Sepanjang Jalan Ke Pulau Pinang: Menemui SN Dato’ Shahnon Ahmad


I

Sepanjang Jalan Ke Pulau Pinang

Oleh Zurinah Hassan

 

Sepanjang jalan ke Pulau Pinang

Laut mengimbau sayu

Ombak-ombak ini hatiku

Berhasrat tiada sepi

 

Sepanjang jalan ke Pulau Pinang

Hujan memberi lagu

Angin menampar ke tiap ruang rasa

Berhiba-hiba awan pilu

 

Aku antara manusia beribu

Air mataku antara laut-laut lepas

Laguku hilang dalam angin menderu

 

Sepanjang jalan ke Pulau Pinang

Hatiku terjun ke air

Mencari tempat bagiku

Aku orang pelarian

 

II

 

Seminggu selepas di angka baru (14 Mac 2012), saya ke Pulau Pinang mengikut rencana gila dua orang kawan saya. Rencana kembara perseorangan saya untuk menaiki keretapi senandung malam tidak menjadi. Tujuan yang jelas, menemui Shahnon Ahmad, tujuan kabur yang lainnya, sengaja bercuti. Ya, saya kembali ke Pulau Pinang. Sepanjang jalan ke Pulau Pinang, melalui lebuh raya PLUS, saya terfikir apakah yang kami akan tempoh di sepanjang jalan ke Pulau Pinang? Apakah rencana ke sana, akan mengubah pandangan saya dan 2 orang kawan saya?

 

III

Di rumah Dato’ Shahnon Ahmad, beliau baru sahaja dikeluarkan dari wad ICU. Kami bernasib baik, jika tidak tujuan jelas kami mengabur juga. Isterinya berwajah risau tetapi dia fikir kami sudah berjalan jauh dari kota Kuala Lumpur dan tidak mahu mensia-siakan harapan besar kami, dia pun membenarkan kami berjumpa Dato Shahnon Ahmad. Dato Shahnon Ahmad (kemudiannya kami memanggilnya Cikgu Shahnon) menunggu kami dengan senyuman di atas katil. Semasa berbual, kami cemas apabila Cikgu bangun dan mengambil manuskrip yang belum lagi terbit untuk ditunjukkan kepada kami serta menyatakan besar harapannya agar TIVI diterbitkan semula.

 

Kami berbual-bual ringkas, soalnya seputar buku dan karyanya. Aidil Khalid mengambil gambar sambil Wan Nor Azriq bertanya soalan. Aidil, awal-awal sudah menyatakan dia bukan peminat tegar Shahnon Ahmad, berlainan pula dengan Wan Nor Azriq, yang meminati karya Shahnon Ahmad di awal zaman penulisannya. Ya, saya pergi ke Pulau Pinang dengan dua orang rakan penulis. Ehem, yang juga rakan tanpa label penulis.

 

Semasa dua manuskrip berjilid merah di atas meja makan (kami berbual-bual dahulu dengan isteri, Datin Wan Fatimah sebelum pulang) saya tahu Wan Nor Azriq ingin sahaja membawa pulang manuskrip itu untuk dibaca. Tetapi tentu sahaja bukan haknya untuk bawa pulang. Aidil Khalid pula sibuk meneliti judul-judul buku yang ada di rak. Datin Wan Fatimah menyatakan dahulu dia sudah membuat perpustakaan khas di tingkat atas, tetapi apabila Cikgu jatuh sakit, ada buku yang harus dipindahkan ke tingkat bawah kerana Cikgu Shahnon masih mahu membaca. Dalam hati saya, betapa kagumnya masih mahu juga membaca. Datin Wan Fatimah menambah lagi, manuskrip berjilid merah itu, Cikgu ingin benar diterbitkan malah sudah siap membuat surat wasiat menyatakan buku tersebut hendaklah diterbitkan juga.

 

Perihal pertemuan kami boleh dibaca di blog Aidil Khalid


 

Sebelum pulang, Cikgu memberikan kami novel Shit yang siap bertandatangan!

 

Sebagai orang yang bekerja di rumah penerbitan, saya rasa besar tanggungjawab saya untuk mengota kata-kata Cikgu. Dalam hati, saya akan maklumkan kepada ketua saya, perihal pertemuan ini.

