Ruang Dapur dan “Dialog Sepotong Pai Epal”


Antara barang pertama yang saya beli dengan wang gaji pertama saya ialah periuk nasi, kemudian beberapa bulan selepas itu ialah oven. Cita-cita saya ingin memiliki ruang dapur sendiri. Ibu sangat mengutamakan ruang dapurnya, dan kita sebagai anaknya tidak boleh sewenang-senang berleluasa di ruang dapurnya. Ada tempat khusus untuk letak senduk selepas memasak, ada cara menggunakan lesung dan segala macam peraturan. Dan saya yang memang punya keinginan untuk memasak selalu akan pendamkan hasrat kerana tidak mahu ibu pening kepala apabila ruang dapurnya diceroboh.

Selepas memiliki oven, saya giat mencuba memasak segala jenis kek, tetapi kerana berkongsi ruang dapur dengan teman serumah yang lain, saya jadi malas mahu berebut-rebut ruang dapur yang kecil. Namun akhir-akhir ini saya memiliki ruang dapur sendiri, teman serumah sangat jarang memasak dan saya boleh mengatur dapur dengan segala macam peralatan memasak, dari oven ke microwave ke blender ke steamer ke dapur memasak dan segala macam yang saya sudah lengkapkan. Kadang-kala berdiri di dalam dapur buat saya bahagia. Mungkin itu yang ibu saya rasa. Ruang dapur, ruang dirinya sendiri. Namun akhir-akhir ini, saya jadi jarang-jarang memasak. Masa semakin suntuk. Komitmen makin banyak. Dan kemalasan makin bermaharajalela.

Ramai orang sebelum memiliki sesuatu, ia selalu berangan-angan untuk meluangkan sebanyak-banyak masa atau berkreativiti dengan barangan tersebut. Untuk mendorong dan menyakinkan diri bahawa membeli barangan tersebut ialah satu keperluan, sekurang-kurangnya keperluan memenuhi keinginan diri sendiri tetapi apabila sudah ada akan datang alasan-alasan lain yang membuatkan kita tidak menggunakan atau benda itu hanya jadi hiasan sahaja.

Begitu juga halnya, dalam perhubungan, apabila dari jauh, kita begitu ingin mengenalinya, ingin menjadi kawannya, ingin mendapat tempat di hatinya dan merencana segala hal dengannya. Bagaimana selepas berjaya dalam keinginan? Kerana ia ada di depan mata, perlahan-lahan kita lupa bagaimana untuk menghargainya dan menyayanginya seperti mimpi yang kita pernah bina sebelum ini. Belum sempat kita menyedarinya, dia telah hilang dalam pandangan.

II

Menundakan takdir? Untuk apa? Yang akhirnya kita tahu kita akan menempuh hal yang sama?

III

Saya tiada cita-cita tinggi menembusi karya dalam Dewan Sastera, kerana ruangnya hanya untuk penulis mapan dan saya pula penulis kecil yang kalau dipetakan dalam dunia sastera, mesti tak nampak. Hahaha. Namun, bulan Mac, bulan kelahiran saya, dihadiahkan dengan sebuah puisi “Dialog Sepotong Pai Epal” disiarkan dalam Dewan Sastera. Apatah lagi kulit depan Dewan Sastera itu sangat cantik dan surrelisme. Warna biru. Terus jatuh cinta dan jatuh suka.


Menulis puisi ini bermula apabila saya memuat naik gambar pai epal buatan sendiri. Resepinya saya cuplik daripada salah satu kafe kegemaran saya yang mengilhamkan “Sepetang di Kafe Biblioholic“, Little White Cafe”. Kemudian Shukri Mohd Ali mengatakan sesuatu tentang keinginan menikmati pai epal. Shukri, adalah antara beberapa orang kalau berbalas komen dengan mereka, pasti tercubit sana sini, ilham menghasilkan puisi. Mereka yang lain, Shafiq Said, saya pernah menulis puisi untuknya, puisi “Nota di Atas Meja” dan Faisal Mat Zawi pula beberapa puisi lain dan yang paling saya ingat, puisi “Kepada Kekasih Tak Kunjung Tiba

Sungguh terima kasih kepada mereka yang sering mengilhamkan dan selalu berkomentar yang mengilhamkan idea dan kata-kata.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s