Topeng-topeng Baha Zain


Bagaimana caranya untuk lebih mengapresiasi puisi? Di majlis-majlis kecil dan besar, puisi dibaca, dideklamasikan tetapi berapa ramai yang benar-benar mendengar, menghargai kepayahan penyajak bertarung memilih kata-kata ke dalam baris selain jumlah besarnya sedang mengisi kelaparan perut, menemui rakan lama dan baru sambil bertukar-tukar hal masing-masing?

Puisi memang banyak yang hidup di dalam rahim buku berbanding relung fikiran manusia. Ia diam-diam di sana sehingga menemui mereka yang tepat akan menyayanginya dan kemudian menjemputnya hidup bersama dalam fikiran dan jiwa pembaca. Dan ada banyak jalan untuk ia akhirnya hidup bersama dalam fikiran pembaca dan peminat puisi. Salah satu jalannya telah saya temui melalui teater Topeng-topeng oleh Stefani, yang diangkat daripada puisi Baha Zain.

Sejujurnya saya masih jauh untuk menangkap sajak-sajak Baha Zain apatah lagi mengingatinya. Mungkin ia memerlukan masa yang tepat untuk menyenanginya. Dan Teater Topeng-topeng menjadi jalannya. Sebelum itu, benarkah Baha Zain hanya pintar menulis sajak kontot-kontot serta bukanlah seorang pemikir seperti yang pernah diperdebatkan dalam polemik-polemik sebelum ini? Kata orang, sebelum kita menghabiskan masa berdebat sesuatu yang belum kita kenali, adalah sangat baik untuk kita mengalaminya sendiri dan mengeluarkan pendapat berdasarkan pengalaman, bukan hanya mengutip kata petik orang lain.

Namun, bagaimana puisi yang asalnya ditulis dalam fragme fragmen yang terpecah boleh menjadi sebuah teater yang terkolektif, yang punya struktur dan jalan cerita? Meski pun medium teater boleh sahaja mengeksperimenkan apa sahaja kemungkinan, malah mungkin teater ini tidak mempunyai plot,  ia tetap juga harus menghiburkan penonton yang menontonnya. Bagaimana ia perlu menghiburkan, apakah dengan gelak ketawa, barulah ia menghiburkan? Tentu sahaja tidak, ia boleh menghiburkan dengan caranya sendiri, mungkin dengan air mata, mungkin dengan remang roma, mungkin dengan senyum sumbing di hujung teater. Di sinilah gagasan besar harus dibawa oleh Stefani, menautkan antara sajak-sajak Baha Zain yang berselerak menjadi sebuah perjalanan cerita untuk dicerna penonton sambil memahami inti pemikiran dan perenungan Baha Zain melalui kaca mata pengolahnya.
image

Sebagai salah seorang yang mudah terpesona dengan kata-kata, saya mula perlahan-lahan menyenangi puisi Baha Zain bersama perjalanan teater Topeng-topeng sambil puisi mula berdikit mendiami relung ingatan. Bukan kerana dia seorang sasterawan Negara, bukan kerana trend semasa, bukan kerana untuk status sosial, tetapi menyenangi puisi Baha Zain yang sedang “tanpa pakaian”  dan polos di hadapan saya di atas pentas yang dikeluarkan oleh pemain-pemain peran.

Semasa menontonnya, untuk memudahkan pemahaman saya sendiri, saya mendapati teater ini terpecah kepada 4 segmen, yang pertama dimulai antaranya kata-kata: malam yang singkat selalu lepas dari dakapan… segmen ini seperti mengkhususkan hubungan antara gender, tentang wanita, tentang nasib tertindas, tentang kritik-kritik yang sedang berlaku di kaki kota yang bersimpang siur. Seperti kata daripada bait yang dipilih, ini aku wajah telanjang di muka kekonyolan, pemain peran sedang cuba menanggal satu persatu topeng yang dipakai penyair sama ada semasanya menulis puisi, semasanya memakai baju penyair, semasa dia sedang menjadi seorang suami, semasa dia menjadi pembaka revolusi.

