The Dark Knight Rises: Suara Gotham yang Hilang


Saya seorang penonton yang anti-filem super hero. Saya jarang menyukai perasaan utopia selepas menonton filem hero yang mana setiap yang jahat adalah jahat sahaja (tanpa memungkinkan kenapakah dia memilih untuk menjadi penjahat) dan hero sentiasa sahaja dimenangkan oleh apa-apa situasi kerana dia merupakan hero. Ya, saya anti filem yang mempamerkan keperkasaan hero sahaja tanpa kebijaksanaan. Sebab itu apabila siri reboot Batman keluar, terutamanya Dark Knight saya membiarkannya di dalam komputer hampir setengah tahun tanpa cenderung mahu menontonnya yang di akhirnya saya sangat menyesal kerana cerita Dark Knight merupakan antara (mungkin) satu-satunya filem super hero yang saya sukai.

Apabila Dark Knight Rise keluar panggung, tentu sahaja saya mengharapkan kesinambungan yang mengujakan, yang mempamerkan sisi ini bukan filem super-hero yang biasa-biasa sahaja. Namun, di akhir saya sedikit kecewa kerana baru sahaja saya sedar mengapa saya menyukai Dark Knight kerana di dalam Dark Knight punya suara Gotham, suara bandar itu sendiri. Ini jelas boleh dilihat di waktu dua buah kapal yang mengangkut banduan dan penduduk biasa yang memerlukan kedua-dua penumpang kapal ini bertindak sama ada meletupkan bom di salah sebuah kapal yang berbeza untuk kepentingan diri masing-masing.

Ini satu hal yang mungkin dilupakan oleh Nolan di dalam filem terbaharunya. Suara Gotham. Semua watak dalam filem itu bercakap soal ‘aku yang lebih tahu apa yang Gotham perlu’. Bane mengatakan dia mahu membebaskan Gotham. Batman berkata, Gotham memerlukan dia. Tetapi tiada satu pun moment yang betul-betul memfokuskan apakah sebenarnya suara Gotham itu. Apakah benar Gotham masih memerlukan Batman? Apakah Gotham mahu kebebasan dan hak sama rata, seperti yang Bane katakan? Hanya Gordon sahaja yang berkata The Batman must come back. Apakah Gordan ialah pewakilan suara Gotham? Ketika penduduk Gotham mengungsi keluar, mengapa hanya focus anak-anak yatim itu sahaja. Mana penduduk lain yang dihalau keluar dari kediaman mereka. Sudah mati? Sudah larikan diri sendiri? Dalam hal ini, suara Gotham yang hilang adalah kegagalan terbesar filem ini.

Saya cenderung menyukai watak antagonis yang tidak bodoh. Yang genius seperti Joker (The Dark Knight) dan terbaru Bane (The Dark Knight Rises). Yang jahat bukan seperti ‘aku sudah dijadikan watak jahat, jadi aku mesti berkelakuan seperti orang jahat’. Joker antara watak antagonis yang paling saya suka. Bane juga begitu, dia tahu apa yang perlu dilakukan. Saya suka watak antagonis yang sentiasa kehadapan dan menjangkaui sangkaan watak hero. Setelah kekalahan, barulah namanya kebangkitan (rises) Saya suka kata-katanya semasa berlawan dengan Batman (walaupun perlawanan itu sangat seperti budak darjah satu bergaduh selepas sekolah), the shadows betray you. Because they belong to me. Atau then you have my permission to die. Tetapi apabila Miranda Tate yang dikatakan mastermind untuk semua ini? Semua ini? Hanya kerana cinta, Bane sanggup buat apa sahaja? Its too typical, okey! Malah kematian Bane selepas kena tembak dengan Cat Women? Ini antara mimpi ngeri dalam filem ini. Sepanjang filem ini, penonton dibawa melihat sosok Bane yang gagah, yang bijak, merangka pelan dengan rapi tetapi mati dengan sangat tidak dramatik? Di tangan seorang perempuan? Oh please! Selepas diruntuhkan dalam fikiran penonton bahawa Bane hanyalah tukang turut si Miranda Tate bukanlah mastermind semua rencana ‘kebebasan Gotham’, semudah itu sahaja filem ini menghapuskan Bane?

Ya, skor muziknya memang sangat bagus petala lapan atau sinematografinya sangat cantik tetapi untuk sebuah filem super-hero, filem ini perlu lebih daripada itu. Filem ini perlu menyuarakan suara sebenar Gotham seperti yang dilakukan dengan sangat baik dalam Dark Knight.

Di dalam realiti sekali pun, semua orang merasakan dia telah membawa suara orang-orang di bawahnya. Dan suara yang angkuh, yang katanya berjuang itu sebenarnya ada kalanya tidak mewakili suara orang-orang di belakang tetapi suara dirinya sahaja. Suara keinginan dalam fikirannya. Sepatutnya kerajaan sponsor filem Dark Knight Rises untuk ditonton oleh rakyat jelata sebagai salah satu kempen pilihanraya. Bukankan apa yang mereka mahu rakyat faham, mereka yang tahu apa rakyat perlu?

