Surat-surat yang Lewat Kepada Karl Agan


 

image

Sebetulnya saya sudah lama membaca BOKE dan berkira-kira mahu mengulasnya tetapi kata-kata hanya tertinggal pada ulas bibir saya, menghuni fikiran tanpa memaksanya menjadi sebuah catatan kecil di blog. Seperti sebuah penebusan dosa, seusai saya mencelah di antara helaian kertas dalam buku terbaru Karl, Sekumpulan Epitaf  & Surat-surat yang Lewat, saya memutuskan menulis catatan ini, supaya ia tidak akhirnya menjadi hiasan pada ulas bibir saya atau bergelora hanya pada relung fikiran.

Ramai penulis memilih menulis puisi. Mungkin kerana ia tampil dengan jumlah kata-kata yang minimal serta menempati 140 patah kata pada Twitter. Dan puisi memenuhi gelas-gelas kesepian malam hari untuk dikongsi dengan pantas dan mempesonakan orang lain. Sedang mungkin cerpen dan novel memerlukan sejumlah pertarungan dengan ribuan kata-kata yang entah mungkin dibaca atau tidak. Ramai yang Mabuk Puisi seperti katamu,

|aku sangsi pada jari-jarimu|yang menanggalkan sendiri baju dari tubuhmu|barangkali kau terlebih mabuk|dan bibir gelasmu menyimpan lebih dari sekadar jujur|

Dan kadang-kadang mengkhuatirkan pembaca kerdil seperti saya, apakah puisi hanya akan menjadi jualan murah, mudah dibeli dan dijual, sedang dipakai oleh sebarang orang, yang mudah-mudah mengakui mereka penyair. Sungguh puisi tidak seharusnya sering tampil dalam makna serta penuh kata-kata payah susah, ia juga tidak harus tampil murah dan mudah yang saya percaya telah Karl ungkapkan dalam puisi Mabuk Puisi

|barangkali kau harus belajar mengampuni| dan tidak buru-buru menulis puisi| kerana puisi adalah lebih dari sekadar gerimis| mahu hujan di atas pentas| malah lebih dari sekadar doa-doa patah hati

Puisi telah ditulis ribuan penyair, sama ada puisi-puisi mereka pernah dibaca, dibukukan atau didengarkan. Dan berjuta-juta kata-kata telah dijemput menghuni puisi-puisi milik penyair ini. Namun, masihkah ada tempat untuk mencari kesegaran di dalam puisi sedangkan ia telah ditulis beribu-ribu kali oleh manusia, dengan pelbagai susunan, bentuk dan teknik? Ya, tentu sahaja ada. Bahasa sentiasa dinamik dan berubah bersamaan juga dengan manusia. Jika bahasa percakapan manusia juga mengalami evolusi apatah lagi bahasa persuratan. Tapi persoalannya bagaimana mencipta kesegaran dalam puisi? Persoalan itu saya biarkan melenyap ke dalam baris-baris puisi Karl Agan. Yang saya senangi dengan caranya sendiri, tidak berlebihan memasuki kata asing yang menjadi hiasan kurang perlu, sedang hampir sepenuh membongkar kekayaan bahasa melayu dan menyandingkan dalam baris yang bersesuaian untuk menyampaikan hasratnya.

Dewasa

Tubuhmu bukan lagi kampung|tapi sebuah kota yang hingar|di sini anak-anak kecil seperti kamu|jangan bermain di jalanan|nanti dilanggar kereta-kereta linyar|di sini tak boleh perlahan-lahan|tanda kurangkan laju hanya hiasan|

Karl, mengapa agaknya seseorang membaca puisi? Mungkin untuk mencari dirinya? Mungkin kerana tuntutan kerjanya? Mungkin kerana ia lebih ringkas berbanding prosa? Sedang saya membaca puisi untuk keseronokan kerana saya mudah tertarik kepada permainan kata-kata. Ia harus menghiburkan seseorang pembaca seperti saya. Tetapi tidak banyak permainan yang menyeronokkan kebelakangan ini. Sebuah taman permainan, ia tidak sepertinya harus diganti dengan permainan yang baru, barulah menjadi taman permainan yang menarik IA boleh sahaja menampilkan permainan yang lama tetapi memberi kesegaran dalam permainan lama ittu. Perkataan dan seleksi perbendaharaan kata yang Karl pilih, ya memang telah digunakan ribuan penyair tetapi saya masih lagi terhibur dan menyenanginya kerana cara Karl menyusun kalimat itu satu per satu dan perjalanan rima sajak yang harmoni. Saya kongsikan sebahagian sajak kegemaran saya,

