Purse hilang, Lelaki bangsa cina dan balai polis


Pagi tadi saya menerima panggilan telefon dari Balai Polis Sg Buloh. Saya terkejut bila pegawai itu menyebut nama penuh saya. Ingat kena saman. Almaklum musim raya. Apa lagi yang kita boleh fikirkan. Rupa-rupanya pegawai itu telefon kerana ada seseorang menyerahkan purse saya ke balai polis. Dilaporkan purse saya dijumpai di Kl Sentral.

Saya terus gelabah. Ya pagi tadi memang saya perasan purse tiada dalam beg tangan. Saya fikir mungkin tertinggal di rumah. Rupa-rupanya purse saya keciciran semalam sewaktu berada di KL Sentral malam sebelum itu.

Maka memandulah saya dengan penuh kegigihan ke Balai Polis Sg Buloh yang tidak pernah dijejaki. Di dalam fikiran saya, bagaimana saya tidak menyedari purse saya hilang? Hilang, bukan salah letak pula itu. Dalam perjalanan itu, barulah minda saya mencipta senario, kalau-kalau purse itu benar-benar hilang? Mesti saya akan runsing, ada duit, ada kad bank, kad segala macam kad. Sudahlah purse itu purse kesayangan. Sebab reka bentuknya cantik dan saya beli di jogjakarta. Masa dalam perjalanan itulah selepas senario senario tercipta dalam fikiran, saya bersedih. Aneh kan. Masa saya terima panggilan itu, emosi saya biasa biasa sahaja. Tapi dalam perjalanan berseorangan, dengar lagu raya, macam macam saya fikirkan.

Semasa menerima purse itu, saya memeriksa isi kandungan. alhamdulilah. Semua kad penting tidak hilang. Cuma duit sahaja lesap. Ah kebetulan, saya ada mengeluarkan sedikit duit. Tidak mengapa. Sudah rezeki si penjumpa. Mujur beberapa tahun sudah semasa zaman universiti, saya pernah juga hilang purse, dan membuat laporan polis. Melalui rekod laporan itu, polis menjejaki nombor telefon saya dan cuba menghubungi saya. Itulah kebaikan setia pada sebuah nombor. Nombor saya itu, saya sudah pakai lebih 10 tahun.

Kepada lelaki berbangsa cina yang kerja di kl sentral tapi tinggal di Kampung Baru Sg Buloh, saya ucapkan terima kasih kerana menyerahkan purse saya ke balai polis. Saya halalkan duit yang diambil, jika awak mengambilkan, jika tidak, saya menyanjung sikap susah payah dan prihatin awak untuk hal yang mungkin tidak penting bagi awak tetapi sangat penting bagi saya. Awak buat saya percaya kemanusiaan belum hilang lagi dalam diri rakyat Malaysia.

20140724-003033-1833044.jpg

Advertisements

Tragedi, Doa dan Pengharapan


Apabila dinding media sosial memaklumkan tragedi MH17, saya terpempan, belum cukup jauh tragedi MH370 meninggalkan negara saya, kita teruji dan diduga sekali lagi dengan tragedi MH17.

Saya memilih untuk berduka dalam diam, untuk tidak mengemas kini apa-apa status, cuba sedaya mengelak masuk laman sosial. Saya takut kalau saya terlihat gambar-gambar yang sungguh mendukakan, ia akan bermain ulang dalam fikiran, saya takut saya akan jadi sungguh marah dengan segala ketidakcerdikan komen orang kita. Saya takut saya akan jadi tidak kuat untuk membaca semua hal yang menduga dan mendukakan. Fikiran saya memikirkan beberapa hal:

– Mungkin di dalam itu ada pelajar Malaysia yang mahu pulang beraya

– Mungkin ada antara mereka bertahun-tahun tidak pulang ke tanah air

-Mungkin ada yang di dalam itu kali pertama menaiki kapal terbang

– Mungkin di dalam itu ada mereka yang pertama kali akan ke Malaysia

Saya simpat dengan MAS, sambil membayangkan dua tragedi besar yang mengorbankan lebih 500 nyawa, apakah mereka akan kuat? Saya membina pengalaman pertama menaiki kapal terbang bersama MAS sewaktu majlis graduasi saya, MH1339. Pengalaman pertama itu membuatkan saya jadi lebih berani untuk tidak takut menaiki kapal terbang. Dan setelah menaiki beberapa kapal terbang, sungguh saya boleh katakan pengalaman menaiki kapal terbang MAS antara yang terbaik sekali.

