Bubur, Mcdonalds dan Demam



Dilanda selsema, sakit tekak, seterusnya batuk kering. saya berharap terus demam sahaja daripada menyeksa begini. Antara hendak demam tidak demam. Produktiviti pun jatuh terpuruk. Minum bergelen air tetapi masih tidak berkesan. Setiap kali batuk setiap kali itu juga rasa hendak termuntah. Makanan jadi kurang berperisa di hujung lidah.

Akhirnya, makan malam dan juga makan tengah hari? Bubur ayam McDonalds, jenama yang diboikot dan dikutuk penentang zionis satu Malaysia.

Klinik hanya beberapa meter daripada McDonalds. Dan saya tahu, di situ sau-satunya tempat yang diyakini seratus peratus menawarkan bubur ayam yang hangat dan tentu sahaja sedap. Pengalaman melangkah beberapa kedai makan bertanya sekiranya ada menjual bubur nasi selalu sahaja bertemu kehampaan dan kekecewaan. Bayangkan sahaja kita ini sedang sakit, kalau boleh, nak berguling terus di rumah selepas menunggu rawatan doktor hampir dua jam tetapi demi preskripsi doktor mengatakan mesti makan ubat selepas makan, mahu tidak mahu kena juga beli makanan, dan makanan yang dirasakan ideal pada waktu itu hanya bubur. Apa lagi pilihan yang ada? Terus cari GPS atau memori, mana lokasi McD terdekat. Tamat cerita.

Orang kita hanya tahu berniaga nasi campur nasi campur sahaja, atau nasi kukus ayam dara (tidak tahulah memang beli ayam dara atau ayam janda di pasar raya sahaja) atau idea akhir, kedai makan tom yam dan seafood sedangkan falsafah kedai makan sebegitu, mesti setiap hidangan dilambakkan dengan seafood sebanyak banyaknya, barulah boleh berani hendak letakkan nama kedai di hujung nama sendiri, tom yam dan seafood. Jadi di mana keadilan bubur ayam untuk dijual? Ya, di McD sahaja.


Bukan pemikiran saya sahaja, semasa menunggu rawatan doktor di ruang menunggu, (yang lama Tuhan sahaja tahu, sungguh itu klinik swasta sedangkan pesakit hanya 3 orang dan darjah kelamaan itu boleh main candy crush 10 level, bila masuk doktor minta tunggu sebentar sebab sibuk nak berwhatapps), seorang ibu bertanya kepada anak lelaki remajanya yang sakit, “ibu belikan bubur di Mcd ya. Untuk makan sebelum makan ubat.” Kemudian, seorang perempuan yang ditemani suaminya meminta membelikan bubur di McDonalds sesudah mengambil ubat, nah 3 orang sudah berkongsi pemikiran yang sama. Bermaksud hampir 50% penduduk urban KL bila sakit akan makan bubur McD, kenapa bubur tidak menjadi perniagaan franchise yang berkembang maju seperti sup, mee jawa? Adakah ini satu diskriminasi atau rancangan sulit Zionis supaya umat Islam urban Malaysia bergantung kepada bubur McD ketika sakit?

Saya pernah ke pejabat imigresen, dan dari tempat saya meletakkan kereta, saya sudah diekori dan ditanya oleh beberapa orang tentang keperluan saya mengambil gambar atau mengisi borang. Nah bayangkan mereka sepanjang pejabat imigresen itu sudah tahu peluang perniagaan walaupun hanya penawaran untuk menangkap gambar pasport yang mengikut spesifikasi pejabat imigresen dengan cepat dan cantik. Kerana mereka nampak peluang dan keperluan.

Begitu juga, dengan penjualan bubur ayam sedap berdekatan dengan mana-mana klinik swasta kerana makanan itu sudah sampai tahap peluang dan keperluan. Bayangkan, berapa orang yang jatuh sakit dan pergi klinik setiap hari? Ramai kan? Sudah berapa keuntungan daripada menjual nasi terlebih air itu?

