Puisi Muda Manis dari Negeri Pemetik Kata


image

Jikalau kita sering membaca puisi, kita akan menyedari puisi sedang berkata-kata dengan kita, mengajak kita berbual tentang apa yang penyajak tuliskan di dalamnya, tentang rahsia-rahsia yang penyajak simpan jauh di antara keluk huruf serta perenggan yang terpenggal. Ada waktunya rahsia itu meneriak lantang seperti soldadu yang ingin memulakan perang atau mungkin sahaja rahsia itu sunyi-sepi dan malu-malu, seperti perawan, yang membuka gerak kata pada dua ulas bibirnya, tetapi tidak kedengaran bunyi serta suaranya.

Namun sejauh mana penyajak cuba bersembunyi, tetapi nyata puisi itu sendiri penyataan perasaan, ketegasan tentang apa yang sebenarnya dirasakan, dalam patah kata yang minimal dan sengaja diatur rapi oleh penyajaknya. Begitulah keindahan puisi yang jika dikuasai penyajak, ia boleh menakluki kata untuk menyembunyi segala rahsia dan perasaannya yang dialami tanpa kita sebagai pembaca merasakan, “ia hanya sekadar luahan kata-kata tanpa mengirimkan makna”. Kerana yang paling sukar dalam menulis pelbagai subjek puisi, adalah puisi tentang perasaan dan hati sendiri, kerana semua manusia memiliki kehalusan perasaan itu dan menunggu dibacakan kata-kata yang tepat untuk rasa itu terbangkit dan mengalir, tersalah atur, jadilah ia hanya puisi-puisi basahan keluh kesah seorang muda, ia ternyata subjek yang sukar berbanding menulis puisi-puisi sahsiah, retorik, isu semasa.

Dalam Zine Negeri Pemetik Kata – Adra Muira, sebagai pembaca kita telah mengetahui premis penyajaknya pada selakan muka surat pertamanya, “Puisi adalah perasaan yang saya simpan dalam kata-kata”, Ia memberi isyarat jangan kita meminta lebih dalam naskhah ini, kerana penyajak sedang bertugas menyimpan perasaannya sendiri. Dan penyajak sedang membenarkan kita membaca, meneka-neka perasaannya, meneka-neka perasaan sendiri.

Menyelak beberapa buah sajak seperti “Rahsia  Sebuah Perasaan”, “Ungu”, “Selamat”, Adra sebenarnya sedang mulai membina rumahnya sendiri. Rumah asing yang sedikit demi sedikit dirindui untuk dikunjungi serta membina ingatannya sendiri. Rumah yang terletak di salah satu sudut istimewa dalam hati lelaki yang dipanggilnya ‘sayang’. Rumah sering digambar sebagai tempat-tempat yang selamat untuk melindungi diri daripada kegalauan dunia luar. Dan kita sering sahaja sangat nyaman jika duduk dalam rumah kita sendiri. Merumahkan hatinya yang kian besar dalam hati seorang lelaki, ia nyata manis sekali. Dan kita sendiri tahu, manakan sama rumah yang disewa dengan rumah yang milik sendiri, meski pun rumah kita kecil, kita akan rasa lapang jika hidup bersama-sama dengan orang yang kita sayangi, begitu juga sebaliknya, rumah yang besar akan terasa kecil apabila hati kita sendiri tidak berumah di sana. Begitulah kehalusan Adra memetaforakan penerimaannya terhadap lelaki asing ini.

