Kepada Kekasih Tak Kunjung Tiba


Selepas perbualan tentang buku Sapardi dan komentar gambar profil di Facebook.


Kepada Kekasih Tak Kunjung Tiba

(kepada Faisal Mat Zawi)

 

Kopi kutunggu diseduh barista di balik dapur

baunya sehingga ke meja putih di tepi jendela

di situ aku memerhati tolakan pintu diam

dan mengenang janjimu tak pernah padam.

 

Hujan bakal kau bawa buat mendinginkan

hangat kopi menjalar di hujung lidahku

serta rinding tubuhku tiap kau bacakan

puisi tanpa nama kau tulis dalam bukumu.

 

Begitu lama aku atur janji temu

yang kau tundakan bersilih waktu

tubuhku lama terbakar rindu

dipadamkan hanya dalam tanganmu

 

Kopi kutunggu telah tiba, kekasih

Kau masih tak datang berkasih.

 

Ainunl Muaiyanah Sulaiman

Catatan Sapardi Kepada Gibran


Selepas perbualan ringkas di laman facebook

Catatan Sapardi Kepada Gibran
(Untuk 
Faisal Mat Zawi)

Apakah kau bisa menakluk
manusia dengan kata-kata?
Jawaban itu kucari dalam
secawan teh kita minum
buat memabukkan diri.

Kau tak memberi jawaban
atau tidak pernah mahu
Soalan itu sudah punya
jawaban sebelum ditanyakan

kata-kata adalah kekasih
semua manusia dan cinta
punya kuasa menakluk diri
semua pasangan kekasih

Ainunl Muaiyanah Sulaiman

Kepada Catatan Perempuan Rumah Tumpangan




(Untuk Faisal Mat Zawi – Catatan Kepada Perempuan Rumah Tumpangan)




Kalau doa itu boleh menulis, dia pasti selalu tertanya, apakah yang akan disebutkan oleh perempuan rumah tumpangan, yang telah mengangkat tangannya dan berfikir bagaimana untuk bercakap dengan tuhannya, tuhan semua manusia. Doa selalu sahaja menjadi alat untuk menunjukkan keadaan tidak paralel dalam diri manusia, selalu sahaja penulis cerpen menggunakan dirinya untuk menunjukkan keadaan itu, bagaimana seorang manusia paling hina (pelacur-watak penulis cerpen ini) yang juga ingin berdoa, walaupun dia tidak tahu bagaimana, dan di dalam diri setiap manusia walaupun sehina mana pun dia, mahu juga rasa bertuhan.



Tetapi doa selalu juga bertanya, kepada penulis cerpen yang menjadikan dirinya watak utama dalam cerpennya, di penghujung, untuk apa, dia diangkat menajdi watak utama, jika dia sendiri tidak tahu besar atau kecil peranannya dalam hidup pelacur itu. Dan kepada penulis cerpen, doa mahu sahaja mengatakan, watak perempuan pelacur selalu sahaja diangkat dan kalau pelacur menjadi watak di dalam sebuah cerita, tentu sahaja dia berlainan daripada pelacur yang lain yang melacur untuk keseronokan dan wang tetapi mungkin tidak dia, seperti Dewi Ayu dalam Cantik Itu Luka yang melacur kerana merasakan tiada apa yang hendak dilakukan di dunia ini, atau Salina yang melacur untuk menghidupkan diri Fakar, atau Pinkie dalam Lantai T. Pinkie. Dan di dalam cerpen ini, doa yang dipilih sebagai hero telah menjadi hero yang tidak kuat, hero yang hanya berdiri di sisi pelacur memikirkan bagaimana pelacur itu mahu belajar menyebut dirinya, tanpa mengetahui apakah kekuatannya untuk pelacur itu berterusan berusaha mengingati dirinya. Sekurang-kurangnya doa mahu diberi kuasa menyelamatkan perempuan itu, kalau tidak imannya tetapi jiwanya.

Ulasan Buku: ELEGAN-Daripada Kebiasaan Kembali Kepada Kebiasaan


Membaca sejumlah puisi daripada kumpulan sajak penulis baharu sememangnya tidak boleh dijangka membuatkan kita seolah-olah dilambung ke dalam keindahan dunia kata-kata, atau pembinaan imaginatif yang sofisikated, kesegaran suaranya, nasihat dan pesanan yang membenamkan kita ke dalam renungan tetapi sekurang-kurangnya kumpulan sajak itu tidak boleh tidak haruslah memberikan harapan bahawa dunia puisi itu punya kelangsungannya.

Enam belas penyajak dengan 64 buah sajak, setiap seorang menyumbang 4 buah sajak di dalam antologi penulis ELEGAN ini cuba membawa tubuh sajak dan para penulisnya. Dan tubuh sajak itulah yang saya cari semasa membaca antologi sajak ini dan tentunya saya mencari suara penyajak itu sendiri.

