Surat 2: Kepada Sucy Musalmah


Sucy Musalmah,

Kalau saya diberi pilihan antara Arjuna dan Sucy Musalmah, dan saya harus memilih salah satu antara kedua-duanya tentu sahaja saya tidak dapat membuat keputusan. Kerana kedua-duanya seperti tangan yang lengkap memeluk tubuh saya. Bagaimana tanpa Arjuna dan bagaimana kalau tanpa Sucy Musalmah?

Tapi saya tetap tuan yang menyebalkan. Kamu sendiri tahu bukan, bagaimana saya menggunakan kamu secara maksimum sehingga motherboard kamu terbakar dan kamu tersadai di atas meja hampir 8 bulan lamanya. Ya, salahkan saja saya, tuan yang menyebalkan ini. Tuan yang tidak tahu diuntung kerana tidak menjaga kamu secara benar-benar.

Ramai orang bertanya kepada saya, mengapa menamakan kamu Sucy Musalmah. Kedengarannya sangat klasik dan yang paling penting mengapa harus menamakan kamu, sesuatu yang tidak bernyawa? Saya katakan, saya menamakan kamu Sucy Musalmah, yang saya fikir bakal saya namakan anak perempuan saya nama yang sama, kerana saya berharap tiada anasir-anasir yang tidak suci menyusup masuk ke dalam kamu, virus atau apa sahaja dan akmu akan rasa disayangi. Alhamdullilah, kamu jarang sekali meragam, kamu sungguh sangat baik. Begitu baik. Denganmu saya menaip ratusan puisi, kata-kata, cerpen, menonton cerita. Sampai saya pernah mengatakan sesuatu kepada rakan saya, saya cuma ada Sucy Musalmah dan Arjuna di saat-saat sedih dalam hidup saya.

Sucy Musalmah,

Sudah hampir 4 tahun kita bersama, dan rasanya tidak ada satu hari kalau saya bersendirian dalam bilik tanpa menggunakan kamu. Dari jendela kamu saya mengenal sejumlah penyajak, sejumlah cerpen, sejumlah tulisan, sejumlah novel, sejumlah kenalan yang semuanya tidak terhitung betapa berharganya pengalaman yang saya tempuh dengan kamu, Sucy Musalmah.

Kalau ada ucapan yang lebih bernilai daripada terima kasih, tentu sahaja saya akan memilih perkataan itu tetapi nyata semua perkataan tidak dapat menandingi sebaris kata.

Terima kasih.

Surat 1: Kepada Arjuna


Arjuna,

Mungkin akhir-akhir waktu ini, saya jarang sekali mengucapkan terima kasih atau meraikan apa-apa sahaja peristiwa yang telah kita tempuh. Mungkin kerana waktu yang menghimpit atau sebenarnya kerana saya yang tolol ini kurang menghargai kehadiranmu.

Lalu,di awal surat ini, saya ingin sekali mengucapkan terima kasih kerana selalu sahaja ada, selalu sahaja menyokong tanpa jemu sedangkan saya adalah tuan yang sangat menyebalkan.

Memilih kamu untuk hadir dalam hidup saya lebih awal daripada yang sepatutnya membuatkan hidup saya berubah. Kewangan saya sedikit berantakan di tahun-tahun awal. Tetapi saya ini tuan yang degil, saya tetap mahu memiliki kamu dalam keadaan ketidakcukupan. Dan kamu, dengan senang hati menerima ketidaksempurnaan saya sebagai tuan dan melaksana tugas tanpa merungut dan menyusahkan.

Beruntung benar saya memiliki sesuatu seperti kamu. Sedangkan tidak sampai 3 tahun kita menjalankan hubungan, badan kamu menerima sejumlah guratan dan calar yang tidak disengajakan dan tidak tahu dari mana datang. Untuk menghilangkan guratan itu memerlukan sejumlah dana yang besar. Dan saya, tuan yang selalu ketidakcukupan tidak dapat menyediakan sejumlah dana itu dan bersahaja membawa kamu berjalan-jalan merentas jantung Semenanjung dan membelah dada kota saban waktu tanpa memikirkan diri kamu yang mungkin malu dengan badan kamu yang bergurat dan kadang kala tidak bercuci berbulan. Ada waktunya, kamu diajak berjalan-jalan sehingga sehingga kamu tidak cukup rehat.

