Apabila Kata-kata diajar Menjadi Pendusta


Apakah kamu fikir aku tidak tahu, bila saatnya lidahmu terpecah dan bercabang seribu. Kamu boleh sahaja menipu kata-kata yang seringkali kamu ajak bermain tetapi kata-kata tidak bisa menipu aku.

Kata-kata punya mata dan nada suaranya yang telah aku pelajari bila dia menjadi pendusta dan bila dia benar-benar maksudkan dalam hati. Mungkin kamu telah lama hidup dengan kata-kata dan kamu percaya kata-kata akan berdusta untukmu, tetapi tidak kepada aku.

Karma is bitch, kata kawanku. Tuhan itu tahu, tapi tuhan sedang menunggu, kata Tostloy. Sedang aku tidak peduli pada itu sebab aku percaya, kebenaran akan terbongkar di hadapanku. Bangkai gajah memang tidak dapat ditutup. Dan apabila semua itu berlaku, aku ingin sekali memandang matamu dan tersenyum.

Aku sedang memandang kamu dan kata kata yang sedang berdusta untukmu. Anehnya, kata-kata telah berselubung dan merasa malu apabila aku menyedari kedustaan tetapi kau masih tidak begitu. Masih cuba memujuk kata-kata dan juga aku.

Ah, kamu belum cukup sepintar aku untuk melakonkan drama.

Advertisements

Zurinah Hassan – Yang Pasti


Zurinah Hassan – Yang Pasti

Kau mungkin bukan lelaki terbaik
Tapi buat perempuan sepertiku
Mungkin tidak ada yang lebih
Darimu

Aku mungkin tidak mendapat segala-galanya
Tapi dengan keadaan begini
Aku tidak meminta
Yang lebih baik
Usahlah bertanya apakah aku bahagia

Aku juga tidak menyoal perasaanmu
Kerana kadang-kadang bila terlalu mahu memasti
Orang jadi semakin ragu
Terlalu berbicara dan banyak menganalisa
Orang jadi semakin tidak tahu

Aku mungkin kurang pasti
Tentang apa yang telah kukatakan
Tapi yang pasti
Kita tidak perlu terlalu pasti

Puisi ini berada di dalam telefon bimbit saya. Saya akan bacakan kepada sesiapa waktu itu, malah pernah bacakan untuk seseorang di hadapan ramai orang. Oh, itu cerita setahun yang lalu (yang kadang kala saya berharap untuk kembali ke waktu itu)

Banyak benda di dalam dunia ini, lebih baik kita tidak tahu. Biarkan kekal menjadi rahsia, seperti yang saya pernah tulis dalam entri saya sebelum ini. Sebab kadang kala kalau kita terlalu banyak tahu, hati kita semakin ragu, semakin mahu mempersoalkan dan akhirnya akan menyusahkan kepala sendiri.

Seperti, jika kita makan di satu restoran mewah dan kita ingin tahu bagaimana menu itu disediakan, kita bersungguh mahu melihat ke dapur tetapi apa yang kita temukan hanya dapur yang kotor dan bersepah, kecewa bukan? Lebih baik kita membiarkan sahaja menikmati keenakan hidangan itu tanpa perlu bersoal apa-apa.

Kata kawan saya, kalau sudah bahagia, kenapa harus cari benda lain yang akan meruntuhkan kebahagiaan itu?

Tapi ada waktunya, kita hendaklah memastikan supaya kita bersedia. Memang ada kalanya lebih baik kita tidak tahu apakah ada seribu pisau yang tercacak di belakang sesuatu perkara. Tetapi sekurangnya sebelum ditikam oleh seribu pisau itu, kita telah bersedia dengan baju besi dan mematahkan bilah pisau daripada terus menikam kita.

Menyediakan emosi, perasaan dan keadaan tidak salah. Sebab ada waktunya ketika semua itu terjadi, yang kita ada cumalah diri kita, kalau tidak memperkuatkan diri, maka siap sedialah untuk terjatuh dalam lohong hitam yang dalam dan tiada dasar apabila yang yang mahu menolakmu.

Waktu itu, mungkin kau sendiri akan memilih pisau dan menghiris lenganmu dengan tanganmu sendiri.

