Sepetang Bersama Bissme The Sun


Ia boleh dikatakan petang yang sangat menyenangkan.

Saya memilih lokasi DOME, KLCC kerana mudah untuk saya ke sana selepas pulang bekerja serta lokasinya yang tidak terlalu sukar untuk dicari. Beberapa hari sebelum itu Bissme telah menghubungi saya, menyatakan hasratnya untuk menemuramah saya. Menurutnya, sempena Hari Kekasih yang sering dikaitkan hal-hal cinta dan romantik, beliau meminta saya menamakan 10 Novel Sastera paling romantik yang pernah saya baca. Saya diberi masa beberapa hari untuk memilih novel tersebut.

Sebenarnya sangat sukar, apabila saya dikehendaki memilih 10 novel sastera melayu paling romantik yang pernah saya baca. Kerana romantik seringkali menjadi gabungan asing apabila dikaitkan dengan sastera atau agak sukar mencari novel yang bernuansa romantik-sastera. Saya bertanya kepada beberapa orang rakan penulis, juga laman twitter supaya ingatan saya atau emosi bacaan saya kembali. Saya khuatir mungkin ada bacaan yang patut masuk dalam senarai tetapi saya terlupa. Saya menemukan masalah yang sama, ramai yang mengatakan sangat sukar mencari sisi romantis dalam sastera. Benarkah begitu? Bahawa sastera kita mempunyai jurang dengan nuansa romantis? Atau percampuran romantis berlaku, maka naskhah itu tidak dianggap karya sastera sebaliknya karya popular?

Mungkin pilihan saya tidak begitu disukai dan disenangi oleh sesetengah pembaca, tetapi setiap pembaca mempunyai cita rasa yang berbeza-beza. Tetapi yang paling utama, sekurang-kurangnya pilihan ini akan menggalakkan untuk pembaca mencari dan membaca novel tersebut.

Bagaimana saya memilihnya? Saya rentangkan pembacaan dari zaman awal, iaitu ketika masih kanak-kanak sehingga dewasa ini. Yang menampilkan yang memperlihatkan kisah cinta dalam bentuk berbeza: pilihan, perbezaan umur, ketuhanan, pencarian, cinta antara dua darjat, perkahwinan, tetapi akhirnya saya temui satu titik yang menemukan kesemua novel ini, iaitu bahasanya. Dan saya percaya sesuatu novel sastera yang romantis, tulang belakangnya adalah bahasa dan kemudian naratifnya. Kerana walaupun novel itu berakhir tragic tetapi bahasalah yang membawanya.

  1. Salina oleh A. Samad Said

    Saya membaca Salina sewaktu masih sekolah rendah tanpa mengetahui novel Salina ini adalah novel sastera yang dikarang Sasterawan Negara. Saya sukakan hubungan Helmy –Salina yang digambarkan pengarang sebagai kakak-adik tetapi saya melihat hubungan ini seperti cinta berbeza usia. Salina walaupun digambarkan sebagai wanita yang malang, hina tetapi dia seorang wanita yang kuat dalam mencari cintanya di celah-celah keperitan perang. Dan Helmy, saya dapat merasakan dia menyayangi Salina lebih daripada seorang kakak, mungkin kerana usianya yang berbeza dan Salina menganggapnya adik, perasaan itu dikuburkan diam-diam. Walaupun rasa cinta itu tidak dizahirkan pengarang, ia digambarkan melalui susunan bahasa A Samad Said, sudut pandang Helmy apabila melihat Salina. Ia novel yang paling romantis pernah saya sewaktu saya kecil.