Kalau saya ada resipi turun temurun bubur paling sedap dunia, mesti saya sudah buka franchise “bubur bonda”. Tapi malangnya keluarga saya tidak ada tradisi menjual bubur. Saya rasa orang Melayu alam perniagaan makanan ini harus berganjak dan memikir keperluan lebih daripada kehendak, seperti burger bakar itu kehendak bukan keperluan. Bubur ayam sedap, keperluan bukan kehendak. Bayangkan sahaja dalam keadaan demam begini, jauh dari keluarga, berseorang diri di atas katil tanpa pasangan (sebab tak kahwin lagi), kita dapat menikmati semangkuk bubur sedap sebelum berehat panjang. Aduhhhhh!!! Bahagianya!!!

Demi bubur yang sangat sedap dinikmati ketika demam-demam begini, wahai peniaga makanan Melayu sekalian, juallah bubur di kedai kalian.

Penyair Perlu Ada Karakter


Saya sukakan gambar ini. Penyair Poland Wislawa Szymborska. Saya pernah menulis tentangnya dalam entri ini. Gambar ini memperlihatkan Wislawa dalam emosi “keanak-anaknya”. Saya teringat puisi A Cat In An Empty Apartment. Saya membayangkan Wislawa menulis sajak itu dengan wajah dan emosi “keanak-anakan” seperti gambar ini.

Saya fikir penyair perlu ada karakter. Kerana menulis puisi, sebenarnya menulis diri meski separa fiksi. Karakter penyair tidak semestinya pendiam, sunyi, suka mengasingkan diri, serabut, dipinggirkan. Karakter penyair tidak perlu kelihatan seperti itu di hadapan umum. Tetapi kita boleh melihat karakter penyair (yang tulen) melalui cara dia bercakap, cara dia mengawal pergerakan di hadapan umum, cara dia memperagakan diri di hadapan kamera (seperti Wislawa) dan kita sebagai pembaca secara tanpa sedar, akan menyedari karakter penyair tersebut kerana begitu kuat dan begitu berwibawa tanpa terlalu berlebihan ditonjolkan. Dan kita juga akan tahu siapa penyair palsu, dan penyair tanpa karakter.

Kerana puisi ditulis dari dalam, daripada karakter dalamannya.

II

Saya fikir, dalam majalah sastera yang memperagakan penyair sebagai tetamunya, harus menggambarkan karakter penyair dengan cara pensyotan gambar yang terbaik. Bukan model jual tudung sahaja perlu syot-syot dan penataan cahaya yang baik dan kustom pakaian yang terbaik. Seorang teman saya suka melihat gambar-gambar lama penulis. Dengan gambar itu dia akan menceritakan kepada saya, emosi yang diperoleh serta karakter penulis yang dilihat sama dalam gambar dan apa yang dia baca dalam karyanya. Dengan kenyataan itu saya percaya, gambar menggambarkan seribu kata-kata.

Saya suka kulit Dewan Sastera dalam isu Sasterawan Negara Baha Zain. Cukup, saya letakkan kulit majalahnya di sini.



Ini Bukan Ruang Privasi Lagi


I

Lintas langsung twitter yang penuh amarah, puitis orang muda dan linikala Facebook yang penuh keluh kesah dan adu domba orang berusia. Serta entri entri di blog yang sudah lupus dan dilupakan orang. Siapa yang memilih ruang privasinya dan ruang peribadinya untuk didedahkan dalam ruangan-ruangan ini? Kita boleh melihat sekarang ini, orang menjadi terlalu berani untuk berkata-kata. Sungguh terlalu berani. Malah melanggar apa sahaja ruang privasi untuk mencipta sengketa, atau untuk membina bahagia.

Satu persoalan menarik dari teman saya, mengapa mahu privasikan ruang twitter, facebook kecuali blog ini jika memang tiada apa-apa untuk disembunyikan? Ya, untuk mengurangkan sakit kepala, kerana cukup sahaja kenalan facebook dan twitter yang penuh rusuh itu. Jangan tambah lagi orang asing yang boleh bikin kepala pusing. Saya ingin sekali menjawab persoalan itu dengan jawapan teman saya, ” semakin anonymous seseorang semakin dia tidak dipedulikan, oleh itu jadilah anonymous.”