Segmen kedua, saya menstrukturkan watak-wataknya seperti di balairung istana, kerana pembinaan watak-wataknya seperti ada sang pendeta yang sedang berhujah tentang kebenaran, masa depan dan masa silam, ada si pelawak yang sering mempersendakan apa sahaja di sekeliling, ada pemaisuri yang sedang berduka tentang cintanya, dayang-dayang yang menyahut kata-kata, pahlawan yang bersedia bertarung tentang apa sahaja. Sebuah balairung yang sedang menerima kata kritik dan sindir dan sebuah pentas boneka.

Segmen ketiga menukarkan emosi libang libu dan berantakan di atas pentas kepada sebuah pentas satira apabila watak-watak bertukar kepada watak haiwan, yang sedang menerima pencalonan raja baru untuk menggantikan raja sedia ada. Di sini terlihat topeng-topeng terbuka dan sedang mengangkat dirinya supaya dilihat pimpinan tertinggi. Dialah yang paling setia, dialah yang paling wibawa, dialah yang paling kuat, dialah yang paling layak. Sindirannya tajam dalam jenaka. Kerana dalam jenakalah kita menyisip siasah. Dan bahagian ini lebih konkrit bentuknya. Penonton yang tidak biasa yang medium teater boleh menikmati dan bergelar ketawa, kerana pelakon-pelakonnya bijak memainkan peran sebagai haiwan, burung, cacing, kucing, buaya. Sebuah rimba yang sedang menerima kata kritik dan sindir dan membuatkan penonton menertawakan pelakon atau sebenarnya menertawakan watak mereka sendiri.

Segmen keempat, mungkin lebih mendekat dan peribadi dengan wajah Baha Zain. Jika-jika ada yang bertanya bagaimana untuk mendeskripsikan wajah puisi Baha Zain, mungkin sahaja babak keempat itu mewakilinya, sesuai dengan sajak Pilihan Usia tetapi dalam arah berlawanan, ia berevolusi dengan suara-suara peduli dan kemudian menyusup ke dalam kata-kata menyampaikan nurani yang sedang dingin terbakar. Di hujung-hujungnya, ditamatkan dengan suara sayup-sayup jauh tetapi meninggalkan remang roma.
image

Pentas yang digunakan minimalis, sebuah pentas datar dan monumen tiga seginya yang kalau dilihat seperti jam matahari. Di sini pelakon akan mengelilingi bulatan terbentuk daripada kertas-kertas surat khabar bersama-sama derap kaki dan keriut papan pentas untuk menukar segmen. Si pendeta, kalau boleh saya katakan begitu (lakonan Azman Hassan)  kekal mewakili khatib yang menyebarkan hujahnya dan cuba-cuba menarik perhatian dengan gemerincing loceng yang diketuk dan kata-kata penuh hikmah. Sedangkan penghuni alam itu sedang rusuh dan runsing dengan pergolakan hidup, mungkin mendengar untuk mempersendakan, mungkin mendengar untuk akhirnya tidak mempedulikan.

Sepanjang menonton ini, dua segmen pertama, persoalan tentang benarkah Baha Zain hanyalah seorang aktivis, bukannya pemikir. Benarkah dia hanya mahir menulis sajak-sajak yang kontot bergema-gema dalam fikiran. Kerana dua segmen ini keras dan penuh kritik. Emosinya bergelora dan perih. Kadangkala buat penonton menjadi gelisah kerana tebalnya emosi dan beratnya kata-kata. Jadi apakah persoalan itu terjawab. Saya tidak mahu membiarkan polemik memhijabkan pengalaman, tetapi  pembaca dan penonton telah menuntut terlalu banyak kepada penyajak sehingga dia akhirnya mungkin kadang-kala memakai topeng dalam menulis sajak untuk kepuasan pembaca yang sentiasa haus.

