MIWF2013 – Bertemu Sapardi dan pembukaan panggung MIWF2013 yang meriah


25 Jun 2013

I

Hati saya sebetulnya semasa mengetahui Sapardi Djoko Damono akan ada di MIWF2013 sudah melonjak lonjak sehingga ke bintang tujuh. Ini kerana Sapardi merupakan kekasih puisi saya dan menggerakkan saya untuk menulis puisi. Saya ada beberapa buah buku Sapardi dan saya tahu peluang ini sememangnya jarang ada untuk mendapatkan tanda tangannya.

Hari ini, para penulis mempunyai makan malam bersama di Djuku Restaurant. Saya membawa beberapa buah buku Sapardi. Di meja tempat saya makan, bertentangan saya Sapardi sedang duduk berbual dengan JokPin. Saya sebetulnya gementar tetapi dengan perlahan menghampirinya serta menghulur buku minta ditanda tangan. Dia bertanya nama dan saya menyebut saya berasal dari Malaysia. Sapardi langsung menyebut Latiff Mohidden dan mengatakan sudah membaca terjemahan Faust yang diterbitkan ITBM, dan mengatakan terjemahannya itu bagus sekali.

Saya sebetulnya tidak dapat memikirkan apa apa untuk bercakap apa apa. Pertemuan ini sangat indah kerana bertemu dlm bulan yang selalu diasosiasi dengan Sapardi, iaitu bulan juni. Tentu sahaja kerana puisi Sapardi berjudul Hujan Bulan Juni.

Sesudah itu, semasa mahu ke pembukaan MIWF2013, hujan merenyai jatuh sedikit tidak ramah, seperti kata Sapardi, sememangnya tiada yang lebih arif daripada hujan bulan Juni.

II

Selalu sahaja kalau hanya acara baca puisi, biasanya yang datang ke acara puisi itu hanya “mereka” yang biasa, atau pelajar yang dipaksa datang. Tetapi ketika saya sampai ramai sekali yang menunggu di luar pintu fort rotterdam atau selalu dipanggil “benteng” menggantikan nama asalnya. Dan mereka itu dari golongan muda, yang mungkin tidak pernah hadir acara baca puisi, tetapi di wajah mereka menampakkan keghairahan dan rasa tidk sabar menghadiri acara tersebut.

Di dalam, panggung acara utama, semua tempat penuh, ada yang berdiri, ada yang duduk di rumput sahaja. Ada yang memilih untuk menonton dari bumbung. Ada lebih 500 orang memenuhi panggung. Wah, itu sungguh luar biasa. Untuk acara yang tidak ada penyanyi, yang hanyalah bacaan puisi sahaja dan juga persembahan teater. Mereka menonton dan kemudian berkongsi rasa dan pengalaman terus melalui twitter melalui hastag #miwf2013.

Saya tertarik dengan ucapan kak Lilyyulianti Farid, pengasas dan pengarah Makassar International Writers Festival, bahawa cita cita miwf mahu mewujudkan kecintaan kepada Makassar melalui kegiatan budaya. Ini kerana Makassar di kaca televisyen selalu sahaja terlihat terjadinya rusuhan dan demonstrasi sehingga terlihat Makassar itu seperti sebuah kota yang tidak aman. Saya sudah mengikuti lama gerakan orang orang muda di Makassar yang mahu kota Makassar itu tidak dilihat sebagai kota rusuhan dengan gerakan makassar tidak kasar dan juga MIWF. Saya sukakan idea untuk melawan sesuatu stigma tidak dilawan dengan kekerasan sebaliknya melawan dengan sesuatu yang lain. Sesuatu yang lebih berjiwa besar.

Kemudian, wali kota Makassar tampil sederhana merasmikan acara itu. Tetapi yang menarik minat saya tentu sahaja dokumentasi pencari puisi AM Dg Myala, penulis angkatan Pujangga Baru dari Makkasar oleh dua orang penulis Sulsel. Dalam dokumentasi itu mereka ke perpustakaan peribadi untuk menjejak karya AM Mayla yang disebut oleh HB Jassin sebagai salah satu angkatan Pujangga Baru. Perpustakaan peribadi itu terlihat luas dan seperti perpustakaan desa Malaysia. Malah dalam dokumentasi itu, dibawa melihat perpustakaan HB Jassin yang luas dan lengkap. Perpustakaan ini saya pernah sebut dan tulis dalam buku saya “Sepetang di Kafe Biblioholic” itulah pertama kali saya dapat melihat perpustakaan HB Jasin.