Sekiranya ini bukan kesinambungan Dark Knight, pasti filem ini jatuh dalam kategori filem super hero yang biasa sahaja bagi saya.

Cerpen saya dalam Kelahiran Lain


Oh, saya terlupa bahawa saya punya sebuah cerpen yang diterbitkan dalam sebuah buku. Judulnya bukunya, Kelahiran Lain.

Ini cerpen yang mengada-ngada pernah saya tulis. Kerana harus menulis sepanjang 20 halaman, jadi saya terfikir, 20 halaman, mahu tulis apa ini? Saya bukan Roslan Jomel yang gagah menyudahkan cerpen lebih 40 halaman seperti di dalam kumpulan cerpen keduanya, Selamat Datang Ke Malaywood

Mulanya saya hantar cerpen yang lain. Tetapi tertolak. Mungkin cerpen itu tiada arah tujuan. Lalu sewaktu tempoh penolakan, saya telah berbual-bual dengan seseorang di laman facebook dan nah hampir separuh inti perbualan itu saya tuangkan ke dalam cerpen yang baharu dan diterima oleh Jargon untuk disandingkan bersama dalam 10 cerpen dalan buku Kelahiran Lain.

Selepas buku ini terbit, hampir setengah tahun, baru saya mendapat naskhah penulis. Ini kerana saya sungguh terlupa untuk mengambilnya. Apabila saya baca kembali cerpen itu, saya jadi tersenyum sendiri kerana alangkah mengada-ngadanya cerpen saya itu.

Judul asal cerpen itu: Perempuan Bulan dan Perempuan Hujan tetapi penerbitan Jargon yang inginkan kelainan telah membuang nama penulis dan judul cerpen supaya cerpen itu dihakimi atas kebolehan cerpen itu bercerita bukan pada nama penulis atau pada judul cerpen. Maka, jadilah cerpen saya itu anonymous. Tetapi menurut kawan saya, gaya penulisan cerpen saya mudah sekali ditebak. Mudah sekali ditemui yang mana satukah cerpen yang ditulis oleh saya.

Katanya, suara kepengarangan saya berkata-kata dalam cerpen itu. Suara saya. Bukan suara cerpen. Itu kata kawan saya.

Nah, ada naskhah di tangan saya untuk dijual. Sesiapa yang berminat untuk membelinya boleh menghantar maklumat lanjut ke ainunl.muaiyanah[at]gmail[dot]com.

Ehem… saya nak berikan intro di dalam cerpen tersebut tapi nanti orang tahulah cerpen saya yang mana satu. Aishhh…

 

Tentang Kenaifan


“Saya terlalu naïf dan fikir semuanya akan baik-baiknya waktu itu.”

Saya memandangnya ketika mendengar kata-kata itu dan mengalih pandang kepada langit.

Dalam hati saya yang sudah pecah tanpa boleh dicantumkan lagi bergema kata-kata yang tidak mungkin akan didengar lagi:

Semua orang pernah menjadi naïf,

begitu juga saya.

Nyata, kita semua pernah salah untuk menebak hidup ini

Tetapi selepas menyedari kesalahan, mengapa mahu tenggelam lagi di dalamnya.

Itu bukan kenaifan lagi, bukan.

Tetapi mementingkan diri sendiri.

Ada Apa Dengan Ramadan 1


Kata ibu selepas menerima panggilan daripada adik-adik saya yang menyatakan mereka akan berbuka di luar

“Dahulu, masa tiada duit, masak telur dengan jangan bening (sayur air) pun rasa sedap. Berebut-rebut adik-adik makan. Tapi sekarang bila sudah ada duit, sudah mampu beli macam-macam makanan, semua hendak makan di luar. Macam itulah kehidupan rupanya.”

Di meja, hanya saya abah dan ibu sedang menunggu waktu berbuka.

Saya tak tahu saya harus rasa apa, sedih dengan kata-kata ibu atau gembira kerana waktu berbuka saya menjadi anak tunggal di meja itu.

Tentang Sembunyi


Hidup adalah sembunyi. Jika kau miskin, kau harus tahu bagaimana menyembunyikan papa. Jika kau kaya, kau harus tahu bagaimana menyembunyikan harta. Jelek atau cantik, kau harus tahu bagaimana menyembunyikan rupa. Belajarlah seni menyembunyikan!”

Hidup adalah sembunyi. Belajarlah seni menyembunyikan! Sembunyikan rupamu! Sembunyikan hatimu! Ada lebih banyak kata-kata dalam diam

Aan Mansyur (Celana Dalam Rahasia Terbuat Dari Besi)

Buku Perkara Mengirimkan Senja

Kak Aan, terima kasih untuk rangkaian kata ini. Sangat indah, sangat mengesan

II

Saya telah banyak belajar seni menyembunyikan tetapi saya sering sahaja terlupa seni menyembunyikan tawa kerana ramai yang fikir kerana tawa yang tidak disembunyikan ini, mereka gemar menyakiti.

III

Saya juga harus belajar seni tersenyum tanpa tawa kan?