Juga jawapan seseorang yang berpangkat kepada saya apabila terjadi sebuah kes, yang seseorang tersinggung dengan kenyataan saya sehingga hampir mencetuskan pergolakan profesionalisme sedangkan kenyataan itu tentu sahaja tidak tertuju untuknya, bahkan seseorang yang tidak ada dalam linikala atau lintas langsung laman sosial saya, bahkan hanya kritikan kepada umum. Apabila saya menjawab kembali, mengapa ada yang mahu melanggar ruang peribadi dan privasi saya sedangkan saya tidak langsung mengganggunya serta tidak langsung membuat kenyataan kepadanya, sedangkan dia berleluasa mendedahkan sisi peribadi orang lain di hadapan umum, katanya “persepsi, kita tidak boleh mengubah persepsi orang. Jadi kita yang kena jaga tingkah laku.” Saat itu saya terdiam, apatah lagi setelah terlihat bisik-bisik antaranya di belakang saya. Ya, kita tidak dapat mengubah persepsi orang kepada kita, kenyataan kita, tujuan asal kenyataan itu dibuat. Apatah lagi kepada orang yang pandai memanipulasikan keadaan dan kenyataan. Oleh itu, bersembunyilah dan berkata-kata kepada orang yang sebenar-benar mahu mendengar kita berkata-kata, bukan untuk mencipta spekulasi, pakatan atau sindiran yang menjatuhkan. Tetapi ini tentu sahaja berlainan cara dengan orang yang memang ingin menjadi perhatian dengan kenyataannya.

II

Seorang teman saya yang lain ada berkata, tentang perbezaan antara Twitter dan Facebook (mengambil dua media sosial terbesar ini) yang dihuni oleh dua golongan yang berbeza. Tetapi tidak begitu berbeza cara mengendalikan emosi. Menurutnya, kalau di Facebook, sungguh pun kita (sebagai penulis status atau pemberi komen) merasakan ia hanya sekadar komen, hanya sekadar kata-kata, tetapi ia sudah dianggap sebagai kenyataan rasmi, yang mudah di “printscreen” , mudah diulangsebut, mudah dimanipulasikan. Malah sesuatu yang sepatutnya menjadinya perbualan peribadi, terus sahaja menjadi public apabila ditulis pada dinding, dan lagi mengharukan jika perbualan itu melibatkan profesionalisme . Facebook sudah dianggap bukti. Dan orang mudah, terlalu mudah bereaksi terhadap apa sahaja yang berlaku di Facebook. Cuba duduk sebentar melihat garis masa Facebook dan lihat betapa banyak emosi sedang dilambakkan di sana. Juga betapa banyak yang hanya kekosongan. Mungkin kerana dua hal, golongan yang gemar menghuni Facebook, ini merasa teruja mendapat kebebasan bersuara. Suara mereka tidak mahu tidak, jika kita memilih menjadi rakan, akan melintas di garis masa dan juga melintas dalam fikiran kita. Untuk memudahkan, lihat sahaja bagaimana negara China yang baharu sedikit membuka sekatannya, dan lihat bagaimana ia mula menguasai ekonomi, kerana sudah lama didiamkan, ditidurkan, apabila diberi peluang, mereka menakluk dengan sewenang-wenangnya. Ialah, kalau selama ini mereka tidak boleh bersuara atau bersuara tetapi tidak didengari, bila dapat peluang ini, maka direbut seluas-luasnya.

Aneh juga, Melayu yang disebut dalam sajak Usman Awang, memang hilang di garis masa Facebook itu.

Golongan yang ramai menghuni di Facebook, mereka yang berusia serta jauh berusia.

Di Twitter, kebanyakan anak-anak muda yang berdarah panas, dan twitter, linikala yang sangat pantas, serta sangat sesuai untuk mereka yang berdarah panas bergolak. Kalau di garis masa Facebook, pemiliknya akan berkeluh kesah sepanjang-panjangnya kerana ruang patah perkataan di Facebook sudah tanpa batas. Malah satu status sahaja, boleh jadi entri sebuah blog. Manakala di Twitter, dikawal 140 aksara. Dan segalanya mahu dihumban di situ, kemarahan, kesedihan, promosi, pergaduhan, rusuh. Sampaikan kalau mana-mana bahagian kementerian ingin mengkaji perilaku dan pemikiran anak muda zaman sekarang, tidak perlu mengaji mana-mana syarikat, cukup buka sahaja Twitter dan lihat suara anak muda di situ. Kawan saya berpendapat, dia lebih menyukai zaman blog, di mana sungguhpun bernama, tetapi masih anonymous lagi berbanding dengan pengguna Twitter dan Facebook. Dan zaman ini, tiada lagi boleh dikatakan ruang privasi lagi sungguh kita mahu beranggapan begitu. Kerana persepsi

Saya? Ya ketiga tiganya juga tetapi dengan khalayak berbeza.

