Memo Untuk A IX: Lagu Penghujung November


Pink Martini – Veronique


Penghujung November telah tiba dan lagu ini menghantui saya, setiap hari, berulang kali.

Surat yang saya tulis tidak pernah saya kirim, alamatnya telah hilang pada sampulnya tetapi tidak pernah hilang dalam ingatan saya. Tetapi tiap satu patah perkataan itu saya ingat benar dan apakah surat yang tak terkirim itu isyarat untuk kau kembali?

Advertisements

Dari Ujung Benua Ke Ujung Pandang (13- 20 Jun 2012): Pemergian Pertama



I
Ini kali pertama saya ke luar negara. Bersendirian. Tidak merancang dengan sesiapa. Impian ke Ujung Pandang adalah impian bertahun-tahun. Saya pernah membuat kenyataan, “Saya tidak pernah akan ke mana-mana daerah Indonesia selepas saya ke Makassar.” Terlalu banyak hal yang menunda pemergian, selain daripada kewangan, merancang jadual waktu yang dipersetujui oleh semua orang yang tidak pernah selesai, akhirnya di dada LCCT ini, saya sendirian, dengan euforia yang sangat gembira dan peta Sulawesi Selatan yang penuh sendat dalam fikiran dan pengalaman yang hampir tiada untuk berurusan di lapangan terbang.
II

Semasa Nissa’ Yusof mengambil saya di rumah, kami berfikir-fikir di mana untuk bersarapan. Saya mencadangkan KL Sentral terus. Mudah dan senang. Tiba-tiba kami rindu makan nasi lemak. Yang tepatnya nasi lemak daun pisang. Bukan yang dibungkus plastik atau pisang. Dan melencong ke DBP, di bucu DBP kami menemui nasi lemak daun pisang. Kadangkala kita jadi rindu pada alamiah. Kami makan nasi lemak sambil bincang projek juta-jutaan.

Uthaya Shankar mengirim pesanan ringkas semasa saya dalam perjalanan ke LCCT dari KL Sentral menggunakan bukan bas Skybus. bas berwarna kuning dan saya penumpang terakhir yang masuk ke dalam perut bas. Saya mahu segera tiba kerana sudah sedikit terlewat. Saya sedikit menyesal kerana hawa dingin dalam bas itu seperti hampir tiada. Uthaya sudah berada di LCCT lebih awal kerana dihantar temannya. Dia diundang menjadi tetamu untuk Makassar International Festival Writer yang bila mana saya beli tiketnya, saya tidak tahu dia turut akan ke sana.

Saya dan Uthaya memutuskan untuk makan di McD (ini zaman sebelum isu boikot jadi isu yang memecah-belahkan ummah) Ketika itu saya teringat kata-kata kawan saya, “kalau jumpa McD di Makassar, jangan lupa tangkap gambar!

Penerbangan ke Makassar jam 12.45petang 🙂


Sejujurnya ini kali pertama saya keluar negara, saya jadi khuatir, bagaimana kalau boarding pass tidak lepas, kalau saya salah ke kaunter pendaftaran, ke pintu pelepasan tapi mujur ada Uthaya yang pergi sama. Tidaklah terus terang sahaja buta sesat seorang diri. Walaupun pada asalnya saya tekad ke Makassar seorang diri (tepatnya untuk ke Makassar International Writer Festival). Harapan saya bergantung kepada seorang temannya saya yang saya kenal di blog dan bertahun-tahun mengajak saya ke Makassar, Firdaus Amyar. Sekarang di sudah berada di U.K melanjutkan pelajaran peringkat PhD. Dia sudi menyediakan akomodasi dan menjadi pemandu pelancong serta wisata kuliner!

Kapal terbang yang siap sedia berpisah daripada landasan 🙂
Uthaya Shankar siap sedia menaiki kapal terbang
Wah! memang sedikit mahal harga minuman dan makanan. Mujur sudah makan McD (yang sudah sedikit mahal)


III
Kapal terbang bergerak perlahan dan mula bertambah kelajuan, dari tingkat ruang menunggu saya memerhatikan kapal terbang sebelum ini meninggalkan landasan. Saya sudah melihat perpisahan.

Di ruang menunggu, saya dan Uthaya saling bertukar informasi tentang Makassar. Uthaya sebolehnya mahu pergi dengan kosong pengetahuan dan mahu explore sendiri apabila tiba di sana. Sedang fikiran saya tentang Makassar seperti Wikipedia. Kata kawan saya sebelum ini, saya mencintai Makassar lebih daripada orang Makassar, walaupun sekalipun saya tidak pergi ke sana. Saya hanya tersenyum mendengar katanya.

