Beberapa Perjalanan dalam Ulang Tahun Kelahiran


I
Berjalan, adakalanya saya cintai dan juga tidak sukai. Bergantung kepada keadaan juga pada situasi. Sewaktu beberapa jam menghampiri ulang tahun kelahiran saya sehingga tiba harinya juga sehari selepasnya, saya melakukan beberapa perjalanan yang singkat.

Perjalanan membuat kita mengenal diri. Saya berjalan di jalan sesak di Kajang, lorong-lorong kecil di Kuala Lumpur, di galeri mewah, pusat membeli belah. Serta melakukan beberapa percakapan pendek dan panjang sebagai sebuah bentuk perjalanan juga.

Saya sudah menjelang dewasa, tetapi dalam diri, anak-anak kecil tidak mahu melepaskan tempatnya yang lama mereka berdiam. Mereka ingin terus berhidup di situ, berterusan menjadi sebahagian daripada diri saya. Tetapi kedewasaan yang sedang duduk di muka pintu, juga tidak lagi sabar menunggu. Saya memerlukan kedua-duanya. Kerana dalam mendepani keadaan semasa, melihat bagaimana suasana mengkuda-kudakan saya, anak-anak dalam dada akan membuatkan saya hanya tertawa, tanpa perlu untuk terlalu memberatkan diri. Tetapi sejauh mana kita bertahan menjadi kuda-kuda permainan melainkan melawannya dengan sifat kedewasaan kita?

Banyak orang memilih jalan jauh untuk berjalan mengenal diri. Pada hari kelahiran saya, sengaja memilih jalan singkat yang juga mendewasakan diri Kuala Lumpur, kota yang saya sangat cintai sekaligus saya kurang senangi. Atau apakah saya mencintai Kuala Lumpur tetapi tidak mencintai mereka yang menghuni di dalamnya? Ia seperti kota yang dekat dengan diri sekaligus asing. Saya berjalan di sisinya, untuk mengenalnya dalam jalanan yang penuh panas dan berdebu serta berjerebu pekat.

Saya ke kafe kecil tempat saya menuliskan novel saya, ternyata pemiliknya masih mengenali saya. Saya begitu terharu. Perasaannya mengunjunginya masih sama, masih sangat akrab dan hangat. Sesekali dalam setahun saya memanjakan diri makan mewah. Kali ini di kafe kecil di tengah Kuala Lumpur dan pusat membeli belah yang paling saya sukai.

Kedewasaan, selamat datang. Selamat mendewasakan dan menabahkan saya.

20140318-143742.jpg“Jendela, pernahkah kau berasa sunyi hanya ditemani sekaki lampu?” – Little White Cafe

 

 

 

 

 

 

20140318-143752.jpg“Di tengah kota, mari bersembunyi di dalamku” – Lokl Coffee Co

20140318-143801.jpg“Kembang ungu, berapa lama kau dapat berhidup untuk menemaniku” -Lokl Coffee Co

20140318-143817.jpg“Bau tubuhku yang sering kau cium, untuk mengubati kelukaaan apa?”

20140318-143843.jpg“Mengapa mereka sering melupakan kenangan lama.” Kuala Lumpur

20140318-143850.jpg“Ada waktu mereka akan kembali ke hal-hal lama, kerana membuatkan mereka rindu” Petaling Street, Kuala Lumpur

20140318-143903.jpg

20140318-143909.jpg

20140318-143926.jpg

20140318-143918.jpg

20140318-143932.jpg

Advertisements

Air dan Cerpen “Tiada Kota di Dasar Cawan”


Seperti yang pembaca tidak sedia maklum, kampung saya dekat sahaja dengan loji SYABAS. Malah kalau saya berulang-alik ke pekan kecil yang saya sangat bangga namanya, tetapi pemimpin luar rasa sangat malu menyebutnya, Batang Berjuntai saya akan melintas loji itu. Malah pernah juga masuk ke dalamnya. Sebahagian besar pekerja di sana merupakan orang kampung saya. Masa kecil saya pernah berlari-lari atas padang luas dan juga di atas tempat penyimpanan air. Saya pernah juga melihat proses pengklorinan air. Dan apabila belajar subjek pemprosesan air waktu di sekolah, saya rasa sedikit bangga sebab cepat menangkap prosesnya kerana saya pernah melihat sendiri di depan mata.

Ia bukan satu proses mudah. Kerana air yang masuk dari sungai sangat kotor. Bayangkan sahaja sungai Selangor yang denyut nadinya adalah perindustrian. Tentu sahaja proses penjernihannya bukan mudah. Saya kadangkala cemburu dengan cerita/hikayat lama di dalam buku, apabila mereka jauh berjalan dan terjumpa sungai, mereka boleh sahaja meminumnya tanpa syak wasangka. Sedangkan apabila saya melintas sungai berhampiran kampung saya, itu hanya angan-angan sahaja. Kerana airnya kotor dan perlu diproses sebelum minum. Saya sendiri tidak pernah meminum air dari sungai tanpa syak wasangka.

