Perempuan Penjual Di Pasar Tani



 

Setelah habis berfikiran, seorang perempuan bertekad mahu menjadi penjual di pasar tani. Ketika pagi masih belum bangun, dia sudah persiapkan sebakul bahan jualan dan membawanya ke tapak jualan. Tekadnya, dia ingin melawan dominasi lelaki-lelaki si penjual yang sudah lama bertapak di pasar itu. Selain itu, dia sudah jemu berurusan dengan penjual di situ yang ada kalanya tidak menghormatinya sebagai pelanggan dan menawarkan hasil jualan yang bermutu rendah.

Semasa pelanggan sudah mula menunjukkan muka, dia berteriak sekuat suara yang pernah dimiliki agar dapat menawan hati pembeli. Seisi pasar terasa begitu asing, melihat perempuan itu begitu gigih menjual dan pelanggan mula membeli hasil jualannya. Mereka memuji-muji hasil jualan dan perempuan itu yang begitu gigih mahu memecahkan monopoli lelaki di pasar tani itu. Jarang sekali pelanggan bertemu dengan perempuan yang tabah, berani meneriak. Oleh itu mereka menasihatkan agar perempuan itu sentiasa berteguh hati.

Sesudah itu, perempuan itu sering sahaja membawa hasil jualan ke pasar tani. Mambawa apa yang pelanggan mahukan supaya hasil jualannya laris dan matlamatnya tercapai, memecahkan monopoli lelaki di pasar tani. Dia mulai tidak peduli apakah hasil jualannya bagus dan bermutu. Semua yang pelanggan mahukan dihamparkan dan dilambakkan di hadapannya.

Walaupun begitu, lelaki-lelaki penjual seperti tidak mempedulikannya malah tidak mengenalinya jika mereka berselisih di pasar tani. Perempuan itu berasa sungguh sedih. Hampir sepekan perempuan itu memikirkan bagaimana caranya untuk dikenali oleh lelaki-lelaki yang turut menjadi penjual di pasar itu? Kalau tidak dikenali bagaimana dia mahu berasa senang hati dan menguasai pasar tani itu kelak? Tidak guna hanya berada di hati pelanggan bukan di hati penjual lain, yang merupakan pesaingnya juga. Dia harus menggali ilmu mereka supaya hasil jualannya sentiasa laku dan namanya sentiasa disebut oleh pelanggan. Setelah dirisik khabar dan bersok sek dengan beberapa orang pelanggan, tahulah perempuan itu bahawa semua penjual akan bergiat aktif dalam koperasi pasar tani. Semua penjual akan berdaftar dengan koperasi dan di situlah mereka bertukar-tukar buah fikir bagaimana untuk meningkatkan mutu jualan mereka dan menjaga kebajikan masing-masing.

Setelah beberapa kali membuat lintas langsung dan lintas hormat, akhirnya berjaya jugalah perempuan itu mendaftar di bawah koperasi penjual pasar tani. Sukalah hati dan semakin rajinlah perempuan itu menghadiri mesyuarat biarpun hanya membincangkan di mana hendak diletakkan tong sampah di pasar tani ini. Sekecil-kecil mesyuarat sehingga sebesar-besar mesyuarat pun digagahi juga untuk datang bertandang. Perlahan-lahan perempuan itu mula diterima komuniti penjual pasar tani. Apatah lagi, perempuan itu bisa sahaja menawarkan untuk membuat kopi, membawa juadah makanan, membersihkan bilik koperasi yang mulai bersawang.

Walaupun di mesyuarat kadang-kala perempuan itu kurang setuju dengan usul yang diberi, dia akan anggukkan sahaja dan berkata ya. Jangan bantah dan tunjukkan diri melawan arus. Kalau tidak masakan komuniti ini mahu menerimanya. Begitulah dia, lama-lama perempuan itu semakin dikenali dan semakin dipercayai mengendalikan acara-acara anjuran pasar tani itu jika tidak berjualan.

Perempuan itu masih terus berjualan. Tetapi lama-lama perempuan itu hanya menjual kertas-kertas kosong yang tidak tercatat apa-apa. Sungguhpun hasil jualan makin bertambah banyak, besar dan berat tetapi semua itu hanya kertas-kertas kosong sahaja. Betapa perempuan itu telah lupa tujuan pertama di datang ke pasar tani itu. Lama-lama dia pun menjadi penjual yang menawarkan mutu jualan yang rendah seperti penjual-penjual yang pernah cuba dilawani dahulu.

2 thoughts on “Perempuan Penjual Di Pasar Tani”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s