Ruang Dapur dan “Dialog Sepotong Pai Epal”


Antara barang pertama yang saya beli dengan wang gaji pertama saya ialah periuk nasi, kemudian beberapa bulan selepas itu ialah oven. Cita-cita saya ingin memiliki ruang dapur sendiri. Ibu sangat mengutamakan ruang dapurnya, dan kita sebagai anaknya tidak boleh sewenang-senang berleluasa di ruang dapurnya. Ada tempat khusus untuk letak senduk selepas memasak, ada cara menggunakan lesung dan segala macam peraturan. Dan saya yang memang punya keinginan untuk memasak selalu akan pendamkan hasrat kerana tidak mahu ibu pening kepala apabila ruang dapurnya diceroboh.

Selepas memiliki oven, saya giat mencuba memasak segala jenis kek, tetapi kerana berkongsi ruang dapur dengan teman serumah yang lain, saya jadi malas mahu berebut-rebut ruang dapur yang kecil. Namun akhir-akhir ini saya memiliki ruang dapur sendiri, teman serumah sangat jarang memasak dan saya boleh mengatur dapur dengan segala macam peralatan memasak, dari oven ke microwave ke blender ke steamer ke dapur memasak dan segala macam yang saya sudah lengkapkan. Kadang-kala berdiri di dalam dapur buat saya bahagia. Mungkin itu yang ibu saya rasa. Ruang dapur, ruang dirinya sendiri. Namun akhir-akhir ini, saya jadi jarang-jarang memasak. Masa semakin suntuk. Komitmen makin banyak. Dan kemalasan makin bermaharajalela.

Ramai orang sebelum memiliki sesuatu, ia selalu berangan-angan untuk meluangkan sebanyak-banyak masa atau berkreativiti dengan barangan tersebut. Untuk mendorong dan menyakinkan diri bahawa membeli barangan tersebut ialah satu keperluan, sekurang-kurangnya keperluan memenuhi keinginan diri sendiri tetapi apabila sudah ada akan datang alasan-alasan lain yang membuatkan kita tidak menggunakan atau benda itu hanya jadi hiasan sahaja.

Begitu juga halnya, dalam perhubungan, apabila dari jauh, kita begitu ingin mengenalinya, ingin menjadi kawannya, ingin mendapat tempat di hatinya dan merencana segala hal dengannya. Bagaimana selepas berjaya dalam keinginan? Kerana ia ada di depan mata, perlahan-lahan kita lupa bagaimana untuk menghargainya dan menyayanginya seperti mimpi yang kita pernah bina sebelum ini. Belum sempat kita menyedarinya, dia telah hilang dalam pandangan.

II

Menundakan takdir? Untuk apa? Yang akhirnya kita tahu kita akan menempuh hal yang sama?

III

Saya tiada cita-cita tinggi menembusi karya dalam Dewan Sastera, kerana ruangnya hanya untuk penulis mapan dan saya pula penulis kecil yang kalau dipetakan dalam dunia sastera, mesti tak nampak. Hahaha. Namun, bulan Mac, bulan kelahiran saya, dihadiahkan dengan sebuah puisi “Dialog Sepotong Pai Epal” disiarkan dalam Dewan Sastera. Apatah lagi kulit depan Dewan Sastera itu sangat cantik dan surrelisme. Warna biru. Terus jatuh cinta dan jatuh suka.


Menulis puisi ini bermula apabila saya memuat naik gambar pai epal buatan sendiri. Resepinya saya cuplik daripada salah satu kafe kegemaran saya yang mengilhamkan “Sepetang di Kafe Biblioholic“, Little White Cafe”. Kemudian Shukri Mohd Ali mengatakan sesuatu tentang keinginan menikmati pai epal. Shukri, adalah antara beberapa orang kalau berbalas komen dengan mereka, pasti tercubit sana sini, ilham menghasilkan puisi. Mereka yang lain, Shafiq Said, saya pernah menulis puisi untuknya, puisi “Nota di Atas Meja” dan Faisal Mat Zawi pula beberapa puisi lain dan yang paling saya ingat, puisi “Kepada Kekasih Tak Kunjung Tiba

Sungguh terima kasih kepada mereka yang sering mengilhamkan dan selalu berkomentar yang mengilhamkan idea dan kata-kata.

