TragiKomedi dalam teater Raja Lawak


I

Kawan saya pernah mengatakan kepada saya bahawa kuasa besar pelawak adalah memanipulasikan kesedihan, dan kemuncak kuasa itu apabila penonton boleh ketawa untuk kesedihan yang dipamerkan oleh pelawak. Seperti badut yang wajahnya sedih dan melakonkan babak-babak mendukacitakan dalam perannya tetapi dalam fikiran kita sebagai penonton, badut sering kali menjadi figura yang melucukan. Tragik komedi adalah senyuman badut tetapi tangisannya tersimpan di dalam hati.

II


Di belakang pentas sebuah persembahan rock dalam teater Raja Lawak, drama sehiris kehidupan seorang Raja Lawak, Osman Bombay, di penghujung kegemilangannya sedang berlangsung. Osman Bombay, mengerti waktu zaman kegemilangan teater bangsawan di panggung-panggung sudah hampir menemui penghujungnya. Ini jelas boleh dilihat, kelesuannya serta cara duduknya di kerusi sementara menunggu show berlangsung, tidak mempamerkan kegemilangan dan kemegahannya sebagai pelawak. Tetapi sebagai pelawak yang lama berada dalam dunia komedi dan lawak, dia cuba untuk tidak menunjukkan hal itu di hadapan Husin Tak Bai, yang ingin menjadi perantisnya serta meneruskan legasinya sebagai Raja Lawak. Kerana sepanjang hidupnya dia biasa memakai senyum dan gelak tawa dan menyimpan kesedihan dalam hati.


Rocker, promoter adalah mewakili kebanyakan masyarakat Malaysia. Masyarakat yang gemar bernostalgia, tertarik kepada suasana kampung dan hal-hal tetapi realitinya kita tidak menghargainya Penonton seperti rocker dan promoter (baca: bekas penonton) mengingati kelincahan dan lawak jenaka Osman Bombay di atas pentas. Hanya mengingati dan mengenang kemilangan itu. Tetapi mereka tidak begitu menghargainya. Sebab itu harga pelawak dibayar murah juga menghormati sebagai seorang tua bukannya sebagai lagenda.

Watak yang memegang kuat tragik komedi dalam Raja Lawak (bagi saya), tidak kepada watak Osman Bombay tetapi kepada Husin Tak Bai. Dia, figura pengagum Osman Bombay dan mengikut rapat apa sahaja yang dilakukan Osman Bombay melalui pakaiannya, tabiat merokoknya, cara lawak jenakanya. Husin Tak Bai menganggap Osman Bombay adalah super-hero zaman kecilnya dan ingin menjadi sepertinya. Kerana di mata Husin Tak Bai, menjadi seorang pelawak boleh memberi kebahagiaan, di atas pentas, seorang pelawak sentiasa gelak gembira, ketawa. Osman Bombay menafikan perkara itu mengatakan bahawa menjadi pelawak itu hanya bertopeng gelak ketawa sahaja. Husin Tak Bai menguasai apa yang dikatakan tragik komedi. Dia tidak serius dan selalu menjenakakan apa sahaja baik di belakang pentas dan juga depan pentas. Penonton dpaat melihat, Husin Tak Bai tidak berbuat-buat begitu, dia bahagia melakukan lawak jenaka dan tahu berserius (dalam masa sama berjenaka) bila perlu seperti ketika mendepani promoter juga di babak akhir teater ini.

Ini perihal yang dilupakan oleh Osman Bombay, bahawa tugas pelawak memberi kebahagiaan kepada penonton dan dia harus merasa bahagia berbuat sedemikian rupa walaupun dia punya banyak masalah. Bukan mudah untuk sentiasa tersenyum dan jenaka dalam semua waktu termasuklah waktu sedang serius. Hanay pelawak sejati yang memberikan aura sedemikian rupa.

M.G Ramli, mewakili Osman Bombay di zaman kegemilangannya, Cuma tidak dapat dipastikan apakah Osman Bombay juga sombong dengan orang tua di zaman itu. Watak promoter dan Juliah menyatakan secara tidak langsung perwatakan Osman Bombay di waktu kegemilangan juga punya perempuan bersilih ganti, malah berbini muda yang di bawa dari kampung (mungkin di fikirannya perempuan kampung ini lebih tunduk, menurut dan terhutang budi kepadanya). Osman Bombay pernah melalui fasa di mana M.G Ramli sedang lalui. Dia kembali melihat dirinya dahulu yang di bawah sedar menyedari zamannya itu sudah berlalu dan dia tidak dapat kembali ke sana, dia hanya boleh mempertahankan apa yang dia ada, iaitu Juliah. Tetapi, di pentas akhir, dia tidak dapat mempertahankan apa-apa walaupun Juliah dan kerjaya lawaknya. Dan itu memberi kejutan kepada dirinya dan mengakhiri segalanya.