    Novel Salina sudah diulang cetak dalam versi yang berbeza yang diterbitkan oleh Wira Bukit, rumah penerbitan Helmy Samad dan juga diterjemahkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia. Kedua-dua novel itu boleh dibeli di sini untuk versi Bahasa Melayu dan di sini untuk versi Bahasa Inggeris

  2. Dekat Disayang Jauh Dikenang oleh Khadijah Hashim

    Novel ini sungguhpun jarang disebut oleh peminat Khadijah Hashim, tetapi ini antara novel awalnya yang saya baca sewaktu masih bersekolah rendah. Novel ini boleh dilihat sebagai novel cinta antara dua darjat tetapi tanpa melibatkan tentangan daripada orang dua. Saya sukakan perempuan seperti Normala yang tidak tunduk kepada takdirnya sendiri dan mencari jalan yang terbaik untuk dirinya. Walaupun terpaksa menjadi orang gaji demi menampung sementara hidupnya, dia tidak berhenti di situ dan mengambil inisiatif untuk belajar kembali setelah gagal peperiksaan. Novel ini juga memperlihatkan watak orang kaya yang tidak tipikal seperti tidak sombong, berbuat baik kepada pekerja bawahannya, dan berfikiran terbuka. Zahar, anak anak orang kaya yang malang, kemalangan dan tidak boleh berjalan lagi dan mempunyai tunang yang cantik, Julia. Hubungan Normala-Zahar selalu berubah-ubah, ada waktunya berbaik-baik, tegang, bergaduh, berkecil hati. Segala turun naik dalam perhubungan mereka berdua, saya melihatnya sebagai perkembangan dalam percintaan yang penuh pelbagai rencah. Dan judul bukunya sangat sesuai dengan perjalanan cerita ini. Apabila dekat, Normala disayangi oleh keluarga Datuk Malik dan Datin Mariah apabila berjauhan, dia dikenang oleh Zahar sehingga menyedari ada bibit cinta di hati mereka.

    Baru-baru ini K’ Publishing ada mengeluarkan edisi mega Khadijah Hashim dan juga beberapa tahun kebelakangan ini edisi trilogi. Baru-baru ini saya lihat ada di kedai buku MPH.

  3. Tunggu Teduh Dulu oleh Faisal Tehrani

    Bahasa Faisal Tehrani tidak pernah mengecewakan. Ini yang memberi kekuatan dan warna dalan novel Tunggu Teduh Dulu. Novel ini menceritakan seorang perempuan, Salsabilah Fahim yang mengusahakan ladang betik di atas tanah warisan ayahnya. Dalam merangkak mengusahakan ladangnya, dia berdepan dengan cinta tiga segi antara teman lamanya yang membesar bersama-sama, Kamil dan Lam Ping Hai. Seperti kata salah seorang wataknya, “Kerja Tuhan siapa yang tahu” jodoh Salsabilah bukanlah bersama salah seorang kawan baiknya sebaliknya pekerja ladangnya yang lebih muda, Sazli di Makkah sewaktu menunaikan umarah. Mereka menyempurnakan cinta mereka di sana. Ia adalah novel cinta Islamik yang paling seimbang pernah dibaca. Ini cerita cinta kepada Allah, dan cinta antara manusia, serta cinta terhadap alam.

    Aha, adegan dalam novel ini sebelum popularnya bernikah depan Kaabah, dan peminat Faisal Tehrani tentu akan bersetuju dengan saya bahawa Tunggu Teduh Dulu merupakan novelnay yang romantis atau paling romantis? Bukunya boleh dibeli melalui Ujana Ilmu

  4. Nyanyian Tanjung Sepi oleh Noor Suraya

    Novel ini ditulis secara bersiri dalam blog dan tidak dapat dinafikan bahasa Noor Suraya merupakan faktor mengapa novel ini manis dalam darjahnya sendiri. Ceritanya berkisah tentang perkahwinan yang diatur oleh perjanjian keluarga antara Syarifah Nuur Khalida dan Dr. Aqmar Aziz walaupun Khalida dalam diam menyimpan perasaan kepada pengajarnya, Dr. Zainur. Khalida belajar mencintai suaminya namun berlakunya tragedi apabila Dr Aqmar Aziz berkahwin dua tanpa pengetahuan Khalida dan Khalida yang selama ini menjadi perempuan patuh dan lemah lembut berubah menjadi berani dan memohon cerai kerana tidak pernah berkongsi kasih. Di penghujung cerita, Syarifah Nuur Khalida bersatu dengan cinta pertamanya Dr Zainur yang juga sebenarnya menyimpan rasa kepada Khalida. Di hujung setiap bab, diiringi dengan serangkap pantun Melayu lama yang menggambarkan rasa dan emosi setiap bab itu.