 

IV

Kami bermalam di Old Penang, Jalan Love Lane. Di tengah dada Goergetown, saya dan kawan-kawan seolah-olah menjadi orang asing. Orang Malaysia yang menyewa malam di Old Penang boleh sahaja dibilang sebelah jari, termasuk kami.

 

Perasaan itu sungguh mengasyikkan.

 

Semasa berjalan-jalan di tengah dada Georgetown kami menemui pemandangan yang menakjubkan dan perihal yang mengasyikkan. Dan kerana kami berjalan-jalan di sekitar Georgetown pada petang ketibaan kami di Pulau Pinang (berjalan kaki tentunya), saya telah diberi kaca mata baru untuk melihat Pulau Pinang dan rencana gila 2 orang kawan saya ini terus sahaja bertukar menjadi perjalanan yang mengasyikkan.

 

Tunggu sahaja entri-entri selepas ini.

Nyahaktif Buku Wajah


Baru-baru ini saya sengaja menyahaktifkan laman sosial terkenal sehingga dilagukan, Mukabuku atau Bukuwajah. Saya sengaja mahu merasakan perasaan meninggalkan sesuatu yang popular. Ini satu proses yang menyeronokkan dan ada beberapa hal yang saya belajar. Fasa terakhir proses penyahaktifan itu, Buku Wajah akan menyatakan beberapa orang yang akan merindui saya apabila saya menyahaktifkan laman tersebut. Sehingga ke saat akhir pun, laman ini mahu memujuk saya secara halus. Namun tidak berjaya. Hehehehehe… Siapa yang merindui saya??


Ya, saya seorang yang berhati tegar. (kononnya)

Tanpa ada yang sesuatu yang mengganggu fikiran saya, hujung minggu saya lalui dengan tenang tanpa memikirkan siapa yang sedang menghubungi saya di laman Buku Wajah atau memberi komentar atau apa sahaja. Sepanjang hujung minggu itu, saya menyedari beberapa hal bahawa laman-laman sosial ini tidak lain tidak bukan ada waktunya memberi jarak kepada hubungan seseorang. Apatah lagi kalau kita punya telefon pintar, kemudahan internet, laman sosial, dan apa sahaja alat komunikasi yang membolehkan kita berhubungan dengan pantas, percayalah di hujung itu, kerana perasaan ‘selamat’ kita ada alat untuk berhubung, kita sudah semakin kurang menghubungi antara satu sama lain. Tidak dapat dinafikan, kita mengetahui setiap rinci apa yang sedang berlaku dalam hidup rakan-rakan kita tetapi seperti kita seperti sebuah persembahan di atas pentas, sebegitu dekat dan jelas tetapi kita masih lagi dipisahkan.

Saya masih lagi senang untuk duduk berjumpa, bergurau senda sambil membaca bahasa tubuh rakan-rakan saya. Atau mungkin lebih menyenangi zaman hubungan menjadi sebegitu konvensional, berutus surat dan menggunakan telefon awam. Haha. Saya sememangnya seorang yang sangat sentimental.

Selepas saya mengaktifkan balik Buku Wajah, beberapa hal saya sedari. Saya telah dinyahkawan oleh beberapa orang di dalam laman Buku Wajah. Ini perihal yang melucukan. Mungkin kerana mereka fikir saya telah membuang Buku Wajah saya, atau mungkin mereka fikir saya telah menyekat mereka, atau mungkin saya sudah tidak diperlukan sebagai kawan. Ah, apalah persahabatan di Buku Wajah sehingga akan buat saya jadi terasa hati benar, perihal hubungan di luar sana yang harus dijalin benar.

Pelancaran Buku A. Samad Said menjelang usia 77


I

Semalam ulang tahun A. Samad Said yang ke-77.



II

Selepas Dialog Khas Pengakuan Sutradara Pengarah Bunohan: Dain Said, di Coffee Club Express berlangsungnya Pelancaran Buku Menjelang Ulang Tahun ke 77, A. Samad Said pada pukul 4.00 petang. Pelancaran berlangsung lancar dengan persembahan pembukaan oleh anak A. Samad Said, Az Samad dan penutupnya oleh kumpulan Kopratasa.

