Sejumlah Percakapan di Penghujung Tahun


Ini entri hujung tahun. Apakah perasaannya berada di penghujung sesuatu?

Saya pernah berada di Penghujung Tanah Benua Asia, Tanjung Piai. Ketika melihat laut yang terbentang luas dan kapal-kapal yang mengunjungi pulau Singapura, perasaan seolah melayang bebas. Bebas.

Di awal tahun 2011, saya telah menulis sejumlah resolusi di twitter tentang apakah yang saya mahu lakukan sepanjang tahun 2011. Ada 10 semuanya. Tetapi di penghujung tahun ini, hanya 1 sahaja yang tertunai iaitu, punya 10 karya yang disiarkan dalam pelbagai media.

I

Tahun ini rasanya melihat saya menulis sajak dalam jumlah yang cukup banyak. Cukup banyak untuk diri saya, bukannya untuk orang lain. Untuk seseorang yang mulanya mahu dikenali sebagai cerpenis, dan bukannya penyair kerana betapa tidak pandai menulis sajak, melihat jumlah sajak yang saya tulis, saya sendiri jadi kagum dengan keupayaan diri sendiri. Dari mana kekuatan ini hadir?

Lalu saya berazam untuk melaksanakan sebuah projek kecil-kecilan dan persendirian. Moga tahun depan projek ini akan menjadi.

II

Sudah berkali-kali saya melaksanakan beberapa draf novel. Teringin menyertai beberapa sayembara. Malah menjadikan ketiadaan Sucy Musalmah, sebagai alasan mengapa saya tidak menyudahkan novel-novel tersebut. Sehinggalah apabila pemenang HSKU 2010 kategori novel diumumkan, saya tersenyum sendiri kerana tema novel yang didraf telah ditulis oleh pemenang hadiah pertamanya.

Akhirnya, setahun yang berjalan ini telah membuka fikiran saya kepada banyak benda. Saya memutuskan begini sahaja. Saya tidak mahu menulis sebuah novel hanya kerana mahu memenangi hadiah sastera lalu menulis sesuatu yang bukan lahir daripada diri sendiri. Saya ingin menulis sebuah novel yang menumbuhkan perasaan kasih sayang dan berkongsi rasa dengan pembaca tentang apa yang saya fikir. Mungkin keghairahan yang ditanam oleh sejumlah penulis senior yang lain untuk memenangi sayembara membuatkan saya melupakan mengapa saya jatuh cinta pada dunia penulisan. Melupakan bagaimana tulisan seorang penulis yang saya sangat sayangi telah membentuk diri saya menjadi seorang perempuan yang sederhana.

Lalu saya ingin menjadi seperti penulis yang saya sayangi itu. Yang menuliskan sesuatu yang akan membuatkan orang boleh berkongsi pandangan hidup saya, mencintai kehidupan dan menemukan sisi lain dalam hidup mereka.

Saya berharap, keinginan yang ini akan menjelma pada tahun hadapan.

III

Saya telah menangguhkan pemergian ke negeri di ujung pandang selama beberapa tahun. Namun keinginan itu tidak pernah padam dan sentiasa tumbuh sehingga menjadi pohon yang merendang. Saya tidak pernah melupakan mahu ke sana. Apatah lagi, kekasih puisi saya menginap di sana. Saya ingin sekali ke kafe baca yang dinukilkan dalam twitternya, merasa coto Makassar dan terutamanya membalas segala budi baik kawan saya, Firdaus Amyar yang sentiasa berbuat baik kepada saya.

Tahun hadapan, saya berharap saya tidak lagi punya masalah untuk menjejakkan kaki ke negeri di ujung pandang terutamanya masalah kewangan. Berseorangan atau berkumpulan.

