Ini Bukan Ruang Privasi Lagi


I

Lintas langsung twitter yang penuh amarah, puitis orang muda dan linikala Facebook yang penuh keluh kesah dan adu domba orang berusia. Serta entri entri di blog yang sudah lupus dan dilupakan orang. Siapa yang memilih ruang privasinya dan ruang peribadinya untuk didedahkan dalam ruangan-ruangan ini? Kita boleh melihat sekarang ini, orang menjadi terlalu berani untuk berkata-kata. Sungguh terlalu berani. Malah melanggar apa sahaja ruang privasi untuk mencipta sengketa, atau untuk membina bahagia.

Satu persoalan menarik dari teman saya, mengapa mahu privasikan ruang twitter, facebook kecuali blog ini jika memang tiada apa-apa untuk disembunyikan? Ya, untuk mengurangkan sakit kepala, kerana cukup sahaja kenalan facebook dan twitter yang penuh rusuh itu. Jangan tambah lagi orang asing yang boleh bikin kepala pusing. Saya ingin sekali menjawab persoalan itu dengan jawapan teman saya, ” semakin anonymous seseorang semakin dia tidak dipedulikan, oleh itu jadilah anonymous.”

Juga jawapan seseorang yang berpangkat kepada saya apabila terjadi sebuah kes, yang seseorang tersinggung dengan kenyataan saya sehingga hampir mencetuskan pergolakan profesionalisme sedangkan kenyataan itu tentu sahaja tidak tertuju untuknya, bahkan seseorang yang tidak ada dalam linikala atau lintas langsung laman sosial saya, bahkan hanya kritikan kepada umum. Apabila saya menjawab kembali, mengapa ada yang mahu melanggar ruang peribadi dan privasi saya sedangkan saya tidak langsung mengganggunya serta tidak langsung membuat kenyataan kepadanya, sedangkan dia berleluasa mendedahkan sisi peribadi orang lain di hadapan umum, katanya “persepsi, kita tidak boleh mengubah persepsi orang. Jadi kita yang kena jaga tingkah laku.” Saat itu saya terdiam, apatah lagi setelah terlihat bisik-bisik antaranya di belakang saya. Ya, kita tidak dapat mengubah persepsi orang kepada kita, kenyataan kita, tujuan asal kenyataan itu dibuat. Apatah lagi kepada orang yang pandai memanipulasikan keadaan dan kenyataan. Oleh itu, bersembunyilah dan berkata-kata kepada orang yang sebenar-benar mahu mendengar kita berkata-kata, bukan untuk mencipta spekulasi, pakatan atau sindiran yang menjatuhkan. Tetapi ini tentu sahaja berlainan cara dengan orang yang memang ingin menjadi perhatian dengan kenyataannya.

II

Seorang teman saya yang lain ada berkata, tentang perbezaan antara Twitter dan Facebook (mengambil dua media sosial terbesar ini) yang dihuni oleh dua golongan yang berbeza. Tetapi tidak begitu berbeza cara mengendalikan emosi. Menurutnya, kalau di Facebook, sungguh pun kita (sebagai penulis status atau pemberi komen) merasakan ia hanya sekadar komen, hanya sekadar kata-kata, tetapi ia sudah dianggap sebagai kenyataan rasmi, yang mudah di “printscreen” , mudah diulangsebut, mudah dimanipulasikan. Malah sesuatu yang sepatutnya menjadinya perbualan peribadi, terus sahaja menjadi public apabila ditulis pada dinding, dan lagi mengharukan jika perbualan itu melibatkan profesionalisme . Facebook sudah dianggap bukti. Dan orang mudah, terlalu mudah bereaksi terhadap apa sahaja yang berlaku di Facebook. Cuba duduk sebentar melihat garis masa Facebook dan lihat betapa banyak emosi sedang dilambakkan di sana. Juga betapa banyak yang hanya kekosongan. Mungkin kerana dua hal, golongan yang gemar menghuni Facebook, ini merasa teruja mendapat kebebasan bersuara. Suara mereka tidak mahu tidak, jika kita memilih menjadi rakan, akan melintas di garis masa dan juga melintas dalam fikiran kita. Untuk memudahkan, lihat sahaja bagaimana negara China yang baharu sedikit membuka sekatannya, dan lihat bagaimana ia mula menguasai ekonomi, kerana sudah lama didiamkan, ditidurkan, apabila diberi peluang, mereka menakluk dengan sewenang-wenangnya. Ialah, kalau selama ini mereka tidak boleh bersuara atau bersuara tetapi tidak didengari, bila dapat peluang ini, maka direbut seluas-luasnya.

Aneh juga, Melayu yang disebut dalam sajak Usman Awang, memang hilang di garis masa Facebook itu.

Golongan yang ramai menghuni di Facebook, mereka yang berusia serta jauh berusia.

Di Twitter, kebanyakan anak-anak muda yang berdarah panas, dan twitter, linikala yang sangat pantas, serta sangat sesuai untuk mereka yang berdarah panas bergolak. Kalau di garis masa Facebook, pemiliknya akan berkeluh kesah sepanjang-panjangnya kerana ruang patah perkataan di Facebook sudah tanpa batas. Malah satu status sahaja, boleh jadi entri sebuah blog. Manakala di Twitter, dikawal 140 aksara. Dan segalanya mahu dihumban di situ, kemarahan, kesedihan, promosi, pergaduhan, rusuh. Sampaikan kalau mana-mana bahagian kementerian ingin mengkaji perilaku dan pemikiran anak muda zaman sekarang, tidak perlu mengaji mana-mana syarikat, cukup buka sahaja Twitter dan lihat suara anak muda di situ. Kawan saya berpendapat, dia lebih menyukai zaman blog, di mana sungguhpun bernama, tetapi masih anonymous lagi berbanding dengan pengguna Twitter dan Facebook. Dan zaman ini, tiada lagi boleh dikatakan ruang privasi lagi sungguh kita mahu beranggapan begitu. Kerana persepsi

Saya? Ya ketiga tiganya juga tetapi dengan khalayak berbeza.

III

Percaya atau tidak, sememangnya tiada lagi ruang privasi untuk bersembunyi, bertenang kecuali, anda memang menggunakan nama samaran. Namun, untuk zaman yang banyak orang-orang mengintip ini, tentu sahaja harapan itu hancur punah.

Manusia, sememangnya suka perhatian kan?

4 thoughts on “Ini Bukan Ruang Privasi Lagi”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s