Dunia Novel Seperti Sebuah Taman Tema yang Luas


Dalam berbalas-balas emel dengan salah seorang pembaca blog ini, saya ditanyakan satu soalan yang sangat menarik. Setelah menjawab soalannya, saya terfikir, adalah menarik sekiranya saya memanjangkan isi emel tersebut di blog ini dengan sedikit pengubahsuaian.

Soalan: Saya ingin tahu, apa pendapat saudari berkenaan novel-novel cinta kontemporari yg berlambak di pasaran sekarang? Kalau ditanya kepada saya, secara jujur, saya kurang berminat ataupun tidak keterlaluan saya katakan saya tidak berminat dengan novel-novel sebegitu. Saya lebih cenderung membaca novel-novel yg berkisar tentang kemasyarakatan. Lagi satu genre novel yg saya minati adalah thriller dan misteri. Ramlee Awang Murshid merupakan penulis kegemaran saya.

Jawapan:

Berkenaan dengan genre novel cinta kontemporari seperti yang dipertanyakan dalam emel sebelum ini, suka saya analogikan bahawa genre-genre buku seperti novel popular/cinta, novel misteri, novel perang, novel islamik dan sebagainya adalah seperti sebuah taman tema yang luas. Dalam taman tema itu terdapat pelbagai jenis permainan yang menggoda pengunjung untuk bermain dengannya. Ada permainan yang dikhususkan untuk orang dewasa, ada untuk kanak-kanak, ada yang menguji ketakutan, ada yang menguji ketakutan pada ketinggian, ada yang permainannya direka bentuk untuk semua lapisan umur dan bertujuan untuk keseronokan si pengunjung taman tema. Setiap permainan direka bentuk untuk tujuannya tersendiri. Mungkin ada permainan yang sesuai untuk kanak-kanak sehinggalah ke orang dewasa. Mungkin juga ada yang khusus untuk pengunjung perempuan sahaja. Atau mungkin untuk ibu-bapa dan anak-anaknya.

Jadi, apa kaitan taman tema dengan genre novel seperti yang disebutkan dalam emel sebelum ini? Dunia novel itu adalah sebuah taman tema yang luas dan genre-genre dalam novel merupakan permainan yang disediakan di dalamnya. Tidak semua orang datang ke taman tema untuk menikmati semua permainan. Ada yang seronok bermain dalam rumah hantu sahaja, ada yang seronok menaiki komedi putar, ada yang suka bermain bumper car. Begitulah juga dengan pembaca, sekiranya saudari sukakan membaca genre thriller dan misteri, seperti kesukaan memasuki rumah hantu, apakah permainan yang lain itu tidak menyeronokkan hanya kerana saudari tidak suka bermain dengannya?

Setiap permainan, ada juga takah yang menghiburkan. Sebuah rumah hantu, merujuk novel thiller dan misteri, sekiranya tidak dibina dengan baik, pasti jadi rumah hantu yang membosankan. Atau sebuah rumah hantu yang baik, sekiranya sudah sering dilawati berulang kali dan tidak ada sebarang perubahan baru, pasti sudah tidak jadi lagi menghiburkan.

Merry_Go_Round_by_Aurelia24 (1)

Begitulah setiap genre novel, semuanya ada seni yang menghiburkan untuk golongan tertentu. Bukankah membaca itu merupakan suatu kegemaran yang dijangka memberi keseronokan kepada pembacanya. Seseorang yang sukakan hal yang romantis, tentu sahaja tidak suka memasuki rumah hantu, sebaliknya suka menaiki merry go round dan roda ferris. Seperti itu seorang pembaca yang cenderung menyukai novel-novel popular/romantis/cinta kotemporari ini dan tidak tertarik membaca genre novel yang lain. Mereka terhibur dalam dunia novel dengan membaca novel-novel sebegitu. Namun, merry go round yang menyeronokkan apakah hanya perlu diletakkan patung kuda dan berputar sahaja? Tentu sahaja merry go round yang menyeronokkan dihiasi patung kuda yang cantik, dan hiasan pada mesinnya yang gah dan mengagumkan. Sebuah novel cinta yang baik adalah sebuah permainan merry go round yang dihiasi dengan patung kuda yang cantik, hiasan permainan yang menarik, cara ia berputar yang sederhana serta muzik iringan yang menghiburkan. Ia harus sempurna menjadi romantis dengan caranya sendiri. Manakala sebuah novel cinta yang tidak baik, adalah sebuah permainan merry go round yang semi rosak dan tidak lagi menyeronokkan.

