Selepas Sebulan dan selepas seminggu


(sempena sebulan di tempat baharu dan seminggu di angka umur yang baharu)

I

Mungkin kerana saya terbiasa dibesarkan dalam situasi, apa yang saya mahukan saya harus usaha sendiri. Malah tidak pernah diraikan dalam apa-apa keraian ulang tahun, menjadikan saya seorang yang jarang bermimpi tinggi. Kawan saya pernah mengatakan, orang yang seperti sayalah yang seharusnya bermimpi tinggi. Tetapi saya selalu sahaja mengingatkan diri, harapan adalah permulaan untuk semua kedukaan.

Alhamdullilah, dalam tidak bermimpi tinggi, sebelum saya di angka umur yang baharu, saya telah berpindah tempat kerja, beroleh beberapa kesenangan dalam hidup dan sekurang-kurangnya di titik ini, saya tidak bermimpi punya ada semua ini.

Selalu sahaja saya nyatakan, saya hanya mahu hidup yang sederhana, menulis tentang hal-hal sederhana kerana bermimpi terlalu tinggi, tentu sahaja ada harga yang perlu dibayar dan saya belum pasti apakah saya mampu membayar harga itu?

II

Membaca ucapan ulang tahun di dada facebook membuatkan saya tersenyum-senyum. Membaca ucapan itu seolah-olah saya sedang membaca hubungan saya dengan pemberi ucapan itu. Jika sebelum ini, mungkin kami ialah rakan sekolah, rakan kolej, rakan matrik, ucapan menjadi seringkas mungkin. Jika sebelum ini, mungkin kami akrab tetapi telah berenggang maka ucapan jadi seperti separuh akrab separuh renggang. Jika pemberi ucapan berkenalan dengan saya kerana beberapa hal, maka beberapa hal itu yang akan disentuh. Hal itu sangat menyenangkan di mana kita boleh membaca hubungan pemberi ucapan dengan si penyambut ulang hanya melalui ucapan ulang tahunnya di wall.

Terima kasih kepada semua, yang mengingati ulang tahun kelahiran saya. Selalunya mereka mendoakan agar saya berkarya dengan lebih sukses lagi. Nampaknya kena gigih menulis lagi. Moga-moga doa itu dimakbulkan. Amin.

III

Tiada hadiah seperti kebiasaan, kecuali ada yang baik hati menghadiahkan saya sebentuk cincin merak dan coklat tiramisu yang sedap.

Dan yang membelanja saya makan. Haha. Hari ulang tahun memang hari menambun badan.

IV

Terima kasih hari ulang tahun

Kamu telah berikan hadiah yang lebih besar daripada itu.

Sepotong ucapan daripada seseorang yang datang dari masa lalu.

Sungguh. Setiap hari, saya tidak pernah tidak rindu pada masa lalu.

V

Di tempat baharu, cuacanya lebih redup. Tetapi setiap tempat yang redup, tidak semestinya kita harus berasa selesa.

Sentiasa mahu memberikan sesuatu yang lebih baik untuk diri sendiri dan orang lain.

VI

Terima kasih Tuhan kerana masih memberi ruang dan nafas.

Cermin Mimpi


Beberapa kali saya mengunjungi IKEA hanya untuk makan meatballs (meatballs mereka memang jahat dan penggoda!!!) tanpa membeli apa-apa. Sehingga semalam, selepas saya menyedari harga tiket parkir sudah dinaikkan dan jika membeli apa-apa produk IKEA, parkir menjadi percuma. Yay!

Jadi saya pun memulakan misi mencari barang di bawah RM 5 dan entah mengapa saya memutuskan untuk membeli sebuah cermin.


Melihat diri saya di dalam cermin Malma itu membuatkan saya teringat bahawa ini adalah kali pertama saya membeli sebuah cermin. Pada kebiasaannya sama ada saya ambil cermin di rumah, guna cermin daripada peralatan kosmetik. Mengapa selama ini saya tidak pernah membeli cermin.

Kerana saya tidak suka melihat diri saya di dalam cermin. Bukan membenci diri sahaja, Cuma tidak suka melihat diri sendiri sahaja.

