#7 – Surat Kepada Noor Suraya Adnan Sallehudin


Kaksu

Jika Filzah Hanis tidak menawarkan novel Biru Ungu Cinta semasa dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur semasa zaman sekolah, tentu sahaja saya tidak mengenali kaksu, kerana pertama kali saya membaca Birungu Cinta (buku ketiga kaksu) saya jatuh cinta dengan watak Seera serta yang paling penting saya jatuh cinta kepada bahasa kaksu yang sederhana tetapi perlahan-lahan meresap ke dalam diri. Di Pesta Buku saya mencari koleksi buku kaksu yang lain, saya menjumpai Tanah Andriyana dan Keranamu Ain. Wang saya tidak benar-benar kecukupan, saya memilih Tanah Andriyana kerana nama saya yang digandingkan di situ juga kerana pantun di belakang buku itu, pantun lama yang kemudiannya pernah saya gunakan dalam SMS kepada seorang lelaki yang lain. Pantun yang saya ingat benar tanpa perlu merujuk kepada buku itu sekalipun sehingga kini,

Apa khabar padi setambun,

Jika tidak setinggi duduk,

Apa khabar kasih setahun,

Jika tidak seumur hidup.

 

Apa khabar nasi di daun,

Nasi di talam bagai nak basi;

Apa khabar tinggal setahun,

Tinggal semalam bagai nak mati.

 

Selain, daripada pantun itu, setelah membacanya, saya tanpa kesedaran memburu buku-buku yang disebut oleh kaksu di dalam buku itu yang membuatkan Andriyana menangis apabila membacanya. Dan saya juga sukakan Ebiet G. Ade semenjak lagu itu dipahat pada kulit novel Keranamu Ain. Saya suka catatan Andriyana, dan suka cara kaksu menggambarkan Andriyana, perempuan jawa yang kesedihannya diluahkan melalui mata pena. Kerana saya perempuan jawa, meski tidak terasuh dengan tradisi jawa tetapi kebanggaaan yang sedikit itu dibesarkan dalam novel kaksu. Saya teringin jadi perempuan yang teguh jiwa, yang menentang hal-hal dalam hidupnya dalam tulisannnya. Perempuan yang mencintai seorang lelaki sehingga akhir usia. Saya senang ingin jadi perempuan seperti dalam novel kaksu, seperti Ain yang polos tetapi tegas, seperti Aliya dan Andriyana yang bercinta dalam cara mereka sendiri, seperti Seera, seperti Syarifah Nuur Khalida. Antara perempuan dalam novel kaksu, saya ingin memenangkan Seera Asyikin dan Andriyana. Saya sayangkan Andriyana, puteri keraton yang menjadi babu di Tanah Melayu, kemudian, dicintai Fitri, yang menyedari keistimewaan. Saya sukakan cara mereka bercinta, hanya melalui mata, hanya melalui diam, hanya melalui gerak tubuh, yang menyimpan cinta di dalam hati sendiri. Perempuan yang digugah oleh Ebiet G. Ade dalam lagu Nyanyian Kasmaran, yang saya dengar apabila saya sedang dilanda sesuatu.

Saya selalu kagum bagaimana kaksu menggandingkan hal-hal tradisi dan budaya seperti pantun, buku-buku lama, falsafah melayu ke dalam tulisan kaksu. Kaksu tidak perlu membesarkan idea dan keterlaluan dalam pembawaannya, seperti perempuan yang kaksu gambarkan dalam novel kaksu, begitulah cerita kaksu yang saya senangi dalam darjahnya. Mungkin di luar sana, ramai menentang kisah-kisah cinta yang bagi mereka tidak berbaloi, tidak berpatutan untuk dibaca dan dibeli serta tidak sastera bagi mereka. Tetapi cerita-cerita kaksu, punya keistimewaan di dalam hati saya, dan di situ saya percaya bahawa pemilihan tema adalah bersifat universal. Pilihlah apa-apa pendekatan sekalipun, di akhirnya yang akan dinilai cerita itu sendiri. Meski novel itu dikatakan dalam kategori sastera, tetapi jika jalan cerita, penyampaian, bahasa, pengembangan plotnya hanyalah mendatar, tidak juga memikat, Kerana bagi saya, kaksu punya perjuangan lain di dalam tulisan kaksu. Anekdot-anekdot yang kaksu selitkan itu dalam buku kaksu tentang hal yang saya sebutkan di atas itulah yang selalu sahaja menjadikan kaksu istimewa berbanding yang lain.