Malah bila waktu kamu perlu dirawat, saya sengaja melewat-lewatkan masa rawatan kerana kekangan kewangan terutamanya, kamu tetap juga gagah bekerja dan sehingga kamu sudah tidak dapat menanggung sakit dan sesekali merengek minta dirawat. Hanya merengek, bukannya merajuk terus. Kadang kala pula bila ada hari yang kesibukan menguras tenaga saya dan tidak sempat mengemas dalaman kamu dan membiarkan sahaja barangan bersepah, kamu masih sudah tidak merungut. Kadang-kala saya malu benar kepada kamu Arjuna.

Bukankah saya tuan yang sangat menyebalkan, yang tidak tahu diuntung apabila kamu tidak begitu banyak kerenah. Kamu tidak pula pernah tiba-tiba mogok atau merajuk di tengah jalan sehingga memerlukan saya untuk meminta pertolongan kepada orang asing atau kawan-kawan. Kamu tidak pernah seperti yang lain. Yang sering memberi susah kepada tuannya. Kamu itu sangat baik, Arjuna.

Pernah sekali saya mempersoalkan, mengapa saya tegar mahu memiliki kamu terlalu awal, Arjuna. Di waktu, kamu harus menerima rawatan besar dan waktu itu kewangan tidak mencukupi, di waktu tiba-tiba sahaja tayar kamu minta berganti sebelum waktu saya cukup menyediakan wang, bulan-bulan kamu harus tidak boleh tidak menerima rawatan setiap 3 bulan, tuntutan penyediaan wang untuk menggerakkan kamu, semuanya membuatkan saya ada waktunya mempersoalkan keperluan kamu dalam hidup saya.

Tetapi Arjuna, waktu persoalan itu timbul telah ditenggelamkan dengan sumbangan besar kamu Arjuna. Bukan saya sahaja yang menyayangi kamu. Teman-teman saya juga begitu. Mereka tidak memanggil kamu dengan kata nama am, kereta. Tetapi menyeru kamu dengan kata nama khas yang telah saya pilih untuk kamu, ARJUNA. Mereka menyayangi kamu yang pernah membawa mereka mengembara dari utara ke selatan. Membawa cinta dan menyebarkannya. Menjadi penemu jodoh. Membolehkan mereka untuk ke majlis-majlis seni dan sastera atau mendaki bukit. Mereka bergembira di dada kamu Arjuna. Jika kamu boleh merakam jumlah ketawa yang pernah kamu dengar di dalam kamu, tentu tidak terhitung jumlahnya. Kalau teman-teman saya merasakan sumbangan kamu, apatah lagi saya yang sentiasa bersama-sama kamu? Tentu sahaja kehadiran kamu telah mengubah banyak hal dalam hidup saya. Bersama kamu, saya boleh sahaja membuat keputusan ke mana sahaja saya pergi tanpa perlu bergantung harap pada sesiapa. Bersama kamu, saya sangat yakin dengan segala keputusan yang saya buat dan tanpa agak-agak kerana saya ada kamu Arjuna.

Tentu sahaja sejumlah kata-kata di atas tidak akan sama berat dengan sumbangan kamu, Arjuna dalam hidup saya.

Tidak ada kata-kata yang dapat saya katanya terhadap bakti dan sumbangan kamu yang sangat besar dalam hidup saya, Arjuna selain terima kasih.

Terima kasih, Arjuna. Terima kasih kerana ada dalam hidup saya.

 

Daripada:

Tuanmu yang menyebalkan

 

#30harimenulissuratcintamenjelangualangtahun

Bridget Jones Diary


If I can’t make with you, I can’t make with anyone [Daniel Cleaver – Bridget Jones Diary]

Saya pernah dengar kata-kata ini sebelum saya menonton Bridget Jones Diary untuk pertama kalinya. Apabila mendengarnya, saya rasa sunggu dejavu. Seperti kata-kata itu pernah diucapkan kepada saya.

Apatah lagi, kata-kata itu diucapkan – watak yang menipu Bridget Jones dan hanya bermain-main sahaja pada mulanya tetapi akhirnya menyedari bahawa dia kembali memikirkan Bridget sahaja.

Saya suka sekali dengan jawapan Bridget. Agaknya kalau saya mendengar kata-kata itu diucapkan kepada saya, saya akan menjawab dengan jawapan Bridget seperti ini.

That not a good enough offer for me. I’m not willing gambling my whole life on someone I’m not quite sure. [I’m] still looking for something more extraordinary than that [Bridget Jones – Bridget Jones Diary]

30 Hari Menulis Surat Cinta Menjelang Ulang Tahun


Sebulan lagi menjelang ulang tahun saya.

Untuk yang keberapa, biarlah menjadi rahsia dan ketakrahsiaan antara saya dan kawan-kawan yang mengenali saya di alam nyata.

