Anonymous, Penulis Bayangan dan Dorongan


“Awak mungkin mengkhianati saya tetapi awak tidak akan mengkhianati karya saya.”



I

Menonton Anonymous, filem yang ingin sekali saya tonton tetapi mengambil masa yang lama menontonnya. Saya ada obsesi menonton filem sejarah, juga filem raja raja England, juga filem tentang penulis. Dan menariknya filem ini, memperlihatkan Teori Oxfordian, yang mengatakan bahawa bukan Shakespeare yang menulis, tetapi orang lain, berdasarkan beberapa bukti dan spekulasi. Filem ini dibuka oleh pementasan teater/filem tentang teori penulis samaran William Shakespeare oleh sarjana moden.

Kemudian dibawa kepada watak Johnson dan flash back 5 tahun terdahulu, berselang flash back 40 tahun kebelakangan tersebut. Selebihnya mohon tonton sendiri. Emosinya seperti menonton Amadeus, tetapi Amadeus, Mozart tidak mengetahui musuhnya sehingga ke akhir hayat. Sedangkan dalam The Anonymous, Edward menentang musuhnya daripada remaja sehingga ke tua dengan kata-kata.

II

Saya sukakan gambaran Edward yang mencintai kata-kata dan percaya dengan kata-kata seseorang boleh menjadi berkuasa. Dengan kata-kata boleh membangkitkan sekian banyak perkara yang terpendam, dengan kata-kata membangkitkan keghairahan hidup, dengan kata-kata boleh memberikan harapan.

Namun, kegilaan kepada kata-kata juga membebankan, lihat bagaimana Cecil khuatir dengan kuasa kata-kata Edward untuk menjatuhkan, lihat bagaimana situasi menghimpit Edward untuk membenamkan kata-kata yang bergantungan dalam fikirannya. Banyaknya orang yang cemburu atau khuatir dengan pengaruh dan kuasa kata-kata sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk menghalang kreativiti. Namun, kerana tekanan dan desakan itu, Edward mengeluarkan dengan harga yang menyakitkan, pengkhianatan, kebenaran, kemiskinan, dan juga tanpa nama dalam karyanya.

III

Berapa ramai penulis yang masih kekal di bawah bayang-bayang penulis hebat. Ketika di Makassar, mereka mengatakan, jikalau seorang penulis muda itu ingin berjaya dalam menulis puisi, beliau harus membunuh Sapardi terlenih dahulu. Begitu juga dengan mesej daripada rakan saya selepas filem Anonymous menutup tirai, kasihan Jonson hidup ketika era kegemilangan Shakespeare, seperti allahyarham Azizi Haji Abdullah di bawah bayangan Shahnon Ahmad. Saya tidak tahu sejauh mana Shahnon Ahmad membayangi Azizi Hj Abdullah. Saya tidak mengikut rapat karya kedua-dua penulis ini, tetapi melihat watak Johson yang kelihatan begitu terdera dengan “kehebatan” penulisan Edward De Vere yang menjadi penulis sebenar William Shakespeare, saya dapat membayangkan apa maksud teman saya itu.

Puncak kesakitan itu dapat dilihat sehingga dia akhirnya mengkhianati Edward yang menaruh kepercayaan sebagai pengutus juga sebagai penulis bayangan (pada mulanya) dengan memberitahu rahsia pementasan Henry VII yang dijangka membawa pemberontakan kepada keluarga Cecil. Johnson benar-benar terdera, melihat Shakespeare yang disanjung kerana kepintarannya mengambil peluang, melihat skrip terbaiknya ditolak teater kerana pertelingkahannya dengan Shakespeare. Di situlah ayat permulaan entri ini dituturkan oleh Edward kepada Jonson semasa menyerahkan manuskrip terakhirnya, King Lear.

Dan di akhir usia Edward, dia mendengar pengakuan Jonson tentang kekagumannya terhadap karyanya dan betapa karya Edward menghantuinya.

IV

Melihat filem ini juga mengingatkan saya tentang hubungan antara penulis dan mentornya. Walaupun Jonson bukanlah anak murid kepada Edward secara langsung tetapi Jonson adalah murid halimunan Edward. Ada satu peristiwa yang saya sedar, kita memang boleh mengasuh, tetapi kita tidak boleh membuat orang untuk mengikut jejak kita. Ada beberapa kali dalam beberapa siri bengkel dan juga pertemuan, saya sebagai peserta atau pendengar diarahkan jangan menulis sebegitu, jangan menulis tema ini, jangan baca karya itu, jangan buat ayat itu, buat begini, buat begitu, buat itu, jangan ini, jangan itu dan segala macam jangan jua arahan.

Sungguh kita tidak sealiran, tidak menyukai sebarang gerakan, sebarang orang, sebarang kelompok, sebarang legasi kita tidak boleh memaksa dan menundukkan pendengar atau murid kita kita untuk menurut citarasa kita. Mentor bertindak membukakan pintu seluas-luasnya sedaya mungkin, mengajak mereka masuk ke dalamnya, dan terpulang kepadanya cara bagaimana untuk melahirkan dan membesarkan diri mereka sendiri. Supaya jiwa mereka lebih original bukan patung, bukan buatan.

Setelah itu, tiada apa yang kita holeh lakukan mendorong, mendoakannnya, mengibar-ngibar semangat untuk dia berterusan menulis tanpa erti putus asa. Dan mengingatkannya tentang keghairahannya sewaktu kali pertama datang menemui kita untuk berkongsi ilmu dan rasa setiap kali dia seperti mahu berehat daripada menulis.