Perempuan Penjual Di Pasar Tani



 

Setelah habis berfikiran, seorang perempuan bertekad mahu menjadi penjual di pasar tani. Ketika pagi masih belum bangun, dia sudah persiapkan sebakul bahan jualan dan membawanya ke tapak jualan. Tekadnya, dia ingin melawan dominasi lelaki-lelaki si penjual yang sudah lama bertapak di pasar itu. Selain itu, dia sudah jemu berurusan dengan penjual di situ yang ada kalanya tidak menghormatinya sebagai pelanggan dan menawarkan hasil jualan yang bermutu rendah.

Semasa pelanggan sudah mula menunjukkan muka, dia berteriak sekuat suara yang pernah dimiliki agar dapat menawan hati pembeli. Seisi pasar terasa begitu asing, melihat perempuan itu begitu gigih menjual dan pelanggan mula membeli hasil jualannya. Mereka memuji-muji hasil jualan dan perempuan itu yang begitu gigih mahu memecahkan monopoli lelaki di pasar tani itu. Jarang sekali pelanggan bertemu dengan perempuan yang tabah, berani meneriak. Oleh itu mereka menasihatkan agar perempuan itu sentiasa berteguh hati.

Sesudah itu, perempuan itu sering sahaja membawa hasil jualan ke pasar tani. Mambawa apa yang pelanggan mahukan supaya hasil jualannya laris dan matlamatnya tercapai, memecahkan monopoli lelaki di pasar tani. Dia mulai tidak peduli apakah hasil jualannya bagus dan bermutu. Semua yang pelanggan mahukan dihamparkan dan dilambakkan di hadapannya.

Walaupun begitu, lelaki-lelaki penjual seperti tidak mempedulikannya malah tidak mengenalinya jika mereka berselisih di pasar tani. Perempuan itu berasa sungguh sedih. Hampir sepekan perempuan itu memikirkan bagaimana caranya untuk dikenali oleh lelaki-lelaki yang turut menjadi penjual di pasar itu? Kalau tidak dikenali bagaimana dia mahu berasa senang hati dan menguasai pasar tani itu kelak? Tidak guna hanya berada di hati pelanggan bukan di hati penjual lain, yang merupakan pesaingnya juga. Dia harus menggali ilmu mereka supaya hasil jualannya sentiasa laku dan namanya sentiasa disebut oleh pelanggan. Setelah dirisik khabar dan bersok sek dengan beberapa orang pelanggan, tahulah perempuan itu bahawa semua penjual akan bergiat aktif dalam koperasi pasar tani. Semua penjual akan berdaftar dengan koperasi dan di situlah mereka bertukar-tukar buah fikir bagaimana untuk meningkatkan mutu jualan mereka dan menjaga kebajikan masing-masing.

Setelah beberapa kali membuat lintas langsung dan lintas hormat, akhirnya berjaya jugalah perempuan itu mendaftar di bawah koperasi penjual pasar tani. Sukalah hati dan semakin rajinlah perempuan itu menghadiri mesyuarat biarpun hanya membincangkan di mana hendak diletakkan tong sampah di pasar tani ini. Sekecil-kecil mesyuarat sehingga sebesar-besar mesyuarat pun digagahi juga untuk datang bertandang. Perlahan-lahan perempuan itu mula diterima komuniti penjual pasar tani. Apatah lagi, perempuan itu bisa sahaja menawarkan untuk membuat kopi, membawa juadah makanan, membersihkan bilik koperasi yang mulai bersawang.

Walaupun di mesyuarat kadang-kala perempuan itu kurang setuju dengan usul yang diberi, dia akan anggukkan sahaja dan berkata ya. Jangan bantah dan tunjukkan diri melawan arus. Kalau tidak masakan komuniti ini mahu menerimanya. Begitulah dia, lama-lama perempuan itu semakin dikenali dan semakin dipercayai mengendalikan acara-acara anjuran pasar tani itu jika tidak berjualan.

Perempuan itu masih terus berjualan. Tetapi lama-lama perempuan itu hanya menjual kertas-kertas kosong yang tidak tercatat apa-apa. Sungguhpun hasil jualan makin bertambah banyak, besar dan berat tetapi semua itu hanya kertas-kertas kosong sahaja. Betapa perempuan itu telah lupa tujuan pertama di datang ke pasar tani itu. Lama-lama dia pun menjadi penjual yang menawarkan mutu jualan yang rendah seperti penjual-penjual yang pernah cuba dilawani dahulu.

Rumah Hati Penyair



 
 

 
 

 
 

Dalam hati penyair, dibangunkan sebuah rumah daripada kata-kata.

