Selamat Ulang Tahun, Aan Mansyur


Januari,

Langitnya adalah hamparan ramalan yang tidak terduga, kerana ia penghujung musim dingin hujan menghampiri tenang dan berimbang. Sebentar, malam boleh sahaja menjadi terlalu hangat, atau petang akan sahaja dikunjungi hujan. Langit Januari, langit yang jarang dapat ditebak isi hatinya.

Beberapa bulan sebelum ini, tepatnya 20 Oktober adalah ulang tahun ketiga jatuh cinta kepada puisi-puisi Aan atau saya lebih gemar memanggilnya Ulang Tahun Cinta. Saya gemar sekali mengingatinya dalam cara begitu, menghitung berapa lama saya mengenal puisi kamu dan berapa lama saya memilih jalan ini untuk terus menulis. Kerana saya selalu bercita-cita menjadi penulis cerpen, dan puisi jelasnya hanya tempat mengadu resah gelisah sesudah hati saya itu dipatahkan dan sebetulnya saya tidak pandai menulis puisi, atau merangkai hanya sejumlah kata untuk menebarkan jutaan emosi dan perasaan yang sedang bergelombang dalam fikiran. Tetapi saya lupa, seperti cinta, kita tidak pernah tahu betapa dalam perasaannya, kecuali selepas kita bertemu dengan orang yang betul, atau layak, begitulah, puisi atau kata-kata juga begitu, rangkaian kalimat yang tepat sedang menunggu kita di mana-mana untuk kita menemuinya, hanya perlu sahaja kita mencarinya. Jatuh cinta, ia seperti langit Januari, yang sukar sekali ditebak, bilakah akan jatuh dibasahi hujan atau terbakar oleh hangat matahari?

Saya sebetulnya, tidak tahu benar berapa umur atau nama sebenar Aan, meski pernah melihat kartu KPI, yang benar tertulis M. Aan Mansyur, yang dikatakan bukan nama sebenar. Bertemu dua kali di Makassar sebetulnya adalah mimpi-mimpi yang tak terduga. Ia menuntut keberanian yang bukan sedikit untuk meninggalkan Malaysia dan berjalan bersendirian, tetapi saya menemui diri sendiri, juga jalan mana yang seharusnya saya tempuh di sana. Dan saya juga percaya berjalan dan mengembara membuatkan kita menemui diri kita di mana-mana.

Sebuah buku sederhana saya sudah selamat ditulis dan diterbitkan tahun lalu, “Sepetang di Kafe Biblioholic”. Aan tentu sahaja begitu akrab dengan nama ini, yang saya ambil sempena kafe baca biblioholic, sebuah kafe yang diusahakan bersama Aan dan mantan pacar, Alifiah. Proses menulis novel ini bermula sangat sederhana, ingin berbagi rasa, seperti mana Aan membagi rasa dan berkongsi dengan komuniti buku di sana. Saya percaya menulis, adalah cara saya berbagi rasa juga, dan betapa menyedihkan apabila sebuah projek kecil tetapi besar maknanya itu sudah ditutup kerana beberapa hal. Lalu, saya memilih untuk mengawetkan kafe kecil jauh di Makassar, ke dalam buku sederhana ini supaya akan tumbuh juga sebuah kafe baca di sini yang mendukung semangat yang sama seperti di sana.

Sewaktu ulang tahun Aan yang entah ke berapa pada hari ini, yang sengaja tidak mahu saya tahu kerana saya ingin mengawet “kemudaan” usia dalam surat ini, supaya ia masih relevan untuk dibaca, atau masih juga suka dibaca sekurang-kurangnya kepada saya, saya membaca kembali sajak yang saya tulis sempena ulang tahun kelahiran Aan beberapa tahun yang lalu. Ia ritual yang saya selalu lakukan, kerana ia mengingatkan “keanak-anakan” puisi saya, dan kembali menjadi anak-anak membuatkan kita akan kembali bermain-main. Dan saya percaya dengan sentiasa menjadi anak-anak, kita tidak pernah terlambat untuk menulis dan terus menulis tentang apa-apa pun kerana masa hadapan masih terlalu jauh.

Januari, meski langitnya sering menggundahkan peramal kaji cuaca, tetapi saya mencintai bulan ini kerana di dalamnya terkandung ulang tahun kelahiran Aan Mansyur. Selamat menyambut ulang tahun. Dan terus menulislah, kerana tulisan Aan, sering kali buat saya jatuh cinta dan menyelamatkan saya daripada kesedihan.

Advertisements

1 thought on “Selamat Ulang Tahun, Aan Mansyur”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s