Mengapa pelancaran buku menjadi sangat penting, apatah lagi pelancaran buku itu dilakukan di sebuah kedai buku yang tersohor seperti Kinokuniya?

Saya suka sekali melihat pelancaran buku di kedai buku sebagai satu hubungan simbosis yang penting kepada pembaca-buku-penulis. Ini memberi satu lagi nilai tambah kepada kedai buku yang tidak berperanan hanya sebagai kedai jualan sebaliknya satu tanggungjawab sosial untuk mendekatkan jurang antara penulis dan pembaca selain secara tidak langsung memperkenalkan jenama rumah penerbitan tersebut. Apatah lagi, pelancaran buku di kedai buku selalunya dapat meningkat penjualan buku kerana pengunjung pelancaran akan lebih teruja untuk membeli dan bukunya boleh ditandatangan oleh pengarangnya.

III

Ketiga-tiga buah buku yang dilancarkan pada hari itu merupakan produk pertama karya asli terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) selepas namanya dijenamakan semula daripada Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) menjadi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Harga buku seperti berikut dan boleh dibeli sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada hujung bulan ini. Untuk maklumat lanjut bolehlah klik di sini


IV

Saya suka sekali tema Kinokuniya pada bulan ini, Books In Our Lives. Suatu hari nanti, saya akan merealisasikan rumah yang penuh buku di mana-mana.

Pasca DOM KHAS Pengakuan Sutradara bersama Dain Said, Pengarah Bunohan



I

Di dalam kereta menuju dada KLCC (untuk pelancaran buku A. Samad Said di Kinokuniya) bersama Fadli Al-Akiti (yang menjadi moderator), perkara pertama yang saya nyatakan betapa memuaskan Dialog Orang Muda kali ini. Seperti di Rumah PENA itu, saya telah pulang dengan sejumlah luka yang telah disembuhkan. Kebetulan, sebelum DOM berlangsung, saya berkesempatan duduk semeja bersama Dain Said, mengucapkan terima kasih kerana memberi saya menonton sebuah filem yang baik (oh, saya jarang terkesan dengan filem kita) bertanya dua buah soalan, salah satunya Dain Said meminta saya bertanya semasa DOM supaya jawapannya dapat didengar dan dikongsi bersama penonton.

Duduk di barisan kedua kerana barisan belakang sudah dipenuhi oleh tetamu yang lain, saya berkongsi sebahagian kata-kata Dain Said di Twitter (telefon saya tidak canggih tapi twitter ada perkhidmatan twitter secara SMS), betapa saya ketika terkesan dengan pemilihan kata-katanya yang saya fikir akan lahir daripada orang yang telah membaca sejumlah buku dan menonton sejumlah filem yang banyak.

Ketika itu, dalam fikiran saya masih teringat jawapannya terhadap soalan pertama saya kepadanya yang saya tanya sebelum DOM berlangsung “Apakah Bunohan dibuat untuk membuka ruang diskusi? Dan apakah tidak kisah jika kutipan tidak memuaskan?”

Dain berkata (yang saya padatkan jawapannya berdasarkan ingatan saya) kawan-kawannya di France ada membuat filem berkonsep art-house dan mendapat dana daripada kerajaan dan bukannya geran peminjaman. Ini ada perbezaan antara mendapat dana dan geran. Dengan menggunakan dana, filem art-house yang mereka buat biasanya kurang popular dan tidak difahami tetapi bagi mereka itu tidak mengapa dan mereka tidak peduli asalkan mereka dapat buat apa yang mereka suka. Apa yang terjadi selepas itu bukan di bawah perhatian mereka. Ini berbeza berbanding dengan kalau kita mendapat geran pinjaman, kita akan membuat filem art house pada masa yang sama boleh dijual dan bertujuan komersial dan business. Saya tidak terfikir bahawa membuat filem ini untuk membuka ruang diskusi tetapi apabila ada ruang diskusi, itu perkara yang lebih baik lagi.

Jadi dalam fikiran saya, saya merasakan Dain Said mahu membuat sebuah filem art-house tetapi pada masa yang sama diterima oleh masyarakat yang akan mengangkat keindahan yang ada di dalamnya. Tapi ini satu hal yang susah, jika fikiran masyarakat telah ditakutkan untuk memikirkan hal-hal yang bersifat seni. Mereka telah memahami seni dari aksesorinya seperti glamour, kacak, romantis tetapi bukan dari tubuh asal seni itu sendiri.

