Selepas Sebulan dan selepas seminggu


(sempena sebulan di tempat baharu dan seminggu di angka umur yang baharu)

I

Mungkin kerana saya terbiasa dibesarkan dalam situasi, apa yang saya mahukan saya harus usaha sendiri. Malah tidak pernah diraikan dalam apa-apa keraian ulang tahun, menjadikan saya seorang yang jarang bermimpi tinggi. Kawan saya pernah mengatakan, orang yang seperti sayalah yang seharusnya bermimpi tinggi. Tetapi saya selalu sahaja mengingatkan diri, harapan adalah permulaan untuk semua kedukaan.

Alhamdullilah, dalam tidak bermimpi tinggi, sebelum saya di angka umur yang baharu, saya telah berpindah tempat kerja, beroleh beberapa kesenangan dalam hidup dan sekurang-kurangnya di titik ini, saya tidak bermimpi punya ada semua ini.

Selalu sahaja saya nyatakan, saya hanya mahu hidup yang sederhana, menulis tentang hal-hal sederhana kerana bermimpi terlalu tinggi, tentu sahaja ada harga yang perlu dibayar dan saya belum pasti apakah saya mampu membayar harga itu?

II

Membaca ucapan ulang tahun di dada facebook membuatkan saya tersenyum-senyum. Membaca ucapan itu seolah-olah saya sedang membaca hubungan saya dengan pemberi ucapan itu. Jika sebelum ini, mungkin kami ialah rakan sekolah, rakan kolej, rakan matrik, ucapan menjadi seringkas mungkin. Jika sebelum ini, mungkin kami akrab tetapi telah berenggang maka ucapan jadi seperti separuh akrab separuh renggang. Jika pemberi ucapan berkenalan dengan saya kerana beberapa hal, maka beberapa hal itu yang akan disentuh. Hal itu sangat menyenangkan di mana kita boleh membaca hubungan pemberi ucapan dengan si penyambut ulang hanya melalui ucapan ulang tahunnya di wall.

Terima kasih kepada semua, yang mengingati ulang tahun kelahiran saya. Selalunya mereka mendoakan agar saya berkarya dengan lebih sukses lagi. Nampaknya kena gigih menulis lagi. Moga-moga doa itu dimakbulkan. Amin.

III

Tiada hadiah seperti kebiasaan, kecuali ada yang baik hati menghadiahkan saya sebentuk cincin merak dan coklat tiramisu yang sedap.

Dan yang membelanja saya makan. Haha. Hari ulang tahun memang hari menambun badan.

IV

Terima kasih hari ulang tahun

Kamu telah berikan hadiah yang lebih besar daripada itu.

Sepotong ucapan daripada seseorang yang datang dari masa lalu.

Sungguh. Setiap hari, saya tidak pernah tidak rindu pada masa lalu.

V

Di tempat baharu, cuacanya lebih redup. Tetapi setiap tempat yang redup, tidak semestinya kita harus berasa selesa.

Sentiasa mahu memberikan sesuatu yang lebih baik untuk diri sendiri dan orang lain.

VI

Terima kasih Tuhan kerana masih memberi ruang dan nafas.