Semua orang boleh menulis apa sahaja yang mereka lihat dan rasa tetapi apa yang membezakan orang biasa yang mereka yang memilih jalan mengungkapkan apa yang mereka lihat dan rasa ke dalam sebuah sajak, adalah sejauh mana penyajak dapat memberikan kepada pembaca, kaca mata yang baharu untuk melihat semua hal itu dan isu yang dipilih oleh penulis. Inilah mungkin masalah yang dihadapi oleh Sanisha Bogaraja, Syafiq Mahyani di dalam sajaknya. Tema yang dipilih, nah kita semua tahu, tetapi suara sajaknya telah berulang kali ditulis, tiada apa yang baharu, tiada apa yang boleh saya pegang sebagai tubuh penyajak itu sendiri, bahasanya masih ditahap biasa, pemilihan metaforanya juga masih lagi biasa.

3 daripada 4 sajak S. Fatimah Said adalah bertemakan ketuhanan dan beridentitikan Islami (meminjam istilah di Kata Penghantar), begitu juga Misraini Wazir tetapi kedalaman perenungan diri dan rasa ketuhanan tidak cukup menusuk dalam pemilihan kata, pembinaan emosi melainkan dihujung sajak itu ditemui keluh kesah dan keinsafan kepada diri sendiri, hanya tidak sendiri tidak pembacanya. Seperti kalau diizinkan untuk saya memberi contoh, seorang peran di atas pentas sedang menangis kesedihan tetapi penontonnya tidak mengetahui apakah kesedihan itu dan tidak merasai kedalaman kesedihan itu untuk turut menangis bersama-sama. Tidak salah tema ini dipilih malah pilihlah apa-apa pun tema dan label sekalipun tetapi di penghujungnya sebagai pembaca, kita bukan hanya mahu membaca rintihan atau keinsafan yang dikatakan pengarang secara terang-terangan tetapi bagaimana keinsafan itu datang menyusup perlahan-lahan melalui cara penyajak menulis.

Kecenderungan penyajak memilih penggunaan perkataan arkaik seperti kartika atau perkataan pinjaman bahasa asing (dalam konteks ini bahasa arab), seperti khusnul-mu (Wafa Awla- Rindu Kuapung Menjadi Cinta) memang jelas terlihat di dalam beberapa buah sajak yang lain, dan menimbulkan pertanyaan sejauh mana pemilihan perkataan ini berguna dan memberi kelainan kepada sajak itu. Apakah ada impak yang berlainan? Saya khuatir kalau kalau-kalau perkataan ini ditambah untuk memberi nuansa bombastik sahaja. Dan ada waktunya penggunaan perkataan arkaik/klasik/bahasa asing yang tidak membantu melonjakkan imejan sajaknya tetapi sekadar hanya memberatkan sajaknya.

Saya menunggu saya dilibas pena (memetik Kata Penghantar) dan dibunuh di hujung setiap sajak, ada beberapa sajak yang hampir melibas dan membunuh saya, hampir sahaja tetapi mungkin penanya tidak cukup tajam, mungkin penanya tidak sebegitu hampir ke tubuh saya untuk membunuh saya dengan sajaknya. Ada sudut pandang yang baik seperti sajak Baju Putih, Bunga Merah (Nora Nabila) namun Nora Nabila harus lebih menjelajah cara bagaimana sudut pandang yang baik itu boleh disampaikan tanpa mengabaikan pemilihan sandingan kata dan pembetukan imej dan emosi yang tersusun dan baik. Sajak-sajak seperti ini seperti atom yang aktif tetapi tidak stabil dengan elektron di dalamnya dan kalau tidak dikawal boleh sahaja menjadi radikal bebas yang membahayakan.

Namun, tidak dapat dinafikan ada beberapa sajak yang menghiburkan hati ketika membacanya. Sajak Membacamu karya Shamsul Amin, kekuatan pembinaan imej dunia bukunya –perdebatan ilmu yang dirincikan dengan penuh rapi dan disudahkan dengan penutup yang melabuhkan tirai perlahan-lahan, biar kitabmu kukhatami impaknya segunung erti, biar seteru kita berkait di kelingking cuma. Juga ada sajak yang punya judul memikat seperti mana sajaknya seperti Ya Humaira, Engkau Sebenar-benar Pertanyaan Dari Tuhan (Sayidah Mu’izzah)

Beribu syair yang kutulis

Tiada sehelai pun turun ke jiwa

Seperti sebatang pohon pun

Yang pernah menjadi kertas kertas itu

Tak pernah mulia di matamu

 

Walaupun Meja Kopi Dunia (Hafiz Latiff) memilih nada didaktik dalam sajaknya dan kelihatan begitu santai tetapi penyajak memilih penyudahan yang menimbulkan kontradiksi kepada pembacanya. Nah rasa inilah yang harus dibina oleh penyajak kepada pembaca.