Ah, saya terfikir apakah ada di malaysia perpustakaan peribadi seperti ini? yang dibuka kepada orang awam? Saya pernah dengar cerita, selepas seorang sasterawan negara kita meninggal dunia, warisnya ingin menyerahkan buku kepada sebuah institut tetapi institusi tu menolak dan dengar bukunya dijual kati. Menyedihkan bukan?

Alangkah menyenangkan ke sebuah majlis sastera san budaya yang dipenuhi dan dihadiri oleh mereka yang benar benar tertarik dan menghadiri acara ini dan jumlah ramai sekali.

Ikuti acara ini di twitter, cari hastag #miwf2013

Advertisements

Pra Makassar International Writer Festival 2013 (miwf2013)


25 Jun 2013

Sebetulnya saya hampir sahaja tertinggal kapal terbang. Kereta saya rosak di tengah jalan kerana masalah kaburator. Suhu kereta naik sedangkan saya hanya punya sisa 2 jam. Masuk ke bandar kajang mencari teksi, dan ketika itu saya hanya punya sisa masa 1 jam setengah. Paling kurang kalau dari kajang ke lcct harus 45 minit.

Ketika itu memang status yang sangat kritikal. Saya meminta uncle teksi memandu selaju yng mungkin. Sambil berdoa tiada trafik jam sepanjang perjalanan ke lcct. Saya runsing memikirkan saya belum check in lagi. Cepat sahaja saya beringat, air asia boleh check in melalui telefon. Dan saya di dalam teksi hanya punya masa tidak lebih 10 minit untuk check in.

Saya hampir sahaja menangis memikirkan kemungkinan saya akan terlepas kapal terbang. Sambil sambil cuba mencari kalau ada perjalanan lain ke makassar yang ternyata tidak ada.

Uncle teksi mengatakan satu ayat untuk menenangkan saya, ” if god help you, you will not miss the flight” dan saya berharap penerbangan ditangguhkan kerana cuaca jerebu. Haha. Rasanya saya satu satunya orang yang berharap cuaca jerebu dapat menghalang penerbangan.

Sampai di airport, terus berlari dengan beg tarik seperti amazing race sahaja. Haha. Nafas tercungap cungap, melalui pemeriksaan imigresen yang tiada orang langsung, (di bahagian pasport malaysia) terus pemeriksaan beg dan akhirnya saya berjaya sampai di pintu pelepasan, 2 minit sebelum ditutup.

Ah, terima kasih staf air asia yang membantu, juga teman saya yang ikut berlari dan sungguh risaukan saya terlepas kapal terbang.

Dan selepas keadaan yang sungguh drama, kenalah insaf, kalau flight pukul 10, kena keluar rumah sesudah subuh. Hehe.

Untuk ikuti acara miwf, boleh cari hast tag #miwf2013 di twitter atau ikuti @makassarwriters

Hujan Bulan Juni dan Sapardi Djoko Damono


Saya sebenarnya cuba menahan diri daripada menuliskan entri ini. Semenjak nama Sapardi Djoko Damono meledak kebelakangan ini, di kalangan penulis muda (yang kemudiannya berkata, “oh saya sudah dengar musikalisasi Sapardi” di laman twitter atau facebook) dan setiap kali menjelang Jun mereka akan berkongsi di laman Facebook atau Twitter, puisi Hujan Bulan Juni. Saya ingin terus sahaja berdiam diri, kerana dahulu saya selalu sahaja menghebah-hebahkan kepada orang tentang kekasih puisi saya yang pertama ini. Tetapi saya ada sisi buruk yang menentang situasi “mainstream” dan akan menyukai hal-hal yang tidak diketahui orang lain.

Saya jatuh cinta kepada Sapardi bukan melalui puisi Hujan Bulan Juni atau Sihir Hujan walaupun itu yang mula disebut kepada saya. Saya menyukai puisi Sapardi melalui sajak-sajaknya yang kurang popular tetapi meninggalkan sejumlah kesan yang dalam kepada saya. Kalau sesiapa pernah membaca buku “Sepetang di Kafe Biblioholic”, salah satu wataknya Redza mengatakan, dia membaca untuk membaca dirinya. Ya, saya seperti itu juga. Melalui puisi Sapardi yang terutama, membuatkan saya mengenali diri sendiri.