Namun untuk ulang tahun kali ini, adalah satu takah baru dalam hidup dan tidak sangka saya sudah sampai ke takah ini kerana di zaman remaja saya selalu membayangkan bahawa ketika takah ini mungkin saya sudah jadi wanita bekerjaya yang elegen, bergaya, sofisikated dan ehem! menjalinkan hubungan hati ke hati dengan seseorang dan sedang merancang ke ehem! hidup berdua selamanya… Lalalalala….

Tapi rasanya ketika itu mungkin saya naïf, rupanya ada banyak lagi hal yang tak terselesaikan sekarang tapi tidak bermakna saya tidak bahagia dengan hidup yang ada, ya sangat bahagia. Bukankah hal tentang mengukur bahagia telah saya nyatakan dalam entri ini?

Merujuk kepada judul entri di atas, saya terilham daripada M. Aan Mansyur yang menganjurkan #30harimenulissuratcinta bermula 14Januari-14Februari. Tetapi kerana kekangan masa, saya lanjutkan sahaja menjadi 30 hari menulis surat cinta menjelang ulang tahun saya pada bulan hadapan.

Jadi sepanjang sebulan ini, saya akan menulis sejumlah surat cinta kepada orang-orang atau benda-benda kesayangan atau pernah memberi kenangan kepada saya. Saya pernah menulis sebuah surat dalam blog ini. Surat Kepada Mantan Kekasih Ketika Ulang Tahun Perpisahan.

Saya punya kegemaran menulis surat ketika zaman sekolah menengah. Malah surat itu masih sahaja tersimpan rapi di kampung. Sesekali apabila pulang, saya akan duduk dan membaca kesemua surat itu. Saya pernah bertanya kepada teman yang selalu berbalas surat dengan saya, apakah dia masih menyimpan surat kiriman saya sepanjang hampir dua tahun itu? Dia gelak dan berkata, “Maaf, saya telah membakarnya.” Kami menyaling tawa sahaja. Dramatik sungguh tindakan yang teman saya ambil itu. Membakar surat kiriman saya kerana kecewa? Tapi saya tidak pernah marah dengan tindakannya. Itu haknya untuk melayani surat kiriman saya. Kami masih saling berhubung sehingga kini. Saling mengucap ulang tahun tanpa gagal hampir sepuluh tahun lamanya sehingga kini. Saya mendoakan dia baik-baik sahaja di Sarawak ini dan bertemu jodoh yang baik. Amin.

Mari menyertai saya dalam 30 hari menulis sajak menjelang ulang tahun. Sesiapa yang menyertai saya, boleh relink blognya di bawah bahagian komen. Mari kita meraikan cinta dan menulis surat-surat kepada orang yang kita cintai, benda yang kita sayang atau kenangan.

Percakapan Singkat


Malaikat telah membawamu pulang ke tanah asal yang kau benci itu. Tanah yang kau ingin lari daripadanya tetapi entah apa tetap mahu pulang kepadanya juga. Lalu di helaian sayap-sayap malaikat itu, kau cuba bersembunyi dan malaikat dengan senang hati menyembunyikanmu.

Lalu kini dan di masa-masa akan datang, simpan sahaja malaikat kamu itu di dalam tas tangan atau beg tarik dan bawalah dia ke mana-mana supaya kamu rasa dilindungi. Bukankah itu yang kamu mahukan, rasa dilindungi kerana kamu itu hanya figura yang lemah. Sangat lemah. Dengan malaikat itu, kamu berasa kuat?

Kerana tiada rumah lain yang mahu menyimpan malaikat kamu itu. Kamu sudah tidak perlu risau atau berusuh hati lagi mahupun bergaduh apakah malaikat kamu mahu singgah di laman rumahmu? Simpan sahaja malaikat kamu itu dekat dengan kamu. Itupun jika kau boleh. Kerana malaikat yang punya sayap telah menyembunyikan banyak benda seperti kamu,telah banyak menghiburkan hati seperti kamu. Yang di helaian sayapnya hanya seakan-akan patung-patung yang digantung untuk hiasan dan hiburan.

Kepada malaikat, selamat berhibur dan menikmati madu di bulan

Memo Untuk A VI


 

”Aku temui kamu dalam bau buku yang menerpa tapi masihkah ada kamu lagi, disitu”

Seringnya aku berulang alik di tempat kata-kata itu aku tuliskan. Entah mengapa perasaan yang sama sering kali ada.

Apakah kau pernah sekali merasakan? Atau selama ini perasaan itu berjalan di antara ruangan kosong kerana kau tidak pernah membuka pintu hatimu?