Tentang Perbezaan


Saya dan Nissa’ selalu punya perbezaan ketara soal pemilihan puisi yang suka dibaca. Nissa’ bermula di MPR sebagai penyajak (walaupun dia sudah ada novel dahulu daripada saya) sedang saya sebagai cerpenis. Penyajak kegemaran ialah Muhammad Haji Salleh, sedangkan saya terlewat jatuh cinta pada puisi mencintai puisi Sapardi Djoko Damono dan T. Alias Taib. Namun kami juga punya penyajak kegemaran yang sama iaitu Zurinah Hassan, yang bila-bila kami tersesak di jalan raya, sajak Ingatan Pada Satu Kasih Tak Jadi akan cuba diingati dan cuba dibaca secara bersambung-sambung.

Kami jarang berbual soal sastera atau dunia sastera atau buku yang kami baca, walaupun sama-sama kenal melalui dunia sastera (MPR) melainkan perbualan kami di YM selalunya tentang peralatan komputer, wayang menarik, rencana poya-poya hujung minggu, sesekali tentang hati dan perasaan sambil bertukar-tukar lagu terbaharu di pasaran atau tentang gosip artis (KRU paling utama). Dan saya fikir begitulah kami menghormati perbezaan masing-masing, tanpa perlu menggariskan dengan jelas tentang perbezaan selera kami dalam dunia sastera.

Semalam, semasa berkunjung ke rumahnya dan buku Muhammad Haji Salleh boleh dikatakan ada di setiap penjuru bilik (haha, ini memang pemerian yang hiperbola) dan saya mengambil salah buku puisi Muhammad dan membacanya sekilas pandang dan menyatakan betapa puisi Muhammad bukan jiwa saya tetapi saya menyukai sebahagian besar sajak Muhammad Haji Salleh dalam Salju Shibuya dan juga buku yang baharu saya semalam, Kalau, atau dan maka. Nissa menunjukkan salah satu sajak kegemarannya, Selamat Pulang, Juita dalam buku Kalau, atau dan maka serta membacanya dengan penuh kegembiraan dan saya, meski saya tidak begitu menyukai sajak Muhammad akan membiarkan sahaja Nissa berkongsi kegembiraannya dan kerana ada waktunya saya juga akan berkongsi kegembiraan saya apabila membaca rentetan sajak-sajak yang saya sukai.

Dan saya terfikir, jika kita terlalu mencari persamaan untuk rasa serasi dengan seseorang atau mahu mencari orang yang punya persamaan sahaja, kita akan terlepas beberapa perkara dalam hidup. Menyandarkan persahabatan kerana persamaan itu sebenarnya juga sangat bahaya, kerana apabila kita bertelegah, tiada apa yang boleh menyanggah persahabatan itu lagi. Perbezaan juga mengajar kita untuk lebih menghormati kawan kita dan juga membuatkan kita lebih tahu tentang perkara yang kita tidak tahu seperti software PC misalnya. Hehe…

Saya turunkan puisi yang dibaca oleh Nissa Yusof malam tadi dan ada beberapa perenggan yang saya suka alun bahasa Muhammad Haji Salleh berbanding dalam buku Aksara Usia.

 

Selamat Pulang, Juita

(buat juita, yang lahir pada 17 Ogos 1981)

 

i

selamat pulang, juita

ini rumah kita,

ruangnya sederhana,

tetapi bertetangga baik,

oleh itu lebarnya sekampung.

Kau akan besar di laman keliling

Di bawah lindung mangga depan,

Mengait jambu di musim hujan,

Menjaga dan menyarung putik cempedak,

Dan mengutip langsat luruh

 

Ii

Di rumah ini, kau akan tau nanti,

Bahawa kami inginkan kau bebas

Kerana kebebasan itu lingkungan wujud

Yang akan menumbuhkanmu

Memperpucukkan percaya

Berbunga menjadi benih baru

Kebebasan bermakna mempelajari tanggungjawab

Yang datang dengan hak

Kebebasan membantu perasaan

Seperti ia melahirkan fikiran

 

iii

Kebebasan itu pahat pada tangan tukang

Warna pada pandangan

Dan kata pada fikiran

Belajarlah jiwanya

Supaya kau hidup bebas

 

iv

Kami inginkan kecantikan untukmu

Kerana kau perempuan

Tapi kami pohon

Ialah kecantikan yang diamanatkan kebijaksanaan

Ditegakkan oleh keluasan hidup

Diarahkan oleh ilmu

 

v

Selamat pulang juita

Ini rumahmu

Kami aturkan ruang untukmu

Aturkan hari kami

Supaya kau menjadi matahari

 

Muhammad Haji Salleh

(Kala, Atau dan Maka, DBP)

(Selamat Pulang Juita (terjemahan ke Sepanyol), ITBM 2009)

 

 

Sajak ini juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Sepanyol oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia pada tahun 2009 dalam buku berjudul Selamat Pulang, Juita. Kalau siapa yang tidak jumpa kumpulan puisi asalnya, boleh juga dapatkan yang versi terjemahan yang juga punya versi bahasa Melayu.

 

Advertisements

3 thoughts on “Tentang Perbezaan”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s