Saya sangat teruja dan menangkap gambar semahunya. Tambahan pula, baru dipinjamkan kamera. Saya bertemu Bernice Chauly. Oh, saya memang suka lakonannya dalam Gol dan Gincu, wataknya sebagai ibu kepada Puteri. Bernice juga diundang ke Makassar International Writer Festival (MIWF2012). Jadi kami bertiga sahaja orang Malaysia ke sana. Bernice mengatakan wajah saya sudah nampak teruja, ya, ini penerbangan saya ke luar negara, yang pertama kali menaiki Air Asia, yang menjadi kembara solo sendiri. Sudah tentu saya teruja. Ini saya. Kalau orang lain mungkin tidak terasa apa-apa. Tetapi orang selalu mengingati perihal yang pertama. Yang akan dikenang sepanjang masa.

Di kerusi 16E, di belakang saya ibu dan dua orang anak yang sering membuat bising, walaupun saya sedikit terganggu. tetapi saya fikir, setiap orang punya cara untuk meraikan kegembiraannya 🙂

Saya sudah jatuh hati dengan langit daripada jendela kapal terbang


Dari kiri, menu makanan di AirAsia, buku nota Catatan Ujung Pandang, serta jam yang dipinjamkan seseorang untuk lihat waktu kerana saya orang yang tidak berjam


IV
Pengumuman daripada kapten kapal terbang membuatkan saya sedar saya hampir sahaja tiba di Makassar. Yang saya lihat dari langit di tepi jendela pesawat kapal terbang, adalah pulau-pulau awan. Pulau itu seperti sedang bersedia merentang pelukan menyambut kedatangan saya. Saya tiba sudah malam gelita. Saya lihat juga lampu-lampu kota, lantas saya teringat twitter Aan Mansyur

“Melihat matamu seolah-olah melihat satu-satunya jendela yang bercahaya pada waktu malam.”

V
Melalui imegresen yang lama, tetapi tidak mengapa kerana akhirnya saya tiba di Bandara Udara Sultan Hasanuddin. Oh, macam tidak percaya sudah tiba di sini, di Makassar! Di Ujung Pandang. Setelah bertahun-tahun merencana, dan membatalkan, kemudian akhirnya, menjejakkan kaki di Ujung Pandang.

Selamat Datang Di Bandara Sultan Hasanuddin.

Membaca puisi Aan Mansyur, saya fikir Makassar dan Indonesia punya beza masa sejam, nyatanya tidak. Sungguhpun dari Peta Makassar dilihat kota yang  paling jauh dicapai AirAsia, nyata kami berkongsi zon waktu yang sama. Tiba di Bandara Sulatan Hasanuddin dalam jam 7.30, langit sudah terlalu gelap, seperti jam 8.00 malam di Malaysia. Walaupun tidak berbeza zon waktu tetapi waktu  tiba lebih awal di Makassar.

VI
Firdaus sudah menunggu di ruang ketibaan. Dia melambai saya. kami tidak pernah berjumpa tetapi dia kata mengenal saya lewat foto. Dan saya dibawa berjumpa dengan isterinya Dewi serta anaknya Faris dan Fahmi, nan manja.

Saya dibawa ke Warung Pangkep untuk merasa sup konro & kikil. rasanya tidak asing tetapi sup tulang cuma lebih bening dan tidak terlalu pekat. Nanti saya akan ceritakan satu entri makanan sahaja! Kemudian, saya dibawa ke Wisma Faris, untuk penginapan. Wisma Faris menyediakan akomodasi yang menyenangkan dan sesuai dengan budget pengembara. Sangat sesuai untuk yang ingin berjimat cermat.

Saya sudah terlalu lelah dan mahu berehat dahulu. Dalam kepala saya terbayang, peluncuran Makassar International Writer Festival di Fort Rottemdam, perlahan saya bermimpi.

Puisi Perkahwinan – Kekasih


I

Dengar khabar, puisi yang ditulis Usman Awang ini ditujukan untuk isterinya. Saya jatuh cinta pada puisi ini sejak terdengar lagu puisi yang dinyanyikan oleh kumpulan tersohor dalam lapangan ini, iaitu Kopratasa.

