Nota Tengah Malam


I

Dahulu saya bebas menulis tentang apa yang saya fikir di sini. Tiada siapa yang mahu baca, jadi tulis benda melankolik tahap dewa pun tidak apa. Tapi perkara melankolik, kisah sedih-sedih ini, ramai pula yang komen, berangkai-rangkai. Saya pernah memutuskan untuk mengehad perkara melankolik ini dan menulis sesuatu yang serius, sesuatu yang matang dan dewasa. Tentu sahaja hal 5 tahun sudah tidak sama dengan sekarang. Jadi saya semakin berhati-hati menulis, terlalu banyak fikir jadi banyak entri berakhir dengan draf sahaja.

Tapi semenjak kebelakangan ini, orang jarang komen, mungkin sudah ada facebook, lebih mudah. kalau di blog kena taip nama, walaupun sudah ada aplikasi facebook, orang jarang komen, orang anggap menulis blog ini ketinggalan, kuno. Siapa yang tulis panjang-panjang, sudahlah panjang, tidak bermanfaat pula tu.Hahaha. Macam saya. Kalau di Indonesia, mereka panggil curhat (curahan hati)

Kadangkala saya rindu mahu macam dulu-dulu. Tulislah apa sahaja yang kita suka atau yang terfikir waktu itu, yang komen walaupun komen bukanlah perkara bersangkut paut pun tetap saya baca dan balas satu-satu. Tetapi rasa gembira. Sekarang payah, kita tidak boleh tulis sesuka hati. Ada pembaca sedang menunggu untuk baling bom jangka sahaja dan meletupkan entri bila-bila masa. Terbabaooo. Haha. Kita kadangkala hilang rasa seronok menulis

Bila makin dewasa sudah semakin tidak seronok. Orang ambil perkara terlalu serius, orang sudah tidak mahu bergelak ketawa, orang tidak mahu ambil mudah sahaja dan senyum sahaja untuk banyak perkara. Kerana senyuman untuk waktu sekarang adalah topeng. Jangan percaya pada senyuman. Sebab entah apa senyuman dan gelak ketawa atas kisah-kisah yang dikongsi,kadangkala digunakan sebagai ramuan racun untuk diletakkan dalam minuman, dan dipaksa teguk. Agaknya kalau peminum mati cepat, baru puas hati agaknya.

Lebih baik masa zaman polos, zaman ikhlas dan zaman tidak berpihak. Zaman kanak-kanak yang kita pandang murni dan jujur semua perkara. Tetapi bila fikir kembali, zaman kanak-kanak sekarang susah. Tidak seperti zaman kanak-kanak saya tahun 90-an. Lahir-lahir sahaja macam-macam harapan diletakkan kepada mereka. Malah kecil-kecil sudah harus bersaing sesama sendiri. Kasihan.

II

Kawan-kawan zaman belajar, pantang tengok saya muram, sebab saya jarang bermuka sedih atau marah. Saya selalu senyum dan bergelak ketawa. Jadi kalau saya muram, mereka akan cepat-cepat tanya, kenapa atau tidak bergurau senda dengan saya, takut gunung berapi meletus.

Mereka mungkin faham, saya memang jenis bawa diri sendiri masa belajar. Makan malam pun seorang diri. Pergi mana-mana pun seorang diri. Entah, orang seperti saya mungkin susah nak terikat erat pada persahabatan. Kerana sepanjang dari kecil, persahabatan memang selalu mengkhianati saya, selalu mahu membunuh saya

Saya selalu cakap kepada mereka, saya hanya punya senyuman. Saya tiada apa-apa selain daripadanya.

Tadi saya cakap, senyuman ada topeng. Adakah apabila saya tersenyum, orang mentafsirkan saya memakai topeng? Ah, dalam hati apakah mereka tahu sebenar cerita?

III

Kadangkala berteman kesepian, buat kita lebih mengingati diri sendiri, betapa selama ini kita terlalu bergantung kepada orang untuk merasa bahagia sedangkan dahulu kita adalah sendiri, berseorangan dan tidak merasakan kekurangan apa-apa pun

Mungkin perlu kembali kepada alamiah, kepada fitrah. Kesunyian.