Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013 (HSPM2013)


Ini merupakan edisi kemas kini senarai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013 dalam bentuk infografik yang lebih menarik mata memandang gituu 🙂 Semangatnya buat semua ini, semoga semangat untuk menaip dan menulis juga untuk saya 🙂

KATEGORI A (BUKU)kategori b puisi eceranKATEGORI B - CERPEN ECERAN

KATEGORI B ESEIKATEGORI C-2KATEGORI C-1

Puisi Muda Manis dari Negeri Pemetik Kata


image

Jikalau kita sering membaca puisi, kita akan menyedari puisi sedang berkata-kata dengan kita, mengajak kita berbual tentang apa yang penyajak tuliskan di dalamnya, tentang rahsia-rahsia yang penyajak simpan jauh di antara keluk huruf serta perenggan yang terpenggal. Ada waktunya rahsia itu meneriak lantang seperti soldadu yang ingin memulakan perang atau mungkin sahaja rahsia itu sunyi-sepi dan malu-malu, seperti perawan, yang membuka gerak kata pada dua ulas bibirnya, tetapi tidak kedengaran bunyi serta suaranya.

Namun sejauh mana penyajak cuba bersembunyi, tetapi nyata puisi itu sendiri penyataan perasaan, ketegasan tentang apa yang sebenarnya dirasakan, dalam patah kata yang minimal dan sengaja diatur rapi oleh penyajaknya. Begitulah keindahan puisi yang jika dikuasai penyajak, ia boleh menakluki kata untuk menyembunyi segala rahsia dan perasaannya yang dialami tanpa kita sebagai pembaca merasakan, “ia hanya sekadar luahan kata-kata tanpa mengirimkan makna”. Kerana yang paling sukar dalam menulis pelbagai subjek puisi, adalah puisi tentang perasaan dan hati sendiri, kerana semua manusia memiliki kehalusan perasaan itu dan menunggu dibacakan kata-kata yang tepat untuk rasa itu terbangkit dan mengalir, tersalah atur, jadilah ia hanya puisi-puisi basahan keluh kesah seorang muda, ia ternyata subjek yang sukar berbanding menulis puisi-puisi sahsiah, retorik, isu semasa.

Dalam Zine Negeri Pemetik Kata – Adra Muira, sebagai pembaca kita telah mengetahui premis penyajaknya pada selakan muka surat pertamanya, “Puisi adalah perasaan yang saya simpan dalam kata-kata”, Ia memberi isyarat jangan kita meminta lebih dalam naskhah ini, kerana penyajak sedang bertugas menyimpan perasaannya sendiri. Dan penyajak sedang membenarkan kita membaca, meneka-neka perasaannya, meneka-neka perasaan sendiri.

Menyelak beberapa buah sajak seperti “Rahsia  Sebuah Perasaan”, “Ungu”, “Selamat”, Adra sebenarnya sedang mulai membina rumahnya sendiri. Rumah asing yang sedikit demi sedikit dirindui untuk dikunjungi serta membina ingatannya sendiri. Rumah yang terletak di salah satu sudut istimewa dalam hati lelaki yang dipanggilnya ‘sayang’. Rumah sering digambar sebagai tempat-tempat yang selamat untuk melindungi diri daripada kegalauan dunia luar. Dan kita sering sahaja sangat nyaman jika duduk dalam rumah kita sendiri. Merumahkan hatinya yang kian besar dalam hati seorang lelaki, ia nyata manis sekali. Dan kita sendiri tahu, manakan sama rumah yang disewa dengan rumah yang milik sendiri, meski pun rumah kita kecil, kita akan rasa lapang jika hidup bersama-sama dengan orang yang kita sayangi, begitu juga sebaliknya, rumah yang besar akan terasa kecil apabila hati kita sendiri tidak berumah di sana. Begitulah kehalusan Adra memetaforakan penerimaannya terhadap lelaki asing ini.