 
 

Di kamar utama, disiapkan seorang suri yang sentiasa tersenyum. Kata-kata yang mendindingi biliknya telah rabik dan lusuh ditelan air mata. Kata-kata baru yang dihiasi renda dan bunga sentiasa menjelma untuk menghiasi dan membangunkan dinding-dinding lama yang koyak. Suri itu tidak pernah belajar untuk keluar daripada bilik utama itu. Dia, penunggu paling setia. Di matanya telah kehilangan peta untuk melihat dunia.

 
 

Di kamar tetamu, adalah tempat penyair bermalam dan menuliskan kata-kata baru yang akan ditemuinya. Kata-kata itu akan dikirimkan untuk menghiasi setiap dinding rumahnya. Kamar tetamu menyimpan perempuan yang menghiburkan hati. Di tangan perempuan itu sering dicari permainan-permainan yang baru untuk membangkitkan imaginasi dan mimpi. Di rumah hati penyair, kamar tetamu adalah kamar hiburan yang percuma daripada mana-mana perempuan yang telah direnggut hatinya. Di atas almari, trofi berbentuk hati tersusun seperti tidak pernah akan berakhir.

 
 

Di gobok-gobok rumah, ada sahaja pengunjung yang bersilih ganti bermalam atau sekadar singgah minum secawan kopi. Pengunjung itu akan membawa ole-ole untuk menghiasi almari hiasan rumah itu. Kadang-kala pengunjung itu merelakan dirinya berubah menjadi patung-patung dan bersatu dengan dinding menghiasi walau hanya sekadar di dalam gobok-gobok kecil itu.

Di sebalik S.O.S #01


Bermula dengan idea suka-suka, sehingga saya menerima naskhah cetak S.O.S #01 di kilang pencetaknya Vinlin Press, saya masih tidak percaya bahawa idea kasar, suka-suka dan gila-gila akhirnya ada di tangan saya.

Seperti yang dinyatakan dalam entri Membangunkan Sesuatu yang Baru, durasi masa idea kasar sehingga kepada sampai di tangan pencetak hanyalah 2 bulan sahaja. Itu pun bertangguh sebulan kerana menunggu pereka grafik yang masih ditemui. Sudah bertanya beberapa kali kepada beberapa orang, tiada siapa sanggup atau tahu menggunakan Adobe Indesign dan mahu mereka letak majalah ini dengan percuma.

Benarlah, apa yang pihak tim editor boleh berikan, hanyalah kecintaan pada majalah. Tidak wang ringgit. Malah, kalau dihitung berapa banyak tenaga, masa dan duit terlabur untuk ke sana sini bagi mencari penulis, pencetak, ke majlis. Sudah tentu menguras perbelanjaan yang bukan sedikit. Tetapi benarlah bila kita sudah jatuh cinta pada sesuatu, wang ringgit dan masa bukanlah persoalan lagi. Yang kita mahukan kecintaan kita membesar dan tumbuh dengan sangat baik. Mekar seperti bunga selepas hujan begitulah hasrat saya.

Akhirnya di hujung Ramadan, kami bertemu seseorang yang sanggup mereka letak dan kehalusan lukisannya menepati impian dan imaginasi kami terhadap majalah. Mereka letak secara percuma tentunya. Ketika itu terasa melalui lorong gelap dan di hujung itu terlihat cahaya. Namun apakan daya, setelah melakukan beberapa kolum beliau terpaksa menarik diri kerana terikat dengan komitmen lain. Dimaklumkan semua tim editor bekerja sepenuh masa, menyambung pengajian di peringkat tertinggi. Bukannya melakukan projek ini sepenuh masa. Ketika itu, lagi seminggu sebelum dateline pada pencetak dan layout majalah masih tidak siap. Bertanya kepada beberapa orang, tiada yang boleh tolong atau lakukan. Seperti kata Aidil Khalid waktu itu, lagi selangkah menuju kejayaan, tetapi beroleh masalah. Kami berempat benar-benar terdiam.

