Kisah Sebatang Pen dan “Kepada Sekaki Payung”


I

Saya selalu ada hubungan kuat dengan barang-barang di sekeliling saya. Saya gemar menamakan mereka. Seperti saya menamakan kereta lama saya, Arjuna dan yang terkini, Jauhari. Saya menamakan telefon bimbit saya, Jane dan yang terbaru Anna. Manakala I-Pad saya, Luna. Buku nota buat saya menumpahkan idea menulis juga saya namakan, Cenderawasih, Scarlet, Petak, sejumlah nama buku nota lagi dan terkini Pandora. Komputer riba saya yang sudah tidak boleh digunakan lagi, saya namakan Sucy Mulsamah. Kisahnya pernah saya tulis di sini dan di sini

Mengapa saya suka menamakan mereka? Supaya saya jatuh kasih dan menjaga mereka sebaiknya. Tidak mudah mendapatkan semua barang yang disebut di atas. Mungkin sebahagian besar orang mendapatnya dengan cara yang mudah. Sedangkan saya seorang yang suka bertimbal balik dan berfikir panjang. Sukar membuat keputusan kalau dalam soal membeli barang ini yang akhirnya kalau tidak diputuskan segera, alamat tidak membelilah.

Tentang hal barang dan hubungan kuat ini, ia terilham sewaktu zaman sekolah. Waktu itu saya meminjam sebatang pen biru daripada teman saya kerana kena mengisi borang dengan segera. Kemudian, entah saya tertinggal di mana-mana pen itu, mungkin di atas meja, mungkin termasuk dalam beg saya. Teman saya meminta semula pen tersebut, dengan wajah yang serius, apabila saya mengatakan pen itu tiada di sana, dia meminta saya mencarinya. Saya pun jenuh cari pen itu, rupanya tertinggal di atas meja guru. Saya memulangkan kembali, dalam hati saya sebal juga, itu pen biasa kot? Ini hal yang biasa, kalau kita pinjam pen daripada kawan, dan pen itu hilang, kita sudah halalkan sahaja. Mengapa dia tidak boleh berbuat demikian? Kemudian saya memutuskan untuk tidak meminjam apa-apa pun daripada kawan saya ini.

Lama-lama saya belajar dan mengerti, mungkin bagi kita sebuah pen biru biasa tidak penting, kita meminjamnya dan kemudian terlupa memulangkan kerana ia pen biasa, kita boleh belikan kalau hilang, tetapi mungkin kepada peminjam, ia ada nilai sentimental, mungkin ia telah menemannya menulis untuk hal-hal yang indah dan sukar, mungkin ia pen paling selesa buat dia menulis.

Tanggapan kita tentang benda itu telah jatuh nombor kelapan belas, dalam soal di atas, tanggapan pemiliknya adalah yang terutama. Dan kita tidak boleh menganggap pendapat kita sama dengan semua orang dan memperlekehkan dan merendahkan pendapat orang lain terhadap sesuatu perkara. Sebatang pen biru itu telah mengajar saya tentang penghargaan terhadap sesuatu.

II

Puisi saya berjudul “Kepada Sekaki Payung” disiarkan dalam akhbar Berita Harian 23 Februari 2014. Saya menulis status ini di Facebook sambil mengatakan betapa saya menyukai jenis font dan saiznya. Mengapa ia penting? Kerana jenis dan saiz font yang bersesuaian akan mengoptimumkan penyiaran karya sastera dalam akhbar. Walaupun karya itu panjang, tetapi boleh dimuatkan dalam ruang akhbar yang terhad. Hal ini akan saya kupas di kemudian hari.

Sebahagian awalnya ditulis sewaktu saya tertinggal dua buah payung di rumah kawan saya sewaktu menghadiri kenduri kesyukurannya. Salah satu payung itu saya suka betul kerana sungguhpun kembang payungnya ditutup, ia menjadi kurus panjang tetapi bukaan kembangnya luas betul dan kalau berpayungan berdua dalam hujan pun tidak basah. Payung itu saya dapat percuma dan sudah menghuni lama betul dalam kereta Arjuna sebelum berpindah ke kereta Jauhari. Meski dapat percuma, tetapi saya sayang betul dengan payung itu.

Dalam waktu musim kemarau, mungkin kita tidak merasai kehilangan sekaki payung kembang luas itu, bayangkan sahaja tiba-tiba hujan menggila dan tiada payung di dalam kereta? Dalam terperangkap begitu, saya teringat payung yang tertinggal di halaman rumah kawan saya dan membayangkan apakah yang dibuat di sana ya dan apakah dia digunakan dengan baik oleh teman saya atau sudah hilang?

Puisi penuhnya boleh dibaca di sini dan saya kongsikan sebahagian daripada draft awal yang saya tulis dalam buku nota yang dinamakan Pandora.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s