Ada mungkin sesetengah pihak kurang menyenangi, diri saya yang cenderung menyukai penyair dari seberang, malah kedua-dua kekasih puisi saya, Aan Mansyur dan Sapardi Djoko Damono merupakan penyair dari Indonesia. Mungkin mereka mencebik dan mengumpat di belakang saya sambil mengatakan, apakah tiada lagi penyair Malaysia untuk disukai. Suka untuk saya menjawab, dalam puisi dalam sastera di ruang lingkung fikiran dan hati saya, tiada sempadan negara. Puisi-puisi yang bertebaran di dalam fikiran saya tiada peta negara yang mewakili mereka, kerana mereka mewakili manusia sebelum dibeza-bezakan oleh sempadan,warna kulit, bahasa. Dan saya bermula menulis dengan cerpen dan mengalami kesukaran untuk membaca puisi, kerana saya bertemu puisi-puisi yang terlalu obes dengan metafora dan renda yang membalut setiap lapis tubuh puisi itu. Sedang semasa saya membaca Sapardi, saya mula menyedari hal bahawa, puisi itu boleh terbuat daripada apa sahaja, daripada hal-hal yang paling kecil dan sederhana serta tidak dipedulikan orang. Dan puisi boleh sahaja ditulis dalam apa juga bentuk tanpa perlu obes dengan metafora dan renda. Selepas membaca Sapardi, saya mempunyai keyakinan untuk menulis diri saya sendiri ke dalam puisi. Selepas bertatih-tatih belajar membaca puisi melalui puisi  Sapardi, saya mula boleh berlama-lamaan membaca semua jenis buku puisi, serta membicarakan puisi berjam-jam lamanya dengan penuh rasa minat, dengan penuh uja. Malah, juga boleh dikatakan, membaca Sapardi Djoko Damono kemudiannya Aan Mansyur, membuatkan dan mendesak saya untuk menulis puisi sesudah itu.

Ini tentu sahaja berlainan dengan penyair kegemaran saya, T. Alias Taib dan Dr Zurinah Hassan. Membaca puisi mereka sangat menyenangkan, malah hampir sebahagian puisi mereka saya ingat benar dan saya ulang baca. Tetapi untuk mereka, puisi-puisi mereka hanya sedikit membangkitkan emosi dan desakan untuk saya menulis puisi. Puisi meeka untuk saya nikmati. Hanya itu sahaja perbezaaan antara kekasih puisi dan juga penyair kegemaran saya. Perbezaan yang sangat sedikit.

Saya kurang gemar menyebut puisi-puisi biasa Sapardi seperti yang selalu disebut oleh penulis-penulis muda hipster, iaitu Hujan Bulan Juni , Sihir Hujan atau Aku ingin. Saya ingin menyebut puisinya yang lain, yang memberi impak bergedang kepada saya, dan menenggelamkan saya, jauh jauh dalam, seperti Dalam Diriku, Hatiku Selembar Daun, Mata Pisau, Akuarium, Tuan. Tetapi saya sudah memilih diam, hanya diam sahaja. Ini adalah sisi buruk saya.

Dan setiap tiba bulan Juni, saya akan menyambutnya sebagai hari mencintai puisi Sapardi Djoko Damono. Di sebalik riuh suara hujan di sebalik jendela, yang juga hujan mengiringi saya sewaktu memandu, serta musikalisasi puisi Sapardi oleh dua Ibu. Saya ingin merayakannya dalam diam selepas menulis tentang ini di dalam blog. Tentu sahaja sebab yang utama saya tidak dapat menahan diri daripada menulis tentang hal ini di blog adalah, jika diberi keizinan, saya akan dapat bertemu dengan Sapardi sendiri pada bulan Juni ini.

Aha, saya sangat menunggu kesempatan ini.

 

Perihal Cemburu


Bila mengingati kes cemburu ini, saya teringat suatu ketika dahulu, selepas saya tamat pengajian dan pulang ke Kuala Lumpur, mula bekerja dan mula bertaut dengan kawan-kawan yang selama ini hanya berhubung jarak jauh tetapi berkongsi kecintaan yang sama. Waktu itu saya sudah melepasi zaman memberontak dan mula berlunak kepada sesiapa sahaja.

