Sejumlah Percakapan Tentang Sesuatu Yang Mereka Tidak Pernah Boleh Mengerti


I

Mereka datang dan bertanya kepada saya:

Mengapa?

Saya tidak mahu memberi jawapan kerana tidak pernah ada jawapan yang akan memuaskan hati semua orang. Lagipun mereka datang kepada saya bukannya untuk mendapatkan jawapan sebaliknya mahu menjatuhkan hukuman.

II

Secara ‘halus’ mereka cuba memujuk saya, katanya. Saya tertawa sahaja. Maaf, saya adalah anak patung yang telah rosak kerana tangan-tangan mereka. Mereka tidak pernah boleh membaikinya lagi. Tidak sama sekali.

III

Mengapa saya sukakan komik Penyiasat Remaja dan mengulang baca tanpa jemu? Saya ada jawapannya tetapi biarlah saya simpan sahaja. Tetapi di dalam satu siri Detektif Q, saya sentiasa mengingati kata-kata Detektif Dan kepada Q semasa dia mendapati Ryu merupakan putera dalam Sindiket Pluto yang diketuai oleh Raja Hades, musuhnya. (Oh, kepada mereka yang tidak pernah baca komik Penyiasat Remaja, Detektif Q mesti tidak boleh tangkap cerita ini. Ki ki ki)

Detektif Dan : Q, saya harap kamu akan mempercayainya sampai sangat akhir

Q: Tentulah

Detektif Dan: Kamu mesti mempercayainya walaupun apa apapun terjadi. Kalau ada orang yang mempercayai Raja Hades sampai saat akhir, dia tidak akan terjebak dalam Sindiket Pluto.

Kerana itulah, jawapan kepada apa yang saya lakukan sekarang. Saya sedang memberi percaya supaya tidak ada orang yang semakin jatuh ke dalam lubang hitam itu. Jika tiada siapa yang mahu percaya, kamu rasa apa yang akan terjadi kepada orang itu?

Cukuplah dahulu, sekali saya membiarkan kawan saya pernah jatuh dan saya hanya melihatnya tanpa mahu melakukan apa-apa untuk menyelamatkannya. Bukan kerana tidak mahu melakukan apa-apa tetapi saya mengambil sikap berkecuali. Tidak sangka suatu hari kawan itu datang kepada saya dan kami mengimbau tentang peristiwa yang terjadi, setelah dia mendengar dari sisi saya, dia memandang tepat ke mata saya dan berkata, kenapa tidak pernah mahu menyelamatkan saya? Saya diam dan tidak tahu mahu berbuat apa. Saya tidak mahu melihat perkara yang sama berulang kali. Walaupun kepada orang yang berbeza. Tidak sama sekali.

IV

Saya jadi hairan kepada mereka yang mengaku mereka sangat bijaksana dan menggolongkan diri mereka orang-orang yang berjiwa ‘halus’. Tapi sayangnya mereka langsung tiada nilai penghargaan kepada sikap kemanusiaan. Sikap mereka kadang-kadang lebih menjelakkan daripada golongan yang kurang bijaksana dan tidak berjiwa halus. Sungguh menghairankan kerana mereka telah membaca sejumlah buku tentang kebijaksanaan dan kemanusian. Malahan mereka menulis tentangnya. Tetapi mereka tidak dapat membentuk perkara itu di dalam jiwa mereka.

Mungkin itulah bezanya antara membaca dengan jiwa atau membaca dengan mata.

V

Mereka memilih untuk menjadi hakim. Ya, terpulang. Tetapi siapa mereka untuk menghakimi manusia? Kerana mereka juga manusia juga bukan?

VI

Profesional. Mereka golongan professional yang maha bijaksana dan sudah keluar dari zaman kejahilan setelah memperolah pencerahan. Tetapi semakin menjadi bijaksana tidak menjadikan mereka semakin kerdil tetapi rupanya semakin angkuh. Sedangkan semakin tahu menjadikan seseorang semakin tidak tahu.

