Borak Buku Bersama Redza Minhat


1617245_838801492796663_7235802742185441249_o

Jemput datang Borak Buku Bersama Redza Minhat

Hampir sepuluh tahun dalam pentas teater dan filem, ramai yang mengenali Redza Minhat menerusi naskhah beliau seperti Gadis Jalan Burmah, Rancangan Harijadi Terhebat Adli, Energia, Medea dan banyak lagi.

Mungkin juga anda telah jatuh hati pada Akil (KIL) atau Faqir (Pisau Cukur).

Jadi, kali ini temui beliau sambil kita minum kopi dan berborak tentang buku, pembacaan dan sekitarnya.

Buku pilihan: The Fountainhead (Ayn Rand)

Tarikh: 27 September (Sabtu), jam 3 petang
Lokasi: Espresso Lab, Nu Sentral

Terbuka dan percuma.
Anjuran bersama Biro Penulis Muda PENA dan Dewan Sastera.

Advertisements

Migrasi I


Dewasa dan kompleksiti semakin membaur. Ada banyak hal sedang bergaduh dalam fikiran dan banyak sekali perkara yang ingin dilakukan atau perkara yang mesti dilakukan.

Saya lebih suka bergerak perlahan dan lambat. Menikmati hal-hal yang berlaku sepuasnya sampai ia harus migrasi. Tapi dunia zaman sekarang menuntut banyak hal bergerak cepat. Segala media sosial, segala aplikasi sosial, teknologi memungkin segalanya pantas. Manusia sudah tidak dipuaskan dengan menunggu. Jika menunggu harus mengisi sela masa itu dengan sesuatu yang difikirkan berbaloi. Kemas kini Twitter, Facebook, Instagram. Kongsi rantaian mesej di group WA. Buka emel balas emel. Segalanya harus segera, pantas dan berbaloi. Ia membuat manusia jadi kurang sabar dengan proses. Jadi seseorang yang tidak lagi boleh lagi menikmati proses.

Benarkah teknologi yang membaham manusia? Atau manusia tidak lagi boleh hidup tanpa teknologi?

Kopi Darat Senorita – “Perempuan.Kata.Eksapisme”


Print

Hai, jemput datang acara ini, esok jam 2.00 petang di Rumah Titi.

Saya akan menjadi moderator, mengendalikan acara ini. Ketiga-tiga panelis ini sangat unik, Shaira Amira merupakan penulis puisi yang menerbitkan kumpulan puisi pertamanya “Akulah Perempuan Muda Itu” pada usia seawal 19 tahun. Shima Scarlett pula bermula dengan menulis diari/travelog dan kemudian beralih kepada penulisan skrip. Manakala band Shh…Diam! merupakan independent band yang menulis lirik dan membuat lagu sendiri, dan masih kekal independent sehingga sekarang!

Mereka dari bidang sama dari tiga genre berbeza. Dan akan bersama membincangkan hal “Perempuan.Kata.Eskapisme” Apakah perempuan menulis sebagai satu eskapisme dan selepas dia menemukan puncak katarsis, ia akan berhenti menulis? Atau apakah kalau menulis sebuah eskapisme adakah ia berjaya?

Jumpa di sana 🙂

Trivia Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2013 (HSKU2013)


Saya sebenarnya nak buat entri penuh, namun kesuntukan masa, jadi entri Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2013 ini akan dipecahkan kepada beberapa entri, seperti senarai pemenang, entri peribadi dan yang ini trivia-trivia kemenangan malam tadi. Ini sebenarnya teknik supaya entri di blog konon-konon nampak macam banyak walhal….

Tra tra tra, mempersembahkan trivia yang sempat saya rakam dalam fikiran malam itu. Trivia ada yang bersifat peribadi kepada saya, ada yang umum mengetahuinya 🙂

1) Ini merupakan kemenangan pertama saya di HSKU. Masih mode terkejut dan tidak percaya serta tidak sangka.

2) Puisi yang melayakkan kemenangan itu, judulnya Berbagi Puisi. Puisi kedua yang pernah disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia. Puisi pertama ialah Merdekakan Hatimu, pada tahun 2009

3) Pemenang bagi kategori puisi cuma dua perempuan, saya dan Dato’ Dr. Zurinah Hassan.

4) Ketika kemenangan HSPM2012, saya menang kategori puisi eceran bersama anak Dato’ Dr. Zurinah Hassan iaitu Raihani Mohd Saaid. Jadi saya sudah sepentas bersama legasi penyair wanita cap ibu dan anak 🙂

5)Pemenang bersama kategori puisi ialah Fahd Razy dan Samsudin Othman. Saya pernah menjadi editor untuk buku-buku mereka iaitu, Kota Subuh, Ikan dalam Jiwa dan Taman Maknawi. Tambah kegembiraan!