Akhirnya, saya berkata, biarlah saya sahaja yang buat layout. Kebetulan Sucy Musalamah baru sahaja dibaiki setelah setahun tersadai rosak. Ironinya beberapa hari sebelum Sucy Musalmah rosak ketika setahun yang lalu, saya install Adobe CS4. Dan bayangkan pengetahuan terhadap perisian ini sangat sangat sangat sedikit. Hampir tiada sebenarnya. Berdikit-dikit belajar daripada manual dan juga buku panduan. Bayangkan sahaja, dateline lagi seminggu dan pereka letak adalah orang yang zero pengetahuan untuk mereka letak. Sungguh menggundahkan tetapi melihat wajah dan mata kawan-kawan waktu itu, Aidil Khalid, Nissa Yusof dan Wan Nor Azriq (terima kasih sehingga kini) seakan percaya dan bersungguh meletak percaya pada saya. Mereka di sisi ketika saya tengah blur dan cuba sedaya yang mungkin. Ya, atas sokongan dan pom pom mereka, saya berjaya menyiapkan majalah mengikut dateline.

Tentu sahaja banyak masalah teknikal. Sebab si pereka letak orang yang nihil pengetahuan. Ada gambar yang pecah. Tulisan yang tidak sesuai. Reka letak yang eksperimental dan cacar marba (mungkin). Beberapa kali menghantar salinan kepada pencetak kerana masalah itu. Tetapi begitulah, setiap komen dan kritikan saya terima dengan tangan terbuka.Komen dan kritikan ya 🙂 . Kata orang, kalau kita mahu berenang, selagi kita tidak terjun dan berasa tenggelam, kemudian mengapungkan diri, sampai bila akan pandai belajar berenang? Orang tidak akan jadi pandai berenang kalau hanya tahu duduk di gigi air dan merungut tidak tahu berenang.

Saya berharap S.O.S #01 diterima dengan tangan terbuka. Walaupun terdapat kekurangan dan kelemahan. Yang baik itu tentulah kerana tim S.O.S yang berdedikasi, kalau yang kurang molek itu datangnya daripada tangan saya yang kaku seni dan masih sedang belajar.

 

Notakakitangan:

Entri ini ditulis sudah lama dan bertangguh untuk disiarkan. Setelah difikirkan, biarkah sahaja entri ini publish supaya di kemudian hari, jika S.O.S menjadi sebenar majalah yang sudah punya nama, saya bisa melihat kembali entri ini dan tertawa-tawa kecil. Jika mungkin ada masalah di kemudian hari dalam majalah ini, saya akan kembali melihat entri ini untuk memberi semangat. Menulis adalah untuk merakam memori kan

Hai!


Hai stalker!

Selamat berkenalan.

Eh! Kita dah berkenalan kan?

 

😛

Jadi, kau mahu cari apa disini?

Puisi yang tertanggal dari buku? Busana indah? Kucing yang hilang? Buku yang kau baru jumpa? Kekasih yang telah pergi?

Tiada di sini. Di sini hanyalah kata-kata yang sedang tidur di kamar, bersembunyi.

Pergilah mencari kata-kata yang terjaga dan boleh membawa kau keluar daripada kegelapan.

Biarkah kata-kata ini tidur lena dan pulas. Usah ganggunya. Sebab kau tidak tahu apa yang akan mungkin terjadi bila dia terjaga.

Oh ya, selamat membaca entri ini …

Menjelma Menjadi Sylvia


Ada yang cuba menjelma menjadi Sylvia!

Ada yang baru membaca satu dua puisi, sudah mahu menjelma menjadi Sylvia!

Kau pun senyum sahaja.

Ada yang baru menulis sebaris dua ayat yang dikata sendiri puisi, sudah mahu menjelma menjadi Sylvia!

Kau masih senyum sahaja.

Ada yang tiba-tiba kata sudah jatuh cinta pada dunia tulis, puisi, sastera, sudah mahu menjelma menjadi Sylvia!

Kau menahan senyum yang kian melebar.

Ada yang sedang gigih, kononnya mahu memasuki kamar kata-kata, gigih meneladani semua kata-kata asing, sudah mahu menjelma menjadi Sylvia!

Kau tidak boleh berbuat apa-apa selain melebar senyum selebarnya. Mengejek mungkin!

 

 

Fake! Fake! Fake! Fake!

Hei, Jangan mencarut!

Hail-lah! Palsu! Palsu! Palsu! Palsu! Palsu! Annoying!

Apakah sajak, puisi adalah destinasi untuk orang yang patah hati? Mudah break-down? Pathetic? Atau mahu merebut kembali hati seseorang? Berkongsi rasa kononnya!

Apakah begitu rendah taraf yang kau letakkan untuk sajak, puisi atau sastera, mungkin!

Hail-lah! Palsu! Palsu! Palsu! Palsu! Palsu! Annoying!

Kau masih senyum sahaja, dan senyum sahaja.

Dasar!