II

Hampir dua jam berjalan dan masa dialog seperti tidak pernah cukup untuk saya mendengar suaranya tentang filem Bunohan. Saya fikir, mungkin saya boleh sengaja datang ke rumah merangkap pejabatnya di Titiwangsa, nanti. Hehe. Kalau dia terima kedatangan saya. Tetapi saya cukup puas hati apabila dia menjawab soalan saya dalam DOM itu (soalan yang sepatutnya dijawab semasa sesi perbualan pendek saya dengannya sebelum DOM)

“Saya sangat menyukai semua watak di dalam Bunohan, walaupun watak sampingannya. Setiap watak di tangan pelakon itu berdiri dengan kuat. Saya tidak fikir kalau di tangan pelakon lain, Ilham akan jadi sedemikian bagus. Saya sendiri sangat menyukai Jolok. Persoalannya, apakah Encik Dain Said telah memikirkan pelakon untuk watak itu atau pelakon itu telah dilatih di bawah pengarahan Encik?”

Dain Said mengatakan bahawa dia memang telah memikirkan Faizal Hussein yang memegang watak Ilham semasa menulis cerita itu. Dan dia telah bertemu dengan R.A.T (Rumah Anak Teater) dan menyukai mereka yang bergiat di dalamnya terutama penaungnya Namron (ramai penggiat R.A.T berlakon dalam Bunohan seperti Amerul Affendi, Zahiril Adzim, Pekin). Ramai antara mereka telah ada sesuatu dalam fikiran tentang bagaimana watak itu mahu digayakan apabila watak itu diberikan kepada mereka. Oleh itu, dia menyatukan apa yang dia mahu dengan pelakonnya.

Saya begitu teruja apabila Dain Said menyatakan dia sangat menyukai Amerul dan sebenarnya mahu memberi Ameerul (nama dalam filem Muski) ruang yang lebih besar di dalam filemnya tetapi itu yang termampu diberikan kepada Ameerul. Saya teruja kerana jujur saya katakan bahawa saya memang menyukai Ameerul lebih daripada Zahiril semenjak saya menonton teater mereka di ASWARA (ketika itu mereka masih lagi belajar). Cuma Ameerul tidaklah kacak berbanding Zahiril (iya kah?) tetapi setiap kali saya terkesan selepas menonton lakonan Amerul (saya sangat suka lakonannya dalam short film, Bandar Jahil) . Saya selalu berharap Amerul akan diberi peluang lebih baik dan besar lagi.

Dain Said mengatakan roh filem ini sememangnya gelap, tersebab itu dia memilih untuk membuat penggambaran ketika musim monsoon kerana mahukan penataan cahaya yang lembut. Malah dia menerangkan juga bahawa dia sengaja tidak mahu mengambil paparan yang terlalu indah kerana apabila terlalu cantik dan indah, ia akan jadi terlalu romantik dan dia tidak mahu filemnya kelihatan begitu. Apa yang dia mahu sesuatu yang dikatakan static, framing and certain amount of beauty.

Oh! Tentu sahaja apabila dia menyebut perihal kesusteraan lisan sebagai elemen penting dalam filemnya, mata saya membulat besar dan makin ingin tahu. Ini sesuatu yang sangat menarik apabila pembuat filem meletakkan elemen seni sastera secara sedar tetapi mengadun baik di dalam filemnya dan tidak dilihat terlalu abstrak dan asing seperti mungkin Wayang. Oleh kerana itu, dia mengangkat Main Puteri, Wayang Kulit ke dalam ceritanya. Menurutnya wayang kulit, main puteri dan makyung sangat berkait rapat dengan sejarah lisan. Di dalam filem ini, Main Puteri bukan sahaja menyembuhkan tanah tetapi menyembuhkan orang, menyembuhkan komuniti dan menyembuhkan filem ini juga. Dia memang sengaja mengambil semangat Main Puteri dan menterjemahkan ke dalam filemnya. Watak budak itu memang sengaja diletakkan begitu, sebagai harapan di dalam filem ini setelah semuanya musnah di dalam filem ini. Semuanya telah terlambat seperti kata Pok Eng dalam Bunohan (seingat saya), Mengapa ini semua boleh terjadi. Tetapi semuanya telah terlambat apabila, Ilham menyuruh melepaskan adiknya Adil daripada dibunuh tetapi Adil terbunuh ketika perlawanan, apabila Adil ingin berjumpa dengan ayahnya selepas perlawanan, apabila Pok Eng ingin menyempurnakan persembahan wayang kulitnya di pantai tetapi tidak berjaya kerana mati dibunuh Bakar. Tetapi selepas semua kemusnahan itu dalam filem, masih ada budak itu yang menjadi lambang sebagai harapan.