Dan kebetulan ada seseorang, kebetulan saya pernah berjanji bahawa kami akan selalu keluar ke mana-mana majlis selepas saya pulang ke Kuala Lumpur. Sebelum waktu itu, banyak program saya tidak boleh sertai kerana faktor jarak dan wang, jadi saya pun mahu menunaikan janji dan mengeratkan tali persahabatan yang renggang untuk beberapa waktu itu (cewah ayat!). Dia yang pernah ada kes percubaan merebut hati dengan saya tetapi mungkin kerana saya dalam zaman memberontak dan malas mahu layan sesiapa yang mahu mengusik telaga hati saya agar berkocak, pun berasa gembira kerana saya sudah pulang. Kami mula berjumpa (bersama teman-teman yang lain tentunya) dan ketika itu saya tiada pun dalam fikiran saya terlintas untuk mengocakkan hati saya, hati dia mahupun hati sesiapa. Saya ingin melalui hidup yang tenang-tenang.

Dan saya langsung tidak tahu, bahawa dalam diam dan percubaan berahsia si dia sudah mengikat janji kasih dengan perempuan lain. Dan terjadilah konflik akibat salah faham dan rusuh gaduh dek cemburu seorang perempuan. Saya yang naif ini dan tidak tahu apa-apa jadi mangsa keadaan. Lalu saya memilih diam dan berjarak.

Dalam berjarak kerana mahu menghormati kecemburuan si perempuan serta kawan saya , akhirnya mereka pun selamat mendirikan rumah tangga. Jangan tak tahu, sekarang ini jadual saya penuh acara nikah kahwin setiap minggu. Sehingga saya kadangkala terlupa siapa yang berkahwin hari ini. Selepas berkahwin, zaman fitnah dan kecemburan sudah(mungkin) berlalu, barulah saya berani menerima pelawaan untuk berjumpa dan beramah mesra. Yelah, apa-apa pun sudah perempuan itu sudah sah memiliki lelaki itu, tiada apa yang perlu dirisaukan.

Dan baru-baru ini dengan sengaja saya mengusik si perempuan ini perihal cemburu dan suaminya yang gila-gila bahasa, si perempuan mengatakan dia langsung tidak berasa apa-apa kerana sudah biasa dengan perangai suaminya, malah tidak merasa apa-apa. Langsung tidak berasa cemburu

Ironi kan? Setahun sebelum itu, saya ini jadi mangsa kecemburuannya. Dijeling dan dimuncungnya saya, dan saya difikirkan pesaing dan juga ditanya soalan di dalam kereta saya sendiri, soalan yang benar-benar membuatkan saya rasa seperti saya ini seperti perempuan yang terhegeh-hegeh mahukan lelakinya. Sedangkan dia tidak tahu, lelakinya merayu dan meminta saya agar tidak memberitahu perempuan itu, lelaki itu dalam diam ingin ajak saya keluar menonton teater bersama, lelaki itu ajak saya keluar makan bersama, datang ke rumah kakak saya mengambil saya untuk keluar makan malam, lelaki itu menyimpan hati (mungkin) kepada saya. Tapi di mata perempuan, saya jugalah yang mahu diadu dan digaduhnya.

Dan saya membuat kesimpulan begini sahaja, bila datang kes begini, lelaki akan selalu menyelamatkan diri sendiri. Mereka akan buat seolah-olah mereka tidak bersalah, perempuan itu yang mengada-ada mahukannya. Ditambah kalau perempuan itu jenis yang lincah dan mesra seperti saya (lincah ke?) Hiks. Mudah dijadikan bahan untuk difitnahkan.

Kejadian menyelamatkan diri sendiri ini juga, saya lihat dilakukan seorang kawan lelaki saya, yang di depan dan telefon bukan main kalau semua perbendaharaan kata romantik hendak dihamburkan kepada saya, dia siap boleh buat daftar kamus khusus. Lelaki Oh Lelaki. Kebetulan, saya sempat berkenalan dengan kekasihnya (sekarang mantan kekasih). Amboi, depan kekasihnya, darjah sopan santunnya naik seratus peratus. Perangai ‘menggatal’ langsung tidak ada. Sedangkan saya dan kawan-kawan yang lain bergurau seperti biasa, dia duduk diam tercatuk dan hanya ketawa sahaja. Ketika itu tertanya, ha mana kamus khusus romantik awak itu.

Jadi, kesimpulannya untuk perempuan-perempuan yang lincah dan mesra, hati-hati dengan lelaki di sekeliling kamu. Mereka ini walaupun sudah berikrar menjadi kawan baik, mudah sahaja menjadikan kamu bahan fitnah untuk menyelamatkan diri apabila ‘kantoi’ dengan teman wanitanya. Dia yang menggatal, dan juga untuk perempuan kaki cemburu, kalau lelaki kamu itu sudah jenis menggatal, jangan salahkan perempuan lain pula. Ya.

