Air dan Cerpen “Tiada Kota di Dasar Cawan”


Seperti yang pembaca tidak sedia maklum, kampung saya dekat sahaja dengan loji SYABAS. Malah kalau saya berulang-alik ke pekan kecil yang saya sangat bangga namanya, tetapi pemimpin luar rasa sangat malu menyebutnya, Batang Berjuntai saya akan melintas loji itu. Malah pernah juga masuk ke dalamnya. Sebahagian besar pekerja di sana merupakan orang kampung saya. Masa kecil saya pernah berlari-lari atas padang luas dan juga di atas tempat penyimpanan air. Saya pernah juga melihat proses pengklorinan air. Dan apabila belajar subjek pemprosesan air waktu di sekolah, saya rasa sedikit bangga sebab cepat menangkap prosesnya kerana saya pernah melihat sendiri di depan mata.

Ia bukan satu proses mudah. Kerana air yang masuk dari sungai sangat kotor. Bayangkan sahaja sungai Selangor yang denyut nadinya adalah perindustrian. Tentu sahaja proses penjernihannya bukan mudah. Saya kadangkala cemburu dengan cerita/hikayat lama di dalam buku, apabila mereka jauh berjalan dan terjumpa sungai, mereka boleh sahaja meminumnya tanpa syak wasangka. Sedangkan apabila saya melintas sungai berhampiran kampung saya, itu hanya angan-angan sahaja. Kerana airnya kotor dan perlu diproses sebelum minum. Saya sendiri tidak pernah meminum air dari sungai tanpa syak wasangka.

Ketika saya belajar tentang keperluan asas manusia dalam Kajian Tempatan (kalau tidak silap, dan saya sedar subjek ini sudah tidak diajar di sekolah?), saya belajar tentang keperluan asas manusia, air, makanan dan tempat tinggal. Ia bermain-main juga dalam fikiran saya apabila mendewasa, mengapakah air didagangkan, makanan dijual mahal, tempat tinggal semakin sukar mencari yang murah? Ia sentiasa menjadi kegelisahan rakyat negara ini, sedangkan ia keperluan asas seorang manusia? Mungkinkah kerana kita mengejar keperluan hati, sehingga kita harus membayar untuk keperluan asas kita?

II

Saya menulis cerpen “Tiada Kota di Dasar Cawan” sudah lama. Beberapa minggu sesudah cerpen “Epal daripada Sepotong Fikiran” disiarkan dalam Mingguan Malaysia. Kebetulan saya menyambut ulang tahun kelahiran di Nando’s, di mana kalau memesan air karbonat dan teh limau, ia bottomless. Boleh ditambah bila-bila masa sahaja. Selalu kalau makan berdua, saya akan memesan segelas air sahaja dan berkongsi. Bukan apa, kadangkala kalau pesan segelas belum tentu habisnya. Sewaktu memesan itu, melintas idea, bagaimana kalau ada sebuah tempat yang semua kafe atau kedainya menyediakan khidmat bottomless untuk sesetengah minuman. Di Nando’s sendiri, belum sempat airnya habis, pelayannya akan menawarkan untuk menambah air kalau air yang kita pesan itu bottomless (tidak berdasar). Mesti sangat menyeronokkan duduk di kota itu. Dan bermulalah saya menconteng draf begitu begini. Masa itu saya juga sedang sibuk membaca buku Invisible City. Namun, kerana ada beberapa projek penulisan yang sedang bermain dalam kepala, saya mengalami kesukaran menyudahkan cerpen ini.


Saya pernah sebutkan dalam entri terdahulu bahawa saya ingin giat menulis cerpen. Kalau hendak dikenali sebagai penulis sekalipun, biarlah penulis cerpen. Haha. Saya rasa penulisan cerpen sememangnya destinasi saya. Ewah. Tapi itulah, draf banyak yang bertimbun, siapnya entahkan bila. Terima kasih untuk desakan-desakan yang akhirnya menyempurnakan cerpen ini dan judulnya dipilih pada saat akhir. Menurut Dr. Rem Dambul, judulnya begitu puitis. Dan membuat saya berterima kasih kepada latihan menulis puisi, kerana menulis puisi, secara sedar atau tidak, kita akan mempuitiskan judul kita. Kalau penulis Malaysia yang mempunyai judul-judul puitis dalam cerpen, puisi dan novelnya, tentu sahaja saya memilih Siti Zainon Ismail.

Sekurang-kurangnya sekarang saya hendak pasang cita-cita baru, satu tahun satu cerpen. Bolehkah?

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s