Kita biarkan sahaja si luncai terjun dengan labu-labunya… Biarkan… Biarkan… Biarkan…

Nasihat Daripada Penyelamat Cinta Yang Tidak Pernah Dapat Menyelamatkan Cintanya


Walaupun dalam entri ini dan ini, saya ada mengisahkan bahawa saya penyelamat cinta tetapi semenjak akhir-akhir ini saya jadi semakin khuatir dan takut untuk memberi nasihat kepada pasangan yang sedang dilanda masalah cinta atau sedang mencari cinta.

Mungkin soal hati sendiri yang tidak pernah ada penyelesaian atau saya khuatir kesan nasihat itu atau saya sendiri sudah tidak percaya pada sebuah perhubungan.

Soalnya kepada mereka yang datang ke dakapan saya menceritakan masalah hati mereka, meminta pandangan daripada saya yang menurut mereka sangat matang dalam soal cinta (oh, sayang… kamu tidak tahu betapa saya tidak pernah berjaya dalam satu hubungan mudah sekali pun), apakah yang mereka mahukan daripada kata-kata saya? Sebuah penyembuhan, sebuah sokongan, sebuah kata-kata yang melegakan atau sebuah jalan penyelesaian?

Selalu sahaja saya katakan di awal nasihat saya:

Ini adalah pandangan saya. Semuanya terserah pada awak. Yang merasa gembira adalah awak, yang merasa derita adalah awak juga. Bukannya yang orang lain. Buatlah sesuatu yang awak mahu buat, bukan yang orang lain mahukan.

Tentu sahaja ini bukan nasihat berpandukan cerita Hindustan yang menurut hati dan perasaan secara melulu atau drama korea yang penuh kisah pari-pari dan air mata. Tetapi ini nasihat berdasarkan pemerhatian dan rantaian kutipan kisah pengalaman orang-orang yang terdahulu. Menurut kata hati bukan bererti mati. Menurut kata hati yang benar-benar ingin dilakukan dari hati. Sebab baik dan buruk kesan daripada perbuatan kita tentunya berbalik kepada kita juga akhirnya bukan berbalik kepada orang yang memberi nasihat atau orang yang mengatakan do and don’t dalam hubungan.

Sebuah perhubungan bukanlah sebuah mahkamah perhakiman untuk menentukan siapa yang betul dan siapa yang salah. Dalam hubungan soal siapa yang benar dan siapa yang salah tidak pernah akan menyelesaikan apa-apa. Persoalan yang lebih mendasar lagi, bagaimana untuk menyelesaikan masalah dan meneruskan hubungan selepas itu.

Orang-orang di sekeliling kita sentiasa sahaja mahu menjadi hakim yang menjatuhkan hukuman kepada apa-apa yang terjadi dalam hubungan itu. Mereka akan menganalisis lebih daripada seorang pakar analisis mengkaji pasaran saham tetapi berapa ramai yang benar-benar mengerti situasi sebenar? Dalam sebuah hubungan, sentiasa sahaja ada punca dan faktor-faktor luar dan dalam yang menyumbang terjadinya sesuatu krisis. Sebuah nasihat yang hendak diberi seharusnya meneliti semua faktor luaran dan dalaman bukannya memberi kesimpulan berdasarkan hanya pemerhatian secara kasar sahaja. Namun, apakah semua orang tahun apakah yang benar-benar terjadi secara keseluruhannya? Dan siapakah yang tahu? Siapa tahu nasihat yang kita anggap terbaik itulah yang merosakkan sesebuah hubungan itu.

Oleh kerana itu, apa-apa pun haruslah kembali kepada diri sendiri. Pilihlah jalan yang akan buat diri sendiri bahagia dan bukannya orang lain yang melihat merasa bahagia.

Yang merasa derita itu adalah kamu dan yang merasa bahagia adalah kamu juga bukannya orang lain. Janganlah menjual kebahagiaan semata-mata untuk mencari sebuah hubungan yang sempurna. Sebuah hubungan tidak pernah sempurna kerana ketidaksempurnaan membuatkan sesebuah hubungan itu sentiasa hidup dan selalu sahaja membuat kita mahu membuat yang terbaik kepada diri sendiri dan pasangan kita.