Mengapa Selamat Malammu Berbunyi Seperti Selamat Tinggal

|masa depan adalah kotak yang| menyimpan seribu ketakutanmu| dan pertanyaanku yang selalu seperti apa harapanmu| bibirmu selalu penuh dengan esok| dan aku selalu mengucupnya| seperti malam ini adalah | malam terakhir

Ada yang memilih menulis puisi tentang sejarah, tentang politik, tentang hal-hal siasah, ketuhanan, agama dan idea. Sedang hal-hal yang dekat dengan diri manusia sendiri, selalu sahaja diabaikan. Tentang kasih sayang, tentang patah hati dan cinta, tentang kehidupan. Selalu sahaja menjadi “anak angkat” penyair, kerana didapati mungkin ia lewah, mungkin ia tidak menyegarkan. Tetapi yang paling sukar adalah bagaimana menulis hal-hal yang lewah menjadi luar biasa. Dan bagaimana tema-tema ini apabila dibaca, ia membangkit “sesuatu” di dalam diri pembaca. Sajak Karl banyaknya menceritakan hal-hal peribadi dan tentang kehidupan yang sering dijalani oleh sekalian manusia dan melaluinya baris demi baris, membuatkan sayantersenyum di hujung kerana betapa moleknya kata-kata dan betapa dekatnya untuk membuka diri saya sendiri.

Mukasurat dari Sebuah Dongeng Cinta

| kau dan aku adalah dongeng| yang jatuh dari rak buku| kertas-kertas yang tidak terkutip dibiarkan berselerak|sehingga angin tiba dan memisahkan kita| semakin menjauh dan menjarak| kenangan kita adalah tulang buku| yang masih tabah mencengkam halaman terakhir|sementara penjaga perpustakaan| menggantikannya dengan buku baru| buku yang akan menguburkan kisah lama| lalu melemparkan kita dalam api kelupaan|

Puisi-puisi ini meskipun emosi langitnya malam, ia bukan untuk membangkitkan kenangan, ia bukan untuk mengenang kepedihan, membaca kumpulan puisi ini, seolah-olah kata-kata nya cuba mendodoi saya, supaya tidur malam ini lebih lena, kerana kata-katanya meski ada tersinggung, tidaklah marah-marah, dan kenangan bukanlah hanya dikenang tetapi disenandungkan sehingga saya terlena dalam mimpi panjang yang manis

Cuma sahaja, ada gangguan dalam menelusuri keluk kumpulan puisi ini. Meski pun ia sebuah kumpulan puisi, dan setiap puisi boleh berdiri dengan sendiri, ia tetap harus disusun seperti sebuah cerita. Ada permulaan, menuju klimaks dan mereda. Puisi juga kata-kata dan ia juga mahu bercerita kepada pembaca. Semoga di masa akan datang, saya akan menatap sekumpulan buku puisi yang disusun dengan lebih elok lagi di masa akan datang.

Ya, puisi sememangnya hanya sebuah taman sunyi, tetapi hingar dengan kata-kata yang tidak mahu tidur. Ia akan terus menghuni tidak tahu bila mahu berhenti. Dan saya selalu berharap, taman Karl Agan akan terus sunyi dan terus menulis puisi kerna membuatkan saya berbahagia dan berlapang dada, negara saya yang tercinta  punya penyair berbakat yang mendapat tempat di hati saya.

 

Notakakitangan: Kalau-kalau ada yang mengatakan, Sang  Freud Press telah menerbitkan buku-buku puisi puisi kurang bermutu, sekurang-kurangnya dengan buku Sekumpulan Epitaf dan Surat-surat yang Lewat, mereka telah menebus sebahagian dosa itu 😀

 

notakakitangan: petikan puisi yang dikongsikan bukanlah sajak penuh, buku ini boleh dibeli melalui Sang Freud Press

Advertisements

Jurnal Kulinari: Kafe dan Rumah Teh


Kadangkala kita memerlukan tempat “pelarian”, dari kerja, dari rumah. Bukan kerana kita tidak mencintai kerja kita mahupun rumah kita, tetapi tempat pelarian ini bukan kita berehat sebentar dari dunia luar. Seolah-olah kita sedang menghentikan masa dan urusan yang mengganggu kita untuk menikmati sebentar masa bersama diri sendiri.