Selamat

Aku tidak punya rumah yang besar|Tapi rumah hatiku telah kau besarkan|sayangku |Selamat mendiami |selamat melengkapi

Rindu adalah duga terbesar pasangan berkasih. Kita boleh sahaja mengirimkan sepatah tiga kata, untuk menyatakan kerinduan, seperti “saya rindu awak,” “i miss you”, ‘teringatlah kat you” tetapi penyajak meskipun menyimpan perasaannya ke dalam sajak, kadangkala merekalah yang paling irit untuk berkata-kata sedemikian rupa apabila berhadapan kepada orang yang dicintai, kerana selalu sahaja segan sendiri, malah merasakan menumpahkannya ke dalam puisi, lebih mudah daripada menyatakannya secara langsung. Adra menciptakan keindahan rindunya, pada imej-imej khas yang dipilih seperti “bulan”, “hujan”, “langit lapang dan basah” dalam puisinya, “Monolog Dinihari Perempuan yang Rindu”, Warna Bulan”, “Keakuan Rasa”, “Bis Kota Kenangan”, “Memilihmu”. Sungguhpun ia adalah imej-imej yang selalu sahaja digunapakai oleh orang muda dalam menggambarkan rasa, dilihat Adra berusaha dan mengambil berat hal ehwal puisinya supaya tidak tidak begitu berlebihan.

Kelabu

Kelabu adalah hitam dalam terang | Awan yang melawan angin| embun kosong | yang diam-diam mewarna daun| Mungkin hujan dari atap | pada petang merekah merah | atau syurga dari doa mereka yang syukur|

Separuh daripada puisi dalam Zine ini kita ketahui, Adra berdarah muda dan manis, lalu dia ingin merakam ingatannya yang muda dan manis dalam sajak-sajaknya.Kemanisannya tidaklah terlalu sehingga ngilu gigi tetapi tidaklah tawar seperti air kosong. Masih banyak perasa yang boleh Adra tambahkan atau mungkin kurangkan. Kerana ada waktunya, penyajak juga akan berangkat dari perasaannya yang mudah ditebak dan diteka kepada kompleksiti yang melabirinkan perasaannya sendiri. Kerana rahsia, begitu pandai kita menyembunyikannya, di situlah keindahannya akan lebih terserlah. Namun, apakah kita perlu menidakkan kemanisan perasaan itu dan tidak berlaku adil untuk membiarkan ia mengalir dan dituliskan? Tentu sahaja tidak. Ia harus dituliskan selagi rasa itu menggugah, kerana itulah tugas penyajak, berlaku jujur dengan perasaannya sendiri.

Suku sajaknya pula, Adra mengambil peristiwa-peristiwa yang menggugah kemanusiaannya, tentang palestin, tentang surah-surah kepada tuhannya. Sajaknya menampilkan ketegasan Adra, dan emosinya berubah daripada damai di halaman rumah kepada keriuhan dan ribut di jalanan. KIta tahu Adra peduli kepada hal-hal yang berlaku di sekelilingnya bukan hanya di dalam rumahnya.

Sajak yang paling saya sukai dalam zine ini ialah yang diangkat menjadi judul zine ini sendiri, “Negeri Pemetik Kata”. Kerana saya merasakan ia adalah kegelisahan bukan kepada penyajaknya sendiri tetapi juga kepada saya, apakah saya akan menjadi si kaya yang kemiskinan di negeri pemetik kata, seperti kata dalam puisi Adra? Ia puisi yang mengajak kita banyak merenung diri dan juga apa yang terjadi di sekeliling kita.

Negeri Pemetik Kata

Negeri ini sarat tokoh kata yang berahi | meniduri kita pada siang pijar | membina jalan-jalan tanpa kata tujuan | hingga anak-anak tak lagi memilih jalan tenang

Zine Negeri Pemetik Kata, mengingatkan kita sebagai pembaca, saat pertama kali jatuh cinta, menemui detik-detik persimpangan tentang persoalan resah cinta yang ditimbulkan hati sendiri, harapan-harapan yang kita gantungkan untuk ia berkekalan dalam kebahagiaannya yang tersendiri. Ia rasa yang sangat manis, seperti pertama kali kita merasai resipi kek-kek baru yang enak di sebuah kafe pada waktu hujan, dan kita berharap kemanisan kek itu akan terus kekal menghuni hujung lidah dan ingatan kita, sehingga tiba masanya untuk kita bangun dari duduk sebelum menghadapi dunia sesudah hujan teduh.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s