Kepada kawan-kawan saya yang sedang mengejar bahagia, selamat berjaya dan berbahagia. Ameen…

Syarahan tentang sajak yang mengharukan: Wislawa Szymborska



Saya tertarik untuk membaca sajak-sajak Wislawa Szymborska selepas membaca tulisan Amir Muhammad dalam Yasmin Ahmad’s Film (terima kasih untuk Fadli Al-Akiti kerana memberi buku ini) yang menyatakan bahawa filem Mukhsin dan Rabun itu terinspirasi daripada sajak Wislawa. Walaupun, saya pernah mendengar namanya semasa menonton filem Turn Right Turn Left (Ini saya ucapkan terima kasih kepada Sarah) tetapi masih tidak tergerak untuk membacanya. Dalam filem ini wataknya membaca sajak Love At First Sight. Walaupun buku Wislawa Szymborska – Poems New and Collected sudah lama berdebu dalam rak saya, namun masih belum juga membacanya. Haha. Betapa teruknya saya. Sehingga bertemu tulisan yang mengharukan dalam buku Yasmin Ahmad’s Film


Membaca syarahan Wislawa Szymborska dengan permulaan sederhana yang mengatakan, ketidaksempurnaan lebih mudah dimaafkan jika dilakukan dalam jumlah yang sedikit. Wislawa penyair dari Poland yang memenangi Hadiah Nobel pada tahun 1996 mengatakan tidak ramai orang yang mahu menyebut dirinya penyajak jika dia penulis sajak. Mereka lebih gemar menamakan diri mereka penulis. Seolah-olah segan dengan pekerjaan yang mereka pilih itu. Ini terbukti betul. Di Malaysia, jarang sekali saya mendengar orang menggelarkan diri mereka penyair/penyajak. Mereka senang membahasakan diri mereka penulis sahaja, berlainan dengan penulis novel atau cerpen yang senang sekali membahasakan diri mereka novelis atau cerpenis. Walhal menulis sajak itu bukannya sesuatu yang mudah walaupun kelihatan paling irit dan sedikit berbanding novel dan cerpen.

Wislawa menyatakan bagaimana kekuataan inspirasi daripada kata ‘saya tidak tahu’ yang melorongkannya pelbagai sumber inspirasi untuk menulis. Pertanyaan ‘saya tidak tahu’ membuatkan pencarian untuk menulis dengan lebih baik lagi. Sesiapa yang sudah berhenti mengatakan saya tidak tahu akan menghentikan juga pencarian terhadap tulisan-tulisan yang bagus untuk lahir dari dirinya. Kata-kata ini seperti benar-benar menjemput saya untuk bertanya kepada diri. Untuk apakah saya menulis sajak dan mengapakah saya gigih menulis sajak? Saya sering menulis sajak untuk melahirkan kegelisahan yang kadang kala melintas lalu dalam diri saya. Saya sentiasa merasakan sajak-sajak saya belum cukup bagus. Itu tidak bermakna saya malu dengan sajak sendiri, saya sangat mencintai sajak-sajak saya seperti anak-anak kecil yang tidak tahu berjalan lagi. Saya ingin sekali mengasuh dan berterusan mengasuh sajak-sajak saya supaya dia terlahir menjadi orang dewasa yang gagah.

Tapi kadang kala saya jadi hairan dengan mereka yang menulis sekian jumlah sajak sudah menggelar-gelar diri mereka. Bagi saya keangkuhan tidak melahirkan apa-apa kecuali hal-hal yang palsu. Tulisan yang bagus tidak harus diangkat oleh diri sendiri. Kalau tulisannya bagus, maka orang akan menyedari dan dibelakang tulisan itu akan tercipta pengikutnya sendiri. Dalam syarahannya juga Wistawa menyebut, dekad ini banyak sajak yang hadir untuk tontonan umum berniat untuk mengejutkan dengan dandanan yang ekstravaganza dan berlebihan serta perlakuan yang aneh-aneh. Ya memang orang akan mengambil tahu tetapi sampai satu masa, apabila apa yang dinilai adalah kehalusan di dalam sajak itu. Dan waktu itu semua kepura-puraan akan hilang juga.

