Tentang Teh, Kopi, Buku, Hujan, Kenangan dan “Sepetang di Kafe Biblioholic”


I

Saya membesar dengan budaya minum teh daun, bukan kopi, bukan milo, bukan Nescafe. Teh daun itu hanya boleh dibeli di kampung belah emak saya, di salah satu kedai cina menghadap jalan besar. Setiap kali ibu dan abah pulang, mereka pasti membeli sedozen teh daun tersebut. Menurut ibu, minum teh daun, badan kita tidak berangin berbanding minum teh uncang, itu pun saya tahu setelah saya remaja tentang khasiat teh. Malah, saya baru tahu buat teh susu menggunakan teh uncang setelah masuk sekolah menengah. Saya juga mengenal segala macam jenis kopi 3 dalam 1 semasa masuk sekolah asrama.

Minum teh bersama dengan beraneka macam “gorengan”adalah satu-satunya waktu kami sekeluarga berkumpul bersama. Adik-adik saya suka teh yang saya buat kerana teh saya sedikit manis berbanding teh yang abah saya buat. Abang gemar mengurangkan kemanisan dalam tehnya sedangkan saya tidak begitu. Saya juga teh yang hangat dan manis. Terkemudian, saya suka teh jasmin nan manis.

II

Kemudian, selepas dewasa dan bekerja, saya menjebakkan diri dalam dunia kopi. Ketika itu sudah berwang untuk minum di kedai kopi yang mahal-mahal. Haha. Dan saya suka mengunjungi kafe kafe serta mencuba kopi mereka. Saya sudah boleh membezakan, rasa kopi Robusta, Arabica, mana yang sesuai dengan lidah saya yang suka full bodies dan perasaan selepas minum kopi. Dan saya selalu menghabiskan masa berjam-jam duduk di kafe sambil membaca buku, sambil menulis sesuatu dan kadang kala berbual sahaja dengan sesiapa yang menjadi peneman saya

III

Saya tidak dapat pisahkan hal buku. Dan buku hanya memilih jalur hidup yang berlainan untuk saya. Saya sebetulnya sangat tertarik dengan konsep yang dibangunkan Aan Mansyur dan mantan kekasihnya Andi Nur Alifiah, sebuah kafe baca di Makassar. Nama kafe itu, Kafe Biblioholic. Saya berangan-angan mahu membuka sebuah kafe baca yang menggabungkan buku-buku dan kafe. Tetapi saya tidak punya begitu banyak wang, jadi saya memilih melakukan sesuatu tanpa perlu melaburkan begitu banyak wang iaitu mengabadikannya dalam bentuk tulisan.

Novel bukan yang pertama, itu saya tulis dalam jangka masa setahun lebih. Dan kerana perpindahan tugas dan beban kerja yang banyak, saya mengalami kesukaran untuk menyudahkan bahagian akhir bab tersebut. Saya ke Makassar untuk Makassar International Writer Festival. Saya bertemu dengan Aan Mansyur dan ingin sekali mengunjungi Kafe Biblioholic, tetapi kafe itu telah ditutup kerana beberapa hal. Ini telah dinyatakan oleh Aan Mansyur dalam tulisannya. Saya sebetulnya berasa sangat sedih mendengar hal itu. Dan kerana itu, saya menguatkan hati menyudahkan novel tersebut, dan menamakannya Kafe Biblioholic, sempena sebuah kafe baca kecil yang diusahakan dengan sepenuh cinta oleh Aan.

Ah, tentu sahaja bukan kisah Aan membangunkan kafe baca itu menjadi kisah dalam novel itu, tetapi sebahagiannya ya.

IV

Saya seorang perempuan sentimental. Banyak hal yang saya ingat. Terlalu. Dan saya juga sangat sukakan hujan sehingga menamakan blog ini Nyanyian Hujan. Dan tentu sahaja perihal hujan yang saya cintai dan diri saya yang penuh kenangan itu tentu sahaja akan mengikut saya di mana-mana. Hatta dalam tulisan saya sekalipun

V

Saya sebetulnya tidak tahu mahu mengatakan dengan cara bagaimana rasa bahagia ini. Bahawa novel pertama saya bakal memenuhi rak-rak di kedai buku dan mula dijual di Pesta Buku Selangor. Novel ini terbitan JS Adiwarna. Sebetulnya sewaktu kaksu membangunkan Jemari Seni, saya telah konon-konon berjanji dengan diri sendiri, novel pertama saya harus terbit dengan Jemari Seni di bawah kelolaan kaksu. Janji itu sudah lama, rasanya lebih 5 tahun. Teruk kan? Baru sekarang janji itu tertunai. Novel yang awalnya dinamakan “Kafe Biblioholic” akhirnya terbit dengan judul “Sepetang di Kafe Biblioholic” dengan sampul novelnya yang manis. Hehe. Saya tidak pernah membayangkan Kamellia (watak dalam novel) itu akan menjadi semanis ini. Nampaknya saya kenalah bergaya semanis Kamellia ini. Hehe.


