Jurnal Bulan Puasa #003 – Ungu-ungu Si Tampuk Manggis


Balik kampung, abah kata sekarang musim buah. Maksudnya dusun kecil belakang rumah saya sudah mula menunjukkan hasil. Sejam sebelum berbuka puasa, saya dan abah ke belakang rumah, memetik buah pulasan, manggis dan rambutan. Ketika sibuk mengait buah manggis, abah berkata, “tau ke ambil, kalau di bandar tu beli sahaja”

Terus sahaja tercabar dengan kata-kata abah. Eh mestilah saya serba tahu, kebun belakang rumah, dahulunya penuh dengan pokok rambutan, dokong, manggis: tempat saya meremajakan diri. Di bawah pohon durian, saya berlari-lari bermain segala macam permainan tradisional. Walaupun sekarang saya mendewasa menjadi perempuan melayu terakhir, semua pokok saya sudah panjat. Ya, saya memang lasak dari kecil apatah lagi masa kecil kurus keding sahaja, mudah memanjat dengan penuh ketangkasan.😀 Kadangkala, kami akan makan manggis di atas pokok, selalunya saya, sebab adik selalu gagal memanjat tinggi.

Hobi saya dan adik lelaki, berlawan memanjat pohon manggis. Siapa yang memanjat paling tinggi, dia menang. Saya tidak berapa suka memanjat pokok rambutan, risiko kerengga serta hanya ada sebuah sahaja pokok rambutan yang saya suka makan daripada berpuluh yang ibu abah tanam. Dan pohon rambutan itu rendang sahaja.

Aktiviti memetik buah itu berakhir dengan sebakul penuh, buah pulasan, manggis dan rambutan. Abah tambah lagi, “Ha, ini kalau beli di bandar, mesti dekat RM20, kat sini percuma sahaja.” Saya sudah tak boleh masuk kepala sangat kata-kata abah sebab membayangkan isi manggis yang putih mekar. Hahaha. Saya memang hantu manggis. Mungkin ia beri juga pengaruh untuk suka warna ungu.🙂

Semasa makan manggis waktu berbuka puasa sambil menonton TV, saya rasa bahagia. Isinya cantik terletak apatah dipetik oleh diri sendiri. Kemudian, saya terfikir, bagaimana anak-anak saya nanti, apakah mereka dapat memetik manggis dan bermain tanah seperti saya? Bagaimana masa kanak-kanaknya nanti? Apakah bahagia dengan penuh girang gemirang seperti zaman anak-anak saya? Manggis sebakul itu buat saya jadi sayu tiba-tiba, saya rasa berterima kasih kepada abah ibu, yang membesarkan saya di tanah dan rumah berhalaman luas yang boleh saya berlari-lari sepuas-puasnya serta membesar dengan penuh kegembiraan.

P/S Manggis sebakul itu tamat dihabiskan dengan penuh kegembiraan juga.😀

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s