Kita harus bersama-sama dengan negara kita dalam menghadapi tragedi ini, bukannya memilih untuk menuduh bukan-bukan, berkata yang tidak-tidak, menyebarkan hal yang belum pasti. Tragedi ini jalan ujian untuk menduga bagaimana kita bersikap sebenarnya terhadap dugaan dan musibah. Ini sudah bukan lagi soal negara siapa, negara siapa. Kita sudah menyusup soal kemanusiaan. Manusia membunuh manusia. Ah, betapa menyedihkan.

Di waktu tragedi ini, senjata paling kuat berdoa, yang terbaik untuk seluruh umat manusia, supaya tumbuh keamanan di hati mereka, yang mencintai keamanan dan kemanusiaan daripada kemusnahan dan peperangan. Dan kepada kita terus berharap ada jalan yang baik untuk mendepani tragedi dan dugaan besar ini sebagai rakyat Malaysia.

Nota: saya suka duduk di jendela pesawat. Ia sangat menenangkan. Ini salah satu aktiviti saya di jendela pesawat, memfoto awan.

20140718-113231-41551405.jpg

Argentina, Eka Kurniawan dan Warganegara


Semasa Eka Kurniawan berkunjung ke Malaysia, piala dunia sedang berlangsung dengan hangat. Kebetulan, selepas keluar makan di restoran makanan thai di Keramat, saya dan kawan saya bertanya apakah yang akan dilakukan malam itu? Kebetulan itu kunjungan pertama Eka ke Malaysia. Eka berkata, dia mahu menonton piala dunia di hotel. Lalu kami mengajaknya menonton bersama, di kedai mamak. Perlawanan malam itu Argentina melawan Iran. Tentu sahaja boleh mengagak pasukan mana yang disokong oleh Eka bukan?

Satu hal yang menarik sewaktu membawa Eka ke kedai mamak pada waktu tengah malam menonton bola, adalah kehairanan Eka dengan suasana di kedai mamak atau lebih tepat lagi budaya kita melepak, berbual dan menonton bola dengan layar lebar begitu. Kerana di jakarta hampir tiada budaya menonton atau melepak sehingga lewat malam sambil menonton bola.

Banyak hal yang dibualkan tetapi satu hal yang menarik saya bertanya, mengapa menyokong Argentina?

Dalam ringkasnya, Eka berkata, kalau dia boleh memilih warganegara, dia ingin memilih menjadi warganegara Argentina kerana banyak sastera dunia yang baik lahir di sana, permainan bolanya bagus dan ada Messi.

Di satu temuramah yang lain, kami bertanya, apakah kelemahannya, dan jawapannya bagi saya sangat menarik: menulis dalam bahasa Indonesia, yang bahasanya tidak banyak dibaca warga dunia.

Argentina akan berlawan di perlawanan akhir Piala Dunia beberapa minit lagi. Saya pasti Eka sedang menunggu penuh debar sambil mengharapkan kemenangan Argentina dengan persembahan permainan Messi yang baik. Tetapi yang pastinya, Eka akan menontonnya sebagai warga Indonesia dan akan terus menulis dalam bahasa Indonesia, kerana begitulah, cinta itu satu hal yang lain, dan merentas pelbagai sempadan, dan tentu sahaja tidak salah mencintai sesuatu yang luar dari diri kita jika ia menjadikan diri lebih baik kerana akhirnya dalam diri kita akan menghadapi hari-hari mendatang dengan apa yang paling kita ada.

Malam itu Argentina menang satu kosong dengan Iran. Malam ini, warga Argentina termasuk Eka sedang menanti penuh debar keputusannya.