Ada beberapa orang telah datang kepada saya untuk belajar menulis sajak. Saya kata saya tidak tahu mengajar dan apa yang lebih tepat lagi menulis sajak tidak boleh diajar. Kita tidak boleh mengatakan kepada orang apa yang boleh dibuat dalam sajak, apa yang tidak boleh dibuat dalam sajak. Saya tidak mahu melahirkan buku manual kepada mereka yang rajin bertanya kepada saya. Saya sendiri mahu mereka melahirkan rasa saya tidak tahu dan menulis sajak yang lahir dari kegelisahan-kegelisahan yang mereka lihat dari kaca mata mereka. Penyajak adalah orang yang sentiasa gelisah dengan persekitaran. Kegelisahan itu boleh lahir dalam bentuk apa apa pun. Lahir dari bentuk sajak mahupun sajak yang berbentuk anti-puisi.

Saya hanya boleh membawa mereka melihat sajak dari jendela yang berbeza dan terserahlah mereka bagaimana untuk memasuki rumah sajak itu. Penyajak yang dibentuk oleh segala buku manual hanya akan melahirkan penyajak yang biasa-biasa dan bukannya luar biasa. Mereka hanya menurut aliran bukan untuk mengubahnya. Jika ingin mengubahnya, mereka sekadar melacurkannya sahaja dengan nilai yang rendah. Akhirnya yang lahir hanyalah yang itu-itu juga. Seharusnya seorang yang ingin menjadi penyajak harus belajar membaca bahasa sajak (bukan mendeklamasikannya) dan kemudian tenggelam di dalamnya untuk mencari suara pengarangnya sendiri.

Saya perturunkan perenggan terakhir dalam syarahan Wislawa Szymborska untuk sama-sama kita fikir.

Granted, in daily speech, where we don’t stop to consider every word, we all use phrases such as the ordinary worls, ordinary life, the ordinary course of event. But in the language of poetry, where every word is weighed, nothing is usual or normal. Not a single day and not a single night after. And above all, not a single existence, not anyone’s existence in this world.

It looks as though poets will always have their work cut out for them

Tokoh-tokoh


Jika saya membaca sesuatu karya, saya selalu sahaja mahu mengetahui siapakah tokoh yang mencetuskan penulis untuk menulis karya itu. Mengenali tokoh seolah-olah membuatkan saya dapat mengenali subjek dalam karya itu.

Kadang-kala kita selalu rasa terkesan jika tokoh di belakangnya adalah seseorang yang dicintai, seseorang yang dihormati. Kita sering sahaja terpesona dengan keindahan dan keromantisan cinta dan kasih sayang. Ya, siapa yang dapat menafikannya.

Apatah lagi, jika kita punya kenalan rapat yang juga seorang penulis dan punya kesempatan menulis karya yang ditujukan kepada kita. Seolah-olah telah diberikan hadiah yang paling terbaik antara hadiah terbaik seluruh dunia. Tetapi akan kecewakah kita apabila mengetahui bahawa tokoh di belakang karya itu mungkin bukan kita, mungkin orang lain?

Saya pernah bertanya kepada salah seorang penulis mengenai sebuah sajak yang saya dengar ditulis untuk isterinya. Saya bertanyakan kepastiannya. Saya sangat sukakan sajak itu. Tetapi balasan yang saya terima sungguh mengejutkan, “Isteri yang mana?” dengan muka yang sedikit sinikal. Semakin lama bergaul dengan penulis, saya mengenal dan belajar bahasa tubuh dan kesinikalan kata. Kalau sesiapa yang tidak faham, memang susah mahu faham humor yang sedang dikatakan.