III

Percaya atau tidak, sememangnya tiada lagi ruang privasi untuk bersembunyi, bertenang kecuali, anda memang menggunakan nama samaran. Namun, untuk zaman yang banyak orang-orang mengintip ini, tentu sahaja harapan itu hancur punah.

Manusia, sememangnya suka perhatian kan?

Cara Sederhana Membeli Buku “Sepetang di Kafe Biblioholic”


I

Sudah dua bulan buku Sepetang di Kafe Biblioholic, beredar di pasaran terbuka dan atas talian. Saya menerima beberapa emel yang ingin membeli Sepetang di Kafe Biblioholic dari saya. Saya perturunkan cara mudah membeli buku tersebut

  1. Pembayaran

    Masukkan sejumlah RM24 (harga buku selepas diskaun 10%-RM18+kos pos laju RM6) ke dalam akaun CIMB, 12010362126529 (Ainunl Muaiyanah bt Muhammad Sulaiman)

  2. Emel

    Mohon kirimkan emel berjudul “Ingin Membeli Buku Sepetang di Kafe Biblioholic” kepada ainunl.muaiyanah[at]gmail[dot]com. Kirimkan bersama butir-butir berikut

    -Bukti pembayaran

    -Nama penuh

    -Alamat

    -No telefon

    -Nama yang ingin ditulis di dalam buku (untuk tandatangan penulis)

    -Pilihan minuman: Teh atau Kopi

    -Permintaan, sekiranya ada (seperti kiriman kepada kawan/kata-kata khusus)

  3. Kiriman Emel Balasan

    Saya akan mengirimkan emel balasan beserta dengan tracking number Pos Laju.

Pembelian buku ini melalui saya akan mendapat sebuah buku Sepetang di Kafe Biblioholic (bertandatangan) + satu paket minuman pilihan (kopi atau teh) + tanda mata (penanda buku buatan sendiri).

II

Kalau ada yang inginkan pembelian secara C.O.D. sekitar Kuala Lumpur, boleh juga maklumkan kepada saya melalui emel tersebut. Nanti kita berbincang secara lanjut. Pembelian melalui C.O.D. berharga RM18 dan masih juga mendapat pakej seperti di atas.

III

Anda juga boleh membuat pembelian terus melalui penerbit saya, JS Adiwarna di laman sesawang berikut: www.jsadiwarna.com. Klik di bahagian pesanan ya


IV

Bab awal buku ini, boleh dibaca di sini. Hehe. Selepas membeli novel, boleh gunakan cara-cara menikmati novel ini melalui entri ini pula.

Abah, Perang dan Kemaafan


I
Ini bahagian cerita yang paling disukai Abah untuk diceritakan kepada anak- anaknya apabila malas belajar ( saya tak pernah kena) atau untuk sambung belajar master dan PhD (ini memang selalu kena). Cerita yang dihafal benar tetapi tidak begitu disukai ibu, tetapi sesekali saya juga suka membiarkan Abah bercerita lagi dan lagi, untuk memberi peluangnya mengenang, untuk memberi peluangnya merasa sungguh bangga, untuk apa sahaja rasa yang saya tidak pernah tahu.

Tentang nasibnya menyambung pelajaran ke luar negara dan terumbang ambing ke sana sini akibat perang.

II
Kerana Abah, merupakan adik yang selalu didengkikan oleh abang- abangnya, Abah tekad untuk menyambung pengajiannya sehingga ke peringkat tertinggi, kemuncaknya dia mendapat tawaran ke Mesir. Tapi waktu itu, Mesir sedang bergolak besar, perang di sana sini. Abah dinasihatkan pulang tetapi enggan, lalu dihantarkan ke Libya, kemudian perang sekali lagi, tertangguh pengajian, kemudian apabila sudah tamat pengajian, pulang ke Malaysia, ijazah dari Universiti Libya tidak diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.

Ini hanya ringkasannya.

III
Tetapi Abah berasa dia sudah berjuang yang sedaya mungkin di sana, memenuhkan sebahagian cita citanya. Walaupun dia berkata begitu, tetapi saya tahu, jauh dalam hatinya, ada rasa terkilan, kerana peperangan dan kesan daripadanya mengubah dan memesongkan perancangan dan impiannya.