Novel yang sederhana, tentang teh, kopi, dunia buku, hujan dan kenangan. Tentang pilihan untuk mengenang segala kenangan, atau memilih untuk melupakan dan menidurkannya dalam ingatan. Tentang pilihan secangkir teh Earl Grey atau secawan espreso yang pahit. Tentang seorang Kamellia yang sederhana dan polos di tengah-tengah sebuah Kafe Biblioholic. Tak perlu sediakan tisu. Hehe. Ops!

Sesiapa yang ingin memiliki novel tersebut, dijemput ke Pesta Buku Selangor, ada tawaran diskaun menarik. Beli novel “Sepetang di Kafe Biblioholic” dan novel “Straight/Senget” karya Ina Rahim sekali dengan harga RM28. Kalau harga biasa RM20. Ehem, ada sesi tandatangan lagi pada hari Sabtu, 1 Jun 2013, bangun awal-awal jam 10 pagi- 2.00petang. Bolehlah datang, nanti say acuba bawa coffee maker, boleh buat kopi ke? Hehehe. Sesiapa yang beli buku waktu sesi itu, ada “tanda mata” kecil.


Advertisements

Kahwin & Hal-hal yang Akan Cuba Diselesaikan


I

Adik lelaki saya kena berkahwin hujung tahun ini. Kenapa saya kata kena berkahwin, kerana pihak keluarga perempuan seakan-akan mendesak supaya percintaan mereka yang lama itu disudahkan dengan majlis perkahwinan. Adik lelaki saya dalam 24 tahun begitu juga dengan perempuan. Mungkin sekarang sindorm kahwin awal sedang melanda. Insecurity.

Kakak saya memaklumkan hal ini menerusi telefon selepas ibu beberapa kali cuba menghubungi saya tidak berjaya. Saya tengah buat sedikit kerja di pejabat pada hujung minggu dan tidak perasan telefon. Semasa mendengar panggilan telefon, saya tidak begitulah berperasaan, saya gembira sebenarnya. Walaupun adik saya itu dikatakan bakal langkah bendul, saya mendoakan yang baik-baik sahaja antara mereka berdua. Saya tidak mahu menghalang apatah lagi berwalang dan berdrama swasta mengatakan tak boleh berkahwin selagi saya tak berkahwin. Dan yang paling penting, saya akan dapat sepersalinan lengkap sebab adik saya langkah bendul. Muhahahaha.

Tetapi bahagian kedua makluman itu membuatkan saya terlalu berperasaan. Perasaan libang libu, marah, sedih, tidak gembira, kecewa dan (sila masukkan semua perbendaharaan kata yang sesuai dengan situasi ini), dalam keluarga saya, ibu berulang kali memberitahu bahawa kenduri hanya akan dilakukan untuk anak perempuan, anak lelaki hanya mungkin kenduri doa selamat sahaja. Jadi kalau adik saya berkahwin, maka tiada kenduri 3 hari 2 malam akan dibuat.

Bahagian kedua makluman itu meminta saya berkahwin sekali dengan tarikh tersebut. Supaya boleh buat kenduri kahwin yang meriah. Bermaksud hujung tahun ini saya kena berkahwin. Dan bermacam-macam perasaan yang saya sebutkan itu kerana beberapa hal.

II

Hal yang pertama, saya sebut kena kerana saya tiada hati dan perasaan pun untuk berkahwin dalam masa terdekat ini, dan saya dipaksa untuk berkahwin. Ini bukan cerita novel yang kena paksa kahwin dengan sesiapa demi untuk keseronokan hati orang lain. Dan hati saya bukannya pualam. Yang keras dan tidak berperasan. Sememangnya saya suka bergelak ketawa dan tersenyum, tetapi hati saya tetap bukan pualam.

Hal yang kedua, saya tiada sesiapa, saya tiada calon yang ingin berkahwin dengan saya. Jadi perkahwinan hujung tahun ini untuk apa? Untuk siapa? Dengan siapa?

Hal yang ketiga, saya tidak pernah terfikir untuk berkongsi perkahwinan saya dengan sesiapa terutamanya adik beradik saya. Jika selama ini saya terasing, biarlah satu-satu sahaja hal ini diasingkan selama-lamanya. Jika soal ekonomi yang difikirkan, saya rela majlis perkahwinan itu jadi sangat sederhana, sangat sederhana asal tidak berkongsi dengan sesiapa.

Hal yang keempat, kalaulah ibu meminta hal ini beberapa tahun lepas, mungkin saya hanya ada satu perasaan sahaja iaitu gembira. Tetapi kalaulah mereka tahu, pada Februari 2010 hati saya telah terlalu hancur sehingga saya tiada berperasaan apa-apa lagi. Mohon jangan ditanyakan hal perkahwinan dengan saya lagi. Mohon.

 

III

Saya hubungi seseorang untuk menenangkan hati dan nada bergurau mengajaknya berkahwin, yang saya tahu tentu jawapannya, TIDAK. Sebab itu saya hubungi dia. Tetapi selesai saya meletakkan panggilan telefon, hatinya saya tiba-tiba retak beratus ribu dan badan saya menggigil-gigil entah apa. Dan saya teringat waktu-waktu dahulu. Rasa sakit ini kerana apa?