Tetapi selepas malam tadi saya sedar, saya perlu membeli cermin, bukan untuk melihat diri sahaja tetapi lebih dari itu. Saya harus melihat siapa yang sedang menjelirkan lidah di belakang saya, yang sedang menertawakan saya, yang sedang memegang pisau dan bersedia untuk menikam saya, yang sedang memegang tali untuk menjerut leher saya, yang sedang melangkah penuh waspada untuk menolak saya jatuh.

Kerana selama ini saya tidak pernah mahu memandang ke belakang atau mengesyaki sesiapa. Tetapi saya terlupa, kita hidup bukanlah seorang diri tetapi menjalinkan rantaian hubungan yang berselirat dan dalam jalinan hubungan itu, kita tidak tahu apakah topeng-topeng yang mereka pakai dan apakah di sebalik topeng-topeng itu.

Melihat kembali cermin Malma itu, barulah saya sedar. Setiap orang yang melihat cermin tidak mempunyai tujuan yang sama.


Notakakitangan: melihat cermin membuatkan saya mendengar lagu M. Nasir Cermin Mimpi. Antara lagu kegemaran saya.

Surat 4: Kepada Hujan


Kekasih,

Jatuh cinta kepadamu bukannya satu pilihan tetapi berterusan untuk mencintaimu adalah pilihan yang tidak pernah aku kesali.

Mengapa aku mencintaimu hujan? Mencintai memang tidak pernah mempunyai sebab dan kerana itu aku tidak pernah punya sebab yang jelas kepada aku jatuh cinta pada kau dan tidak pernah sekalipun jemu menuliskan kau dalam puisiku dan tulisanku.

Kata seseorang, aku ini kekasih hujan dan kau seperti peramal rahsia hati paling bijaksana. Dapat membaca gelora dan gelojak di hatiku tanpa aku perlu menyatakannya. Sedalam mana aku cuba menyembunyikan, kau pantas sekali mengerti dan menemuinya. Anehnya, di waktu aku sedang sedih, kau turun seperti empangan tangisan yang telah lama menanggung duka di dadamu. Kau membasahi kaca kereta di mana di dalamnya menampung aku yang sedang mencuba menahan rasa sebak di dada, atau kau merebas di sebalik jendela kaca rumahku, cuba berbicara kepada bahawa kau cuba menanggung kesedihan yang aku alami. Bagaimanakah kau bijak meneka bila aku dikunjung berita gembira? Kau turun seolah-olah menari dan meraikan kegembiraan kecil dan dan besar dalam hidupku. Jarang sekali kau membiarkan aku meraikan kegembiraan dalam hidupku tanpa kau menemaninya.

Tuhan telah memberi aku ribuan puisi dan di dalam puisi itu adalah kau. Aku tidak jemu menulis segala hal tentang kau dan selalu sahaja menemui bahagian-bahagaian yang tidak disangka dalam diri kau. Yang anehnya, mencintai kau mengajar aku menjadi sederhana. Menjadikan aku hanya ingin memeluk impian-impian kecil. Seperti mana kau membebaskan diri daripada pelukan awan untuk membahagiakan manusia dan kembali ke pelukan awan dengan ingatan yang baharu.

Mereka sering sahaja bertanya, mengapa mesti hujan? Mengapa mesti kau? Tidak pernah ada jawapan khusus. Cinta memang tidak pernah punya jawapan. Memberi definisi khusus untuk cinta seperti cuba meletakkan tag harga padanya. Apakah cinta cinta punya harga?

Kekasih,

Seringnya aku berharap aku tidak pernah putus-putus menulis tentang kau di dalam puisiku. Aku sering kali mahu menjadi kekasih yang setia seperti mana kau. Meski kau tidak turun menyanyi dan menari, kau sering sahaja menemanku di atas sana. Memerhati setiap perlakuan tanpa jemu dan bila-bila aku perlukan kau, kau pasti turun dan mendakapku. Aku pernah cuba menyembunyikan tangisku daripada semua manusia yang lain dengan berjalan di dalammu. Kau memakai mantelmu untuk merahsiakan saat aku menjadi rapuh. Mereka hanya mengenal wajahku yang sering sahaja tersenyum tetapi mereka tidak mengenal wajahku yang menanggung sejumlah penderitaan. Yang mengenalnya hanya kau.