Selamat

Aku tidak punya rumah yang besar|Tapi rumah hatiku telah kau besarkan|sayangku |Selamat mendiami |selamat melengkapi

Rindu adalah duga terbesar pasangan berkasih. Kita boleh sahaja mengirimkan sepatah tiga kata, untuk menyatakan kerinduan, seperti “saya rindu awak,” “i miss you”, ‘teringatlah kat you” tetapi penyajak meskipun menyimpan perasaannya ke dalam sajak, kadangkala merekalah yang paling irit untuk berkata-kata sedemikian rupa apabila berhadapan kepada orang yang dicintai, kerana selalu sahaja segan sendiri, malah merasakan menumpahkannya ke dalam puisi, lebih mudah daripada menyatakannya secara langsung. Adra menciptakan keindahan rindunya, pada imej-imej khas yang dipilih seperti “bulan”, “hujan”, “langit lapang dan basah” dalam puisinya, “Monolog Dinihari Perempuan yang Rindu”, Warna Bulan”, “Keakuan Rasa”, “Bis Kota Kenangan”, “Memilihmu”. Sungguhpun ia adalah imej-imej yang selalu sahaja digunapakai oleh orang muda dalam menggambarkan rasa, dilihat Adra berusaha dan mengambil berat hal ehwal puisinya supaya tidak tidak begitu berlebihan.

Kelabu

Kelabu adalah hitam dalam terang | Awan yang melawan angin| embun kosong | yang diam-diam mewarna daun| Mungkin hujan dari atap | pada petang merekah merah | atau syurga dari doa mereka yang syukur|

Separuh daripada puisi dalam Zine ini kita ketahui, Adra berdarah muda dan manis, lalu dia ingin merakam ingatannya yang muda dan manis dalam sajak-sajaknya.Kemanisannya tidaklah terlalu sehingga ngilu gigi tetapi tidaklah tawar seperti air kosong. Masih banyak perasa yang boleh Adra tambahkan atau mungkin kurangkan. Kerana ada waktunya, penyajak juga akan berangkat dari perasaannya yang mudah ditebak dan diteka kepada kompleksiti yang melabirinkan perasaannya sendiri. Kerana rahsia, begitu pandai kita menyembunyikannya, di situlah keindahannya akan lebih terserlah. Namun, apakah kita perlu menidakkan kemanisan perasaan itu dan tidak berlaku adil untuk membiarkan ia mengalir dan dituliskan? Tentu sahaja tidak. Ia harus dituliskan selagi rasa itu menggugah, kerana itulah tugas penyajak, berlaku jujur dengan perasaannya sendiri.

Suku sajaknya pula, Adra mengambil peristiwa-peristiwa yang menggugah kemanusiaannya, tentang palestin, tentang surah-surah kepada tuhannya. Sajaknya menampilkan ketegasan Adra, dan emosinya berubah daripada damai di halaman rumah kepada keriuhan dan ribut di jalanan. KIta tahu Adra peduli kepada hal-hal yang berlaku di sekelilingnya bukan hanya di dalam rumahnya.

Sajak yang paling saya sukai dalam zine ini ialah yang diangkat menjadi judul zine ini sendiri, “Negeri Pemetik Kata”. Kerana saya merasakan ia adalah kegelisahan bukan kepada penyajaknya sendiri tetapi juga kepada saya, apakah saya akan menjadi si kaya yang kemiskinan di negeri pemetik kata, seperti kata dalam puisi Adra? Ia puisi yang mengajak kita banyak merenung diri dan juga apa yang terjadi di sekeliling kita.

Negeri Pemetik Kata

Negeri ini sarat tokoh kata yang berahi | meniduri kita pada siang pijar | membina jalan-jalan tanpa kata tujuan | hingga anak-anak tak lagi memilih jalan tenang

Zine Negeri Pemetik Kata, mengingatkan kita sebagai pembaca, saat pertama kali jatuh cinta, menemui detik-detik persimpangan tentang persoalan resah cinta yang ditimbulkan hati sendiri, harapan-harapan yang kita gantungkan untuk ia berkekalan dalam kebahagiaannya yang tersendiri. Ia rasa yang sangat manis, seperti pertama kali kita merasai resipi kek-kek baru yang enak di sebuah kafe pada waktu hujan, dan kita berharap kemanisan kek itu akan terus kekal menghuni hujung lidah dan ingatan kita, sehingga tiba masanya untuk kita bangun dari duduk sebelum menghadapi dunia sesudah hujan teduh.