Tetapi apakah permainan merry go round tidak perlu ada hanya kerana ada beberapa jenisnya yang tidak bagus? Tentu sahaja tidak bukan? Kerana sentiasa ada yang sering jatuh cinta dengan permainan ini.

Nota KakiTangan:
Semasa perkongsian entri ini di Facebook, Dr Rem Dambul telah memberi pandangannya dan menambah baik nilai dalam entri ini, kerana saya begitu tertarik, saya panjangkan pandangan beliau terhadap entri ini.

sfs

Sangat bersetuju dengan sentimen keseluruhan tulisan.

Cuma, jika ada permainan yang terbukti membawa kesan buruk kepada pengguna (misalnya dari aspek keselamatan fizikal atau pengaruh negatif mental – seperti permainan tembak-tembak yang sangat ganas), maka permainan tersebut perlu dinilai-semula. Bukan semestinya ditiadakan; tetapi diperbaiki aspek-aspek yang dianggap memudaratkan pengguna secara fizikal atau sosio-budaya.

Taman Tema yang bagus sebaik-baiknya turut mengambil-kira aspek kebajikan dan impak pasca-aktiviti terhadap pengguna, selain memenuhi kehendak dan pilihan pasaran.

Jalan Lain Ke Sana


:Kepada J

Dalam perjalanan ke Holiday Villa Subang untuk bengkel strategi, saya telah tersalah memilih jalan dari lebuh Duke memasuki Lebuh Sprint, termasuk ke jalan Duta kerana tidak masuk ke lorong yang sepatutnya. Saya ketika itu sibuk memikirkan apakah lorong yang sepatutnya saya ambil akan membawa saya ke jalan yang saya bayangkan. Dalam kesibukan berfikir, saya telah terlepas simpang dan di Jalan duta, menuju ke pusat bandar saya bergundah sendiri, dengan segala kemungkinan, akan terlewat sampai ke Subang, atau jalan mana yang seharusnya saya ambil selepas ini, atau saya perlu mengambil jalan jauh?
<</span>
Semasa berkira-kira, simpang Jalan Duta akhirnya membawa saya melalui Damansara lama dan akhirnya masuk ke Lebuh Sprint semula, jalan yang saya hendak pergi pada mulanya saya ingin ambil dari mula dan saya selamat tiba ke destinasi lebih awal dari jangkaan dengan kesesakan yang hampir tiada langsung 🙂

II

Dan dalam perjalanan kita sehari-hari atau semasa kita sering memikirkan pilihan yang ada sebelum membuat keputusan, selalu sahaja kita berdepan dengan beberapa hal seperti perjalanan saya tadi: pertama, berapa jalan dan cara untuk kita sampai ke tempat tujuan, kedua; di persimpangan, Antara pasti dan tidak pasti berdasarkan pengalaman kita menmpuh jalan yang sama tetapi untuk destinasi lain, berapa jauh kita dapat membuat keputusan sebelum terlambat, ketiga; Apakah penyesalan sekiranya kita terlepas jalan tersebut dan bagaimana cara kita mendepaninya. Keempat; apakah perlu meneruskan atau berpatah balik sahaja supaya boleh melalui lorong atau jalan yang sama?

Dan pagi ini saya dengan beberapa hal tersebut. Saya sudah merencana, supaya melalui lebuh DUKE kemudian mengambil simpang ke Lebuh SPRINT dan akhirnya membawa saya laluan di hadapan Universiti Malaya dan seterusnya masuk ke Lebuhraya Persekutuan dan menuju ke Subang. Jalan yang paling mudah, dapat mengelak kesesakan dan dapat menuju ke tempat dengan selamat. tetapi kerana dalam ingat ingat lupa (meski telah menempuh jalan yang sama untuk puluhan kali tetapi tidak pernah menggunakan jalan itu untuk ke Subang) saya terlepas simpang ke Lebuh raya Sprint dan membawa ke Jalan duta ( yang seringkali sesak dengan penjawat awam) dan saya antara menyesal dan memarahi diri sendiri dan bertekad untuk mencari pusingan U tetapi saya terlihat papan tanda tertulis Lebuhraya Persekutuan Di jalan yang saya lalui. antara ragu dan cubaan untuk mengingati jalan ini saya meneruskan perjalanan, akhirnya saya menjumpai jalan yang saya bayangkan, dengan mengambil simpang berbeza dalam jalan yang lain. Dan saya akhirnya mengetahui, simpang dan jalan lain untuk menuju ke Lebuh Raya Persekutuan.