IV

Merentas jantung Semenanjung Malaysia menaiki keretapi. Selain hujan, saya sangat menyenangi keretapi dan bunyi roda keretapi melanggar landasan. Seperti bunyi alamiah. Tidak sedikit sajak yang terilham daripada keretapi dan bunyinya. Tidak sedikit peristiwa yang terjadi di terminal keretapi. Saya menunda perjalanan ke menaiki keretapi untuk ke Pulau Pinang beberapa kali kerana faktor masa dan kewangan. Paling jauh saya pergi pun Taiping. Itu kerana menghadiri pertunangan teman baik saya. Tetapi perjalanan menaiki keretapi waktu pagi sudah membuatkan fikiran saya melayang-layang apatah lagi kalau di waktu malam. Sungguh saya ingin sekali menjelmakan perasaan itu.

Tahun hadapan, saya berharap tiada apa-apa halangan, Pulau Pinang, saya akan datang mengenderai keretapi.

V

Saya tidak sangka akan mengusahakan sebuah majalah sastera, Majalah S.O.S. Majalah ini telah mengubah sedikit sebanyak perjalanan kisah saya tahun ini. Semasa mengusahakan majalah ini, semasa menjual dan mempromosikan, saya telah berkenalan dengan sejumlah orang yang dilihat begitu tertarik dengan idea kecil ini. Dengan S.O.S saya terpanggil untuk muncul di kaca T.V. Dengan S.O.S juga telah membuatkan saya melihat mereka-mereka yang bertopeng atau tidak.

Saya mengusahakan dengan sepenuh hati. Bukan mudah untuk meletakkan sebelah kaki di aliran semasa dan sebelah kaki di aliran bawah tanah. Masing-masing ada tembok ego dan antagonis. Harapan saya, tentu sahaja majalah ini boleh berjalan dengan lancar dipermudahkan. Kepada pembenci dan pengintip (seperti di laman facebook MPR & rakan). Ya buat sahajalah apa yang kamu mahu. Tapi satu sahaja, jangan kerana nyamuk, kelambu dibakar.

VI

Dahulu mungkin pandangan saya adalah saya sangat polos. Bertahun-tahun saya membawa rasa polos dan suci memandang perkara itu. tetapi tragedi yang terjadi tahun ini membuatkan rumah yang dibina dalam ruang memori saya runtuh dan berterusan menjadi puing tanpa saya sempat menyelamatkan apa-apa.

Dan menjadikan saya tidak percaya kepada perkara itu lagi. Anehnya kerana sedikit tragedi, bisa mengubah pandangan seseorang yang telah dibina secara bertahun-tahun.

Saya tahu, penyebab tragedi itu mungkin merasakan apa yang dia lakukan bukanlah apa-apa kepada saya, emosi dan pandangan hidup saya. Kerana selamanya dia bersikap tidak mahu mengambil tahu. Tetapi jelasnya selepas peristiwa itu saya telah bermetaformosis menjadi seseorang yang lain. Seseorang yang tidak mahu melihat cermin lagi supaya tidak terlihat lagi dirinya.

Untuk dia, terima kasih untuk rasa ini. Kelukaan telah melahirkan sisi lain dalam diri saya. Sisi seorang penyair, mungkin?

VII

Hampir ke semua teman terbaik saya telah dan akan menamatkan zaman bujangnya. Bermula tahun lepas, satu persatu saya melihat teman-teman terbaik saya berpindah ke alam yang lain. Teman ketika zaman maktab atas kayangan, teman ketika Asasi Sains, teman ketika varsiti tepi laut, teman kerja. Teman-teman yang ketika zaman kami sangat rapat pernah menyatakan bahawa saya yang akan berkahwin dahulu dan mereka hampir kesemuanya ingin berkahwin lewat. Tetapi di awal usia 23, ada yang sudah memilih untuk mengikat hati dengan pasangan masing-masing. Ketika hati mereka bolak balik sama ada mahu meneruskan atau tidak, saya orang yang dirujuk dan ditanya apakah keputusan yang mereka lakukan betul atau tidak. Sangat aneh, kerana saya adalah seseorang yang tidak berdaya menyelesaikan soal hati sendiri diminta memberi pandangan soal hati orang lain. Tetapi nyata nasihat saya memberi kesan bukan? J