Advertisements

Kisah Sebatang Pen dan “Kepada Sekaki Payung”


I

Saya selalu ada hubungan kuat dengan barang-barang di sekeliling saya. Saya gemar menamakan mereka. Seperti saya menamakan kereta lama saya, Arjuna dan yang terkini, Jauhari. Saya menamakan telefon bimbit saya, Jane dan yang terbaru Anna. Manakala I-Pad saya, Luna. Buku nota buat saya menumpahkan idea menulis juga saya namakan, Cenderawasih, Scarlet, Petak, sejumlah nama buku nota lagi dan terkini Pandora. Komputer riba saya yang sudah tidak boleh digunakan lagi, saya namakan Sucy Mulsamah. Kisahnya pernah saya tulis di sini dan di sini

Mengapa saya suka menamakan mereka? Supaya saya jatuh kasih dan menjaga mereka sebaiknya. Tidak mudah mendapatkan semua barang yang disebut di atas. Mungkin sebahagian besar orang mendapatnya dengan cara yang mudah. Sedangkan saya seorang yang suka bertimbal balik dan berfikir panjang. Sukar membuat keputusan kalau dalam soal membeli barang ini yang akhirnya kalau tidak diputuskan segera, alamat tidak membelilah.

Tentang hal barang dan hubungan kuat ini, ia terilham sewaktu zaman sekolah. Waktu itu saya meminjam sebatang pen biru daripada teman saya kerana kena mengisi borang dengan segera. Kemudian, entah saya tertinggal di mana-mana pen itu, mungkin di atas meja, mungkin termasuk dalam beg saya. Teman saya meminta semula pen tersebut, dengan wajah yang serius, apabila saya mengatakan pen itu tiada di sana, dia meminta saya mencarinya. Saya pun jenuh cari pen itu, rupanya tertinggal di atas meja guru. Saya memulangkan kembali, dalam hati saya sebal juga, itu pen biasa kot? Ini hal yang biasa, kalau kita pinjam pen daripada kawan, dan pen itu hilang, kita sudah halalkan sahaja. Mengapa dia tidak boleh berbuat demikian? Kemudian saya memutuskan untuk tidak meminjam apa-apa pun daripada kawan saya ini.

Lama-lama saya belajar dan mengerti, mungkin bagi kita sebuah pen biru biasa tidak penting, kita meminjamnya dan kemudian terlupa memulangkan kerana ia pen biasa, kita boleh belikan kalau hilang, tetapi mungkin kepada peminjam, ia ada nilai sentimental, mungkin ia telah menemannya menulis untuk hal-hal yang indah dan sukar, mungkin ia pen paling selesa buat dia menulis.

Tanggapan kita tentang benda itu telah jatuh nombor kelapan belas, dalam soal di atas, tanggapan pemiliknya adalah yang terutama. Dan kita tidak boleh menganggap pendapat kita sama dengan semua orang dan memperlekehkan dan merendahkan pendapat orang lain terhadap sesuatu perkara. Sebatang pen biru itu telah mengajar saya tentang penghargaan terhadap sesuatu.

II

Puisi saya berjudul “Kepada Sekaki Payung” disiarkan dalam akhbar Berita Harian 23 Februari 2014. Saya menulis status ini di Facebook sambil mengatakan betapa saya menyukai jenis font dan saiznya. Mengapa ia penting? Kerana jenis dan saiz font yang bersesuaian akan mengoptimumkan penyiaran karya sastera dalam akhbar. Walaupun karya itu panjang, tetapi boleh dimuatkan dalam ruang akhbar yang terhad. Hal ini akan saya kupas di kemudian hari.

