Setelah setahun bersama “Sepetang di Kafe Biblioholic”


Setahun lalu, buku saya “Sepetang di Kafe Biblioholic” diterbitkan dan mula dijual di pasaran. Semenjak dari itu, telah beberapa kali buku sederhana itu “melintas” ruangan akhbar dan daripadanya juga saya menemui kawan-kawan blog yang mengintai dari jauh serta kawan-kawan baru.

Ada bebeberapa sesi tanda tangan, saya sebetulnya masih sangat malu, sangat segan berhadapan dengan pembaca atau bakal pembaca. Kalau di Institut, saya boleh dikatakan paling gigih dan paling bergenderang riang mempromosi buku orang lain, tetapi percaya atau tidak, kalau melibatkan buku sendiri, barangkali saya rela duduk di belakang rak, memerhatikan sahaja pembaca membelek buku saya.

Buku sederhana itu kadang kala buat saya bertemu dengan pembaca yang menyenanginya, kemudian menceritakan pengalamannya dengan kopi atau teh mahu pun hujan dengan saya. Saya sebetulnya banyak yang tidak tahu daripada tahu.

Ada beberapa pertemuan di kafe, di sela sela cawan kopi mahupun teh. Ada yang di majlis, ada sewaktu saya sedang bertugas rasmi. Saya juga sering mengikuti pembincangan di Goodreads dari jauh, tidak berani mahu klik tanda “suka” atau membalas apa-apa. Tetapi ketahuilah, saya sangat menyenangi semua komen pembaca, baik yang baik ataupun yang kurang baik. Segalanya mematangkan penulisan saya dan ada kalanya membuat saya tersenyum-senyum sendirian.

Saya ingin berterima kasih dengan Kak Hafizah, wartawan Berita Harian yang mengulas buku sederhana itu di dalam akhbar dan siap siap memberi 5 bintang. Saya selalu kata pada Kak. Hafizah, saya perempuan yang gemar memegang masa lalu, sesudah saya menghabiskan novel Lelaki Januari.

Juga kepada pihak Js Adiwarna, kaksu, Kama, Dee-la dan seluruh warga kerjanya yang berdedikasi dan merayakan saya dan buku sederhana itu. Bila-bila jumpa mesti bincang manuskrip baru. Pom pom semangat saya yang kejap marak nyala kejap sahaja tidak berbara.

Kepada tulisan dan komen buku itu di blog, saya sungguh hargai, jarang orang mahu mengulas apa-apa lagi di blog. Usaha itu buat saya boleh menjejak kasih ulasan buku itu selain Goodreads.

Terima kasih untuk yang mengasihi watak-watak dalam novel itu, yang menyukai Redza dan juga menyenangi Umair, juga watak kecil si Zaara dan Shukri, serta nurani ibu Kamellia, Aishah, saya mewakili semuanya mengucapkan terima kasih atas limpah kasih sayang dan masa untuk membaca kisah kecil mereka.

Kepada semua yang menyoal: ehem, bila nak ada novel baru, jawapan rasminya, sedang sangat gigih menulis. Doakan tahun ini siap ya. 🙂

 

P/s Ini entri 3 bulan lepas, entah kenapa masih dalam draf. Jadi, saya tekan butang “terbit’ ya

Advertisements

Borak Buku Bersama Eka Kurniawan


Saya sudah lama membaca buku Cantik Itu Luka, Eka Kurniawan. Saya baca dalam kurang lebih 48 jam. Bukunya tebal 500 m/s. Tidak tidur malam kerana ceritanya itu sangat sangat mempengaruhi saya untuk tidak saya letakkan sebentar. Ketika itu saya tidak tahu, siapakah Eka Kurniawan, apakah jalurnya menulis, malah sinopsisnya pun saya tidak tahu, hanya judulnya sahaja yang begitu menggoda, Cantik Itu Luka.

Tidak perlu untuk saya panjang-panjangkan tentang buku itu, kerana saya bersama-sama teman saya apabila mengetahui Eka Kurniawan akan datang ke Malaysia untuk pertama kalinya, kami sedaya upaya mengatur supaya ada satu sesi yang boleh mengobrol bersamanya. Tentu sahaja kepada peminat Eka Kurniawan, sesi ini tidak harus, tidak sekali-kali harus dilepaskan.