Saya sangat menyenangi majlis perkahwinan apatah lagi kini majlis pertunangan dibikin dengan cukup meriah. Seolah-olah seluruh keindahan telah ditumpahkan ke dalam majlis perkahwinan. Saya gemar melihat baju pengantin, pelamin, hadiah tetamu, senyuman tetamu, lagu-lagu kahwin, makanan yang enak dan wajah bahagia. Perkara yang saya suka adalah melihat wajah teman saya disamping suaminya saat diijabkabulkan. Saya sungguh berasa terharu kerana melihat kegembiraan yang lahir dalam mereka. Jika saya punya rakaman video, saya mahu mengulang tayang momen itu beberapa kali.

Teman-teman terbaik saya yang telah dan bakal melangsungkan perkahwinan atau pertunangan, saya sentiasa mendoakan yang baik-baik sahaja dan moga pilihan yang dibuat sentiasa menjadi yang paling terbaik dalam hidup. Dan percayalah, bahawa kata-kata kamu semua yang menyatakan saya akan berkahwin dahulu merupakan doa kembali supaya kamu semua menemui si dia yang tepat untuk kamu lebih awal daripada saya.

Saya? Mungkin mengambil masa bertahun-tahun lagi kerana lelaki itu telah kehilangan GPSnya untuk ke hati saya dan mengetuknya. Atau sebenarnya tiada lelaki yang menemui GPS kerana GPS itu tidak pernah ada untuk saya?

VIII

Saya telah kehilangan banyak perkara tahun ini. Tetapi kehilangan telah melahirkan sejumlah pertemuan-pertemuan yang tidak disangka. Siapa sangka, seseorang yang akrab dengan kita telah memilih untuk berpaling dan menjadikan kita seolah-olah halimunan. Seolah-olah bab yang telah dihapuskan dari sebuah buku. Betapa menyebalkan rasa itu. tetapi cukuplah saya menjaga hati semua orang selama ini sehingga pasa satu ketika, saya hanya meminta sedikit waktu hati saya dijaga, nyata semuanya berpaling dari saya. Begitu ironi apa yang saya lihat.

Tidak mengapa, kerana saya terlahir untuk membahagiakan hati semua orang. Kerana tiada sesiapa yang mahu menyisihkan masanya untuk membahagiakan orang lain. Ramai yang sibuk mencari orang untuk membahagiakan mereka. Jadi biarlah saya menjadi orang itu. Si penyelamat cinta.

Saya memulakan tahun baru 2011 dengan tangisan di tepi kolam renang sebuah resort di Pulau Pangkor semasa Festival Puisi Antarabangsa. Bersendirian walaupun terdapat ramai orang di situ meraikan percik bunga api dan sorak sorai. Dan tiada siapa yang tahu saya menangis. Rupanya, tangisan itu permulaan kepada tragedi-tragedi yang mengubah pandangan saya selama ini. Seolah-olah saya diberikan kaca mata untuk melihat apa yang terjadi tahun-tahun kebelakangan ini. Dan jumlah air mata yang tertumpah untuk tahun ini jika dihitung dan disukat sama banyaknya dengan jumlah air mata sepuluh tahun sebelum itu. Betapa jarangnya saya menangis dan betapa kerapnya saya menangis tahun ini. Saya berharap ketika awal tahun 2012 ini, saya memandang langit dengan senyuman.

..

Ini hanyalah sejumlah percakapan di hujung tahun. Semoga di penghujung tahun 2012, saya dapat melihat kembali diri saya di awal tahun.

Advertisements

Daun Mapel Musim Luruh


I

Saya sangat mencintai musim luruh. Biarpun saya tidak pernah melihat musim luruh sendiri (tentulah kerana tidak berpeluang lagi ke luar negara) tetapi sewaktu melawat sebuah kafe kesayangan yang membawa konsep 4 musim, tata rias musim luruh itu sungguh mempesonakan. Apatah lagi minum secangkir teh pada waktu petang musim luruh seolah-olah seluruh warna musim luruh terperangkap di dalam cawan itu.