Sebahagian awalnya ditulis sewaktu saya tertinggal dua buah payung di rumah kawan saya sewaktu menghadiri kenduri kesyukurannya. Salah satu payung itu saya suka betul kerana sungguhpun kembang payungnya ditutup, ia menjadi kurus panjang tetapi bukaan kembangnya luas betul dan kalau berpayungan berdua dalam hujan pun tidak basah. Payung itu saya dapat percuma dan sudah menghuni lama betul dalam kereta Arjuna sebelum berpindah ke kereta Jauhari. Meski dapat percuma, tetapi saya sayang betul dengan payung itu.

Dalam waktu musim kemarau, mungkin kita tidak merasai kehilangan sekaki payung kembang luas itu, bayangkan sahaja tiba-tiba hujan menggila dan tiada payung di dalam kereta? Dalam terperangkap begitu, saya teringat payung yang tertinggal di halaman rumah kawan saya dan membayangkan apakah yang dibuat di sana ya dan apakah dia digunakan dengan baik oleh teman saya atau sudah hilang?

Puisi penuhnya boleh dibaca di sini dan saya kongsikan sebahagian daripada draft awal yang saya tulis dalam buku nota yang dinamakan Pandora.

Sepetang Bersama Bissme The Sun


Ia boleh dikatakan petang yang sangat menyenangkan.

Saya memilih lokasi DOME, KLCC kerana mudah untuk saya ke sana selepas pulang bekerja serta lokasinya yang tidak terlalu sukar untuk dicari. Beberapa hari sebelum itu Bissme telah menghubungi saya, menyatakan hasratnya untuk menemuramah saya. Menurutnya, sempena Hari Kekasih yang sering dikaitkan hal-hal cinta dan romantik, beliau meminta saya menamakan 10 Novel Sastera paling romantik yang pernah saya baca. Saya diberi masa beberapa hari untuk memilih novel tersebut.

Sebenarnya sangat sukar, apabila saya dikehendaki memilih 10 novel sastera melayu paling romantik yang pernah saya baca. Kerana romantik seringkali menjadi gabungan asing apabila dikaitkan dengan sastera atau agak sukar mencari novel yang bernuansa romantik-sastera. Saya bertanya kepada beberapa orang rakan penulis, juga laman twitter supaya ingatan saya atau emosi bacaan saya kembali. Saya khuatir mungkin ada bacaan yang patut masuk dalam senarai tetapi saya terlupa. Saya menemukan masalah yang sama, ramai yang mengatakan sangat sukar mencari sisi romantis dalam sastera. Benarkah begitu? Bahawa sastera kita mempunyai jurang dengan nuansa romantis? Atau percampuran romantis berlaku, maka naskhah itu tidak dianggap karya sastera sebaliknya karya popular?

Mungkin pilihan saya tidak begitu disukai dan disenangi oleh sesetengah pembaca, tetapi setiap pembaca mempunyai cita rasa yang berbeza-beza. Tetapi yang paling utama, sekurang-kurangnya pilihan ini akan menggalakkan untuk pembaca mencari dan membaca novel tersebut.

Bagaimana saya memilihnya? Saya rentangkan pembacaan dari zaman awal, iaitu ketika masih kanak-kanak sehingga dewasa ini. Yang menampilkan yang memperlihatkan kisah cinta dalam bentuk berbeza: pilihan, perbezaan umur, ketuhanan, pencarian, cinta antara dua darjat, perkahwinan, tetapi akhirnya saya temui satu titik yang menemukan kesemua novel ini, iaitu bahasanya. Dan saya percaya sesuatu novel sastera yang romantis, tulang belakangnya adalah bahasa dan kemudian naratifnya. Kerana walaupun novel itu berakhir tragic tetapi bahasalah yang membawanya.