Pagi itu, saya belajar hal yang baru, betapa punya banyak jalan dan juga cabang lain dalam mencapai sesuatu. Sekiranya terlepas cabang yang direncana, walaupun harus mengambil jalan jauh mungkin kita patut meneruskan sahaja dengan berani dan berlapang dada. Daripada sibuk menyalahkan diri dan menyesali tindakan serta takdir, sehingga kita terlepas cabang atau jalan alternatif yang mungkin jauh lebih baik untuk jalan hidup kita. Dan kita harus mengambil jalan yang lebih jauh, lebih menyalahkan diri, akhirnya tidak sampai ke destinasi dan sesat sendiri.

Tidak semua orang, mengikut jejak yang biasa, ada sahaja yang menjadi kambing hitam, mengambil atau terpaksa mengambil laluan yang lain dari kebiasaan, atau yang kadang kala terkeluar daripada sistem sedia ada. Adakah perlu untuk berhenti dan beralah? Atau mendongak muka dan melangkah dengan lebih berani? Kenangan atau masa lalu, meski selalu disebut dan diingati, tetap kekal sebagai masa lalu, tidak dapat direbut kembali, meski kita cuba berpatah balik dan berdepan dengan dua kemungkinan, sama ada berterusan sesat atau tetap tidak menghasilkan keputusan yang sama kita harapkan. Yang ada, hanya masa kini yang sedang dilalui dan masa hadapan yang masih absurd bentuknya.

Kepada yang harus mengambil jalan lain atau jalan lain, sentiasa ada simpang-simpang yang memungkinkan kita menuju destinasi yang sama. Keberanian dan keyakinan kepada keputusan sendiri tidak dibentuk oleh yang lain melainkan diri sendiri kerana perjalanan sering dikenderai secara perseorangan.

III

Mungkin gambaran dari kartun The Muslim Show ini gambaran sipi-sipi untuk apa yang saya lalui tadi 🙂


Senarai Pesta Buku Wajib Pergi Sepanjang Bulan Disember 2013


Hello pencinta buku sekalian!

Bulan 12 menjelang tiba ini, biasanya masa bonus masuk (tidak termasuk saya), cuti panjang (tidak termasuk saya), persediaan untuk anak-anak sekolah (juga tidak termasuk saya) dan tiba-tiba harus tambah satu lagi aktiviti sihat untuk minda dan jiwa, pesta-pesta buku (ini termasuk saya). Kenapa pesta-pesta (kata ganda gitu)? Sebab ada banyak pesta buku pada bulan 12 ini yang boleh membuatkan pengumpul buku, pencinta buku, pencuri buku, pembaca buku dan hipster buku untuk bergumal-gumal 1,000 macam rasa. Rasa gembira (sebab bila pesta buku sahaja ada buku murah yang banyak), rasa sedih (sebab tidak cukup duit dan terpaksa berbelah bagi nak beli buku itu ini), rasa bersalah (sebab banyak lagi buku tidak baca tapi setiap kali pesta buku, setiap kali itu mesti beli buku) dan segala macam rasa yang kalau saya tulis mesti boleh buat satu entri khusus. Ehem. Maka ketepikan rasa negatif-negatif itu, dan raikan rasa yang positif sahaja, kerana pesta tujuannya untuk memberi rasa gembira dan yippie!

Pesta Buku 1: Big Bad Wolf (Serigala Besar yang Maha Jahat)

1468802_10151839035490098_932820035_n

Kenapa saya kata serigala maha jahat? Sebab walaupun anda kata, “erm, nak pergi tengok sahaja, tak beli pun.” Tapi tiba-tiba keluar dari MIECC sahaja, dah habis beratus-ratus juga dengan berbelas-belas buku di tangan. Oleh itu, kalau memang tak mahu beli buku dalam erti kata lain, diet membeli buku, elak-elakkan pergi BBW ini.

Harga buku dalam lingkungan RM5 sehingga paling tinggi pun RM30. Tiga puluh ringgit pun buku yang hardcover yang tebal (jenis buku yang tidak disukai oleh penerbit independent sebab menjual roh penulis kepada wang, harap kalau mereka ke BBW, mereka tidak beli buku jenis ini. Hiks.).

