Kepada Catatan Perempuan Rumah Tumpangan




(Untuk Faisal Mat Zawi – Catatan Kepada Perempuan Rumah Tumpangan)




Kalau doa itu boleh menulis, dia pasti selalu tertanya, apakah yang akan disebutkan oleh perempuan rumah tumpangan, yang telah mengangkat tangannya dan berfikir bagaimana untuk bercakap dengan tuhannya, tuhan semua manusia. Doa selalu sahaja menjadi alat untuk menunjukkan keadaan tidak paralel dalam diri manusia, selalu sahaja penulis cerpen menggunakan dirinya untuk menunjukkan keadaan itu, bagaimana seorang manusia paling hina (pelacur-watak penulis cerpen ini) yang juga ingin berdoa, walaupun dia tidak tahu bagaimana, dan di dalam diri setiap manusia walaupun sehina mana pun dia, mahu juga rasa bertuhan.



Tetapi doa selalu juga bertanya, kepada penulis cerpen yang menjadikan dirinya watak utama dalam cerpennya, di penghujung, untuk apa, dia diangkat menajdi watak utama, jika dia sendiri tidak tahu besar atau kecil peranannya dalam hidup pelacur itu. Dan kepada penulis cerpen, doa mahu sahaja mengatakan, watak perempuan pelacur selalu sahaja diangkat dan kalau pelacur menjadi watak di dalam sebuah cerita, tentu sahaja dia berlainan daripada pelacur yang lain yang melacur untuk keseronokan dan wang tetapi mungkin tidak dia, seperti Dewi Ayu dalam Cantik Itu Luka yang melacur kerana merasakan tiada apa yang hendak dilakukan di dunia ini, atau Salina yang melacur untuk menghidupkan diri Fakar, atau Pinkie dalam Lantai T. Pinkie. Dan di dalam cerpen ini, doa yang dipilih sebagai hero telah menjadi hero yang tidak kuat, hero yang hanya berdiri di sisi pelacur memikirkan bagaimana pelacur itu mahu belajar menyebut dirinya, tanpa mengetahui apakah kekuatannya untuk pelacur itu berterusan berusaha mengingati dirinya. Sekurang-kurangnya doa mahu diberi kuasa menyelamatkan perempuan itu, kalau tidak imannya tetapi jiwanya.