Media Sosial dan Keanehannya


1. Baru-baru saya ditemui seorang rakan lama, di salah satu laman sosial yang diprivasikan. Seperti seorang teman lama, dia memohon mengikuti saya, dan saya mengesahkan permohonannya. Namun, apabila kawan lama itu mengirim pesanan mengatakan mengapa saya tidak mengikutnya kembali, buat saya tertanya, begitukah peraturannya? Perlu mengikut kembali seseorang? Kerana saya tidaklah begitu terasa kalau tiada orang mahu mengikuti saya kembali, semua orang punya hak mengawal siapa yang ingin diikuti atau tidak. Seperti seorang kawan rapat saya yang unfollow media sosial saya kerana katanya saya banyak memuat naik gambar makanan. Haha. Saya gelak sahaja, dan tidak langsung terasa hati, dia punya kebebasan mengikut saya kembali seperti mana saya punya kebebasan untuk mengesahkan permohonannya. Hiks

2. Whatapps telah meningkatkan fungsinya, kalau dua calit biru menandakan mesej whatapps itu telah dibaca, dua calit coklat bermaksud mesej telah sampai tetapi belum dibaca, satu calit bermaksud mesej sudah dihantar tetapi belum sampai. Hal ini menimbulkan perdebatan yang hangat di media sosial. Tentang privasi dan kecenderungan untuk menimbulkan salah faham dan pergaduhan sama ada kepada hubungan sosial intim atau hubungan sosial kerja. Seorang kawan saya yang lain mempersoalkan mengapa netizen marah tentang peningkatan fungsi Whatapps itu? Menurutnya, biasalah kalau kita mengirim mesej kepada seseorang, kalau orang itu tidak balas, mungkin dia sibuk, mungkin masa itu bukan waktu sesuai untuk membalas. Kata-katanya mengingatkan saya zaman komunikasi melalui mesej. Dan saya membalasnya kembali, menerangkan betapa betapa orang sangat “terdesak” untuk mendapat jawapan segera. Dunia tidak boleh menunggu orang-orang menikmati penantian kerana jarak, ruang masa ia tidak punya alasan untuk menangguhkan respons.

3. Ada orang juga pernah bertanya saya mengapa saya tidak mengesahkan permohonan kawannya. Saya diam. Banyak tersenyum. Tahukah mereka yang bertanya, saya punya lebih 200 permohonan kawan yang belum diluluskan. Saya belum sempat meneliti satu per satu permohonan kawan tersebut. Malah fikiran saya banyak sekali ruang untuk berfikir panjang tentang tindakan yang mahu diambil di media sosial.

4. Kerana ramai orang tidaklah pandai menghormati privasi dan masa orang lain, media sosial telah saya selaraskan kepada fungsi tertentu. Facebook tidaklah boleh menjadi ruang privasi kepada saya seperti beberapa tahun lepas, ia ruang kerja, ia ruang sosial, ia ruang untuk semua orang menunjukkan sesuatu, ia ruang untuk mereka yang lebih berusia daripada saya bersilat kata di semua kotak kosong empat segi tepat yang sangat menyihirkan. Saya tidaklah boleh mengawalnya Facebook seperti tahun tahun terdahulu, kerana nyata sungguhpun ia dicipta oleh mereka yang sebaya saya dan untuk komuniti seusia saya atau lebih muda, evolusi media sosial tidak dapat mengekang ia menjadi ruang publik meskipun sedaya apa pun usaha yang dilakukan oleh Facebook untuk menjadikan ia privasi.

5. Lalu, Instagram hanya untuk akaun gambar-gambar cantik, dan mereka yang saya ikuti kerana gambar- gambar cantik mereka dan tidak bercadang menjadikan ia public. Facebook ruang bekerja. Twitter ruang kongsi maklumat. Blog, ruang peribadi yang tak peribadi. 😉

6. Itu yang saya fikirkan buat masa ini. Mungkin ia akan berubah barang sedetik lagi?