  1. Salina oleh A. Samad Said

    Saya membaca Salina sewaktu masih sekolah rendah tanpa mengetahui novel Salina ini adalah novel sastera yang dikarang Sasterawan Negara. Saya sukakan hubungan Helmy –Salina yang digambarkan pengarang sebagai kakak-adik tetapi saya melihat hubungan ini seperti cinta berbeza usia. Salina walaupun digambarkan sebagai wanita yang malang, hina tetapi dia seorang wanita yang kuat dalam mencari cintanya di celah-celah keperitan perang. Dan Helmy, saya dapat merasakan dia menyayangi Salina lebih daripada seorang kakak, mungkin kerana usianya yang berbeza dan Salina menganggapnya adik, perasaan itu dikuburkan diam-diam. Walaupun rasa cinta itu tidak dizahirkan pengarang, ia digambarkan melalui susunan bahasa A Samad Said, sudut pandang Helmy apabila melihat Salina. Ia novel yang paling romantis pernah saya sewaktu saya kecil.

    Novel Salina sudah diulang cetak dalam versi yang berbeza yang diterbitkan oleh Wira Bukit, rumah penerbitan Helmy Samad dan juga diterjemahkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia. Kedua-dua novel itu boleh dibeli di sini untuk versi Bahasa Melayu dan di sini untuk versi Bahasa Inggeris

  2. Dekat Disayang Jauh Dikenang oleh Khadijah Hashim

    Novel ini sungguhpun jarang disebut oleh peminat Khadijah Hashim, tetapi ini antara novel awalnya yang saya baca sewaktu masih bersekolah rendah. Novel ini boleh dilihat sebagai novel cinta antara dua darjat tetapi tanpa melibatkan tentangan daripada orang dua. Saya sukakan perempuan seperti Normala yang tidak tunduk kepada takdirnya sendiri dan mencari jalan yang terbaik untuk dirinya. Walaupun terpaksa menjadi orang gaji demi menampung sementara hidupnya, dia tidak berhenti di situ dan mengambil inisiatif untuk belajar kembali setelah gagal peperiksaan. Novel ini juga memperlihatkan watak orang kaya yang tidak tipikal seperti tidak sombong, berbuat baik kepada pekerja bawahannya, dan berfikiran terbuka. Zahar, anak anak orang kaya yang malang, kemalangan dan tidak boleh berjalan lagi dan mempunyai tunang yang cantik, Julia. Hubungan Normala-Zahar selalu berubah-ubah, ada waktunya berbaik-baik, tegang, bergaduh, berkecil hati. Segala turun naik dalam perhubungan mereka berdua, saya melihatnya sebagai perkembangan dalam percintaan yang penuh pelbagai rencah. Dan judul bukunya sangat sesuai dengan perjalanan cerita ini. Apabila dekat, Normala disayangi oleh keluarga Datuk Malik dan Datin Mariah apabila berjauhan, dia dikenang oleh Zahar sehingga menyedari ada bibit cinta di hati mereka.

    Baru-baru ini K’ Publishing ada mengeluarkan edisi mega Khadijah Hashim dan juga beberapa tahun kebelakangan ini edisi trilogi. Baru-baru ini saya lihat ada di kedai buku MPH.

  3. Tunggu Teduh Dulu oleh Faisal Tehrani

    Bahasa Faisal Tehrani tidak pernah mengecewakan. Ini yang memberi kekuatan dan warna dalan novel Tunggu Teduh Dulu. Novel ini menceritakan seorang perempuan, Salsabilah Fahim yang mengusahakan ladang betik di atas tanah warisan ayahnya. Dalam merangkak mengusahakan ladangnya, dia berdepan dengan cinta tiga segi antara teman lamanya yang membesar bersama-sama, Kamil dan Lam Ping Hai. Seperti kata salah seorang wataknya, “Kerja Tuhan siapa yang tahu” jodoh Salsabilah bukanlah bersama salah seorang kawan baiknya sebaliknya pekerja ladangnya yang lebih muda, Sazli di Makkah sewaktu menunaikan umarah. Mereka menyempurnakan cinta mereka di sana. Ia adalah novel cinta Islamik yang paling seimbang pernah dibaca. Ini cerita cinta kepada Allah, dan cinta antara manusia, serta cinta terhadap alam.