Saya sukakan semasa set berubah daripada belakang pentas ke depan pentas. Pelawak mendepani penonton. Pelawak berinteraksi secara terus dengan penonton. Secara tanpa sedar, pengarah telah menjadi penonton teater sebahagian daripada pelakon di bawah arahannya. Di sini kekuasaan pengarah akan dilihat. Apakah pengarah teater benar-benar menguasai pentasnya dan penontonnya dengan teaternya. Jika pelawak itu benar-benar memberi lawak jenaka seperti interaksi antara Husin Tak Bai dan M.G Ramli, penonton akan tertawa kerana dia bukan sedang menonton teater tetapi sedang menonton sebuah selingan lawak di antara konsert rock kapak. Itulah antara kekuatan besar teater ini, sekiranya berjaya membina hal itu kepada penonton.

III

Pementasan Raja Lawak masih bersisa 3 hari, hari ini, esok dan hari selepas esok iaitu 25 Januari. Pementasan yang dibawa kembali selepas 20 tahun ini bukan cuba mengembalikan kegemilangan pementasan yang menarik 20,000 penonton. Kerana kegemilangan bukan untuk dikembalikan tetapi yang boleh dikembalikan adalah nostalgia, pergulatan isu serta persoalan yang ditumpahkan penulis serta pengarah teater, Zakaria Ali sewaktu memulakan pementasan teater itu 20 tahun lalu.

Tiket teater “Raja Lawak” boleh dibeli di www.ticket2u.biz atau di pintu masuk auditorium. Skrip teater ini boleh didapati melalui pembelian bukunya “Trilogi Raja Lawak” yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia yang dijual di auditorium DBKL.

Dalam pentas teater, sungguh pun kita menontonnya berkali-kali pada hari yang berbeza, kesannya tidak sama. Kerana setiap hari ada yang yang dimbah, yang dihilangkan, momentum yang berbeza-beza. Dan lagi satu, pementasan teater tiada siaran ulang tayang di TV. Mula di pentas, tamat di pentas jua.

 

 

 

Kredit Gambar : Facebook Institut Terjemahan & Buku Malaysia serta Teater Raja Lawak


 

Tentang Yang Pertama


I

Menangguh sesuatu ternyata menyeksakan. Akhirnya sesuatu yang saya bawa selama 2 tahun, telah saya lepaskan. Meskipun tidak sempurna, tetapi saya fikir, sesuatu jarang mendapat kesempurnaan. Tetapi saya harus melepaskannya pergi untuk kebaikan diri dan janji yang menunggu hampir dua tahun lamanya.

Sekurang-kurangnya, ini satu penilaian, bagaimana untuk merencana hal yang kedua ini. Yang pertama tentu sahaja pengalamannya manis meski ada hal-hal yang perit dan pahit. Seperti mengasuh anak pertama, tidak akan sempurna kerana semuanya dalam peringkat permulaan. Ada percubaan dan kegagalan. Ada kejayaan meski tidak sempurna. Cuma berharap yang kedua akan jauh lebih baik daripada ini. Dan membawa pendekatan yang lain sama sekali. Saya benar-benar mahu mencabar diri.

II

Melihat kembali tempoh dua tahun terkebelakang semasa menukangi perihal Yang Pertama. Rupanya banyak hal yang berlaku, saya bermula dengan menjadi orang lain, yang percaya hal-hal yang lain kemudian perlahan-lahan bermetamorfosis menjadi orang yang lain, mempunyai pandangan yang lain. Mungkin ada bahagian yang sedikit menderakan kerana di tahun pertama, saya menjurus ke arah kepercayaan itu, di tengah jalan saya harus menukar arah.

Jadi saya terfikir, saya harus menukangi Yang Kedua dengan segera. Sesingkat yang mungkin bila perlu. Saya takut saya ambil pusingan U-Turn sekali lagi, atau jalan terus tidak bengkok-bengkok. Haru.

III

Yang lebih penting lagi, berharap Yang Pertama mendapat kelulusan sebab sepanjang 2 tahun menukanginya, saya hanya menukangi untuk tempat itu. Kerana sudah berjanji serta mengikat janji kepada diri. Yang Pertama hanya untuk rumah itu sahaja. Tiada yang lain.

 

Kawan-kawan doakannya yang terbaik ya J