 

Engkau memilih

Sekeping roti

Jelas tampak kulatnya

Dan aku

Menjamah roti yang

Tampak elok luarannya

Dengan penuh bimbang

 

Adalah tidak adil untuk memberikan kata putus terhadap tubuh sajak dan para penulisnya, apakah mereka ini membawa kelangsungan dalam dunia sajak, apakah mereka hanya menulis sajak hanya membentukkan ayat ditambah luahan perasaan (memetik Layangan Editor) melalui 4 buah sajak setiap seorangnya tetapi apa yang lebih penting, mereka memerlukan sejumlah usaha yang keras untuk menjinakkan pengaruh Usman Awang, Muhammad Haji Salleh atau mungkin T. Alias Taib atau sesiapa sahaja dalam diri mereka seterusnya perlahan-lahan mengasuh sajak mereka menjadi jauh lebih baik daripada ini. Mereka harus memecahkan kepompong dan zon selesa dalam pemilihan frasa dan sudut pandang baharu agar tidak mengulangkan simile, metafora, personafikasi yang telah digunakan penyajak terdahulu. Dan hal ini bukanlah sesuatu hal yang mudah atau diperoleh daripada bengkel seminggu dua sahaja, jika tidak sajak mereka akan menjadi daripada biasa kembali kepada kebiasaan sahaja.

Survival: Bagaimana mahu ke Kuala Lumpur dari Kuching pada masa kecemasan!


Nah! Begini. Kau sudah beli tiket penerbangan ke Kuching pada Jumaat dan akan pulang pada hari Isnin tetapi ketua tidak meluluskan cuti hari Isnin dan kau sudah lama berjanji untuk datang majlis perkahwinan teman baikmu. Lalu bagaimana? Kau sudah terlanjur berjanji, kau sudah menempah penginapan, kau merencana pemergian dengan teman kau yang lain, dan paling utama kau tidak mendapat cuti. Kau mahu meneruskan agenda percutian atau kau mahu menderma kepada AirAsia yang sememangnya sudah sedia kaya raya?

I

Kau boleh sahaja menukar tiket penerbangan. AirAsia tidak sekejam yang kau fikir dan you get what you pay. Tetapi kau harus memastikan, tiket penerbangan yang hendak ditukar haruslah memenuhi 2 ciri ini barulah kau boleh menukar tiket penerbangan.

    i.Belum check-in lagi

    ii. Lebih 48 jam daripada tarikh pelepasan.

Nah, AirAsia memang pintar membuat wang dengan mengenakan segala denda. Lalu untuk menukarkan tiket penerbangan dari Kuching pada hari Isnin ke hari Ahad, dikenakan denda sebanyak RM100. Kau masih baik-baik saja dengan harga denda itu tetapi mata kau mesti terbeliak melihat harga tiket yang berkali ganda daripada tarikh kau membelinya sehingga mencecah RM500 dan penerbangan yang 12 hari sekali cuma berbaki 2 penerbangan sahaja. Kau terfikir musibah apakah yang sedang melanda. Mengapa terlalu ramai orang mahu meninggalkan Bandar Kuching pada hari itu. Kau langsung tidak tahu pada tarikh itu, cuti umum merdeka bertembung dengan pendaftaran pelajar baru di UNIMAS. Tentu sahaja pelajar dari Semenanjung akan memilih dua buah syarikat penerbangan ini untuk ke sana. APa kau fikir, kita sudah ada khidmat kapal persiaran Semenanjung-Borneo?

Dan kau sudah kecewa.

Nah, apa lagi pilihan yang kau ada?

II

Kau boleh mencuba nasib, Airasia punya penerbangan Kuching-Penang dan Kuching-Johor, nanti dari sana kau boleh pilih menaiki bas atau keretapi ke Kuala Lumpur. Pilihlah penerbangan awal pagi hari Ahad. Tetapi mata kau pun sudah terbeliak apabila harga tiketnya lebih mahal daripada penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur dan penerbangan hanya bersisa satu sahaja.

Dan kau sudah kecewa untuk kedua kali

Nah, apa lagi pilihan yang kau ada?

III

Kau sudah hampir putus asa dan mengatakan separa hati yang tidak mahu ke Kuching. Sebagai protes, kau tidak mengemaskan apa-apa barang sekalipun. Semasa dalam protes, kau sempat terlihat passport Malaysia di atas meja. Lagi 6 jam sebelum penerbangan ke Kuching, kau pun terfikir idea gila.

Apa kata kita lihat tiket penerbangan dari Kuching ke Singapura???

Yay. Tiket penerbangan jauh lebih murah. Dari Changi ada MRT menuju ke Bandar dan harga tiketnya sama rata (bukan seperti di Malaysia yang harga tiket ERL jauh lebih mahal, diskriminasi huh?). harga tiket MRT hanya $2 sahaja. Dari Singapura kau boleh sahaja memilih keretapi atau bas untuk ke Kuala Lumpur. Tiketnya dalam RM60+++ sahaja. Kau sudah jauh lebih untung kan? Hasil carian di internet membantu kau untuk merencana perjalanan ke kota asing. Jadi? Bagaimana? Walaupun kau tidak pernah ke Singapura dan ke luar negara hanya sekali iaitu Makassar, tetapi kau boleh mencuba kan?

Nah, apakah pilihan kau??

IV


Welcome to Terminal 1 Changi International Airport


Nampak tak? Welcome to Singapore! J


Kena naik skytrain untuk ke Terminal 2 kerana MRT hanya di Terminal 2


Tukar duit Singapore Dollar. Kertasnya seperti duit baharu Bank Negara.



Di kastam Malaysia.