    Aha, adegan dalam novel ini sebelum popularnya bernikah depan Kaabah, dan peminat Faisal Tehrani tentu akan bersetuju dengan saya bahawa Tunggu Teduh Dulu merupakan novelnay yang romantis atau paling romantis? Bukunya boleh dibeli melalui Ujana Ilmu

  4. Nyanyian Tanjung Sepi oleh Noor Suraya

    Novel ini ditulis secara bersiri dalam blog dan tidak dapat dinafikan bahasa Noor Suraya merupakan faktor mengapa novel ini manis dalam darjahnya sendiri. Ceritanya berkisah tentang perkahwinan yang diatur oleh perjanjian keluarga antara Syarifah Nuur Khalida dan Dr. Aqmar Aziz walaupun Khalida dalam diam menyimpan perasaan kepada pengajarnya, Dr. Zainur. Khalida belajar mencintai suaminya namun berlakunya tragedi apabila Dr Aqmar Aziz berkahwin dua tanpa pengetahuan Khalida dan Khalida yang selama ini menjadi perempuan patuh dan lemah lembut berubah menjadi berani dan memohon cerai kerana tidak pernah berkongsi kasih. Di penghujung cerita, Syarifah Nuur Khalida bersatu dengan cinta pertamanya Dr Zainur yang juga sebenarnya menyimpan rasa kepada Khalida. Di hujung setiap bab, diiringi dengan serangkap pantun Melayu lama yang menggambarkan rasa dan emosi setiap bab itu.

    Selain nama saya ada di situ, hiks novel ini juga antara novel Kaksu yang dinanti-nanti. Waktu itu, saya dan Filzah Hanis sudah mengenal rapat Noor Suraya dan ini merupakan novel yang ditulis secara e-novel serta novel tebal pertama Kaksu. Novelnya boleh dibeli melalui laman sesawang Jemari Seni kerana Creative sudah tidak keluarkan novel tersebut.

  5. Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri oleh A. Samad Said

    A. Samad Said memotret bulan madu sepasang suami isteri, Mansor-Zawiah yang sungguh manis. Kita sebagai pembaca dapat merasakan perbualan dan hubungan hangat antara kedua-dua suami isteri ini tidak direka dan dibuat-buat. Ghairah dalam novel ini terkawal tetapi penuh cinta yang lewat dalam helaian ceritanya. Ia karya yang bisa membuatkan anak dara tersenyum-senyum sendiri. Bulan madu mereka, anehnya berlatarkan negara asing yang miskin, India dan dalam konfrontasi politik. Ia seperti menggambarkan perkahwinan itu seperti boleh bergelombang derita dan bergelora hangat tetapi kemanisan dalam perkahwinan tetap mengatasi penderitaan dalam waktu apa-apa pun. Terdapat dua fragmen, satu bulan madu Mansor-Zawiah sendiri dan fragmen kedua pasangan Rehman-Neeta yang bergelut di negara sendiri demi mencari sesuap nasi. Sukarnya hidup Rehman-Neeta sehingga mereka jarang sekali berbulan madu di Fatehpur Sikri, dan betapa ironi kerana Mansor-Zawiah datang jauh ke sana untuk menikmati musim bulan madunya. Novel tragik-romantik yang meninggalkan kesan kepada pembaca.

    Ini merupakan novel terawal A. Samad Said

  6. Delima Ranting Senja oleh Siti Zainon Ismail

    Siti Zainon Ismail sememangnya menulis dalam bahasanya yang romantis kerana mungkin beliau seorang pelukis yang menterjemah bahasa alamnya ke dalam lukisan dan tulisan. Novel ini saya baca sewaktu sudah dewasa dan mula memahami tidak salah lepas bebas selepas berkahwin, serta perkahwinan tidak mengurung seseorang perempuan itu. Gambaran percintaan dalam perkahwinan yang dekat tidak bererti renggang, jauh tidak bererti lupa. Hubungan Sofina dan AbyRedha, hubungan dua pejuang yang menyempurnakan kelebihan dan kekurangan masing-masing.