    Selain nama saya ada di situ, hiks novel ini juga antara novel Kaksu yang dinanti-nanti. Waktu itu, saya dan Filzah Hanis sudah mengenal rapat Noor Suraya dan ini merupakan novel yang ditulis secara e-novel serta novel tebal pertama Kaksu. Novelnya boleh dibeli melalui laman sesawang Jemari Seni kerana Creative sudah tidak keluarkan novel tersebut.

  5. Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri oleh A. Samad Said

    A. Samad Said memotret bulan madu sepasang suami isteri, Mansor-Zawiah yang sungguh manis. Kita sebagai pembaca dapat merasakan perbualan dan hubungan hangat antara kedua-dua suami isteri ini tidak direka dan dibuat-buat. Ghairah dalam novel ini terkawal tetapi penuh cinta yang lewat dalam helaian ceritanya. Ia karya yang bisa membuatkan anak dara tersenyum-senyum sendiri. Bulan madu mereka, anehnya berlatarkan negara asing yang miskin, India dan dalam konfrontasi politik. Ia seperti menggambarkan perkahwinan itu seperti boleh bergelombang derita dan bergelora hangat tetapi kemanisan dalam perkahwinan tetap mengatasi penderitaan dalam waktu apa-apa pun. Terdapat dua fragmen, satu bulan madu Mansor-Zawiah sendiri dan fragmen kedua pasangan Rehman-Neeta yang bergelut di negara sendiri demi mencari sesuap nasi. Sukarnya hidup Rehman-Neeta sehingga mereka jarang sekali berbulan madu di Fatehpur Sikri, dan betapa ironi kerana Mansor-Zawiah datang jauh ke sana untuk menikmati musim bulan madunya. Novel tragik-romantik yang meninggalkan kesan kepada pembaca.

    Ini merupakan novel terawal A. Samad Said

  6. Delima Ranting Senja oleh Siti Zainon Ismail

    Siti Zainon Ismail sememangnya menulis dalam bahasanya yang romantis kerana mungkin beliau seorang pelukis yang menterjemah bahasa alamnya ke dalam lukisan dan tulisan. Novel ini saya baca sewaktu sudah dewasa dan mula memahami tidak salah lepas bebas selepas berkahwin, serta perkahwinan tidak mengurung seseorang perempuan itu. Gambaran percintaan dalam perkahwinan yang dekat tidak bererti renggang, jauh tidak bererti lupa. Hubungan Sofina dan AbyRedha, hubungan dua pejuang yang menyempurnakan kelebihan dan kekurangan masing-masing.

  7. Pulau Renik Ungu oleh Siti Zainon Ismail

    Pulau Renek Ungu seperti mana judulnya, ia sebuah novel pencarian cinta Zaidah dalam perjuangannya dan pengembaraannya. Di atas kapal bertemu cinta dengan Henry yang kemudian bertukar nama menjadi Hairul. Bahasa Siti Zainon indah membuai dan membuat emosi remaja waktu itu turut bergelora dan mahu mengembara.

  8. Konserto Terakhir oleh Abdullah Hussain

    Hilmi seorang lelaki yang ditewaskan oleh keadaan sekeliling. Hubungan Hilmi-Hayati bermula sebagai abang sepupu dengan adik sepupu perlahan-lahan bertukar menjadi cinta tanpa disedari. Hilmi seorang lelaki yang berbakat dalam bidang muzik dan sepatutnya hidupnya berbahagia, namun perkahwinan tidak dapat menyelamatkannya. Azizah yang sepatutnya mendukungnya telah meninggalkannya dan meminta cerai. Akibat daripada tekanan menjayakan Pertunjukan Orkes Perdana dan juga emosi dalamannya Hilmi, dia akhirnya meninggal dunia sebelum menjayakan Pertunjukan Orkes tersebut. Ia tentang cinta yang tidak kesampaian akibat pangkat dan halangan orang tua.

