Dari Ujung Benua Ke Ujung Pandang (13- 20 Jun 2012): Pemergian Pertama



I
Ini kali pertama saya ke luar negara. Bersendirian. Tidak merancang dengan sesiapa. Impian ke Ujung Pandang adalah impian bertahun-tahun. Saya pernah membuat kenyataan, “Saya tidak pernah akan ke mana-mana daerah Indonesia selepas saya ke Makassar.” Terlalu banyak hal yang menunda pemergian, selain daripada kewangan, merancang jadual waktu yang dipersetujui oleh semua orang yang tidak pernah selesai, akhirnya di dada LCCT ini, saya sendirian, dengan euforia yang sangat gembira dan peta Sulawesi Selatan yang penuh sendat dalam fikiran dan pengalaman yang hampir tiada untuk berurusan di lapangan terbang.
II

Semasa Nissa’ Yusof mengambil saya di rumah, kami berfikir-fikir di mana untuk bersarapan. Saya mencadangkan KL Sentral terus. Mudah dan senang. Tiba-tiba kami rindu makan nasi lemak. Yang tepatnya nasi lemak daun pisang. Bukan yang dibungkus plastik atau pisang. Dan melencong ke DBP, di bucu DBP kami menemui nasi lemak daun pisang. Kadangkala kita jadi rindu pada alamiah. Kami makan nasi lemak sambil bincang projek juta-jutaan.

Uthaya Shankar mengirim pesanan ringkas semasa saya dalam perjalanan ke LCCT dari KL Sentral menggunakan bukan bas Skybus. bas berwarna kuning dan saya penumpang terakhir yang masuk ke dalam perut bas. Saya mahu segera tiba kerana sudah sedikit terlewat. Saya sedikit menyesal kerana hawa dingin dalam bas itu seperti hampir tiada. Uthaya sudah berada di LCCT lebih awal kerana dihantar temannya. Dia diundang menjadi tetamu untuk Makassar International Festival Writer yang bila mana saya beli tiketnya, saya tidak tahu dia turut akan ke sana.

Saya dan Uthaya memutuskan untuk makan di McD (ini zaman sebelum isu boikot jadi isu yang memecah-belahkan ummah) Ketika itu saya teringat kata-kata kawan saya, “kalau jumpa McD di Makassar, jangan lupa tangkap gambar!

Penerbangan ke Makassar jam 12.45petang🙂


Sejujurnya ini kali pertama saya keluar negara, saya jadi khuatir, bagaimana kalau boarding pass tidak lepas, kalau saya salah ke kaunter pendaftaran, ke pintu pelepasan tapi mujur ada Uthaya yang pergi sama. Tidaklah terus terang sahaja buta sesat seorang diri. Walaupun pada asalnya saya tekad ke Makassar seorang diri (tepatnya untuk ke Makassar International Writer Festival). Harapan saya bergantung kepada seorang temannya saya yang saya kenal di blog dan bertahun-tahun mengajak saya ke Makassar, Firdaus Amyar. Sekarang di sudah berada di U.K melanjutkan pelajaran peringkat PhD. Dia sudi menyediakan akomodasi dan menjadi pemandu pelancong serta wisata kuliner!

Kapal terbang yang siap sedia berpisah daripada landasan🙂
Uthaya Shankar siap sedia menaiki kapal terbang
Wah! memang sedikit mahal harga minuman dan makanan. Mujur sudah makan McD (yang sudah sedikit mahal)


III
Kapal terbang bergerak perlahan dan mula bertambah kelajuan, dari tingkat ruang menunggu saya memerhatikan kapal terbang sebelum ini meninggalkan landasan. Saya sudah melihat perpisahan.

Di ruang menunggu, saya dan Uthaya saling bertukar informasi tentang Makassar. Uthaya sebolehnya mahu pergi dengan kosong pengetahuan dan mahu explore sendiri apabila tiba di sana. Sedang fikiran saya tentang Makassar seperti Wikipedia. Kata kawan saya sebelum ini, saya mencintai Makassar lebih daripada orang Makassar, walaupun sekalipun saya tidak pergi ke sana. Saya hanya tersenyum mendengar katanya.