Jurnal Bulan Puasa #003 – Ungu-ungu Si Tampuk Manggis


Balik kampung, abah kata sekarang musim buah. Maksudnya dusun kecil belakang rumah saya sudah mula menunjukkan hasil. Sejam sebelum berbuka puasa, saya dan abah ke belakang rumah, memetik buah pulasan, manggis dan rambutan. Ketika sibuk mengait buah manggis, abah berkata, “tau ke ambil, kalau di bandar tu beli sahaja”

Terus sahaja tercabar dengan kata-kata abah. Eh mestilah saya serba tahu,Β kebun belakang rumah, dahulunya penuh dengan pokok rambutan, dokong, manggis: tempat saya meremajakan diri. Di bawah pohon durian, saya berlari-lari bermain segala macam permainan tradisional. Walaupun sekarang saya mendewasa menjadi perempuan melayu terakhir, semua pokok saya sudah panjat. Ya, saya memang lasak dari kecil apatah lagi masa kecil kurus keding sahaja, mudah memanjat dengan penuh ketangkasan. πŸ˜€ Kadangkala, kami akan makan manggis di atas pokok, selalunya saya, sebab adik selalu gagal memanjat tinggi.

Hobi saya dan adik lelaki, berlawan memanjat pohon manggis. Siapa yang memanjat paling tinggi, dia menang. Saya tidak berapa suka memanjat pokok rambutan, risiko kerengga serta hanya ada sebuah sahaja pokok rambutan yang saya suka makan daripada berpuluh yang ibu abah tanam. Dan pohon rambutan itu rendang sahaja.

Aktiviti memetik buah itu berakhir dengan sebakul penuh, buah pulasan, manggis dan rambutan. Abah tambah lagi, “Ha, ini kalau beli di bandar, mesti dekat RM20, kat sini percuma sahaja.” Saya sudah tak boleh masuk kepala sangat kata-kata abah sebab membayangkan isiΒ manggis yang putih mekar. Hahaha. Saya memang hantu manggis. Mungkin ia beri juga pengaruh untuk suka warna ungu. πŸ™‚

Semasa makan manggis waktu berbuka puasa sambil menonton TV, saya rasa bahagia. Isinya cantik terletak apatah dipetik oleh diri sendiri. Kemudian, saya terfikir, bagaimana anak-anak saya nanti, apakah mereka dapat memetik manggis dan bermain tanah seperti saya? Bagaimana masa kanak-kanaknya nanti? Apakah bahagia dengan penuh girang gemirang seperti zaman anak-anak saya? Manggis sebakul itu buat saya jadi sayu tiba-tiba, saya rasa berterima kasih kepada abah ibu, yang membesarkan saya di tanah dan rumah berhalaman luas yang boleh saya berlari-lari sepuas-puasnya serta membesar dengan penuh kegembiraan.

P/S Manggis sebakul itu tamat dihabiskan dengan penuh kegembiraan juga. πŸ˜€

Jurnal Bulan Puasa #002 – Baju Raya Baju Kahwin


Minggu lalu, saya dan ibu mencari baju raya, sebetulnya baju untuk jamuan, tetapi sebenarnya ibu cuma nak cari tali pinggang untuk jubahnya. Seperti yang sedia maklum, lumrah perempuan, lain yang dicari, lain yang dibeli, termasuklah saya dan ibu. Ehem.

Dipendekkan cerita, ibu pun sudah siap-siap beli sepasang jubah/dress cantik. Warnanya ungu kecoklatan. Saya suka, yang lebih penting ibu pun suka. Tengok, kan sudah tulis awal-awal. Lain yang rancang beli, lain yang betul-betul dibeli.

Aktiviti membeli belah, selalunya saya dan kakak serta ibu, tetapi semenjak kakak berumah tangga serta beranak empat, tugas membeli belah ini jatuh ke bahu saya, anak perempuan bongsu. Selalunya bila jalan-jalan dan ibu dah dapat apa yang diidam, ibu selalu akan cakap, “ha, pilihlah baju mana nak.” Ayat itu memang ditunggu, pucuk dicita, ulam mendatang. Jangan salah faham, bukanlah saya memang niat nak “pow” ibu. Niat memang jujur nak teman ibu membeli belah, tapi kalau sudah turun tawaran begitu, mata pun bersinar-sinar memilih pakaian.