Saya jatuh cinta kepada tulisan kaksu dalam buku-buku itu, kerana ada rasa bahagia apabila membacanya meski perlu juga merambu air mata. Secara sedar tidak sedar, tulisan kaksu mengasuh saya menjadi perempuan yang sederhana dan indah dalam darjahnya sendiri. Perempuan yang meraikan kelebihan dan kekurangan diri sendiri. Tulisan kaksu mengasuh tulisan saya. Dahulu saya kurang pasti, jika saya menulis, itu bertujuan apa, setelah membaca buku kaksu serta puisi Aan Mansyur, akhirnya saya memutuskan, saya mahu menulis sesuatu yang membahagiakan orang apabila membacanya. Seperti tulisan kaksu yang membahagiakan saya apabila saya berulang kali membacanya. Saya tidak pasti apakah ada penulis lain yang besar pengaruhnya kepada saya semasa zaman awal-awal saya menulis, selain kaksu dan Faisal Tehrani, saya senang gandingan itu membentuk siapa saya sekarang (masih membentuk lagi sebenarnya) malah Rahsia Hatimu, cerpen yang saya tulis itu sebenarnya respons kepada watak Seera Asyikin, yang kehilangan rahimnya dan juga impiannya untuk bersama dengan Fatah. Salah satu sebab saya menamakan blog saya birungu kerana saya sangat menyukai warna ungu (sebelum warna itu menjadi warna kegemaran ramai orang) dan saya menjangka belahan jiwa saya nanti, sukakan warna biru juga. Haha. Seperti kata-kata Seera Asyikin dalam hatinya kepada Fattah sewaktu dia bernikah dengan Kamal Hanif Khusyairi.

Biru itu warna cintamu, Fattah. Warna yang terpancar indah dari penjuru matamu. Dalam diam aku dapat rasakan cinta yang bersinar, cinta yang tidak pernah pudar. Hangat dan menyala. Tulus dan bening…. Sedangkan ungu itu warna dukaku. yang membeku dalam hatiku, yang mengalir dalam jantungku dengan luka yang paling dalam, berdenyut nyilu… menjalar pilu… menjulang lesu.

Ah, menulis kembali kata-kata ini pun sudah membuatkan saya merambu air mata. Saya selalu sahaja berbangga dengan Filzah, menyatakan kaksu sering memilih potongan nama saya di dalam novelnya. Ain dalam Keranamu Air, Yana dalam Tanah Andriyana. Sampai Filzah menjeruk rasa. Haha. sehingga kaksu memenangkan kami berdua dalam buku Nyanyian Tanjung Sepi. Filzah menjadi belahan jiwa dan saya sebagai bakal doktor. Padahal akhirnya saya jadi penyunting kata-kata sahaja. Saya secara peribadi selalu merasakan permepuan-perempuan dalam novel kaksu itu begitu hidup, begitu dekat denagn saya, mungkin ada di sekitar saya. Mereka seolah-olah benar-benar pernah wujud kerana sentiasa ada cameo dalam novel-novel lain. Itu juga bonus berganda mengapa saya sukakan novel kaksu.

Semenjak kaksu membangunkan Jemari Seni, saya semakin diam di sini. Bukan kerana apa, kerana saya suka menyembunyikan diri tetapi mengikut setiap perkembangan Jemari Seni dari jauh. Terlalu ramai yang mula mengenali kaksu, dan saya ingin menyimpan kenangan mengenali kaksu dan mencintai semua buku kaksu seperti Andriyana menyimpan segalanya ke dalam tulisan, tidak nyata di alam maya, tetapi dalam hati, tuhan sahaja yang tahu. Mungkin di luar sana, ramai secara terang-terangan berulang kali memunculkan diri di hadapan kaksu tetapi mungkin tidak saya, yang hanya sekali sekala menegur, tetapi saya tidak pernah berhenti untuk mengikuti dan menyokong kaksu dalam caranya sendiri.

Kaksu, terima kasih untuk semua tulisan yang membahagiakan saya, di blog Nyanyian Tanjung Sepi, di dalam buku-buku kaksu juga apabila kita berjumpa. Saya sentiasa menunggu tulisan kaksu seperti perempuan dalam Nyanyian Kasmaran. (ah, mengapa ada air mata di hujung tulisan ini)

17 thoughts on “#7 – Surat Kepada Noor Suraya Adnan Sallehudin

  1. hehehe 😉 mesti kaksu suka baca ni! 😀 saya suka Jaja & Din! 🙂 kaksu memang pandai tulis cerita dan indah bahasanya. saya tak segan menangis kalau baca. hahaha. macam Surat Ungu Untuk Nuha. wuaaaaa. walaupun ada orang kata novel kaksu novel picisan, atau ada sesetengah orang sastera mengkritik teruk apa yang kaksu tulis, peduli apa kita yang baca dan faham, maka kita tahu nilainya. ada yang kritik tu tak baca pun novel kaksu betul-betul hihihi.
    ehem, hutang apa tu? ;p saya pun ada hutang juga dengan kaksu dan imaen wahahaha.
    menanti surat akak yang seterusnya! selamat menulis :3

    Like

    1. Shukri: Saya suka buku-buku zaman awalnya, mungkin sebab antara buku yang pertama dibaca jadi punya kenangan yang tersendiri, jadi datanglah buku lain, Tanah Andriyana tetap saya letak yang pertama, juga Biru Ungu Cinta.