Saya sangat teruja dan menangkap gambar semahunya. Tambahan pula, baru dipinjamkan kamera. Saya bertemu Bernice Chauly. Oh, saya memang suka lakonannya dalam Gol dan Gincu, wataknya sebagai ibu kepada Puteri. Bernice juga diundang ke Makassar International Writer Festival (MIWF2012). Jadi kami bertiga sahaja orang Malaysia ke sana. Bernice mengatakan wajah saya sudah nampak teruja, ya, ini penerbangan saya ke luar negara, yang pertama kali menaiki Air Asia, yang menjadi kembara solo sendiri. Sudah tentu saya teruja. Ini saya. Kalau orang lain mungkin tidak terasa apa-apa. Tetapi orang selalu mengingati perihal yang pertama. Yang akan dikenang sepanjang masa.

Di kerusi 16E, di belakang saya ibu dan dua orang anak yang sering membuat bising, walaupun saya sedikit terganggu. tetapi saya fikir, setiap orang punya cara untuk meraikan kegembiraannya🙂

Saya sudah jatuh hati dengan langit daripada jendela kapal terbang


Dari kiri, menu makanan di AirAsia, buku nota Catatan Ujung Pandang, serta jam yang dipinjamkan seseorang untuk lihat waktu kerana saya orang yang tidak berjam


IV
Pengumuman daripada kapten kapal terbang membuatkan saya sedar saya hampir sahaja tiba di Makassar. Yang saya lihat dari langit di tepi jendela pesawat kapal terbang, adalah pulau-pulau awan. Pulau itu seperti sedang bersedia merentang pelukan menyambut kedatangan saya. Saya tiba sudah malam gelita. Saya lihat juga lampu-lampu kota, lantas saya teringat twitter Aan Mansyur

“Melihat matamu seolah-olah melihat satu-satunya jendela yang bercahaya pada waktu malam.”

V
Melalui imegresen yang lama, tetapi tidak mengapa kerana akhirnya saya tiba di Bandara Udara Sultan Hasanuddin. Oh, macam tidak percaya sudah tiba di sini, di Makassar! Di Ujung Pandang. Setelah bertahun-tahun merencana, dan membatalkan, kemudian akhirnya, menjejakkan kaki di Ujung Pandang.

Selamat Datang Di Bandara Sultan Hasanuddin.

Membaca puisi Aan Mansyur, saya fikir Makassar dan Indonesia punya beza masa sejam, nyatanya tidak. Sungguhpun dari Peta Makassar dilihat kota yang  paling jauh dicapai AirAsia, nyata kami berkongsi zon waktu yang sama. Tiba di Bandara Sulatan Hasanuddin dalam jam 7.30, langit sudah terlalu gelap, seperti jam 8.00 malam di Malaysia. Walaupun tidak berbeza zon waktu tetapi waktu  tiba lebih awal di Makassar.

VI
Firdaus sudah menunggu di ruang ketibaan. Dia melambai saya. kami tidak pernah berjumpa tetapi dia kata mengenal saya lewat foto. Dan saya dibawa berjumpa dengan isterinya Dewi serta anaknya Faris dan Fahmi, nan manja.

Saya dibawa ke Warung Pangkep untuk merasa sup konro & kikil. rasanya tidak asing tetapi sup tulang cuma lebih bening dan tidak terlalu pekat. Nanti saya akan ceritakan satu entri makanan sahaja! Kemudian, saya dibawa ke Wisma Faris, untuk penginapan. Wisma Faris menyediakan akomodasi yang menyenangkan dan sesuai dengan budget pengembara. Sangat sesuai untuk yang ingin berjimat cermat.

Saya sudah terlalu lelah dan mahu berehat dahulu. Dalam kepala saya terbayang, peluncuran Makassar International Writer Festival di Fort Rottemdam, perlahan saya bermimpi.

3 thoughts on “Dari Ujung Benua Ke Ujung Pandang (13- 20 Jun 2012): Pemergian Pertama”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s