  9. Tanah Andriyana oleh Noor Suraya

    Saya menyukai watak Raden Andriyana, seorang puteri keraton Jawa yang berjiwa kuat. Walaupun terpaksa menjadi babu (orang gaji) di rumah ayah dan mak tirinya, dia tidak mengabaikan didikan sewaktu di keraton. Kelembutannya telah memikat hati Ku Fitri tetapi ditentang oleh keluarganya dan berakhir tragedi kematian Ku Fitri. Segala hal ini diketahui oleh generasi ketiga keluarga itu iaitu Aliya yang membaca diari moyangnya, Raden Andriyana. Dialah yang menyatukan persengketaan keluarganya apabila berkahwin dengan Fitri Hadi, cicit daripada keluarga moyang tirinya. Novel ini seperti Romeo dan Juliet versi Malaysia. J

  10. Bukan yang Pertama oleh Salina Ibrahim

    Ia sebuah kisah yang sederhana, tentang orang yang biasa. Yasmin Zulaikha graduan luar negara yang bercita-cita bekerja di pejabat tetapi akhirnya terpaksa bekerja di kampung mengusahakan homestay kerana tidak mendapat pekerjaannya yang sesuai dengan kelulusannya. Seperti judulnya, Bukan Yang Pertama, Yasmin mencari cintanya dan bertemu Ustaz Mustakim yang berperwatakan baik namun duda anak tiga. Dia tidak pasti dengan hatinya. Dan tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan Umar Khalil, rakan sepengajiannya yang jarang bertegur sapa. Benarlah ada kalanya bukan yang pertama jodoh kita.


Bacaan lanjut boleh dibaca dalam blog Bissme, bissmethesun.blogspot.com yang telah meletakkan temuramah ini dalam blognya atau pergi sahaja baca versi The Sun Online. Selamat membaca dan selamat berjumpa di kedai buku J

2 thoughts on “Sepetang Bersama Bissme The Sun”

  1. 1. ‘Kerana walaupun novel itu berakhir tragic tetapi bahasalah yang membawanya.’ Tersangat betul. Aku setuju sangat. Sepertimana membaca Biru Ungu Cinta, begitulah perasaan aku.🙂

    2. Oh, aku hanya pernah membaca 5 daripada 10 buah buku itu sahaja. Salina akan masuk yang ke-6! Ehem.

    3. Wah, aku kagum apabila 2 buah novel Kak Su menjadi pilihan. Tetapi kalau aku, aku akan pilih Biru Ungu Cinta melebih Nyanyian Tanjung Sepi walaupun NTS terukir nama kita berdua :’)

    4. Interview ni dalam bahasa inggeris atau melayu? hehe. Adakah kau membawa kesemua 10 buah novel ini semasa ditemubual?

    5. Gambar itu menunjukkan kau seperti joyah2 gitu. Haha. No offense ya😛

    6. Tahniah sayang. I’m always proud of you. :*

    Like

    1. Sayang Furaiah

      1) Aku ingin pilih Biru Ungu Cinta tetapi rasa dua novel lain lagi kuat, tetapi lepas interview itu aku terfikir juga, kenapalah aku tak letak novel Biru Ungu Cinta…

      2) Masukkan semuaaaa🙂

      3) Ala, jangan kantoikan nama kita ada dalam novel🙂

      4) Interview dalam bahasa Melayu🙂 tak semua novel dibawa, sebab ada naskhah yang hilang, macam novel kaksu. Sob sob

      5) Itulah, candid sangat

      6) Terima kasih sayang:)

      Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s