Surat 1: Kepada Arjuna


Arjuna,

Mungkin akhir-akhir waktu ini, saya jarang sekali mengucapkan terima kasih atau meraikan apa-apa sahaja peristiwa yang telah kita tempuh. Mungkin kerana waktu yang menghimpit atau sebenarnya kerana saya yang tolol ini kurang menghargai kehadiranmu.

Lalu,di awal surat ini, saya ingin sekali mengucapkan terima kasih kerana selalu sahaja ada, selalu sahaja menyokong tanpa jemu sedangkan saya adalah tuan yang sangat menyebalkan.

Memilih kamu untuk hadir dalam hidup saya lebih awal daripada yang sepatutnya membuatkan hidup saya berubah. Kewangan saya sedikit berantakan di tahun-tahun awal. Tetapi saya ini tuan yang degil, saya tetap mahu memiliki kamu dalam keadaan ketidakcukupan. Dan kamu, dengan senang hati menerima ketidaksempurnaan saya sebagai tuan dan melaksana tugas tanpa merungut dan menyusahkan.

Beruntung benar saya memiliki sesuatu seperti kamu. Sedangkan tidak sampai 3 tahun kita menjalankan hubungan, badan kamu menerima sejumlah guratan dan calar yang tidak disengajakan dan tidak tahu dari mana datang. Untuk menghilangkan guratan itu memerlukan sejumlah dana yang besar. Dan saya, tuan yang selalu ketidakcukupan tidak dapat menyediakan sejumlah dana itu dan bersahaja membawa kamu berjalan-jalan merentas jantung Semenanjung dan membelah dada kota saban waktu tanpa memikirkan diri kamu yang mungkin malu dengan badan kamu yang bergurat dan kadang kala tidak bercuci berbulan. Ada waktunya, kamu diajak berjalan-jalan sehingga sehingga kamu tidak cukup rehat.

Malah bila waktu kamu perlu dirawat, saya sengaja melewat-lewatkan masa rawatan kerana kekangan kewangan terutamanya, kamu tetap juga gagah bekerja dan sehingga kamu sudah tidak dapat menanggung sakit dan sesekali merengek minta dirawat. Hanya merengek, bukannya merajuk terus. Kadang kala pula bila ada hari yang kesibukan menguras tenaga saya dan tidak sempat mengemas dalaman kamu dan membiarkan sahaja barangan bersepah, kamu masih sudah tidak merungut. Kadang-kala saya malu benar kepada kamu Arjuna.

Bukankah saya tuan yang sangat menyebalkan, yang tidak tahu diuntung apabila kamu tidak begitu banyak kerenah. Kamu tidak pula pernah tiba-tiba mogok atau merajuk di tengah jalan sehingga memerlukan saya untuk meminta pertolongan kepada orang asing atau kawan-kawan. Kamu tidak pernah seperti yang lain. Yang sering memberi susah kepada tuannya. Kamu itu sangat baik, Arjuna.

Pernah sekali saya mempersoalkan, mengapa saya tegar mahu memiliki kamu terlalu awal, Arjuna. Di waktu, kamu harus menerima rawatan besar dan waktu itu kewangan tidak mencukupi, di waktu tiba-tiba sahaja tayar kamu minta berganti sebelum waktu saya cukup menyediakan wang, bulan-bulan kamu harus tidak boleh tidak menerima rawatan setiap 3 bulan, tuntutan penyediaan wang untuk menggerakkan kamu, semuanya membuatkan saya ada waktunya mempersoalkan keperluan kamu dalam hidup saya.

Tetapi Arjuna, waktu persoalan itu timbul telah ditenggelamkan dengan sumbangan besar kamu Arjuna. Bukan saya sahaja yang menyayangi kamu. Teman-teman saya juga begitu. Mereka tidak memanggil kamu dengan kata nama am, kereta. Tetapi menyeru kamu dengan kata nama khas yang telah saya pilih untuk kamu, ARJUNA. Mereka menyayangi kamu yang pernah membawa mereka mengembara dari utara ke selatan. Membawa cinta dan menyebarkannya. Menjadi penemu jodoh. Membolehkan mereka untuk ke majlis-majlis seni dan sastera atau mendaki bukit. Mereka bergembira di dada kamu Arjuna. Jika kamu boleh merakam jumlah ketawa yang pernah kamu dengar di dalam kamu, tentu tidak terhitung jumlahnya. Kalau teman-teman saya merasakan sumbangan kamu, apatah lagi saya yang sentiasa bersama-sama kamu? Tentu sahaja kehadiran kamu telah mengubah banyak hal dalam hidup saya. Bersama kamu, saya boleh sahaja membuat keputusan ke mana sahaja saya pergi tanpa perlu bergantung harap pada sesiapa. Bersama kamu, saya sangat yakin dengan segala keputusan yang saya buat dan tanpa agak-agak kerana saya ada kamu Arjuna.

Tentu sahaja sejumlah kata-kata di atas tidak akan sama berat dengan sumbangan kamu, Arjuna dalam hidup saya.

Tidak ada kata-kata yang dapat saya katanya terhadap bakti dan sumbangan kamu yang sangat besar dalam hidup saya, Arjuna selain terima kasih.

Terima kasih, Arjuna. Terima kasih kerana ada dalam hidup saya.

 

Daripada:

Tuanmu yang menyebalkan

 

#30harimenulissuratcintamenjelangualangtahun

9 thoughts on “Surat 1: Kepada Arjuna”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s