Buku Cerpen Terbaik 2014 – Terbitan Buku Fixi


Kalau ada yang masih ingat, tahun lalu saya punya satu sahaja cerpen yang diterbitkan di Berita Harian diterbitkan bulan Mac 2014, berjudul “Tiada Kota di Dasar Cawan”, kemudian saya pun konon-konon menyepi di angin lalu.

Kemudian dalam awal tahun ini, saya dihubungi Amir Muhammad mengatakan cerpen saya itu dipilih untuk dimasukkan dalam buku Cerpen Terbaik 2014. Mesti tertanya-tanya apakah Cerpen Terbaik 2014? Mengapa cerpen itu dipilih? Apakah kriterianya? Adakah perlu dihantar penyertaan seperti HSPM? Jadi saya kongsikan petikan e-mel yang telah dikirimkan Amir kepada saya awal tahun lalu.

Pihak kami (Buku Fixi) akan menjalankan projek tahunan yang bertajuk CERPEN TERBAIK. Ini diilhamkan oleh antologi-antologi lain di dunia seperti Best American Short Stories yang diterbitkan oleh Houghton Mifflin Harcourt: http://www.hmhbooks.com/hmh/bestamerican/shortstories (yang saya selalu baca masa kat universiti dulu).

Konsepnya begini: Seorang editor akan cuba membaca sebanyak mungkin cerpen yang diterbitkan dalam sesuatu tahun. Untuk 2014, editor yang kami pilih ialah Wan Nor Azriq. Sumber asal setiap cerpen ialah buku antologi, majalah, zine dan suratkhabar

Jadi lebih kurang begitulah, dalam e-mel itu juga menyertakan senarai nama penulis lain yang dipilih, dari pelbagai penerbitan seperti Dewan Sastera, Zine, Tunas Cipta, Berita Harian, Dewan Budaya, penerbit ITBM, penerbit FIXI, Eksotikata, Buku Hitam Press. Maksudnya pelbagai jenis penerbit meliputi penerbit perdana, marjinal, persendirian, atas tanah, atas angin, asalkan cerpen itu diterbitkan pada tahun berkenaan akan dinilai dan dikumpulkan oleh editornya.

Kelab Malam – Mim Jamil (Malam)

Di dalam Mulutnya Ada Kota – Roslan Jomel (ITBM)

Bakso – Sijasad (zine sendiri)

Hujan Keruh Di Jogja – S. M. Zakir (Berita Minggu)

Anak-Anak Seni – Kamal Ishak (Dewan Budaya)

Star Trek: The Relation Ship – Sinaganaga (Eksotikata)

Kiri Kopilasi-Kecil – Khairul Muttaqin (Buku Hitam Press)

Gadis Basah – Laurent Metzger (Dewan Sastera)

Tiada Kota di Dasar Cawan – Ainunl Muaiyanah Sulaiman (Berita Minggu)

Oil Crisis – Terence Tang (Esquire Malaysia)

Disosiasi – Khairil Idham Ismail (Tunas Cipta)

Insomnia di Rumah Terbalik – Lee Kok Chih (Dewan Kosmik)

Basikal Terbang Dan Misteri Kematian Profesor Jabbar – Ruhaini Matdarin (Dewan Bahasa)

Nafas-Nafas Terakhir – Hasnizal Ehsan (Buku Hitam Press)

Patung – Mohammad Zakri Zakaria (Berita Minggu)

Perempuan yang Pulang ke Lautan – Johan Radzi (Tunas Cipta)

Best Kept Secret – Julya Oui (Here Be Nightmares)

Ceritera – Mohd. Fadzil Yusof (Dewan Budaya)

Apa-apa pun ini kulit bukunya, yang sangat cantik dan hype! Dan saya sangat suka sebab menggabungkan 2 elemen warna yang saya sangat cintai, ungu dan biru.