Di negara ini sememangnya memiliki ramai pelakon yang bagus tetapi sedang menunggu untuk mengangkat naskhah yang baik. Dan naskhah yang baik juga sedang menunggu pengarah dan pelakon yang tepat untuk melakonnya, barulah maksudnya sempurna tercapai. Dan naskhah yang baik, haruslah teradun dengan kekuatan kata-kata yang di mana kelemahan terbesar negara ini. Apakah teater ini memenuhi itu, saya biarkan penonton menjawabnya dengan menonton teater ini yang masih berlangsung sehingga Ahad ini, 14 September 2014, dengan harga tiket RM15 (dewasa) dan RM10 (pelajar).

Pentas kecil itu telah berjaya menanggalkan lapisan topeng-topeng yang dipakai Baha Zain untuk menjadi apa pun kepada saya, sekurang-kurangnya saya sedang melihat Baha Zain di atas pentas, memegang tali-tali panjang menggerakkan boneka topengnya untuk menyampaikan hasrat fikirannya yang bergelora, atau mungkin di hujung pentas, di dalam sudut gelap sambil tersenyum kecil puas. Apa-apa pun ia membuatkan saya melihat puisi Baha Zain yang lebih dekat dan mendekat.

Dan antara puisi-puisinya yang sempat saya tangkap dan ingat, yang digunakan dalam teater ini ialah: Malam Mengundang Pengisian, Menangguhkan Kebenaran, Rayuan Wanita Asia, Sketsa Anak Kecil, Topeng-topeng, Ayah, Kota Kertas Tandas, Impian Seorang Seniman, Ratapan Gadis Eropah, Gambaran Silam, Nasihat Orang Tua-tua, Pilihan Usia. Jikalau salah saya mohon maaf kerana ingatan ini sering sahaja lepas dari dakapan.

Nota:

Topeng Topeng akan dipentaskan sehingga 14 September ini di Dewan Wisma ITBM, Seksyen 10, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Tiket dijual pada harga RM15 manakala RM 10 bagi pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi. Tiket-tiket boleh dibeli di Kaunter Khidmat Pelanggan ITBM atau hubungi Norzaiti Abdul Talib 03-41451840

4 thoughts on “Topeng-topeng Baha Zain

  1. dulu, sebelum ada fb, saya selalu membaca blog. dan blog ini selalu saya kunjungi. saya tidak tahu siapa pemblognya. pun, saya terus membaca, tetapi apabila kebanyakan pemblog beralih menjadi penulis fb, banyak blog yang dibiarkan bersawang. apatah lagi, saya tidak punya fb.

    saya tidak lagi membuat kunjungan sehinggalah hari ini, terdetik hati mencari tentang ‘topeng-topeng’, terjumpa tulisan ini. barulah saya tahu yang penulis blog ini ialah anda. alangkah!

    *topeng-topeng: kita semua memakai topeng dalam kehidupan; kerana membuka wajah sebenar kepada khalayak sejujurnya, kita tidak akan dapat menjadi manusia yang dituntut-Nya. topeng yang ‘betul dan benar’ akan perlahan-lahan menyerap pada wajah jika kita benar-benar menghayati ‘topeng’ itu. demikianlah seadanya.

    Like

    1. Kak Azizah: Ya Tuhan, Kak Azizah sudah lama membaca blog ini, terus sahaja saya segan. Ya, saya masih lebih suka menulis blog, mudah disusun direktorinya berbanding Facebook. Itulah keseronokan berblog kak, kita membaca dan menulis tanpa perlu tahu siapa di belakangnya 🙂 Selain mudah mencari entri lama 🙂

      Ada yang kata kejujuran itu sangat penting, tetapi berapa ramai yang berani menerima kejujuran? Lantas topeng bukanlah satu ketidakjujuran. Ia adalah sekadar pakaian diri untuk melihat diri dan juga manusia 🙂

      Like

  2. Alhamdulillah, enak benar tulisan saudara.
    biarpun masih belum sempat menikmati teaternya sedikit sebanyak daoat merasakan kehadiran diri di sana. minta izin pinjam gambarnya.

    Like

Tinggalkan komen