Malah, saya pernah menuliskan sebuah sajak berjudul Musim Luruh. Petikan sajak itu seperti di bawah

Di tanah kelahiranku, aku mengenal

dua musim sahaj: kemarau dan hujan

Aku selalu mencintai musim kemarau

Sedalam aku mencintai musim hujan

 

II

Pagi tadi pejabat saya black out sebentar. Waktu itu kakak dari jabatan Admin datang ke meja saya dan berkata ada bungkusan untuk saya. Saya fikir itu bahan untuk komik yang saya sedang kendalikan. Mungkin karya pembaca. Tapi saya hairan melihat setem yang tertampal rapi itu seperti Ratu England. Sejak bila pula Malaysia guna setem Ratu England. Edisi sempena sukan Olimpik ke?


Oh tidak sangka! Bungkusan itu benar-benar untuk saya! Dan betapa mengejutkan bungkusan itu dari PortMouth, Hampshire, UK.

Tada. Wah sebuah buku. Ahem! Uji minda ya.


Apabila saya membukanya, saya sungguh terharu kerana ada empat keping daun mapel semasa musim luruh yang diselitkan antara buku itu semasa saya membukanya. Wah! Wah! Mujur sahaja pengirimnya perempuan, kalau lelaki pasti saya sudah jatuh hati kerana saya rasa hadiah yang diberikan itu sungguh-sungguh romantis. Oh begitu rupanya daun mapel seperti dalam cerita Mohabbatein itu. Semasa saya menangkap gambar ini, sempat menyanyi lagu Mohabbatein tersebut. Hum To Ha Mi Ko Coparo… Hehehe…


Rupanya, Qarinah Muizzah, benar-benar mengotakan janjinya. Mula-mula berhasrat untuk bertemu dengannya semasa dia kembali sebentar di Malaysia tetapi tidak berjaya juga. Sudah merancang bertemu sebelum dia terbang kembali tetapi kerana jadual penerbangannya kembali ke Portmouth bertembung dengan jadual kerja saya, maka tidak sempat bertemu mata. Tidak sangka dia akan mengirimkan hadiah bersama daun mapel itu yang saya minta dengan nada suka-suka semasa kami berbual lewat emel.

Seinfiniti terima kasih Qarinah Muizzah yang tidak pernah bertemu secara empat mata dan hanya bertukar rasa dan pendapat melalui emel dan blog sahaja, saya rasa sangat-sangat terharu. Apatah lagi mendapat kiriman daripada tanah ratu. Saya anggap hadiah daun mapel itu merupakan hadiah ulang tahun kelahiran saya pada bulan Mac nanti ya. Bila melihat daun mapel ini, terilham pula menulis sebuah sajak. Daun Mapel Musim Luruh? Nanti sudah siap saya emelkan pada awak ya. Sebelum itu, nikmatilah di antara draf awalnya berbunyi sebegini. Baca ya Qarinah Muizzah (Nada seperti menjual pantun ketika pesta pantun sekolah. Kikiki)

Selamanya kupercaya daun mapel

menangkap warna senja menjadi

warna kenang-kenangan pada tubuhnya.

 

Rasanya sekarang tengah musim dingin? Bolehlah kirimkan salji pula. Hehehehe…

Lepas ini mahu ke kedai gambar dan beli bingkai. Hendak abadikan hadiah yang paling manis ini.

 

P/S: menghampiri penghujung Disember. Saya sentiasa dikejutkan dengan berita-berita yang membahagiakan. Terima kasih Disember yang berbuat baik kepada saya. Terima kasih.

Memo Untuk A V


Kau tahu, ada puluhan lagu yang aku tidak boleh dengar kembali kerana dalam setiap lagu itu telah aku simpan perasaan tersendiri apabila aku mendengarnya.