  7. Pulau Renik Ungu oleh Siti Zainon Ismail

    Pulau Renek Ungu seperti mana judulnya, ia sebuah novel pencarian cinta Zaidah dalam perjuangannya dan pengembaraannya. Di atas kapal bertemu cinta dengan Henry yang kemudian bertukar nama menjadi Hairul. Bahasa Siti Zainon indah membuai dan membuat emosi remaja waktu itu turut bergelora dan mahu mengembara.

  8. Konserto Terakhir oleh Abdullah Hussain

    Hilmi seorang lelaki yang ditewaskan oleh keadaan sekeliling. Hubungan Hilmi-Hayati bermula sebagai abang sepupu dengan adik sepupu perlahan-lahan bertukar menjadi cinta tanpa disedari. Hilmi seorang lelaki yang berbakat dalam bidang muzik dan sepatutnya hidupnya berbahagia, namun perkahwinan tidak dapat menyelamatkannya. Azizah yang sepatutnya mendukungnya telah meninggalkannya dan meminta cerai. Akibat daripada tekanan menjayakan Pertunjukan Orkes Perdana dan juga emosi dalamannya Hilmi, dia akhirnya meninggal dunia sebelum menjayakan Pertunjukan Orkes tersebut. Ia tentang cinta yang tidak kesampaian akibat pangkat dan halangan orang tua.

  9. Tanah Andriyana oleh Noor Suraya

    Saya menyukai watak Raden Andriyana, seorang puteri keraton Jawa yang berjiwa kuat. Walaupun terpaksa menjadi babu (orang gaji) di rumah ayah dan mak tirinya, dia tidak mengabaikan didikan sewaktu di keraton. Kelembutannya telah memikat hati Ku Fitri tetapi ditentang oleh keluarganya dan berakhir tragedi kematian Ku Fitri. Segala hal ini diketahui oleh generasi ketiga keluarga itu iaitu Aliya yang membaca diari moyangnya, Raden Andriyana. Dialah yang menyatukan persengketaan keluarganya apabila berkahwin dengan Fitri Hadi, cicit daripada keluarga moyang tirinya. Novel ini seperti Romeo dan Juliet versi Malaysia. J

  10. Bukan yang Pertama oleh Salina Ibrahim

    Ia sebuah kisah yang sederhana, tentang orang yang biasa. Yasmin Zulaikha graduan luar negara yang bercita-cita bekerja di pejabat tetapi akhirnya terpaksa bekerja di kampung mengusahakan homestay kerana tidak mendapat pekerjaannya yang sesuai dengan kelulusannya. Seperti judulnya, Bukan Yang Pertama, Yasmin mencari cintanya dan bertemu Ustaz Mustakim yang berperwatakan baik namun duda anak tiga. Dia tidak pasti dengan hatinya. Dan tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan Umar Khalil, rakan sepengajiannya yang jarang bertegur sapa. Benarlah ada kalanya bukan yang pertama jodoh kita.


Bacaan lanjut boleh dibaca dalam blog Bissme, bissmethesun.blogspot.com yang telah meletakkan temuramah ini dalam blognya atau pergi sahaja baca versi The Sun Online. Selamat membaca dan selamat berjumpa di kedai buku J

Tahun 2013 dan karya-karya di dalamnya



Januari telah berlalu, yang lebih awal lagi, tahun 2013 telah berlalu. Saya jarang memasang azam untuk tahun baru, tetapi tahun lalu saya adalah berazam untuk menulis lebih kerap di blog. Namun, tahun 2013 telah menampakkan kemalasan “tahap dewa” sehingga entri boleh dihitung dengan jari sahaja. Padahal baru bulan Disember lalu Nyanyian Hujan @ birungu.wordpress.com menyambut ulang tahunnya yang keenam. Anak kecil ini sudah membesar. Tulisannya juga begitu, ia mendewasa juga. Saya membaca tulisan sewaktu zaman anak-anak, zaman gelora awal dewasa dan tentu sahaja begitu berbeza, topiknya dan sudut pandangnya. Saya selalu tersenyum-senyum sendiri apabila membaca kebanyakan entri di sini. Dan InsyaAllah akan mengemaskini susunan direktorinya supaya entri-entri itu boleh diakses mengikut isu. Saya jatuh kasihan dengan blog ini, sampai maklumat karya disiarkan pun tidak dikemas kini.