Ketika saya belajar tentang keperluan asas manusia dalam Kajian Tempatan (kalau tidak silap, dan saya sedar subjek ini sudah tidak diajar di sekolah?), saya belajar tentang keperluan asas manusia, air, makanan dan tempat tinggal. Ia bermain-main juga dalam fikiran saya apabila mendewasa, mengapakah air didagangkan, makanan dijual mahal, tempat tinggal semakin sukar mencari yang murah? Ia sentiasa menjadi kegelisahan rakyat negara ini, sedangkan ia keperluan asas seorang manusia? Mungkinkah kerana kita mengejar keperluan hati, sehingga kita harus membayar untuk keperluan asas kita?

II

Saya menulis cerpen “Tiada Kota di Dasar Cawan” sudah lama. Beberapa minggu sesudah cerpen “Epal daripada Sepotong Fikiran” disiarkan dalam Mingguan Malaysia. Kebetulan saya menyambut ulang tahun kelahiran di Nando’s, di mana kalau memesan air karbonat dan teh limau, ia bottomless. Boleh ditambah bila-bila masa sahaja. Selalu kalau makan berdua, saya akan memesan segelas air sahaja dan berkongsi. Bukan apa, kadangkala kalau pesan segelas belum tentu habisnya. Sewaktu memesan itu, melintas idea, bagaimana kalau ada sebuah tempat yang semua kafe atau kedainya menyediakan khidmat bottomless untuk sesetengah minuman. Di Nando’s sendiri, belum sempat airnya habis, pelayannya akan menawarkan untuk menambah air kalau air yang kita pesan itu bottomless (tidak berdasar). Mesti sangat menyeronokkan duduk di kota itu. Dan bermulalah saya menconteng draf begitu begini. Masa itu saya juga sedang sibuk membaca buku Invisible City. Namun, kerana ada beberapa projek penulisan yang sedang bermain dalam kepala, saya mengalami kesukaran menyudahkan cerpen ini.


Saya pernah sebutkan dalam entri terdahulu bahawa saya ingin giat menulis cerpen. Kalau hendak dikenali sebagai penulis sekalipun, biarlah penulis cerpen. Haha. Saya rasa penulisan cerpen sememangnya destinasi saya. Ewah. Tapi itulah, draf banyak yang bertimbun, siapnya entahkan bila. Terima kasih untuk desakan-desakan yang akhirnya menyempurnakan cerpen ini dan judulnya dipilih pada saat akhir. Menurut Dr. Rem Dambul, judulnya begitu puitis. Dan membuat saya berterima kasih kepada latihan menulis puisi, kerana menulis puisi, secara sedar atau tidak, kita akan mempuitiskan judul kita. Kalau penulis Malaysia yang mempunyai judul-judul puitis dalam cerpen, puisi dan novelnya, tentu sahaja saya memilih Siti Zainon Ismail.

Sekurang-kurangnya sekarang saya hendak pasang cita-cita baru, satu tahun satu cerpen. Bolehkah?

Pra Acara: Hello Poetry 2.0 dan Pasar Mbak


Sabtu ini, 8 Mac, sempena Hari Wanita Sedunia, saya telah dijemput membaca beberapa buah puisi untuk acara Hello Poetry Vol 2. Acara ini dianjurkan oleh SenoritaZine dan Frinjan dengan bertemakan “Wanita dan Sastera”

Saya akan membaca puisi dalam jam 3.30 petang. Ada beberapa sebab kenapa anda kena datang acara ini

  1. Boleh dating! Kalau nak beli buku saya “Sepetang di Kafe Biblioholic” pun boleh. Atau nak dating bersama sambil dengar bacaan puisi pun boleeeehhh.
  2. Saya jarang muncul di khalayak. Suara saya tidaklah begitu sedap dan sebenarnya saya sedikit segan dan gementar hendak baca-baca puisi ini. Jadi, ini peluang yang jarang ada untuk dengar saya membaca puisi. Hahaha. Ecehwah!
  3. Ramai perempuan cantik, berbakat, suara sangat sedap, puisi indah untuk anda dengarkan pada petang itu
  4. Di samping itu juga ada Pasar Mbak, penjualnya perempuan dan barang jualannya dari buku, ke kraftangan sehingga buku. Ada hampir 30 penjual tau

Jumpa sabtu ini ya…

Maklumat lanjut acara, boleh diikuti seperti di bawah

FACEBOOK Acara

FACEBOOK FRINJAN

INSTAGRAM FRINJAN

INSTAGRAM SENORITA ZINE

TWITTER SENORITAZINE

TWITTER FRINJAN

Gunakan #HelloPoetry ya untuk kemas kini atau kongsi maklumat acara ini sama ada di twitter ataupun Instagram


Mereka buat poster saya untuk acara ini. Menangis tengok sebab comel sangaaat dan Nampak usaha yang gigih dan berdedikasi! Itu sebab kelima kenapa mesti datang acara ini!!!

Sekarang, saya nak bertapa. Sebab tengah fikir, puisi apa saya nak baca untuk acara ini.