Girls power (tiba-tiba) haha 🙂

5 Cara Sederhana Menikmati “Sepetang di Kafe Biblioholic”


Anda telah membeli sebuah buku berjudul “Sepetang di Kafe Biblioholic”. Buku itu masih tersimpan rapi di rak. Menunggu giliran untuk dibaca. Anda sendiri jauh lebih tahu kan, bagaimana sesebuah buku harus menunggu emosi dan masa yang sesuai untuk dibaca. Untuk anda benar-benar menikmati dan merasai ceritanya. Nah, mari saya berkongsi 5 cara sederhana membaca “Sepetang di Kafe Biblioholic”

 


Anda suka kopi atau teh? Kalau anda membeli buku daripada penulisnya, tentu sahaja soalan ini yang ditanya. Selepas anda memberi jawapan, anda akan dihadiahkan sepaket teh Earl Grey atau sepaket kopi-O. Nah, buatkan secangkir teh atau secawan kopi. Letakkan di sebelah jendela. Anda boleh memulakan pembacaan anda sambil mencicip hadiah kecil daripada penulisnya. Untuk yang pertama kali, yang minum teh Earl Grey, mungkin anda boleh meneka-neka, mengapakah teh Earl Grey yang menjadi minuman pilihan watak dalam novel ini? Nah, di sini anda mungkin boleh bermula menikmati “Sepetang di Kafe Biblioholic” dari secangkir teh kuning keemasan itu.

II


Suatu hari, selepas anda membeli buku “Sepetang di Kafe Biblioholic”, hujan merebas turun. Talian Astro putus-putus akhirnya tidak mendapat siaran langsung. Internet belum berbayar atau anda tidak pernah melanggan pun. Apa kata, anda ambil buku itu daripada rak dan mulakan pembacaan. Anda tahu, salah seorang wataknya sangat mencintai hujan. Malah penulis novel itu juga, sangat sangat mencintai hujan. Hujan sering kali jadi latar dalam novel itu. Anda sendiri tahu bukan. Hujan sering kali mewujudkan perasaan yang syahdu dan sendu. Jika anda juga pencinta hujan, anda tahu bagaimana magisnya titisan-titisan air dari langit itu jarang gagal mewujudkan perasaan yang sedemikian aneh kepada ramai orang. Apa kata anda memulakan bacaan di tengah-tengah hujan menyanyi sambil sedikit membiarkan jendela terbuka, dan membiarkan bau hujan mengiring bacaan anda?

III

Selalu sahaja, anda pergi ke kafe, kopitiam atau coffee house. Untuk makan atau untuk berbual-bual dengan rakan-rakan anda. Nah, apa kata, suatu hari, anda bawa buku “Sepetang di Kafe Biblioholic”, anda pesan secawan kopi sama ada espresso, kapucino, latte atau seteko teh sama ada teh Earl Grey, atau English Breakfast atau teh strawberi atau apa sahaja. Kemudian, pilihlah tempat duduk berdekatan dengan jendela. Sama ada jendela berdekatan tempat lalu lalang, atau jendela membuka pemandangan di luar. Mulalah membaca sementara minuman anda sedang disempurnakan untuk diminum.

IV


Senja. Warnanya perang, mungkin juga, coklat jingga, mungkin juga merah jingga. Tetapi warna teh juga sebahagian daripada warna senja. Apa kata, anda membaca sewaktu senja. Sewaktu langit sedang bersimpang siur dengan ribuan warna sebelum dilarikan oleh kesamaran dan kegelapan. Semasa anda membaca, anda sedang bertarung dengan cahaya, dan perlahan-lahan warna kertas pada novel yang putih itu bertukar coklat keperangan. Perasaan itu sungguh indah. Percayalah.

V


Atau anda masih juga boleh menetapkan bila-bila waktu anda untuk membaca buku itu. Tetapi buat anda yang belum mula membaca, ada boleh mula mengiringi pembacaan anda dengan lagu klasik. Anda tahu ibu kepada watak utama selalu sahaja jatuh cinta kepada lagu klasik. Kerana lagu klasik menyimpan rasa dalam caranya sendiri. Cuba anda cari lagu-lagu seperti ini, Dari Mana Datangnya Asmara, Menimbang Rasa, Di Wajahmu Kulihat Bulan dan beberapa lagu lainnya. Novel sederhana ini tentang kenangan, dan lagu klasik seolah-olah muzik yang indah sekali untuk kita mengenang dan terkenang

Nah, ini hanya cara sederhana membaca novel ini. Mungkin anda ada cara yang jauh lebih baik baik daripada ini. Selamat membaca.