6) Daripada kesemua pemenang HSKU malam itu, saya pernah membuat buku dengan 9 orang pemenang/penulis, iaitu Saifullizan Yahaya, Fahd Razy, Shamsudin Othman, Hilmi Rindu, Zurinah Hassan, Jasni Matlani, Nordin Saad, Dayangku Mastura, Salina Ibrahim 🙂

7) Ramai Alumni MPR turut memenangi hadiah pada malam itu, Wan Marzuki, Saifullizan Yahaya, Hafizah Iszahanid, Fahd Razy, Shamsudin Othman, Salina Ibrahim, Aishah Yazid

8) Ruhaini Matdarin sudah menang untuk dua tahun berturut-turut bagi kategori novel

9) HSKU 2013 menampakkan penulis yang menang berganda, iaitu menang dua kategori seperti, Dayangku Mastura, Wan Marzuki, Hafizah Iszahanid, Nazri Hussein

10) Pemenang termuda malam itu, kalau tidak salah Aishah Yazid dalam kategori cerpen remaja

Senarai Pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2013 (HSKU2013)


Berikut merupakan senarai pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2013 (HSKU2013).

KAJIAN SASTERA
Tiada Pemenang

RENCANA SASTERA
Md Ishak A. Rahman – Komunikasi antara Penulis, Pembaca dan Pengkritik
Rudi Affendi Khalik – Sarawak Pilihan Ken Zuraida

KATEGORI CERPEN
Pemenang Utama
Zainal Rashid Ahmad – Orang Laut Selatan
Nazmi Yaakub – Pada Satu Nama
Abang Median Abang Said – Pendekar Si Pencampung Rasa

pemenang saguhati
Wan Marzuki – Bahtera di Atas Dataran
E Pian Pro Poul – Ikan Aya Nasi Dagang
Roslan Hanafi – Kayu Hulu Kapak
Zahari Affandi – Manisnya Rambutan Kampung
Saifullizan Yahaya – Misbach
Hafizah Iszahanid – Tetamu

Kategori Puisi
Pemenang Utama
Ainunl Muaiyanah Sulaiman – Berbagi Puisi
Ahmad Fadhil (Fahd Razy ) – Nota Renyuk kepada al-Assad II
Shamsudin Othman – Sekuntum Mawar di Taman al-Mubarak

Pemenang Saguhati
Jusoh Ahmad – Membilang Lolong Menumpah Harap
Hilmi Rindu – Menjadi Malam
Zurinah Hassan – Orang Muda dengan Laut
Nazri Hussein – Perang
Mohd Zizee – Senaskhah Maruah
A Aziz Deraman – Silam Pernah Kaku

Kategori Cerpen Remaja
Pemenang Utama
Jasni Matlani – Alif Ba Ta
Nordin Saad – Biarlah Buku-buku itu Berbicara
Dayangku Mastura – Cahaya Takdir

Pemenang Saguhati
Nasuha Muzamir Yusof – Bongkah
Nazri Hussein – Menjilid Antologi Ramadhan
Salina Ibrahim – Puyu Pekasan Buat Mama
Kamal Ishak – Rapat Umum dan Wayang Pacak
Wan Marzuki Wan Ramli – Surat kepada Malika @ Merdeka
Siti Noraishah Yazid – Telah Tercantum Melati untuk Qay

Kategori Novel Remaja 
Pertama: Ruhaini Matdarin – Cerita Perang Bariga
Kedua: Hafizah Iszahanid – Nan Yang
Ketiga: Nazri Hussein- Pewaris Samudera

Topeng-topeng Baha Zain


Bagaimana caranya untuk lebih mengapresiasi puisi? Di majlis-majlis kecil dan besar, puisi dibaca, dideklamasikan tetapi berapa ramai yang benar-benar mendengar, menghargai kepayahan penyajak bertarung memilih kata-kata ke dalam baris selain jumlah besarnya sedang mengisi kelaparan perut, menemui rakan lama dan baru sambil bertukar-tukar hal masing-masing?

Puisi memang banyak yang hidup di dalam rahim buku berbanding relung fikiran manusia. Ia diam-diam di sana sehingga menemui mereka yang tepat akan menyayanginya dan kemudian menjemputnya hidup bersama dalam fikiran dan jiwa pembaca. Dan ada banyak jalan untuk ia akhirnya hidup bersama dalam fikiran pembaca dan peminat puisi. Salah satu jalannya telah saya temui melalui teater Topeng-topeng oleh Stefani, yang diangkat daripada puisi Baha Zain.