Lagu ini pernah saya jadikan ringtone khusus untuk seorang pemanggil. Waktu itu baru sahaja beli telefon canggih (sekarang telefon itu tidak canggih dah, hahaha)

Walaupun, puisi ini sangat indah dan sangat membuai, saya tetap terganggu sedikit di penghujung puisi ini kerana baris terakhirnya. Ini kerana semua susunan rangkap demi rangkap, imejannya sangat dekat dengan alam Melayu tetapi pada rangkap terakhir apabila diselitkan perkataan yang dipinjamkan daripada bahasa asing, menjadikan puisi ini sedikit sahaja janggalnya.

Tetapi lagu puisi ini sering kali diulang-ulang dengar terutamanya sekali waktu hujan. Apabila sampai di bahagian, Akan ku anyam gelombang-gelombang Menjadi hamparan ranjang tidurmu, mesti fikiran saya sudah melayang ke bulan

II

 

Usman Awang – Kekasih

Akan ku pintal buih-buih
Menjadi tali mengikatmu
Akan ku anyam gelombang-gelombang
Menjadi hamparan ranjang tidurmu

Akan ku tenun awan gemawan
Menjadi selendang
Menudungi rambutmu
Akan ku jahit bayu gunung
Menjadi baju pakaian malammu

Akan ku petik bintang timur
Menjadi kerongsang menyinari dadamu
Akan ku jolok bulan gerhana
Menjadi lampu menyuluh rindumu
Akan ku rebahkan matahari
Menjadi laut malammu
Menghirup sakar madumu

Kekasih…
Hitunglah mimpi-mimpi
Yang membunuh realiti
Dari syurga ilusi

III
Versi lagu puisi

Puisi Perkahwinan: Satu Cerita Cinta


I

Rujuk entri terdahulu mengapa judul entri ini Puisi Perkahwinan.

II

Saya sememangnya suka puisi Zurinah Hassan sehingga boleh ‘ter’hafal puisinya dan dibacakan di waktu senggang. Dr. Zurinah Hassan, saya kira antara penyair wanita terbaik Malaysia. Puisi ini pernah saya letakkan untuk salah satu album gambar di facebook yang telah diprivasikan dan yang cuba dihilangkan perlahan-lahan dalam fikiran saya bahawa saya punya album gambar tersebut. Bak dalam sajak Dr. Zurinah yang lain, iaitu Ingatan Pada Satu kasih Tak Jadi yang saya ubah-suai sedikit. “Kesilapannya, aku mengatur gambar-gambar
dalam sebuah album yang indah
sedang kau tidak pernah melihat gambar-gambar itu.”

Untuk puisi ini, saya sangat suka bahagian ini yang saya fikir boleh digunakan semasa sedang dalam keadaan ribut taufan perkahwinan iaitu,

“Perkahwinan kadang-kadang
mengajar kita melupakan cinta
untuk belajar hidup bersama.”

III

Zurinah Hassan – Satu Cerita Cinta

Di hari ia melahirkan cintanya
Ia berkata kepada kekasihnya
“Kita tidak usah berjanji untuk setia
kerana kita tidak mahu setia kerana janji
kita akan setia kerana cinta
hanya kerana cinta…”

Di hari perkahwinannya
Ia berkata kepada isterinya
Perkahwinan ini adalah ikatan
tapi kita tidak usah terikat kerananya
kita terikat kerana cinta
hanya kerana cinta…”

Di hari-hari kemudiannya
Ia berkata kepada dirinya
“Perkahwinan kadang-kadang
mengajar kita melupakan cinta
untuk belajar hidup bersama.”

Puisi Perkahwinan: Resep Sederhana Mengawetkan Cinta


I

Apabila mula masuk cuti sekolah dan bertindihan dengan tarikh-tarikh cantik ini, saya ingin berkongsi puisi-puisi tentang perkahwinan yang saya tahu di blog ini. Saya akan memuat-naik satu puisi setiap hari. Puisi ini boleh sahaja dibacakan oleh pengacara ketika mengacarakan majlis, atau kepada sesiapa yang menulis dalam guest book pengantin, atau di dalam kad yang mengiring hadiah perkahwinan.