Sebenarnya saya sudah ada satu baju yang berkenan di hati semenjak masuk ke pusat membeli belah, setiap kali lalu, saya pegang, belek. Lalu sahaja mesti pegang belek. Maksudnya bagi hint pada ibu, ehem saya berkenan yang itu. Warnanya peach lembut, kain chiffon (yang popular sekarang) serta manik-manik halus teratur. Ada ropol-ropol kait. Saya suka betul. Semenjak menambun, pakai baju kebaya untuk raya saya simpan dalam hati sahaja. Jadi baju kurung itu saya suka sangat. Ada

Ibu senyum-senyum, tanda setujulah itu. Hati saya sudah kembang kuncup kembang kuncup tanda bahagia. Sebelum saya buka mulut kata mahu, ibu kata.

“Cantik baju ini, ibu berkenan. Macam baju untuk nikah kahwin je. Alang-alang ambillah yang putih.”

Terus hati saya retak seribu. Saya tak jadi buka mulut. Saya terus pilih baju kurung kedah yang biasa, dari label Dang Anum. Sob sob, petang itu saya jadi Dang Anum, yang kempunan baju kurung peach ropol kait, sebab hati tersobek dengan hal baju raya jadi baju kahwin.

Jurnal Bulan Puasa #001 – Selamanya Berseorangan


Satu hal yang menyedihkan untuk orang bujang berbuka puasa, bukanlah status bujang itu tetapi kesukaran berbuka puasa seorang diri di luar.

Sesekali takkan kita mahu beli makanan di bazar, lepas itu buka di rumah sambil tengok Doraemon, atau masak sendiri makan sendiri. Sesekali, bila sudah lewat petang dan tidak sempat untuk semua itu atau lidah ini mengidam yang bukan-bukan, kita mahu juga buka puasa di restoran fancy dan mahal-mahal atau semi mahal.

Tetapi menjadi orang bujang memang sedikit menyedihkan kerana kita harus berebut-rebut dengan mereka yang berbuka secara beramai-ramai, atau berdua-duaan. Kalau kita datang awal dan dapat meja yang terbaik, kita harus menjangka untuk berkongsi dengan orang lain. Kalau kita datang lewat dan meja banyak yang penuh pun, kita harus bertoleransi untuk berkongsi juga meja dengan orang lain. Jadi, sama kan? Tapi cerita yang sedih lagi, bila kita masuk restoran kata nak buka seorang diri, terus sahaja mereka kata penuh. Sobbbs, sangat diskriminasi.

Bukanlah saya tidak mahu berkongsi meja dengan orang lain, tapi, kita yang bujang ini pun mahu privasi, ialah kita pun kasihan juga kepada yang buka dengan pasangan terpaksa kongsi meja, tah tah mereka dah tak jumpa 7 bulan ke, tengah gaduh pasal shopping sebelum itu ke, tup tup ada orang asing yang buka puasa dengan pasang video Doraemon di sebelah? Tak ke haru?

Kalau ada kenyataan, kalau dah tahu buka seorang, bukalah di rumah. Amboi, kita pun nak juga rasa buka di restoran fancy dan mahal sekali-sekala. Dan kadang-kala malas nak runsing-runsing pelan berbuka dengan kawan kita yang mungkin sedang jauh di mata.

Haih haih haih haih

20140708-152427-55467739.jpg

Gambar ini di Coffee Planet, Nu Sentral, diambil semasa berbuka puasa seorang diri selepas percubaan masuk Nando’s dan Ayam Penyet gagal. Buku di belakang, bahan bacaan sementara menunggu berbuka puasa, Madam Bokary, Manchester Aku Mai, Pilo Toq, boleh beli dengan Sindiket Soljah.

II

Saya buat jurnal bulan puasa ini didorong keinginan mahu berterusan menulis di blog. Saya perasan saya memang jarang kemas kini entri di blog sungguhpun ada banyak hal penting berlaku dalam hidup saya, yang saya fikir penting untuk didokumentasikan. Dan lebih memalukan diri sendiri, sudah banyak kali saya kata, saya nak hidupkan dunia blog, nak setia menulis di blog berbanding medium Facebook dan Twitter atau Tumblr seperti kebanyakan orang lain tapi buatnya tidak. Sobs.

Dan saya sedar mengapa saya tidak menuliskannya, kerana saya terlalu banyak berfikir, saya fikir harus tulis panjang-panjang. Tetapi berapa orang yang baca tulisan panjang saya? Lebih baik menulis pendek padat dan sampai maksud.

Haha, menulis disclaimer pun sudah panjang begini πŸ™‚