Sejujurnya saya masih jauh untuk menangkap sajak-sajak Baha Zain apatah lagi mengingatinya. Mungkin ia memerlukan masa yang tepat untuk menyenanginya. Dan Teater Topeng-topeng menjadi jalannya. Sebelum itu, benarkah Baha Zain hanya pintar menulis sajak kontot-kontot serta bukanlah seorang pemikir seperti yang pernah diperdebatkan dalam polemik-polemik sebelum ini? Kata orang, sebelum kita menghabiskan masa berdebat sesuatu yang belum kita kenali, adalah sangat baik untuk kita mengalaminya sendiri dan mengeluarkan pendapat berdasarkan pengalaman, bukan hanya mengutip kata petik orang lain.

Namun, bagaimana puisi yang asalnya ditulis dalam fragme fragmen yang terpecah boleh menjadi sebuah teater yang terkolektif, yang punya struktur dan jalan cerita? Meski pun medium teater boleh sahaja mengeksperimenkan apa sahaja kemungkinan, malah mungkin teater ini tidak mempunyai plot,  ia tetap juga harus menghiburkan penonton yang menontonnya. Bagaimana ia perlu menghiburkan, apakah dengan gelak ketawa, barulah ia menghiburkan? Tentu sahaja tidak, ia boleh menghiburkan dengan caranya sendiri, mungkin dengan air mata, mungkin dengan remang roma, mungkin dengan senyum sumbing di hujung teater. Di sinilah gagasan besar harus dibawa oleh Stefani, menautkan antara sajak-sajak Baha Zain yang berselerak menjadi sebuah perjalanan cerita untuk dicerna penonton sambil memahami inti pemikiran dan perenungan Baha Zain melalui kaca mata pengolahnya.
image

Sebagai salah seorang yang mudah terpesona dengan kata-kata, saya mula perlahan-lahan menyenangi puisi Baha Zain bersama perjalanan teater Topeng-topeng sambil puisi mula berdikit mendiami relung ingatan. Bukan kerana dia seorang sasterawan Negara, bukan kerana trend semasa, bukan kerana untuk status sosial, tetapi menyenangi puisi Baha Zain yang sedang “tanpa pakaian”  dan polos di hadapan saya di atas pentas yang dikeluarkan oleh pemain-pemain peran.

Semasa menontonnya, untuk memudahkan pemahaman saya sendiri, saya mendapati teater ini terpecah kepada 4 segmen, yang pertama dimulai antaranya kata-kata: malam yang singkat selalu lepas dari dakapan… segmen ini seperti mengkhususkan hubungan antara gender, tentang wanita, tentang nasib tertindas, tentang kritik-kritik yang sedang berlaku di kaki kota yang bersimpang siur. Seperti kata daripada bait yang dipilih, ini aku wajah telanjang di muka kekonyolan, pemain peran sedang cuba menanggal satu persatu topeng yang dipakai penyair sama ada semasanya menulis puisi, semasanya memakai baju penyair, semasa dia sedang menjadi seorang suami, semasa dia menjadi pembaka revolusi.

Segmen kedua, saya menstrukturkan watak-wataknya seperti di balairung istana, kerana pembinaan watak-wataknya seperti ada sang pendeta yang sedang berhujah tentang kebenaran, masa depan dan masa silam, ada si pelawak yang sering mempersendakan apa sahaja di sekeliling, ada pemaisuri yang sedang berduka tentang cintanya, dayang-dayang yang menyahut kata-kata, pahlawan yang bersedia bertarung tentang apa sahaja. Sebuah balairung yang sedang menerima kata kritik dan sindir dan sebuah pentas boneka.

Segmen ketiga menukarkan emosi libang libu dan berantakan di atas pentas kepada sebuah pentas satira apabila watak-watak bertukar kepada watak haiwan, yang sedang menerima pencalonan raja baru untuk menggantikan raja sedia ada. Di sini terlihat topeng-topeng terbuka dan sedang mengangkat dirinya supaya dilihat pimpinan tertinggi. Dialah yang paling setia, dialah yang paling wibawa, dialah yang paling kuat, dialah yang paling layak. Sindirannya tajam dalam jenaka. Kerana dalam jenakalah kita menyisip siasah. Dan bahagian ini lebih konkrit bentuknya. Penonton yang tidak biasa yang medium teater boleh menikmati dan bergelar ketawa, kerana pelakon-pelakonnya bijak memainkan peran sebagai haiwan, burung, cacing, kucing, buaya. Sebuah rimba yang sedang menerima kata kritik dan sindir dan membuatkan penonton menertawakan pelakon atau sebenarnya menertawakan watak mereka sendiri.