Dan apabila aku mendengarnya, perasaan itu akan kembali mengakar dalam diriku. Aku tiba-tiba sahaja menjelma menjadi pohon yang merindukan kehadiran hujan di musim kemarau.

Apabila aku melihat kembali lagu-lagu kegemaranku yang boleh aku dengar, terlalu sedikit sekali sehingga hampir tiada. Begitukah erat aku mengikat perasaan? Lalu bagaimana aku boleh semudah itu mengambil kata orang agar belajar melupakan?

Takah Lima Puluh & Antologi Karya Sasterawan 2011


I

Ada dua buah sajak dimuatkan dalam buku Takah Lima Puluh yang dibangunkan sempena ulang tahun ke-50 penubuhan PENA (Persatuan Penulis Nasional). Saya menghantar dua buah sajak dan terkemudian hari selepas menerima buku ini barulah saya menyedari bahawa judul sajak saya antara yang paling panjang sekali. Dua buah sajak itu

  • Penyair Yang Membuatkan Aku Jatuh Cinta Pada Puisi
  • Kata-kata Yang Tidak Pernah Bermimpi Menjadi Puisi

Panjang bukan? Rasanya ketika kedua-dua sajak ini ditulis, saya gemar sekali memberi judul yang panjang dan menulis sajak tentang sajak. Sajak ‘Penyair Yang Membuatkan Aku Jatuh Cinta Pada Puisi’, saya tujukan kepada kedua-dua kekasih puisi saya yang mengajar saya menulis puisi dan menyedari sisi hidup saya yang lain lewat puisi-puisi mereka iaitu Sapardi Djoko Samono & Aan Mansyur. Apakah saya terlalu berlebihan menyukai mereka dan apakah tidak ada penyair dari Malaysia yang membuatkan saya jatuh cinta? Saya fikir tidak. Apabila kita mencintai sastera, mengajar kita mencintai semua kalimat indah tanpa perlu memikirkan sempadan negara.

II


Dalam buku Antologi Karya Sasterawan 2011 yang menghimpunkan sejumlah karya penulis muda yang dinilai melalui 5 kriteria utama. Saya tidak pasti saya tergolong dalam kriteria yang mana kerana saya tetap bukan sesiapa dalam sastera Malaysia. Kalau ada pemetaan sastera Malaysia, nama saya tidak langsung menjelma, itu fikir saya. Lalu apabila dipilih bergandingan dengan sejumlah nama-nama mahsyur, saya jadi rasa kerdil dan kecil.

Semasa pemilihan karya, saya diminta menghantar 5 buah sajak yang saya fikir terbaik pernah disiarkan dalam media cetak. Saya kecewa kerana awalnya saya ingin masuk ke dalam peta sastera Malaysia sebagai seorang cerpenis yang manis. Ahem! Tetapi nyata kerana produksi sajak saya lebih terlihat berbanding cerpen (nyata, daya penceritaan saya belum cukup kuat untuk menulis cerpen. Hehe…)

Ya, saya menghantar sejumlah sajak dan apa yang menghairankan, mereka memilih sajak terawal saya iaitu Baju Kurung Merah Darah yang disiarkan dalam Berita Minggu, 31 Januari 2009 dan sajak Kaca Jendela Tren yang disiarkan dalam majalah PENTAS Mei-Julai 2011. Seolah-olah saya melihat kembali masa yang merentas dua tahun saya aktif menulis sajak. Sungguh ironi.

….


Melewati Bangunan Kedai


Saya selalu melewati bangunan kedai. Dan ini kegemaran saya yang entah bila tumbuh dalam diri.

Selalunya melewati bangunan kedai selepas habis waktu bekerja. Saya akan memandu dan memandang bangunan kedai mungkin hanya mahu mencari sebuah kedai di situ. Selepas itu, entah apa, saya akan berjalan melewati satu pintu rumah kedai ke satu pintu rumah kedai. Menjenguk setiap jenis kedai dan produk yang ditawarkan. Sesekali mencuri masuk untuk melihat-lihat sahaja bukanlah berniat membeli apa-apa.