Lalu saya putuskan begini sahaja, kalau kita berharap mengenali tokoh-tokoh tertentu yang menginspirasikan karya yang sedang kita baca, memang akan menemui kekecewaan. Biarkahlah saja, tokoh-tokoh di belakang karya kekal bersembunyi di balik tabir. Jika suatu hari, kita tertahu, sila ambil pisau tikam sahaja tokoh tersebut supaya kita tidak lagi tahu siapa dia.

Sebab bila kita kecewa dengan kebenaran, kita akan menolak karya dengan sebab yang tidak rasional.

Kekasih Puisi yang Berulang Tahun di Bulan Januari


Untuk kekasih puisi yang jauh di ujung pandang, saya tidak tahu apakah hadiah terbaik semasa ulang tahun kelahirannya pada 14 Januari selain puisi yang saya tulis dengan sepenuh hati. Semoga dia sentiasa menulis sajak-sajak yang memberi inspirasi kepada orang-orang yang membacanya.

Kekasih Puisi yang Berulang Tahun di Bulan Januari

(catatan kepada Aan Mansyur)

 

Pada satu hujan, kekasih puisi terbangun daripada kasur tidurnya

terganggu oleh jendela yang berkibar-kibar kasmaran, entah mengapa

terlihat awan menggebu jingga dan hujan menari-nari di kaca jendela  

 

Benda-benda dalam kamarnya yang sentiasa beku mendingin

mendadak menjadi hangat dan mesra menyambut kantuknya

Kaca mata lebih jernih daripada kebiasaan yang kabur

Buku-buku gigih membuka lembar-lembar kesukaannya

 
 

Dia merasa aneh; mengapa semuanya seolah-olah manis dan hangat?

 
 

Di atas meja bersebelahan jendela: sepasang cawan dan kopi yang diseduhkan

adalah hadiah ulang tahun pada senja untuk dia yang jauh di ujung pandang

 

Ainunl Muaiyanah Sulaiman

14 Januari 2011

 

*Kredit gambar Jamie Baldridge – A Different Engine Contemplates as Ontological Certainty

(Setelah hampir setahun puisi ini ditulis, akhirnya saya berani meletakkan di dalam blog ini. Selamat ulang tahun kekasih puisi saya, Aan Mansyur)

Surat Kepada Mantan Kekasih Ketika Ulang Tahun Perpisahan


Setahun yang lalu, tulisan Surat Kepada Mantan Kekasih Ketika Ulang Tahun Perpisahan terpilih dalam buku Antologi Surat Cinta Kita. Rasanya buku itu sudah tidak ada lagi.

Kerana buku itu juga, saya mengetahui satu kebenaran terhadap apa yang saya percaya bertahun-tahun lamanya. Kebenaran itu meruntuhkan satu-satunya tembok yang menghalang saya dari jatuh ke jurang dalam.

Kini, saya telah terjatuh, dalam dan melayang. Seperti dalam Inception, mungkin saya dalam lapisan minda yang keempat.

Untuk meraikan sesuatu yang hilang pada hari ini, saya dengan senang hati berkongsi tulisan Surat Kepada Mantan Kekasih Ketika Ulang Tahun Perpisahan seperti yang tercetak dalam Antologi Surat Cinta Kita terbitan Binfilem.

Mantan kekasih,

Semalam aku datang ke perkuburan cinta kita. Berbaju kurung polos kapas berintik bunga ungu kecil-kecil. Warna kegemaran aku serta sesekali pernah kau bisikkan satu ketika dahulu, warna cinta kita.

Aku lihat, pohon kemboja yang aku tanam setahun dahulu sedang menguntum harum dan rebas hujan yang menitis halus-halus dari dada langit.

Ah, hujan. Mengapa merebas saat ini. Hujan yang sering kita cintai bersama. Hujan yang membuatkan kita sentiasa jatuh cinta antara satu sama lain. Hujan yang seringkali membuatkan kita saling merindu semasa berjauhan. Hujan yang juga turun ketika kau memilih untuk pergi menguburkan cinta di sini.

Versi penuhnya, boleh di baca di sini.