Segmen keempat, mungkin lebih mendekat dan peribadi dengan wajah Baha Zain. Jika-jika ada yang bertanya bagaimana untuk mendeskripsikan wajah puisi Baha Zain, mungkin sahaja babak keempat itu mewakilinya, sesuai dengan sajak Pilihan Usia tetapi dalam arah berlawanan, ia berevolusi dengan suara-suara peduli dan kemudian menyusup ke dalam kata-kata menyampaikan nurani yang sedang dingin terbakar. Di hujung-hujungnya, ditamatkan dengan suara sayup-sayup jauh tetapi meninggalkan remang roma.
image

Pentas yang digunakan minimalis, sebuah pentas datar dan monumen tiga seginya yang kalau dilihat seperti jam matahari. Di sini pelakon akan mengelilingi bulatan terbentuk daripada kertas-kertas surat khabar bersama-sama derap kaki dan keriut papan pentas untuk menukar segmen. Si pendeta, kalau boleh saya katakan begitu (lakonan Azman Hassan)  kekal mewakili khatib yang menyebarkan hujahnya dan cuba-cuba menarik perhatian dengan gemerincing loceng yang diketuk dan kata-kata penuh hikmah. Sedangkan penghuni alam itu sedang rusuh dan runsing dengan pergolakan hidup, mungkin mendengar untuk mempersendakan, mungkin mendengar untuk akhirnya tidak mempedulikan.

Sepanjang menonton ini, dua segmen pertama, persoalan tentang benarkah Baha Zain hanyalah seorang aktivis, bukannya pemikir. Benarkah dia hanya mahir menulis sajak-sajak yang kontot bergema-gema dalam fikiran. Kerana dua segmen ini keras dan penuh kritik. Emosinya bergelora dan perih. Kadangkala buat penonton menjadi gelisah kerana tebalnya emosi dan beratnya kata-kata. Jadi apakah persoalan itu terjawab. Saya tidak mahu membiarkan polemik memhijabkan pengalaman, tetapi  pembaca dan penonton telah menuntut terlalu banyak kepada penyajak sehingga dia akhirnya mungkin kadang-kala memakai topeng dalam menulis sajak untuk kepuasan pembaca yang sentiasa haus.

Di negara ini sememangnya memiliki ramai pelakon yang bagus tetapi sedang menunggu untuk mengangkat naskhah yang baik. Dan naskhah yang baik juga sedang menunggu pengarah dan pelakon yang tepat untuk melakonnya, barulah maksudnya sempurna tercapai. Dan naskhah yang baik, haruslah teradun dengan kekuatan kata-kata yang di mana kelemahan terbesar negara ini. Apakah teater ini memenuhi itu, saya biarkan penonton menjawabnya dengan menonton teater ini yang masih berlangsung sehingga Ahad ini, 14 September 2014, dengan harga tiket RM15 (dewasa) dan RM10 (pelajar).

Pentas kecil itu telah berjaya menanggalkan lapisan topeng-topeng yang dipakai Baha Zain untuk menjadi apa pun kepada saya, sekurang-kurangnya saya sedang melihat Baha Zain di atas pentas, memegang tali-tali panjang menggerakkan boneka topengnya untuk menyampaikan hasrat fikirannya yang bergelora, atau mungkin di hujung pentas, di dalam sudut gelap sambil tersenyum kecil puas. Apa-apa pun ia membuatkan saya melihat puisi Baha Zain yang lebih dekat dan mendekat.

Dan antara puisi-puisinya yang sempat saya tangkap dan ingat, yang digunakan dalam teater ini ialah: Malam Mengundang Pengisian, Menangguhkan Kebenaran, Rayuan Wanita Asia, Sketsa Anak Kecil, Topeng-topeng, Ayah, Kota Kertas Tandas, Impian Seorang Seniman, Ratapan Gadis Eropah, Gambaran Silam, Nasihat Orang Tua-tua, Pilihan Usia. Jikalau salah saya mohon maaf kerana ingatan ini sering sahaja lepas dari dakapan.

Nota:

Topeng Topeng akan dipentaskan sehingga 14 September ini di Dewan Wisma ITBM, Seksyen 10, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Tiket dijual pada harga RM15 manakala RM 10 bagi pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi. Tiket-tiket boleh dibeli di Kaunter Khidmat Pelanggan ITBM atau hubungi Norzaiti Abdul Talib 03-41451840

Acara Bedah Cerpen Usman Awang


Kalau yang berkelapangan, jemput hadir di sini 🙂 Saya telah dijemput pihak Buku Jalanan Titi untuk bedah-bedah anatomi cerpen Usman Awang. Saya ingat mahu bedah Matinya Seorang Perempuan sahaja, tapi mungkin anda mahu saya bedah cerpen lain?

BUKU JALANAN TITI edisi 49

Bedah Cerpen Usman Awang

Oleh Ainunl Muaiyanah

 

Buku: Ini Saya Punya Kerja

Waktu: 5-7 Petang

Tarikh: 14/9/14

Hari: Ahad

Lokasi: Tasik Titiwangsa

 

10644933_543249062475515_1798679705558716442_n