Memilih Cara Menyusun dan Merekod Koleksi Buku


Dalam dua tiga bulan ini, saya sangat kerap membeli buku, tanpa bertagak-tagak. Asal nampak judul berkenan, ada duit dalam tangan (tak sempat kira badget), saya akan terus beli. Baru-baru ini sempat pergi ke Kuching, dan balik penuh dramatik sambil membawa buku yang terlebih limit muatan.

Dan tentu sahaja, apabila pulang, saya tidak tahu mahu susun buku di mana. Dua rak besar sudah sendat, rak-rak kecil pun semakin penuh, sampai teman serumah bersungguh-sungguh kata, “Mari ambil cuti sehari dan menyusun buku.” dan disusuli ayat, “You mana pernah berhenti beli buku.” bila saya berkeluh kesah mengenai bilangan buku yang banyak. Haha.

Kecenderungan membeli buku ini kerana saya fikir kalau saya tak beli sekarang takut buku itu tiada. Ini melibatkan juga buku-buku terbitan DBP yang seperti sedia maklum telah ‘dihilangkan DAWAMA. Juga beberapa buku lama. Juga beberapa buku mewah, yang tebal dan berat. Bila melihat saya sudah mula membeli buku mewah (berkulit keras dengan kemasan yang sangat cantik), saya sedikit sebanyak menyedari mungkin saya sudah ‘sedikit’ meningkat dewasa, dalam menikmati buku, yang ada kalanya harus juga lebih puas membeli buku mewah, sesuai dengan judul dan topiknya. Tidak semua buku mewah layak dibeli, tapi kalau melibatkan budaya dan alam melayu, saya akan sedaya upaya membeli buku mewah ini, Terbaru dalam koleksi saya, Eknsiklopedia Perbidanan Melayu, Rupa dan Gaya Busana Melayu,Malaysia – Perancis: Menelusuri Jati Diri.

Selain daripada itu, saya menegaskan kepada diri untuk menyusun kembali koleksi pembelian saya supaya saya tahu apa buku yang saya sudah beli dan mengemas kini koleksi saya. jadi kerana saya pernah guna cara key in dalam Microsoft Excel tetapi tak efektif untuk menyemak segera, jadi saya akan gunakan aplikasi goodreads yang ada kebolehan mengesan barcode. Jadi, kalau lihat konon-konon saya rasa rajin menambah buku di Goodreads itu, itu maksudnya saya sedang aktif mengemaslah. Hahaha.

Cuma sekarang saya harus memutuskan untuk memilih cara penyusunan buku. Sama ada mengikut nama penulis atau genre. Sebab saya suka susun nama ikut penulis sebab senang nak cari, lagipun ada penulis yang tulis pelbagai genre.

Apakah cara kawan-kawan semua menyusun buku di rumah?

Advertisements

Sekarang Diumumkan Waktu Berbuka Puasa


Kalau menyebut waktu berbuka puasa, saya akan teringat benar zaman kecil saya. Saya sudah dilatih berpuasa seawal umur 6 tahun dan umur 7 tahun sudah berpuasa penuh. Dan untuk budak sekecil saya, yang paling dinantikan mestilah waktu berbuka puasa.

Kami sekeluarga akan siap siap duduk di depan hidangan sambil pasang TV1, biasanya waktu jam 7, walaupun sedang tengok kartun di TV7 atau TV3. Waktu itu kita bukannya tahu dengan tepat (minit serta saat) bila waktu berbuka puasa. Jadi, sebagai adik kecil, kita ikut sahaja abah dan ibu berbuka puasa. Dan apabila azan diumumkan, kami akan setia menunggu sehingga azan habis (ikut arahan abah) dan tertayang doa selepas azan itu barulah berbuka puasa dengan penuh ‘kekhusyukan’. Mulut yang tadi asyik bising terus senyap, tenang melainkan bunyi sudu dan pinggan bertempuran. Jadi bertahun-tahun saya fikir, waktu berbuka ialah sebaik sahaja selesai azan.

Bila dewasa dan masuk asrama (kebetulan sekolah asrama dalam daerah yang sama) kebetulan itu diteruskan. Apabila masuk asrama yang kedua terletak di utara tanah air, waktu berbuka puasa awal sedikit daripada tempat tinggal saya. Masa itu seronok bukan main.  Cuma waswas dengan kawan-kawan yang berbuka sama tetapi bila azan diumumkan sahaja, terus berbuka puasa sedangkan kita nak juga tunggu azan habis macam ajaran abah, walaupun macam-macam ‘fatwa’ cuba mempengaruhi saya. Cuma bila belajar di universiti, saya belajar di timur tanah air dan waktu berbuka lebih kurang 10 minit awal daripada waktu di kampung halaman, waktu ini kena buka sendiri dana berdua dengan kawan. Jadi kalau boleh nak tahu waktu tepat berbuka puasa, masa ini sempat berguru dan yakinlah saya memang waktu berbuka adalah sebaik sahaja masuk waktu solat maghrib. Cuma kita tertanya-tanya juga kenapa abah ajar berbuka puasa sebaik sahaja azan di TV1 habis bukannya semasa azan mula berkumandang ( terus teringat takbir raya. Haha)

Tapi, sebab dah bertahun-tahun setia mengikut ajaran abah, rupa-rupanya sudah dewasa baru abah dedahkan rahsia mengapa kami sekeluarga berbuka puasa selepas azan di TV selesai, rupanya waktu berbuka kawasan saya dan Kuala Lumpur itu berbeza seminit, jadi cara abah mengira waktu ialah, sejurus selesai azan di TV1 habis barulah masuk waktu di kawasan kami. Tidaklah perlu tengok jam kira beza seminit depan anak-anak. Kan tidak manis itu. Walaupun selalunya azan di TV1panjangnya memakan masa 2 minit.

Sekarang saya bekerja di KL , jadi mudah, buka TV, bila azan menandakan masuknya waktu solat di kawasan saya sebab saya termasuk kawasan yang sewaktu dengannya. 😉😉😉

Tapi pelajaran waktu berbuka ini tinggalkan kesan yang lama kepada saya, dan saya fikir betapa pentingnya ajaran pertama ibu bapa kepada anak-anaknya. Baik atau buruk akan terus meresap dan diingati sehingga menjadi tabiat yang susah hendak diubah.

Apa-apa pun selamat berpuasa dan berbuka mengikut waktu 😊😊