Mimpi Dari Sebuah Lukisan Ilusi


I

Saya suka ke galeri melihat lukisan. Saya ingat semasa zaman sekolah menengah, saya selalu membayangkan watak-watak lelaki yang hidup dalam cerpen saya adalah seseorang yang pandai melukis. Saya pernah tuliskan dalam entri ini tentang ini. Sehingga kini saya sangat mengagumi mereka yang pintar melukis dan selalu berharap saya pandai melukis dan bermain gitar. Tetapi saya tidak dapat satu pun kemahiran itu. Mungkin saya hanya bisa melukis dengan kata-kata. Sedihnya.

II

Saya dan sidang redaksi S.O.S telah dijemput untuk membuat sedikit persembahan semasa peluncuran ketika soft launcing Young Art Exhibition di R.A Fine Arts Gallery, Publika. Program itu dinamakan Kata Suara. Saya telah menjemput beberapa orang sidang editor dan penulis. Kerana waktu itu di minggu cuti yang panjang, akhirnya saya tampil membacakan sebuah sajak iaitu Kotak Pos (kebetulan sajak terbaru saya) serta menyanyikan lagu Kaca Jendela Tren. Terima kasih saudara Airmas kerana membuatkan minus one itu untuk saya. Saya berharap saudara Airmas sendiri akan datang untuk mendendangkan lagu itu kerana saya teringin benar melihat lagu itu dinyanyikan secara live di hadapan saya. Tetapi sayang sekali, saudara Airmas tinggal di Perak. Entah bila harapan itu tertunai.

Oh, jangan minta saya nyanyikan lagu Kaca Jendela Tren lagi sebab suara saya memang tidak sedap pun. Hehe… Kalau sing along dalam kereta bolehlah.

III

Semasa melawat galeri dan pameran itu, saya sangat suka sebuah lukisan ini. Malangnya saya tidak mengambil gambar lukisan secara solo melainkan ada muka saya di sebelah lukisan itu. Hehe. Jadi lukisan itu tidak dapat ditunjukkan di sini.

(notatengah: Saya telah kembali ke galeri itu dan menangkap lukisan itu)

Saya pulang membawa sejumlah rasa yang aneh terhadap lukisan itu. Seperti lukisan itu sedang berbisik di sebelah saya dan bertanya,”Bukankah aku sedang menceritakan kisah dirimu?”

Lalu saya terilham menuliskan sebuah sajak untuk lukisan itu. Nama lukisan The Illusion II – The Mind dan pelukisnya jika tidak silap Raiha Shahanaz Redzuan. Judul sajak itu ialah Mimpi Dari Sebuah Lukisan Ilusi. Saya kirimkan sajak itu kepada kurator galeri supaya boleh dikirimkan kepada pelukisnya tanda betapa saya menyenangi lukisan itu meski tidak punya wang membelinya.

IV

Kemudian, saya berhubung dengan saudara Airmas kembali menyatakan betapa orang menyenangi lagu-lagu puisi yang dijelmakan dari puisi saya. Saya selalu menyatakan kepada mereka yang suka lagu tu betapa bagusnya Airmas menggubah lagu untuk puisi saya. Dan Airmas akan merendahkan diri dan membalas orang suka kerana puisinya bagus. Ada-ada sahaja. Kalau lagu tak sedap, puii yang indah pun jadi tidak semegah juga.

Jadi impian yang saya tuliskan dalam entri ini juga tertunai. Tinggal tunggu album sahajalah. Hehehe.

Dan selepas bergelak ketawa, saya sengaja berkongsi sajak baru saya, Mimpi Dari Sebuah Lukisan Ilusi. Kemudian tidak sampai beberapa jam, dia telah menjadikan sebuah lagu puisi. Wah, kalau begitu, sudah empat buah puisi jadi lagu puisi. Terharunya… Namun, dia awal-awal lagi menyatakan rakaman kali ini dirakam dengan suara yang serak rock kapak. Saya katakan boleh record lagi.

Dan inilahlah hasil lagu puisi itu. Airmas memang berkebolehan menterjemah puisi saya menjadi sebuah lagu bukan?