Dan yang paling menyeronokkan, waktu berpesta buku yang anjal atau flexible. Anda nak datang pukul 7.00 malam lepas kerja pun boleh. Anda nak datang pukul 2.00 pagi, sebab boleh terus pergi kerja pun boleh. Anda nak datang sesudah suboh pun boleh. Kerana BBW dibuka 24 jam bermula jam 7.00 pagi, 6 Disember 2013 sehingga 14 Disember.

Kebanyakan bukunya, buku bahasa Inggeris yang masih baru (diambil dari cetakan yang berlebihan atau hendak dibuang dari gudang dari luar negara) dan buku-buku terbitan PTS, Karangkraf, Buku Prima, Creative Enterprise yang juga mengalami nasib yang sama.

Tarikh Pesta: 7 pagi 6 Disember sehingga 9 malam 15 Disember (24 jam)

Lokasi: MIECC, The Mines

Pesta Buku 2: Pesta Buku 1Malaysia

1488177_10152059711694464_1869461153_n

Ramai yang bertanya, apakah bezanya pesta buku ini, dengan pesta buku antarabangsa KL yang dibuat pada bulan 4 setiap tahun itu? Susah nak menjawabnya, Cuma pesta buku ini seperti dalam skala kecil, mungkin pra-pesta buku antarabangsa kuala lumpur?

Dikatakan Pesta Buku ini merupakan pesta lelong dan jualan gudang untuk penerbit buku. Mungkin kalau Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur itu seperti untuk semua penerbit dan pekedai buku termasuk juga alat bantu mengajar bahasa Inggeris, tetapi yang Pesta Buku 1Malaysia ini khusus untuk menerbit lelong buku dan buat jualan gudang kot.

Tarikh Pesta: 11-15 Disember 2013

Waktu Buka: 10 pagi-10 malam

Lokasi: PWTC

Pesta Buku 3: Art For Grabs: Call for Vendors + Events

Screen-Shot-2013-12-04-at-3.58.58-PM-e1386144188934

Haaa … Ini sebenarnya tidaklah boleh dikatakan pesta buku sepenuhnya kerana sebahagiannya menjual buku dan sebahagiannya menjual kraftangan. Namun, jika anda mengikuti jualan buku-buku indie, acara ini sememangnya tidak dapat dilepaskan. Di sinilah penerbit buku yang menggelarkan diri mereka penerbit buku indie akan menjual buku, membuat pelancaran buku, tayangan filem pendek, diskusi buku dan sebagainya. Satu acara wajib pergi.

Maklumat lanjut di sini: Acara Art For Grabs

Tarikh Pesta: 14-15 Disember 2013

Waktu Buka: 12.00 tgh hari hingga 8.00 malam

Lokasi: The Annexxe Gallery, Central Market.


Sejarah Tidak Mungkin Berulang


Dalam bahagian terakhir, salah satu filem kegemaran saya, In The Mood For Love (Wong Kar-wai, 2000), watak Chow (lakonan Tony Leung) telah pergi melawat Angkor Wat, di Siem Reap, Kemboja membisikkan sesuatu di antara celahan dinding dan menutupnya dengan tanah liat.

hqdefault

Momen itu sangat saya ingati dan saya bercita-cita ingin ke Angkor Wat, sekurang-kurangnya untuk mengingati perasaan seseorang yang menyembunyikan segala rasa yang ditakluki sekian lama di dalam hati sendiri dan memerlukan ruang untuk melepaskannya dengan tenang tanpa ada kemungkinan buruk berlaku selepasnya. Dan juga melihat matahari terbit di Angkor Wat yang dikatakan antara yang tercantik di dunia.

Tetapi setelah merujuk kawan saya yang pernah ke Angkor Wat mengatakan terdapat bayaran yang boleh dikatakan mahal untuk melawat Angkor Wat, tetapi lawatan itu sekadar melihat bangunan lama itu sahaja. tetapi obsesi untuk melawat tempat itu tidak pernah padam.

The traveller sees what he sees, the tourist see what he has come to see – Gilbert K. Chesterton

Silouettes_Angkor-Wat

Hal tentang Angkor Wat dan In The Mood For Love ini melintas dalam fikiran saya apabila isu tentang pemusnahan candi di Lembah Bujang yang dilakukan oleh mereka yang berkata “kami tidak tahu itu tapak bersejarah” yang mendapat perhatian hampir semua orang dan betapa menunjukkan kesedaran kita terhadap sejarah dan betapa besar maknanya dalam tamadun sangat rendah.