Dalam pergolakan yang tempat sama Abah tertangguh impian sebenar, yang kini turut berperang atas tujuan yang berbeza dari waktu dahulu, saya melihat lebih kepada kesan selepas peperangan. Peperangan tidak akan pernah berakhir apabila ia bermula, akan sentiasa bermula kembali, berlanjutan, tersimpan, membakar di mana mana.

IV
Tentu sahaja saya tidak boleh untuk menulis kutukan atau hinaan kepada sesiapa dalam peperangan yang saya dengar lewat kebelakangan ini. kerana sebelum memilih berpendapat, kita harus tahu dengan jelas, letak duduk perkara, sejarahnya. dan tentu sahaja, saya masih kurang arif, dengan negara yang jauh itu, dari dalamannya atau luarannya, atau sejarahnya. Saya cuma berharap, sungguh supaya keamanan meskipun tidak sempurna menemui mereka, segera tiba.

V

Dua tiga hal yang berlaku kepada saya kebelakangan ini, membuat saya percaya, ada kalanya kita mencipta musuh kita sendiri tanpa kita sedari. Dan kita memarahi mereka kerana memusuhi kita. Tetapi kita kurang bercermin diri kerana terlalu banyak berkeluh kesah pada dinding pengakuan.

Dan ada kalanya kita terasa mahu memusuhi seseorang kerana hal hal yang tidak disangka- sangka. walaupun kita telah bersangka dan berbuat baik dengan semua orang. Peperangan besar kadang kala bermula dengan hal hal yang kecil yang kita abaikan, seperti percikan percikan api kecil, kalau digiat-giatkan, lama lama pasti menyalakan sesuatu.

Katanya, bermulalah memadamkan kesemuanya dengan kemaafan, tetapi, kemaafan seperti segayung air, mampukan memadamkan kebakaran sebuah rumah?

VI
Membaca kembali sajak “Sepasang Tanda Kurung dan Koma” membuat saya terfikir, impian dalam sajak ini, tidak mudah dicapai, meski kelihatan sangat sederhana.

Projek Komedi Jeda #001


photo

 

Mochabella

I love the fellings you give me just like the bittersweet kiss of Italian coffee and chocolate.

Lokasi: J.CO Donuts & Coffee, Giant Kota Damansara

Tempat: Meja makan

Projek Komedi Jeda

Komedi Jeda adalah projek kecil untuk mengumpulkan segala kata-kata indah, menarik, lucu juga bermakna yang diabadikan pada benda-benda dan tempat-tempat yang kecil dan sederhana seperti pada tisu makan, meja makan, dinding, plak penyambut tetamu dan di mana sahaja.

Projek ini bertujuan memberi apresiasi kepada mereka atau tempat yang mengangkat kata-kata menjadi sesuatu yang luar biasa dalam usaha sederhana mereka.

Projek Komedi Jeda boleh diikuti:

Instagram: Komedi Jeda, hastag #komedijeda

Tumblr: komedijeda.tumblr.com

Twitter: bakal menyusul

Hal-hal yang tidak patut ditanya kepada orang bujang sewaktu hari raya.


Ini panduan ringkas kepada mereka yang baru berkahwin, sudah lama berkahwin, kaum kerabat, bakal pak cik dan mak cik dan sesiapa sahaja yang bukan tergolong sebagai orang bujang atau belum berkahwin tetapi sudah masuk fasa patut berkahwin. Boleh dijadikan panduan dan pedoman untuk menjamin keharmonian dan ketenteraman jiwa kelab bujang sedunia. Percayalah.

1. “Bila hendak berkahwin ni?”
Soalan yang sama golongan, sama nada, sama maksud, sama arah tujuan seperti soalan di atas seharusnya disimpan dalam hati, dibenamkan di sudut hati paling dalam daripada diluahkan daripada ditanya kepada golongan orang bujang walaupun soalan itu untuk berbasa basi sahaja, untuk pembuka bicara sebab berjumpa setahun sekali itu pun tak ingat muka. Apatah lagi soalan tidak masuk akal itu, ditujukan kepada orang yang memiliki akaun berstatus single, gambar-gambar yang dikongsi di Instagram, Facebook atau Twitter adalah gambar makanan dan haiwan kesayangan, bukan gambar pasangan mereka. Mohon fikirkan soalan lain.