Ada orang menemuinya melalui aktiviti mendaki, ada yang gemar memandu berseorangan melalui jalan panjang sambil menyanyi riang, ada yang ke kedai buku, ada yang jamming, dan yang memilih duduk di kafe. Sewaktu bertemu dengan Shahida atau namanya di twitter Cheryna, salah seorang pembaca buku Sepetang di Kafe Biblioholic yang juga mantan barista, kami sama-sama bersetuju betapa pentingnya sebuah kedai kopi, kafe atau rumah teh untuk jadi seselesa seperti rumah ketiga untuk pembelinya. Juga saya menulis dalam buku yang sama, mengapa ada orang bekerjaya sanggup melabur kopi mahal/teh mahal? Adakah kerana status atau jenama? Tetapi kalau saya sendiri, kerana suasana, persekitaran yang melapangkan. Mungkin sesetengah orang tidak faham kerana boleh dapat “kelapangan fikiran” di tempat lain, tetapi untuk sesetengah orang yang lain, di kedai inilah mereka mendapatkannya dalam sejam dua, berehat sebentar daripada kesibukan dunia luar.

Ya, sekarang ada sangat, sangat, sangat banyak. Di The Strand Kota Damansara, di Subang, di Publika, di Jalan Telawi, Bangsar, Taman Tun Dr. Ismail, lokasi-lokasi yang saya nyatakan ini menyubur kafe-kafe yang menawarkan kelainan dan konsep yang berbeza. Namun, satu hal yang lain apabila ‘orang bisnes’ sudah masuk lapangan, kafe-kafe akan tidak lebih sekadar kosmetik dengan hiasan yang rusty, kek yang ala kadar sedap, kopi yang tidak dimasak sempurna. Satu kepantangan terbesar saya, apabila kafe (yang konon hipster) menggaji pelayan dari bangsa asing (baca: Bangladesh, Nepal, Indonesia) kerana ia menghilangkan autentik sebuah kafe, Ini pengalaman yang saya alami di Coffee Societe, Publika, sudahlah tidak faham apa yang pelanggan mahu, layanan teruk, dan buat saya marah lagi, berani mengenakan service charge 10% dengan tax kerajaan 6% untuk khidmat servis yang teruk.

Franchise kafe memang banyak melata kerana permintaan generasi Netizen ini. Di kafe ruangnya, untuk bersosial, untuk mendapat akses internet percuma, untuk rasa hipster, untuk ambil gambar dan muat naik di Instagram. Tapi franchise kita sedia maklum sahaja, tidak punya sentuhan peribadi daripada pemiliknya. Di awal sebelum trend ini meletus, ada banyak juga kafe yang dibangunkan melalui idea dan gagasan pengasasnya. Namun lama-lama seperti yang saya katakan apabila ada ‘orang bisnes’ sudah masuk jarum, segala-galanya jadi tawar rasa. Tidak banyak kafe yang saya pergi merupakan milik peribadi pemiliknya, yang ada ikut-ikutan atau jadi-jadian.

Ya, selain kafe menjadi rumah ketiga pengunjungnya, satu hal lagi saya tidak mahu ketinggalan untuk sentuh mengapa pentingnya sentuhan peribadi pemiliknya? Kerana apabila ia menjadi rumah ketiga, pengunjung jadi bersahabat dengan pemilik serta seluruh pekerjanya. Saya mengambil kata yang disebut oleh Hlovate, “There’re times when strangers are like family, and family are like strangers”

Kadangkala kawan-kawan yang kita kenali hanyalah kelelahan dan pemilik kafe serta pekerjanya menjadi teman kita sebentar dalam kesempatan waktu yang kita luangkan. Mereka yang asing, jauh lebih baik menjadi kawan kita daripada mereka yang mengakui kawan tetapi hanya menyakitkan diri sendiri. Ada beza pemilik sebuah kafe, yang tulang terasnya menghidangkan kopi dengan mesin fancy dan mahal dengan pemilik rumah teh, yang hanya menghidangkan teh daripada pelbagai ramuan dan aroma. Anda boleh mengenali perbezaan itu, jika memerhatikan sepertimana yang saya nyatakan di atas.

Dahulu, saya ada tempat pelarian, tempat saya menuliskan sebahagian besar novel saya. Tetapi tempat itu sudah jauh. Tempat bercinta sudah tiada. Dan hampir beberapa tahun, saya menemui tempat baharu yang tidak saya sangka begitu dekat 🙂 Tapi saya rahsiakan dahulu ruang penyembunyian, supaya tidak ada yang mencuri lokasi baru kesayangan saya itu. Hahahaah 😀 tetapi saya bercita-cita mahu mengajak pembaca buku saya “berdating” dengan saya di tempat ni. Ada sesiapa yang mahu? Boleh emel saya :D. Saya tunjuk sikit sikit ya 🙂

20140806-190302-68582261.jpg

 

20140806-191107-69067291.jpg

Tentang Pembaca dan Penulis


I

Ada waktunya, saya tidak tahu jalan mana yang terbaik dalam mendepani pembaca. Kalau dalam usaha mempromosikan karya penulis yang saya tangani, keberanian saya memang nombor satu, itu apabila saya menyarung baju editor tetapi apabila terbalik pula kalau ada yang mendatangi saya dan mengenali saya sebagai penulis, rasa segan cepat sekali mengakrab.

