamu tidak merasakan betapa kejamnya hidup dan betapa kejam cinta perlakukan kepada kamu.

Lalu, penuhkan sahaja hari-hari mendatang dengan kisah-kisah yang indah. Memori-memori yang melayah di antara sela-sela waktu itu, dakap dan hiasi mimpi-mimpi dalam kamar tidurmu. Bukankah telah saya katakan dahulu, semua orang berhak untuk merasa bahagia. Semua orang berhak untuk hidup gembira. Dan kamu juga tidak terkecuali.

Cinta itu tidak sebegitu kejam, sayang. Cinta sentiasa punya wajah dan hati yang manis dan baik.

Tapi jangan kamu tanya, bagaimana di belakang tubuh cinta itu atau bagaimana di dalam hati cinta itu sendiri.

Sebab mungkin kau tidak sanggup melihat seribu pisau yang tercacak dibelakangnya dan darah yang mengalir dari luka-luka yang kian membiru dan ungu.

Sebab cinta akan sentiasa tersenyum dan tidak pernah berhenti untuk itu.