Semua puisi perkahwinan ini adalah puisi yang saya suka baca, dan salah satu daripada puisi ini ingin saya abadikan dalam kad perkahwinan saya (impian sejak zaman belasan tahun, hahaha)

II

Puisi ini saya temui dalam salah satu blog Aan Mansyur dan saya terus sahaja jatuh hati kepada puisi ini (ya, saya tahu pembaca blog mungkin dah bosan membaca saya jatuh hati dengan sajak Aan Mansyur. Hahaha) Saya telah menghadiahkan puisi ini di dalam salah satu guest book majlis perkahwinan kawan baik saya dua tahun yang lalu.

Aan Mansyur menuliskan sajak ini untuk temannya yang Aan tidak dapat menghadiri majlis perkahwinannya.(Kalau tidak silap saya)

Saya sukakan resipi mengawetkan cinta di dalam sajak ini dan sungguh saya menunggu untuk mengatakan kepada (bakal) pasangan saya (yang sedang hilang GPS ke hati saya, hahaha)

sungguh, sayang, saya beruntung menemukan
seseorang yang kepadanya mulutku sangat
sangat sangat berat buat mengatakan satu
kalimat-dua-kata: selamat tinggal.

III


Aan Mansyur – Resep Sederhana Mengawetkan Cinta

jika anda mendengar atau membaca
kalimat sederhana entah dari siapapun,
entah di mana, catat atau ingatlah satu
atau dua kata dari kalimat tersebut.

masukkan kata-kata itu
ke dalam sebuah puisi sederhana.
tak perlu memaksa diri menulis puisi
yang, katakanlah, terlalu berbunga-bunga.

di bawah judul, tuliskan nama pasangan anda.
atau jadikanlah namanya sebagai judul puisi
—bisa menambah kata ‘untuk’ atau ‘buat’
di depannya. ingat, panggilan sayangnya saja.

atau sebaiknya saya ceritakan bagaimana
saya menggunakan resep sederhana ini.

saat berbulan madu, kami menonton film,
saya mendengar kalimat diucapkan seorang
dalam satu adegan di tengah-tengah film itu.

sekarang saatnya mengatakan selamat tinggal.

dengan kata-kata sederhana, saya lalu menulis
sebuah puisi pendek di kamar untuk istri saya.

‘selamat tinggal’ judulnya. saya tulis namanya
di bawah kata dari film yang jadi judul puisi itu.

sungguh, sayang, saya beruntung menemukan
seseorang yang kepadanya mulutku sangat
sangat sangat berat buat mengatakan satu
kalimat-dua-kata: selamat tinggal.

puisi itu saya tulis di balik foto pengantin kami

saya membacanya pertama kali di meja makan,
saat sarapan keesokan harinya. selanjutnya dia
selalu meminta saya membacanya ketika saya
sedang ditimpa kemarahan. juga sebaliknya.

kini, setelah lebih setengah abad sejak puisi itu
lahir, tak lama lagi salah seorang di antara kami
mungkin akan segera dimakamkan. sungguh,
masing-masing kami betul-betul sangat berat
mengucap kalimat selamat tinggal, sangat berat
mengembalikan puisi itu ke kalimat awalnya,
kalimat dari film yang kami sudah lupa judulnya:

sekarang saatnya mengatakan selamat tinggal.


Kehidupan yang Bermakna dalam The Useful Life


Di dalam panggung, ruang masa terasa begitu cepat berlalu. Kita memasuki kotak hitam itu mungkin pada pukul 5.00 petang dan apabila kita keluar, kita merasakan masih 5.00 petang tetapi sudah hampir pukul 8.00. Panggung membuat ruang masa terasa begitu cepat berlalu walaupun kita tidak sedar betapa terlalu banyak ruang kosong yang telah kita masuk tanpa kita sedar.

Dalam The Useful Life yang dibikin tahun 2010 tetapi dalam mode hitam putih dan dunia tidak moden, seorang lelaki penjaga panggung yang menjaga panggung itu hampir 25 tahun lamanya. Selain melakukan kerja penyelanggaraan, bersiaran di radio, dan dia melakukan perkerjaan itu hampir setiap hari selama 25 tahun sehinggalah pada satu hari Yayasan yang menaung panggung itu tidak mahu menyumbang lagi kepada perniagaan yang tidak berprofit (merujuk panggung itu yang sudah sekian lama dan menyiarkan cerita berbentuk arthouse) seperti yang dikatakan Cinemateca, where cinema for a good movie.