      Mereka kritik label, tak apa, saya sudah jelaskan dalam surat. Hehe. Hutang dah langsai. Hehe, sila menunggu dengan sabar untuk berita seterusnya. Ehem, itu hadiah untuk hari jadi awak tahun ini.

      Patah tangan tulis surat, semakin lama semakin panjang pula 🙂

      Like

  2. waaaaaaa!!! novel akak akan keluar ya!!! nak nak nak!!! :3 waaaaaaa lepas ni tak nyenyak tidur la ternanti-nanti berita debar!!! *teruja*

    itu la. surat akak makin panjang. hihihi. tapi best baca, sebab setiap surat lain langgam bahasanya. tabik pada akak! 🙂 sebab tu suka baca tulisan akak. hehehe. *puji tanpa ada niat apa-apa*

    Like

    1. Shukri : Aiseh! Dia dapat hidu lah 🙂 Tak berani kata apa-apa lagi selain tak nampak bayang apa-apa 🙂 Jadi menantilah dengan penuh debar ya 🙂

      ada lagi hutang 8 surat, sudah senaraikan 8 penerima itu, tinggal tunggu sahaja untuk menulis surat 🙂 Menulis surat perlu ada “rasa”. Iyalah setiap penerima tetap orang yang berbeza, jadi kalau bahasa lain-lain kang jadi janggal kepada penerima, sebab surat ini akan diposkan 🙂

      Like

  3. Surat untuk kaksu lagi panjang daripada Surat untuk aku nampaknya. Haha.

    Sebenarnya semua yang kau tulis tu, itulah yang aku rasa. Dan kecintaan kita kepada perkara yang sama dan sebab yang sama. Aku juga masih berdarah jawa (mungkin lagi pekat dari kau? Haha). Aku juga menyukai ungu. Aku beli biru ungu cinta kerana kaksu. Semasa beli, aku sangat gembira kerana tajuknya ada ‘ungu’. Dan ya, aku juga hafal pantun2 itu.

    Sungguh, penulis2 kesukaan kita sama! Haha (eh, macamlah kita tak tahu kan? Hehe). Aku sungguh rindukan Seera. Aku paling tak sanggup nak hadapi bab terakhir setiap kali aku ulang baca biru ungu cinta. Sedih.

    Satu ayat yang paling aku suka (antara banyak2 yang kaksu karang); ‘mencintai tak semestinya memiliki…’ kau ingat tak daripada novel mana, oleh siapa? 😀

    Alamak. Aku juga berhutang dengan kaksu ni. Matilahhhh. Huu!

    (sebenarnya cara penulisan aku pun banyak ikut kaksu)

    Like

    1. Plainzero : Kau tahu, dalam lagu Ebiet, ada ayat itu. “Lagu untuk sebuah nama”, menyebut ayat itu. Haha MEncintai tak semestinya memiliki, aku rasa dariapda novel Tanah Andriyana. Aku ulang baca novel itu baru-baru ini, dan bahagian Raden Andriyana, mataku merambu rambu. Aku nak namakan anak aku Andriyana. Tapi sudah sama dengan nama aku, terus tak jadi. Haha 🙂

      Dan ayat yang paling kita suka itulah buat mengubat kekecewaan lepas putus itu. hahaha 🙂

      Ala, mulanya mestilah kita di bawah pengaruh penulis yang kita suka. lama-lama nanti kau mesti dah tahu nak bawa macam mana tulisan kau 🙂

      Like

  4. saya tak tahu nak hubungi siapa dan bagaimana. tapi, bolehkah saya minta tolong sedikit? saya ada tertinggal buku di booth ITBM minggu lalu, selepas membayar 2 buku ITBM di kaunter . buku itu berplastik MABIM. bertajuk : Pendidikan Literasi Awal Kanak-kanak: Teori dan Amali. ada nampak kah?
    -bagaimana lah boleh tertinggal, ahh…-

    Like

    1. Putih : Alahai kasihannya, saya sudah hebahkan kepada rakan-rakan yang lain kalau ada terjumpa plastik tersebut. Boleh maklumkan pada hari apa kejadian buku tersebut? Mohon private emel nombor telefon dan nama untuk dihubungi. ainunl.muaiyanah[at]gmail[dot]com

      Like

      1. saya datang hari terakhir, minit-minit terakhir saat pesta buku mahu berlabuh. 4.40 p.m. begitu rasanya. buku-buku pun pada masa itu sudah mula dikemas-kemas. dan ketika itu ITBM menawarkan sehingga 50% dari harga buku!

        terima kasih ya, saya hargai sangat usaha anda..

        Like

  5. akak tak jawab soalan saya di blog saya tu! sengaja kan??? hahaha! kakak, jangan lupa saya nak satu naskhah novel berserta tandatangan tau! 😛

    masa tu saya tutup fb…baru seminggu ni hah saya bukak balik. baru nak tanya akak macam-macam soalan… (ehem) tiba-tiba dah tutup. sedih. dah la saya tak ada nombor kakak. sampai hati! *duduk tepi tangga sambil tongkat dagu*

    Like

Tinggalkan komen