Jemput hadir:

Borak Buku Bersama Eka Kurniawan

Lokasi: Espresso Lab, NU Sentral, sebelah KL Sentral

Jam: 8.00 malam

Tarikh 23 Jun 2014

Dan saya juga sudah selesai membaca buku terbarunya, Seperti Dendam Rindu Harus Dibayar Tuntas. Haha. Bukunya turut dijual di sana 🙂

Imej

Kepada Payung Teduh


Cover-Album-_Dunia-Batas_in

 

Kamu tahu, hujan, antara yang saya cintai di dunia. Tetapi saya selalu sahaja tidak memiliki payung. Kerana payung selalu sahaja jadi jarak untuk saya lebih mencintai hujan dan mencintai kebasahan yang diciptakannya di tubuh saya, serta emosi yang bakal dipeluki hujan.

Saya juga sering selalu ditelagakan oleh lagu-lagu yang mengiringi saya menikmati hujan. Antaranya lagu-lagu daripada album kamu, Payung Teduh baik dari versi EP mahupun versi album penuh.

Antara beberapa lagu, atau mungkin keseluruhan lagu dalam kedua-dua album itu, telah buat malam saya jadi lebih panjang untuk saya menulis kata-kata bersamanya. Nah. saya ambil sahaja lagu kamu “Berdua Saja” dan membayangkan sepasang kekasih sedang menyimpan rasa bergelora daripada diucapkan kerana ada sahaja yang harus disimpan, atau mungkin tiada keberanian untuk mengungkapkan atau rasa segan memperdengarkan kata-kata itu.

“Malam jadi saksi

Kita berdua di antara kata

yang tidak terucap

berharap waktu membawa keberanian

untuk datang membawa jawapan”

Nyata, rangkap ini akrab sekali dengan saya, kerana saya juga pernah terperangkap antara kata, dan tidak pernah ada keberanian mengungkapkan rasa. Tiada keberanian untuk mengungkapkan apa-apa kerana banyak hal, atau mungkin kerana saya seorang perempuan. Lalu persoalan di hujung lagu ini, membuat hati saya langsung sebu, “mungkinkah kita ada kesempatan ucapkan janji takkan terpisah selamanya?”

Bagaimana rasanya sedang dalam pelukan? Sedang lagu “Untuk Perempuan Yang Sedang Dalam Pelukan” pun ada rasa yang masih tersimpan yang takut untuk diungkapkan. Padahal dalam pelukan, seringkali tubuh menjadi akrab namun, hati mungkin masih menjarak? Dan masih memerlukan keberanian yang lain?

“Di malam hari

menuju pagi

sedikit cemas

banyak rindunya”

Suatu hari, akan ada banyak keinginan yang ingin kita jalankan bersama seseorang yang kita cintai. Seperti yang kamu ucapkan dalam lagu “Resah”

“Aku ingin berdua denganmu

di antara daun gugur

aku ingin berdua denganmu

tapi aku hanya melihat keresahanmu”

Langsung saya teringat potongan puisi Sapardi Djoko Damono, “Aku Ingin”. Ada banyak keinginan yang hadir sebaik sahaja kita menjadi pasangan kekasih. Tetapi seperti puisi Sapardi dan juga lagu “Resah”, saya ingin memilih untuk menjadi kekasih yang sederhana. Yang rasa bahagia walau hanya berjalan di bawah daun-daun gugur, atau berjalan di malam sambil memerhatikan lampu jalan satu-satu menutup diri mereka.

Lagu-lagu dalam albummu Payung Teduh, membuatkan saya juga mulai mencintai payung, yang meneduhkan saya sebentar dalam hujan, bukan untuk menjarakkan tetapi lebih untuk mencintai dalam jaraknya, seperti mencintai seseorang yang tidak kita akan miliki kerana banyak hal dan kita masih berbahagia untuknya, selamanya. Dan terima kasih untuk Payung Teduh memberikan saya sedikit teduhan daripada berterusan dibasahi hujan.

Ciptakan ribuan lagu meski pun puisi, untuk menemani malam saya meski tanpa pelukan, supaya saya terus ada di antara kata meski tiada di antara cinta.