Hujan Bulan Juni dan Sapardi Djoko Damono


Saya sebenarnya cuba menahan diri daripada menuliskan entri ini. Semenjak nama Sapardi Djoko Damono meledak kebelakangan ini, di kalangan penulis muda (yang kemudiannya berkata, “oh saya sudah dengar musikalisasi Sapardi” di laman twitter atau facebook) dan setiap kali menjelang Jun mereka akan berkongsi di laman Facebook atau Twitter, puisi Hujan Bulan Juni. Saya ingin terus sahaja berdiam diri, kerana dahulu saya selalu sahaja menghebah-hebahkan kepada orang tentang kekasih puisi saya yang pertama ini. Tetapi saya ada sisi buruk yang menentang situasi “mainstream” dan akan menyukai hal-hal yang tidak diketahui orang lain.

Saya jatuh cinta kepada Sapardi bukan melalui puisi Hujan Bulan Juni atau Sihir Hujan walaupun itu yang mula disebut kepada saya. Saya menyukai puisi Sapardi melalui sajak-sajaknya yang kurang popular tetapi meninggalkan sejumlah kesan yang dalam kepada saya. Kalau sesiapa pernah membaca buku “Sepetang di Kafe Biblioholic”, salah satu wataknya Redza mengatakan, dia membaca untuk membaca dirinya. Ya, saya seperti itu juga. Melalui puisi Sapardi yang terutama, membuatkan saya mengenali diri sendiri.

Ada mungkin sesetengah pihak kurang menyenangi, diri saya yang cenderung menyukai penyair dari seberang, malah kedua-dua kekasih puisi saya, Aan Mansyur dan Sapardi Djoko Damono merupakan penyair dari Indonesia. Mungkin mereka mencebik dan mengumpat di belakang saya sambil mengatakan, apakah tiada lagi penyair Malaysia untuk disukai. Suka untuk saya menjawab, dalam puisi dalam sastera di ruang lingkung fikiran dan hati saya, tiada sempadan negara. Puisi-puisi yang bertebaran di dalam fikiran saya tiada peta negara yang mewakili mereka, kerana mereka mewakili manusia sebelum dibeza-bezakan oleh sempadan,warna kulit, bahasa. Dan saya bermula menulis dengan cerpen dan mengalami kesukaran untuk membaca puisi, kerana saya bertemu puisi-puisi yang terlalu obes dengan metafora dan renda yang membalut setiap lapis tubuh puisi itu. Sedang semasa saya membaca Sapardi, saya mula menyedari hal bahawa, puisi itu boleh terbuat daripada apa sahaja, daripada hal-hal yang paling kecil dan sederhana serta tidak dipedulikan orang. Dan puisi boleh sahaja ditulis dalam apa juga bentuk tanpa perlu obes dengan metafora dan renda. Selepas membaca Sapardi, saya mempunyai keyakinan untuk menulis diri saya sendiri ke dalam puisi. Selepas bertatih-tatih belajar membaca puisi melalui puisi  Sapardi, saya mula boleh berlama-lamaan membaca semua jenis buku puisi, serta membicarakan puisi berjam-jam lamanya dengan penuh rasa minat, dengan penuh uja. Malah, juga boleh dikatakan, membaca Sapardi Djoko Damono kemudiannya Aan Mansyur, membuatkan dan mendesak saya untuk menulis puisi sesudah itu.

Ini tentu sahaja berlainan dengan penyair kegemaran saya, T. Alias Taib dan Dr Zurinah Hassan. Membaca puisi mereka sangat menyenangkan, malah hampir sebahagian puisi mereka saya ingat benar dan saya ulang baca. Tetapi untuk mereka, puisi-puisi mereka hanya sedikit membangkitkan emosi dan desakan untuk saya menulis puisi. Puisi meeka untuk saya nikmati. Hanya itu sahaja perbezaaan antara kekasih puisi dan juga penyair kegemaran saya. Perbezaan yang sangat sedikit.

Saya kurang gemar menyebut puisi-puisi biasa Sapardi seperti yang selalu disebut oleh penulis-penulis muda hipster, iaitu Hujan Bulan Juni , Sihir Hujan atau Aku ingin. Saya ingin menyebut puisinya yang lain, yang memberi impak bergedang kepada saya, dan menenggelamkan saya, jauh jauh dalam, seperti Dalam Diriku, Hatiku Selembar Daun, Mata Pisau, Akuarium, Tuan. Tetapi saya sudah memilih diam, hanya diam sahaja. Ini adalah sisi buruk saya.

Dan setiap tiba bulan Juni, saya akan menyambutnya sebagai hari mencintai puisi Sapardi Djoko Damono. Di sebalik riuh suara hujan di sebalik jendela, yang juga hujan mengiringi saya sewaktu memandu, serta musikalisasi puisi Sapardi oleh dua Ibu. Saya ingin merayakannya dalam diam selepas menulis tentang ini di dalam blog. Tentu sahaja sebab yang utama saya tidak dapat menahan diri daripada menulis tentang hal ini di blog adalah, jika diberi keizinan, saya akan dapat bertemu dengan Sapardi sendiri pada bulan Juni ini.

Aha, saya sangat menunggu kesempatan ini.

 

3 thoughts on “Hujan Bulan Juni dan Sapardi Djoko Damono”

  1. saya juga suka menyimpan puisi atau novel yang bagus sendiri-sendiri hahaha. jahatnya. saya tak suka berkongsi kesukaan saya -,- entah kenapa. tapi kalau ada orang yang kegemarannya membaca sajak atau novel yang saya minat, laju saja keluarkan semuanya, tak tertahan-tahan lagi hahaha.

    Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s