Untuk apa saya melewati setiap bangunan kedai itu, dan tidak membeli apa-apa? Kerana untuk bertemu sejumlah keindahan dan rahsia yang tidak pernah dijangka. Kadang kala saya akan jumpa kedai buku terpakai, atau kafe kecil yang menawarkan kek yang sedap, peralatan perabot yang murah dan benda-benda yang tidak dapat dibeli di pasar raya yang menawarkan produk setara.

Kadang-kala saya jadi sangat kagum dengan keramahan dan kegigihan pemilik kedai yang terpaksa bersaing dengan pasar raya besar terutamanya jika pasar raya itu berdekatan dengan kedai. Mereka akan melayan kita seperti kita ini putera puteri dari keraton. Sesiapa yang suka menjalinkan hubungan lebih daripada seorang pembeli dan penjual, di kedai-kedai kecil inilah, kamu akan menemuinya. Mereka akan pantas sekali mengenal kita dan menjadi akrab serta terlebih ramah. Kita bukan sahaja menjadi pelanggannya tetapi juga boleh bertukar menjadi sahabat juga.

Melewati bangunan kedai selepas waktu kerja dapat menghilangkan ketegangan dan bebanan kerja. Fikiran saya menjadi sangat ringan dan melayang. Melewati kesunyian, tanpa manusia hanya bunyi seretan kakinya di laman rumah kedai serta cuba membaca wajah jurujual membuatkan kemanusiaan saya tidak hilang. Tidak pernah sekali pun saya pulang dari melewati bangunan kedai dengan fikiran yang berat dan mendukakan.

Kadang-kadang kesunyian dan keheningan menawarkan sejumlah penyakit yang tidak dapat diubati dengan hingar manusia.

Disember, Selamat Datang Musim Kekasih Saya


Kepada Disember…

Selamat datang Disember, musim kekasih saya. Selepas November tidak berbuat baik kepada saya, saya berharap kamu akan sentiasa bermanis muka dan bermuluk-muluk dengan saya. Terlalu banyak kedukaan dan kemurungan yang melanda bulan lalu, apakah hanya duka yang layak menghiasi bulan Novemberku? Kau tidak sebegitu kejam bukan.

++++++


Satu perkara yang saya suka menggunakan wordpress berbanding blog lain adalah apabila kedatangan bulan Disember, secara automatik, salji akan turun di blog saya. Salji itu kalau dilihat seperti hujan dan sangat kena dengan nama blog ini, Nyanyian Hujan.

Kepada pembaca saya yang sangat setia (jika ada), mahukah saya menceritakan sesuatu yang mungkin saya pernah tulis di sini tetapi entah mengapa saya seringnya akan berulang kali mengenangkannya. Kenangan, kalau tidak diingati, mengapa mesti simpan di dalam kotak fikiran?

Blog ini adalah blog pelarian. Dan anehnya saya melarikan diri di sini sekitar Disember empat tahun lepas. Terima kasih kepada kelukaan yang membuatkan saya mempunyai teman sesetia, Nyanyian Hujan dan saya menemui pembaca-pembaca di sini yang berkongsi begitu banyak rasa dan kata. Melalui blog ini juga, saya mengenali sedemikian ramai orang yang kemudiannya ada yang menjadi antara teman terbaik di luar blog.

Dan terima kasih teramat, kerana masih membaca blog ini, masih meninggalkan komentar. Mungkin di dalam blog ini tiada pernah ada suara-suara intelek yang boleh diambil baca, mungkin di dalam blog ini hanyalah himpunan kata-kata sederhana yang penuh dengan melankolia. Hanya itu.

Marilah kita sama-sama berharap, Disember, musim kekasih saya, hujan akan sentiasa berbuat baik kepada kita semua.

Notakaki: Saya sangat suka membuka blog sendiri dalam bulan Disember, bukan untuk membaca tulisan sendiri tetapi untuk menikmati salji yang turun di sini. Indah kan?