Bolehkah kita mengikat janji akan saling mencintai antara satu sama lain. Selama-lamanya? Aku tidak meminta lebih, aku hanya kau sentiasa hidup dalam puisi-puisiku.

Daripada

Kekasihmu (yang tidak pernah berhenti mencintaimu)

Memo Untuk A VII


Kita memang tidak pernah dapat membunuh cinta yang telah tumbuh dalam hati. Kalau kita berusaha membunuhnya bererti kita berlaku kejam kepada diri sendiri, kepada perasaan sendiri.

Aku tidak pernah membunuh cinta dalam hati ini sungguh pun kau telah menutup tempat yang seharusnya cinta ini tumbuh merimbun. Lalu, pernahkah kau melihat kembali tempat itu atau sesekali kau tertanya apakah yang terjadi kepadanya?

Pernahkah kau terfikir tentang satu perkara?

Cinta ini tidak pernah sunyi daripada terus mencintaimu?

because of this loneliness it’s hard for me day after day
love seems like it’s a bunch of foam bubbles mounting up

Surat 3: Kepada Si Bohemian


Mereka mungkin tidak mengerti pilihan-pilihan yang telah kita lakukan atau bakal lakukan dalam hidup. Kerana pilihan yang kita lakukan bukanlah pilihan yang popular. Tetapi, kembali persoalan ini ke dalam fikiran kamu, apakah kamu mahu selamanya menjadi kambing putih yang melompat pagar yang sama seperti kambing putih yang lain atau kamu mahu menjadi kambing hitam yang memilih untuk lalu di sebelah pagar tetapi akhirnya tiba di destinasi yang sama dengan kambing putih tadi?

Soalan yang akhir itu saya tinggalkan kepada kamu, yang menggelarkan diri kamu si Bohemian.

Kamu pernah bertanya kepada saya, mengapa kata-kata tiba-tiba tidak mencintaimu? Kamu kehilangannya, bukan sekejap waktu tetapi ruang waktu tidak dicintai kata-kata membuatkan hatimu menjadi begitu sepi dan kamu menjadi begitu gelisah sehingga sejumlah pertanyaan mengunjungi kotak emel saya.

Mungkin jawapan saya telah menjadi terlalu biasa sehingga tidak dapat menyembuhkan kegelisahan kamu. Kata saya, membaca dan banyakkan membaca. Klise bukan? Saya tambah lagi, baca bahan yang bukan kebiasaan kita, kalau selalu baca cerpen, tukar kepada sajak, kalau selalu baca novel, tukar kepada cerpen. Lalu kamu bertanya kembali, cadangan bahan bacaan?

Ketika itu saya tersenyum. Susah untuk kita memberi cadangan kepada selera kita yang jika semakin lama semakin meliar. Semakin lama semakin mahu rasa yang eksotik dan sudah tidak cukup dengan bahan yang disogokkan kepada kita. Memberi cadangan bahan bacaan seoleh-olah mempersembahkan bahan itu untuk dihakimi. Adakah sebuah karya ini bagus sehingga disuruh baca? Tersebab itu, saya menyekat cadangan bahan baca, saya mahu kamu menemui bahan baca yang sesuai dengan kegelisahan kamu.

Kata-kata tidak pernah mencintai seseorang yang mencintainya. Cuma kadang-kala kata-kata juga ingin berehat. Dan kata-kata pasti pulang, itu awal atau cepat tergantung pada cara kamu memujuknya.

Si bohemian, (gelaran yang kamu seru dirimu)

Saya berharap dan selalu berharap, kamu tidak pernah berputus asa dengan kata-kata. Teruskan sahaja menulis dan menulis. Kerana jiwa yang besar tidak pernah mahu alah dengan hal-hal sepele yang boleh diselesaikan dengan mudah.

 

Daripada

Kakak kesayanganmu (yang kamu gelar begitu)