Sebetulnya sewaktu mengikut pengajian di universiti, saya ditekankan betapa pentingnya pemuliharaan dan pemeliharaan terhadap alam sekitar, khususnya dan bahan-bahan yang menjadi rujukan sejarah, amnya.  Sehingga sewaktu ada aktiviti air di Pulau Bidong terdapat selorohan yang popular di kalangan petugas di situ, “Biar luka dan patah kaki, jangan patah batu karang.” menunjukkan betapa ditekankan untuk menjaga alam sekitar yang dibentuk bukan dalam satu atau dua tahun tetapi berpuluh-puluhan tahun apatah lagi melibatkan proses ribuan dan ratusan tahun seperti Candi di Lembah Bujang.

Mohon abaikan tentang isu agama yang disensasikan oleh sesetengah pihak berhubung hal ini. Mohon difikirkan hal-hal berkaitan kemanusiaan di sini. Secara jujur, sepanjang saya membesar sebagai anak Malaysia, saya hanya dikenalkan Candi di Lembah Bujang dalam buku sejarah, hanya sebagai salah satu hafalan untuk menjawab peperiksaan. Saya tidak dikenalkan untuk menelusur sejarah bagaimana di utara tanah air Malaysia, punya kawasan yang menunjukkan tamadun awal manusia, yang sentiasa perlu diulang kaji semula kerana sejarah ratusan atau puluhan ribu tahun tidak dibukukan dan dipersuratkan untuk dibaca generasi hadapan melainkan melalui tanda-tanda , teori dan spekulasi pakar sejarah, pengkaji. Saya tidak diajar kesedaran dan rasa bangga untuk melawat, melihat, menghargai, tapak awal tamadun manusia di tanah air sendiri. Kita, tidak membangunkan untuk berasa bangga dengan apa yang kita ada. Oleh kerana itu, kita sentiasa merasakan apa yang kita ada tidak pernah cukup, dan cara untuk mencukupkannya dengan menghapuskan segala yang lama untuk apa kelangsungan hari ini.

Orang Malaysia memang kurang kesedaran. Titik.

Kesedaran bukan terbentuk dengan satu minggu isu sensasi. Kesedaran dibentuk semenjak kecil bagaimana untuk kita belajar menghargai hal-hal kecil di sekeliling sehingga hal-hal besar yang lain.

Melihat sejarah dan terus mengingatinya bukanlah suatu hal yang buruk meski sejarah itu terlihat buruk. Mengenang sejarah untuk kita menggalur diri kita sendiri, melihat refleksi diri sendiri, belajar mengenal siapa diri kita.

Tahun hadapan merupakan tahun melawat Malaysia.  Saya terfikir apa yang direncanakan oleh pihak-pihak terbabit. Apa yang mereka ingin orang luar lihat dan melawat di Malaysia. Apakah binaan yang langsung tidak menggalur tentang siapa kita? Apakah kita terpaksa tunduk dan merayu serta “konon” mengikut kengan kehendak pelancong dengan membina sekian banyak bangunan tinggi, penghapusan bangunan lama, tapak sejarah, mengkosmetikkan pelancongan konon berwajah Malaysia tetapi sebenarnya tidak. Saya fikir kerajaan negeri Kedah dan sewaktu dengannya sudah mungkin boleh memikirkan untuk menjadikan kawasan Candi di Lembah Bujang sebagai salah satu kawasan pelancongan yang perlu dilawat oleh pelancong serta secara tidak langsung memberi kuasa ekonomi kepada penduduk setempat daripada membangunkan sekian bangunan kedai yang mana pemiliknya akhirnya bukan orang Malaysia tetapi orang asing.

Kes Candi di Lembah Bujang sudah jadi kes besar dan berjaya diselamatkan meski sedikit terlambat tetapi bagaimana pula kes-kes terpencil seperti bangunan lama di Pulau Pinang hatta di Kuala Lumpur sendiri? Bagaimana pula kes tapak-tapak sejarah kita selain di Melaka yang sudah dikomestikkan?

Bila agaknya kita akan mula sangat taksub untuk menyelamatkan sejarah? Apakah harga untuk menjadi negara maju, adalah dengan menghapuskan sejarah?