Menuliskan Kenangan serta Hal-hal Kecil yang Menyentuh


I
Beberapa hari ini, saya mudah tersentuh dengan beberapa hal-hal kecil seperti nyanyian syahdu, rintik-rintik hujan, desir angin dari balik jendela, daun kering yang menari-nari di jalanan. Tersentuh sehingga hatinya saya ngilu dan membuatkan mata saya berair.

Dalam desakan hidup dan keinginan yang tidak dapat dicapai, saya belajar untuk melawan dengan ketidakendahan, itu saya pelajari bertahun-tahun dalam usia kanak-kanak, remaja dan dewasa seperti ini. Sebab itu, mungkin mereka tidak tahu, saya sedang menyimpan sedih dalam senyuman saya. Atau dalam ketawa manja saya. Dan sebab itu ramai yang memilih untuk mempermain dan melukakan saya berkali-kali, dan saya tersenyum serta masih sahaja boleh berkata yang baik-baik sahaja.

Dalam dalam banyak-banyak hal, saya tahu bila hati saya sedang rapuh dan bukan pualam apabila saya mudah tersentuh dengan hal-hal kecil seperti yang saya sebutkan di atas. Dan saya selalu berharap saya dapat menyempurnakan tulisan, dalam bentuk cerpen atau pun puisi atau mana-mana bahagian dalam novel.

Kerana saya percaya, dengan menulis, saya dapat menyimpan memori dan kenangan di dalam tulisan saya, membacanya kembali seolah-olah membuka kembali diri saya yang mungkin telah ditumpahkan ke dalam tulisan.

II

Saya teringat kata-kata kawan saya, kalau hendak menuliskan kenangan, tulis sahaja dalam diari. Ini merujuk kepada, mengapa mahu mendedahkan kenangan kita di dalam tulisan? Mendedahkan diri sendiri.

Tetapi saya telah dikhianati oleh diari berkali-kali. Dalam diari, kerana kita merasa dunia rahsia kita begitu luas dan sedaya mungkin kita meluahkan semuanya, dengan jujur, tanpa sebarang pelindungan. Bagaimana dengan mereka yang membacanya, yang curi-curi membacanya. Kemudian berbuat sesuatu selepas membacanya? Seperti mempermain-mainkan kita?

Dengan menulis, kita sedaya udaya menyembunyikan di dalam kata. Kita belajar banyak hal dengan menulis meski tulisan kita separa fiksi. Kerana orang Melayu itu sendiri, beradab dalam berkata, berkias dengan kata, dalam kiasan ada makna. Di dalam puisi, cerpen atau pun novel yang ditulis, hanya kita yang mengetahui bahagian mana yang separa fiksi, bahagian mana yang bukan fiksi.

III

Ada waktunya saya juga manusia biasa, yang tidak boleh puaskan hati semua orang dengan senyuman dan gelak ketawa. Ada waktunya, kita hanya menunjukkan diri (yang sedikit marah, yang sedikit tersinggung dengan kelakuan buruk mereka) kita sekali sekala kerana terlalu lelah dan banyak hal yang menggugah. Tetapi percayalah, mereka ini akan menyerang kita habis-habisan kerana hanya “waktu sekali-sekali itu”. Kerana mereka sentiasa percaya, mereka tidak pernah salah. Tidak pernah salah. Mereka akan menunjukkan merekalah mangsa keadaan, merekalah di pihak teraniaya. Kerana mereka punya kuasa, punya lakonan untuk menunjukkan semua itu, kerana mereka memilih untuk berkata di hadapan umum, menulis di dinding pengakuan. Kita yang memilih untuk diam, akan dilihat sebagai pihak yang jahat hanya sekali itu memilih “menunjukkan perasaan sebenar” kerana keadaan tidak lagi dapat mengekang semua itu lagi. Sedangkan mereka yang berkali-kali melukakan kita, dilihat sebagai pihak yang harus diberi simpati.

Dan kita selamanya akan disingkirkan kerana kita yang selama ini memilih diam, hanya kerana sekali menunjukkan perasaan tersinggung kita, kita harus menerima hukum selamanya, berbanding mereka yang selalu sahaja menyakitkan hati orang lain.