11001782_800401480008876_6378373658364412943_nApa-apa pun buku ini hanya akan dijual pada Putrajaya International Book Fair 2015 dan majlis pelancarannya pada 20 Mac 2014, jam 12.00 tengah hari, Dewan Gudang Ilmu, Putrajaya International Convention Centre. Jemput hadir… Mengikut peristiwa Buku Malam, biasanya buku edisi terhad yang takkan dicetak semula ini, laris bagai pisang goreng pada waktu petang cuti. Gituuu.

11009207_800401713342186_3056073369623210950_n (1)Dengar cerita, ini projek tahunan, mungkin tahun ini ada lagi, yang hendak karyanya dinilai boleh berhubung dengan editornya, Wan Nor Azriq 🙂

Advertisements

Temu Ramah : Klik DBP – Ainunl Muaiyanah: Menulis Permainan yang Menyeronokkan


Pasca kemenangan HSPM 2013 dengan novel Sepetang di Kafe Biblioholic, saya menerima pelawaan untuk sesi temu ramah melalui e-mel dari Klik Web DBP. Klik Web DBP merupakan laman sesawang atas talian yang dikendalikan oleh Dewan Bahasa & Pustaka. Sesi temu ramah ini termuat dalam ruangan Bakat.

Boleh ke sini untuk ikuti sesi temu ramah itu dengan lebih lanjut: Klik Web DBP

Sedikit sedutan temu ramah tersebut, saya pecahkan dalam beberapa isu

I

Genre mana yang paling diminati

“Sebaik-baik sahaja mendapat idea, saya akan mengembangkannya dan  melihat kesesuaian, sama ada  boleh menjadi puisi atau cerpen atau mungkin kalau ditambah rencah dan penyelidikan, boleh menjadi sebuah novel. Tersalah memilih genre, menyebabkan isi cerita menjadi hambar.”

II

Apa yang saya suka tulis

Ainunl suka menulis hal-hal kecil dan sederhana yang berlaku dalam kehidupan, perkara yang dekat dengan dirinya atau peristiwa yang berlaku kepada dirinya. “Kita harus menulis sesuatu yang kita lebih tahu berbanding jika mengada-adakan apa-apa yang kita tidak tahu.

III

Bagaimana caranya untuk konsisten menulis

Saya menetapkan begini supaya saya tidak berhenti menulis dan melihat karya yang disiarkan sebagai pendorong dan ingatan bahawa apabila saya sudah memilih ‘pekerjaan’ menulis, saya tidak harus berhenti begitu sahaja atas alasan apa-apa pun. Bagi saya, menulis bukanlah perkara main-main meskipun menulis merupakan permainan yang menyeronokkan dan menghiburkan

IV

Tentang isu novel popular

Saya percaya bahawa dalam diri seorang remaja ada keinginan untuk dicintai dan mencintai dan menterjemahkannya dalam bentuk bahan bacaan untuk memahami  lebih lanjut kompleksiti perasaan yang dialaminya. Kita tidak boleh memaksa remaja membaca bahan bacaan berat sahaja sedangkan naluri mereka ingin membaca novel bertemakan kasih sayang atau cinta. Berkemungkinan besar, mereka akan memberontak dan akhirnya tidak mahu membaca langsung. Itu hal yang paling saya takuti,” katanya serius, apabila ditanya tentang pengaruh novel popular kepada khalayak

V

Tentang penulis-pembaca

“Kebahagiaan bagi penulis adalah apabila karya dibaca dan disenangi oleh pembaca. Dan, pembaca menyayangi tulisan kita seperti kita menyayangi cerita itu, watak-watak yang kita tukangi. Kadangkala apabila ada pembaca datang dan menyatakan bahawa mereka membaca karya saya, saya sangat terharu kerana dapat berkongsi rasa dan kisah yang saya rasa dan alami. Apatah lagi kalau mereka menyukainya, bertambah-tambah lagi rasa terharu. Saya berharap saya akan terus menulis dan menghasilkan karya lebih prolifik, serta tulisan saya akan dibaca dan dapat berkongsi rasa dengan lebih ramai pembaca.”