Dalam filem berdurasi 76 minit, kita selaku penonton dibawa ke dunia Jorge dan kehidupan sehariannya dalam lingkungan kerja dan hidupnya selapis demi selapis dipamerkan kepada penonton. Selepas Cinemateca ditutup, kita melihat Jorge cuba untuk hadapi dunia yang diluar yang dirasakan begitu perlahan dan begitu lambat untuk dihadapinya walupun sehari. Apakah dia boleh keluar dari dunia panggungnya dan berhadapan dengan dunia luar?

Filem ini memang terasa banyak ruang yang dibiarkan senyap dan perlahan seperti kamera statik pada pintu yang terbuka-tutup, Jorge yang berjalan dari kanan kamera ke kiri kamera.

Selepas mendapat pengesahan daripada pihak Yayasan bahawa mereka akan menutup panggung itu, Jorge dan rakan sekerjanya hanya berpandangan sesama sendiri dan Jorge makan chewing gum, tidak membantah, tiada emosi yang berantakan seperti mereka sudah lama menunggu mendengar hal itu, kemudian mereka berjalan pulang dan semasa mereka menuruni tangga, lampu pada perkataan Cinemateca tertutup. Walaupun tanpa tangisan, saya sudah berasa sangat sedih dengan scene tersebut kerana kita sebagai penonton sendiri tahu betapa akrabnya mereka dengan Cinemateca.

Selain itu, saya memang awal-awal lagi sukakan gambar pada dinding yang menghiasi Cinemateca iaitu fragmen by fragmen gambar kuda yang berlari dengan penunggangnya. Seperti fragment filem itu yang ditonton satu persatu, bergitu juga hidup Jorge yang rutinnya dilakukan satu persatu selama 25tahun dan pencahayaan yang cerah dan kemudian terang dan ada satu scene di mana watak Jorge berjalan keluar masuk antara pencahayaan gelap dan terang seperti dia sedang memikirkan jalan mana yang hendak diambil selepas penutupan Cinematica.


Saya sangat suka lagu dalam filem ini yang diambil daripada sajak Leo Masliah kemudiannya menjadi puisi. Tetapi tidak tahu judulnya dan cuba-cuba translate perkataan horse ke bahasa Spanish kerana sajak itu yang ditulis tahun 1980-1981 semasa zaman diktator di Uruguay adalah berkenaan kehilangan dua ekor kuda. Mujur saya dapat cari lagunya tetapi tidak berjumpa terjemahan lagu ini lagi. Saya sangat suka liriknya J

Saya menonton filem ini semasa Festival Filem Amerika Latin di KLPac pada 6 November 2012

Notis 6 Bulan


I
Dalam kerjaya saya, perkataan Deadline, Urgency, Final merupakan mainan sehari-hari. Cewah! Saya diberi deadline oleh orang, memberi deadline kepada orang. Dan deadline bukanlah mimpi buruk kepada saya lagi.

Tapi selepas pulang ke kampung baru-baru ini, nyata saya dihantui mimpi buruk dateline. Gundah hati saya. Gundah!

Ibu telah beri saya notis dan deadline 6 bulan untuk mencari pasangan hidup. Enam bulan!

Ini memang bukan novel cinta atau ini memang bukan drama TV3 atau videolog MatLutfi tetapi ini hal betul-betul yang saya dengar daripada mulut ibu saya sendiri. Di mana saya mengambil masa untuk percaya dengan notis 6 bulan itu.

Ah! Soalnya, mana saya nak cari pasangan hidup dalam masa 6 bulan!

Kusut!

 

II

Semuanya bermula, apabila ibu memanggil saya, dan secara tiba-tiba bernada serius serta mengatakan ayat yang penuh bahasa melayu tinggi, “Ibu bukan hendak buat permintaan terakhir, tetapi kau fikir-fikirkanlah.” Ayat pembuka bicara ibu memang sungguh menakutkan. Tetapi ayat seterusnya jauh lebih menakutkan. Saya seperti biasa. Buat muka tidak tahu dan seperti separa mahu melayan. Mungkin kerana dia sudah siap sedia dengan respons saya seperti masa ini, masa itu, maka dia sedia gunakan nama Abah serta kondisi Abah yang sudah renta kerana Ibu selalu faham yang saya jarang sekali menghampakan permintaan Abah (kerana Abah jarang meminta apa-apa).

Saya masih boleh buat tidak tahu juga kerana saya yakin benar abah tidak bersekongkol dalam rencana ibu. Dan melihat saya yang masih endah tidak endah, terus sahaja mendapat notis 6 bulan.

Isk.

III

6 bulan?

Ada sesiapa mahu hantar resume?

Hahaha