Oh, memang benar. Selepas semua kemusnahan di dalam hidupnya kita masih ada jalan ada harapan lagi. Itu fikir saya.

Dalam jenakanya dan luncur katanya yang sedikit pedas dan tajam, Dain Said menyindir Prof. Abu Hassan, produser mana yang bayar you?. Dia tidak kisah kalau mahu mengkritik filemnya tetapi biarlah kritikannya itu berdasarkan analisis yang betul bukan hanya menggunakan perkataan yang bombastic seperti darmatugrafi dan sosiobudaya. Malah menurutnya lagi, saya seorang pencerita bukannya pengkaji sosiobudaya.

III

Ini DOM yang paling memuaskan hati saya. Bukan kerana subjek yang dianggap adalah filem, bukan kerana tetamu yang datang lebih ramai daripada biasa tetapi panelnya, Dain Said telah memberikan sesuatu yang bukan sahaja tentang filem tetapi sesuatu yang lebih besar daripada itu. Dia tahu apa yang ingin katakan dan dia menguasai subjek itu dengan baik sekali. Terima kasih.

IV

Saya fikir pemilihan pelakon yang tepat untuk sebuah filem sangat penting supaya watak itu boleh digayanya dan dizahirkan dengan berkesan. Ini juga saya fikir berkait rapat dengan dunia penulisan. Seorang penulis harus memilih perwatakan yang tepat untuk membawa ceritanya ke tahap yang baik. Kalau watak ceritanya salah dibentuk serta salah pilih, kekuatan cerita itu akan tenggelam. Di tangan pengarah filem, pelakon dibentuk di hadapan kamera menggunakan dialog, ekspresi dan gerak gaya serta mainan kamera tetapi di tangan penulis cerita, wataknya dibentuk menggunakan pemilihan kata, susunan cerita dan struktur cerita itu.

V

Kawan saya, seorang kritikus bertanya kepada saya, “Awak sangat suka membaca komik dan novel detektif seperti penyiasat remaja dan Q, Sherlock, penyiasatan, sains tetapi awak jarang seronok menonton filem fiksyen sains. Mengapa?”

Saya membaca kerana saya mahu menggambarkan dunia imaginasi pengarang yang sering kali liar dan menggoda melalui pemilihan kata, susunan cerita, penyisipan naratif. Saya membaca untuk membaca fikiran pengarang. Ini sangat menyeronokkan membaca komik dan novel detektif, kita bebas membentuk dunia tersebut. Tapi apabila saya menonton filem, saya mahu membaca keindahan cerita itu melalui lakon layarnya, latarnya, angle kameranya. Ini jarang saya dapat daripada filem fiksyen sains yang kebanyakannya superficial.

VI

Dialog Orang Muda (DOM) merupakan acara bulanan kerjasama PENA & ITBM (Institut Terjemahan & Buku Malaysia) yang diadakan setiap hari Ahad minggu ketiga bermula pukul 10.30 pagi. Maklumat lanjut boleh ke laman facebook PENA dan blognya


3 Catatan Pendek



Catatan Pendek I

Mohon,

bebaskan binatang liar

yang sering kali

mencakar dan menggomoli

dinding kamar kita

dari dadamu

 

Catatan Pendek II

Apa mahu,

Di kamar sempit ini

Jika keliaran ingin mengembang bebas

 

Cacatan Pendek III

Tiada kitab

Arif membaca

Jalan labirin fikiran perempuan

Yang tidak membeza senyum untuk semua rasa

 

 

ainunl.muaiyanah.sulaiman

05042012

 

(setelah kata-kata tidak mencintai saya. Lama sudah tidak menulis puisi)