Saya sebetulnya mahu jadi sederhana dan tidak terlalu berlebihan. Saya diam-diam sahaja membaca catatan semua tentang buku saya, terutamanya di Goodreads, sambil kadang-kala rasa terharu dan sayu-sayu dalam hati. Saya mengutip perbualan saya dengan Eka Kurniawan tentang hubungan pembaca-penulis, “kemenangan bagi seorang penulis, adalah apabila orang mahu membaca karyanya dari mula sehingga muka surat terakhir.” Sama ada suka atau tidak, itu adalah pilihan pembaca tetapi mengetahui mereka membaca sudah cukup-cukup membahagiakan.

Terutamanya di Goodreads, saya akan diam-diam membuat lalu-lintas, kadangkala terfikir mahu mengetik ucapan terima kasih tetapi mana yang lebih baik, membiarkan sahaja mereka berleluasa berkomentar atau turut bergebang sama? Saya memilih yang pertama. Bukan kerana kesombongan tetapi sebagai memberi ruang seluas-luasnya kepada pembaca untuk berkomentar tanpa perlu memikirkan komentarnya itu akan membuatkan penulis tersinggung. Tetapi saya membaca semuanya sambil kadangkala menyapu hujung air mata (sebab terharu) serta mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kerana membaca biarpun sepotong ayat dalam buku itu. Dan buat saya naik semangat menulis cerita lagi 🙂

Kalau-kalau terserempak saya di mana-mana, tegur-tegurlah saya. Mana tahu kita boleh minum secawan kopi atau teh bersama sambil bertukar cerita 🙂 Kalau-kalau melintas nama saya di Facebook dan mahu menambah rakan, maklumkan di ruang mesej seperti contoh: psss, kita baca buku awak. Hiks. Almaklum sahaja permohonan rakan bertambah dan saya tidak begitu aktif menyemak notifikasi FB 🙂

0148f6fd9c75136b63e9d2d374604606

Jurnal Kulinari : Kaffe Cafe


Kadang kala waktu cuti, saya akan mencuba kafe atau kedai makan sekitar KL – Selangor. Kalau tidak kerana ingin menulis, ada juga kerana menghabiskan waktu senggang. Sudah banyak kafe saya cuba sewaktu menulis Sepetang di Kafe Biblioholic, tetapi tidak pula saya rekod ke dalam blog. Jadi, ini satu inisiatif, menuliskan pengalaman untuk satu trend anak muda kebelakangan ini, lepak di kafe 🙂

Sebenarnya mahu ke Mukha, Taman Tun Dr. Ismail, tapi hari Isnin, Mukha ditutup, jadi terlihat satu kafe, namanya Kaffe Cafe, berdekatan dengan Mukha, dari luar dekorasinya cantik. Saya mudah “tergoda” dengan pandang pertama sesuatu kedai dan memutuskan mencuba Kaffe Cafe.

Sewaktu memilih-milih minuman, barista mencadangkan saya mencuba signature coffee mereka, dan hasil risik-risik di Internet, dicadangkan mencuba kek keju mereka. Jadi, walaupun tekak ini tidaklah suka Oreo Cheese, lebih suka Red Velvet, apa salahnya mencuba sesuatu yang lain, yang bukan kebiasaan kan?

20140804-173631-63391674.jpg

Dan nyata pilihan saya tidak salah. Signature coffee mereka sangat sedap, ada kelainan pada cream bahagian atas. Dan Oreo Cheese, ya ampun, sedapnya rasa cheese yang seimbang dengan rasa Oreo.

Dekorasi Kaffee Cafe banyak seperti banyak mengalukan untuk jadi tempat melepak. Jarang ada meja untuk berdua, paling minimum berempat. Jadi, lebih sesuai menjadi tempat untuk berkumpul dengan kawan-kawan sambil kemas kini cerita terkini, atau tempat buat kerja kerana ruang mejanya yang luas. Dan tentu sahaja ada banyak sofa untuk duduk berbual dengan selesa. 🙂

Tiba-tiba rasa cemburu, di TTDI banyak kafe untuk dicuba tetapi ditempat saya, ada satu dua kafe sahaja 😦

Boleh cuba lagi di lain waktu tapi hendak ke sana jauhnyaaaaaa.

Notakaki: Tulisan ini ditulis di Kaffe Cafe, Taman Tun Dr. Ismail.