Dan dalam salah satu entri, saya pernah bercita-cita untuk ada 10 buah karya dalam masa setahun. Bila sudah dewasa ini, punya satu karya disiarkan dalam media pun, saya sudah jauh rasa bersyukur. Kerana dalam sela waktu dan komitmen kepada cinta baru iaitu penulisan novel, saya berebut-rebut untuk menulis puisi (yang ilhamnya datang tidak menentu) dan cerpen (yang banyak menjadi projek gajah putih dan terbengkalai dalam komputer). Itu tidak termasuk dengan kegemaran main permainan video. Haha. Saya memang cepat tergoda! Dalam masa yang tidak ada ini, saya menyenaraikan tentang karya yang disiarkan dalam pelbagai media yang tentu sahaja tidak terlalu banyak tetapi cukuplah untuk menjawab kalau ada orang bertanya, “apa karya tahun ini?” dan adalah jawapannya. Eceh!

Cerpen |Epal daripada Sepotong Fikiran – Mingguan Malaysia | 10 Februari 2013

Puisi |Kenangan di Jendela – Harian Metro | 12 Februari 2013

Puisi |Karbonat dalam Segelas Air – Tunas Cipta | Mac 2013

Puisi |Berbagi Puisi – Mingguan Malaysia | 13 Mac 2013

Puisi |5 Jam Mengenang Perjalanan Ke Utara – Pentas | April-Jun 2013

Puisi |Sejumlah Percakapan di Tebing Sungai Sarawak – Mingguan Malaysia | 6 Oktober 2013

Puisi |Nota Kecil atas Meja – Tunas Cipta| Disember 2013

Terima kasih kepada sidang editor semua majalah dan surat khabar yang baik hati menyiarkan sajak-sajak saya. Sungguh saya terharu atas ruang dan peluang. Apatah lagi sesetengah surat khabar itu memilih sajak naratif atau panjang saya walhal kita sedia maklum betapa ruang mereka sangat terhad. Tentu sahaja ruang dan peluang ini, sangat saya hargai, apatah lagi penulis kecil macam saya yang masih sedang memilih bahasanya.

Melihat keseluruhan karya yang disiarkan, saya jadi sedih sendiri kerana hanya satu cerpen sahaja di media cetak sedangkan dahulu masa konon-konon sudah memasang cita-cita menjadi penulis, saya ingin memilih jalur cerpen dan menjadi cerpenis perempuan tanah air. Aish. Tinggi cita-cita! Tapi itulah, “kuasa tuhan siapa yang tahu.”

Saya berharap tahun ini akan akan lebih produktif. Ada buku baru. Tambah azam boleh tak? Satu buku setiap tahun? Aha!

II

Ya, tahun 2013 juga manis sekali, puisi saya ada di dalam buku Koleksi Puisi BSVN (Sejumlah Percakapan Hujan), cerpen dalam Antologi Cerpen Indonesia-Malaysia (Epal daripada Sepotong Fikiran) dan sebuah buku (Sepetang di Kafe Biblioholic). Oleh itu sudah boleh pom pom semangat awal tahun supaya gigih lagi menulis. Yay!

III

Tahun 2013 juga tahun tanpa duga kerana puisi kecil saya “Mimpi daripada Lukisan Ilusi” yang pernah disiarkan dalam majalah PENTAS telah memenangi Hadiah Sastera Perdana 2012 dalam kategori puisi eceran. Siapa duga? Saya memang terkejut sekali. Tetapi kemenangan ini juga telah menyebabkan saya kena lebih serius dan terus menulis lagi dan lagi. Ah. Sebelum ini saya malas-malas begitu, menulis tetapi malas nak hantar untuk disiarkan. Begitulah. Hehe.

IV

Saya akan aktif menulis blog. Ini azam. Dan saya sudah ikat kepala tanda saya serius. Dan akhir kata Selamat Tinggal 2013.