Menurut kajian di timeline Twitter dan juga Facebook, di mana pemiliknya adalah ahli kelab bujang sedunia, ini merupakan soalan yang paling panas, paling tidak disenangi, paling menyakitkan jiwa, yang boleh membuatkan tidak mahu balik raya atau emosi raya terbunuh! Bukan sebab cemburu dengan kebahagiaan rumah tangga anda semua, ataupun mereka tidak mahu berkahwin. Ada banyak hal-hal dalam hati atau luar hati yang mungkin tidak semua anda tahu atau tidak perlu tahu.

Cuba bayangkan, sebagai contoh, anda yang baru berkahwin dan beranak pinak ini, sebenarnya belum berkahwin lagi? Apa anda rasa? Jadi sesekali cuba letakkan diri dalam situasi mereka ini.

Lagipun kalau mereka ini mahu berkahwin, tentu sahaja akan buat jemputan melalui facebook, twitter, emel, surat menyurat 3 bulan lagi awal. Masa itu anda, tak reti-reti nak datang majlis kahwin. Masa belum nak kahwin, sibuk beria-ia bertanya. Kan?

Jadi sesekali atau lebih baik tidak bertanya adalah lebih baik.

2. “Eh, badan kau dah naik lah. Dulu kurus sahaja, sekarang dah tembam. Belum kahwin lagi ini.”

Selalunya soalan ini ditanya oleh mak cik & pak cik kepada anak keponakan yang sudah lama tak jumpa selama 10 tahun. Kalau sudah 10 tahun tidak berjumpa, tentu sahaja badan sudah membesar. Walaupun memanglah mereka sudah naik badan, tetapi rasanya tidak perlu hendak bertanya atau menyatakan secara verbal perkara yang sedia maklum. Rasa-rasanya bukan tuan punya badan tidak tahu badannya sudah naik apabila banyak baju sudah tidak muat kan? Jadi tidak perlulah kita menyedarkan medula oblogata mereka dengan soalan yang menyentap jiwa dan raya eh raga. Dengan siap buat perbandingan belum kahwin dan sudah berkahwin, seolah-olah kegemukan adalah punca mereka belum berkahwin.

Sesekali, berilah mereka peluang menikmati lontong, lemang, nasi impit, ketupat tanpa perlu terserdak, dan memandang sepi makanan itu dari jauh kerana tidak mahu dilabel gemuk oleh kaum tetangga.

3. “Kerja apa sekarang, bagus ke kerja tu?”

Masalah utama pengangguran di Malaysia adalah selain susah dapat kerja, memilih kerja. Iyelah, kalau nak setiap kali raya hendak menjawab, soalan seperti itu. Rasa rendah diri dan rendah hati bila kaum keluarga dan kawan-kawan semua bertanya seperti Jabatan Audit Negara. Lebih baik doakan murah rezeki dan dapat yang lebih baik daripada hari ini.

 

Seperti mana orang bujang tidak suka mendengar perkara-perkara yang di luar kuasa mereka mengawalnya dan malas menjawab, seperti itu jugalah orang yang sudah berkahwin, tidak mahu mendengar perkara-perkara di luar kuasa mereka, seperti 

1. Eh, bila lagi nak bertiga, berempat, berlima ini?

2. Kerja sekarang, boleh tanggung anak bini ke?

3. Bila lagi nak beli rumah sendiri? Sudah berkahwin pun menyewa lagi ke?

4. Kamu ini tidak ada anak, siapa yang mandul? Kau ke dia?

Haaaa….. Kan boleh terguris itu.

Kerana pertanyaan daripada orang bujang kepada orang yang berkahwin ini sebenarnya lagi banyak yang menyentap jiwa dan boleh merosakkan keharmonian rumah tangga anda semua serta menghancur lumatkan kemeriahan musim perayaan anda. Sebelum kelab orang bujang mengumpulkan soalan-soalan seperti di atas, lebih baik beri mereka ketenangan menyambut hari raya sambil makan dan melawat jiran tetangga serta sanak saudara.

Ehem, akhir kata, Selamat Hari Raya. Kalau makan nasi impit, tolong tolong tolongggg ingat pada saya.