Nota Editor: Membina “Mimpi Kotaku”


 

Kulit MK5-Edit.jpg

Hilmi Rindu, namanya ini saya ikuti senyap-senyap. Tidaklah terlalu rapat dan tidaklah terlalu asing. Puisinya tenang seperti rakaman sajak T. Alias Taib dan saya fikir dia seorang penyair yang bagus tetapi sering tidak mendapat tempat di hati pembaca atau underrated writer.

Ketika disuguhkan manuskrip kumpulan puisinya oleh pihak pengurusan, yang awalnya berjudul “Pucuk Kemudu”, saya terus mengatakan ya.

Setelah meneliti laporan panel berserta cadangan penambahbaikan, saya memutuskan untuk membuat rombakan major. Daripada 100 puisi, saya harus memilih hanya 50 yang terbaik dan judulnya juga harus diubah.

Saya menghubungi Hilmi Rindu, menyatakan letak duduk manuskripnya dan kemudian bertanya sama ada mahu memilih sendiri 50 puisi terbaiknya atau bagaimana? Hilmi Rindu telah memberi kebebasan kepada saya menguruskan manuskripnya serta meletakkan kepercayaan kepada editor. Saya jadi terharu dengan kerendahan hati penyair kelahiran Terengganu ini kerana menghormati kerja-kerja seorang editor yang mana editor itu juga menghormati karyanya.

Jadi, ini antara manuskrip awal dalam kumpulan puisi yang mana saya ingin membuat campur tangan secara besar-besaran daripada judul dan susunan puisinya.

Saya percaya, untuk kumpulan puisi atau kumpulan cerpen, ia harus disusun dengan rapi untuk memberi kesan dan impak kepada pembaca, seperti mana novel. Ada waktunya puisinya baik tetapi kerana susunannya dalam buku tidak konsisten memberi kesan lelah dan tidak emotif.

Pertamanya, sebelum “membedah”, saya membaca kumpulan puisi ini sekurang-kurangnya tiga kali untuk mengambil mood serta memahami apakah sebenarnya inti/rasa yang disampaikan oleh penulisnya. Apakah persamaan yang mengikat dan menjadi tulang belakang kepada kumpulan puisi ini? Setelah meneliti, menimbang rasa (ewaaah), saya memutuskan kumpulan puisi ini tribute kepada kenangan zaman kecilnya serta juga serpihan kesepian seorang penyair. Buku ini banyak mengimbau kenangan membesar di Terengganu, kampung-kampung yang semakin hilang, permainan semasa kecilnya, keramahan dan keakraban orang kampung. Sememangnya itulah kekuatan puisi Hilmi Rindu, yang dekat dengan kenangan dan renungan. Dan saya pun memilih puisi yang menampakkan kekuatan suara kepenyairan Hilmi Rindu.

Saya memilih dengan agak lama, memakan masa beberapa hari sehingga seminggu, sebab bukan mudah untuk memutuskan yang mana harus masuk dan yang mana harus dikeluarkan, serta yang mana sudah masuk dan kemudian harus dikeluarkan, yang mana pernah terbit di akhbar tetapi kerana kelihatan lemah kalau disandingkan dalam buku. harus juga diingatkan tidak semestinya semua yang terbit di media itu bagus dan yang tidak terbit itu tidak bagus. Ini pilihan yang menyeksakan sebenarnya.

Setelah selesai memilih, saya harus pula memikirkan judul buku ini. Dalam memilih judul buku, saya memikirkan judul buku juga harus mencerminkan keperibadian penulisnya. Tidak bolehnya judul yang ektravaganza tetapi isi tidak sebesar judul ataupun tidak kena dengan karakter penulisnya. Yang ini akan saya kembangkan di lain tulisan. Hilmi Rindu memilih “Pucuk Kemudu” mungkin untuk mencerminkan tentang kenangan zaman kecilnya. Tetapi yang menarik perhatian saya, adalah sebuah puisi yang berjudul, “Mimpi Kotaku”. Puisinya berkisar tentang sebuah kota yang bermimpi sewaktu dia masih ditumbuhi pohon dan hijau berbanding sekarang yang ada banyak bangunan. Puisi ini saya fikirkan merentasi isi keseluruhan kumpulan puisi ini dan walaupun bunyinya kedengaran moden, “Mimpi Kotaku” tidak seperti buku-buku Hilmi Rindu sebelum ini, Nestapa Membuai (1978), Memetik Gerimis (1989), Batas Impian (1991), Dusun Kemesraan (2002), Yang Jauh dan Dekat (2005), Segugus Embun (2005), Tiga Mata Serangga (2010), Bagai Ada Sesuatu (2010) dan Menyentuh Taman (2012), tetapi judul serta sajak “Mimpi Kotaku” itulah teras dan tulang belakang kepada puisi-puisinya. Saya kongsikan petikannya di sini.

Ia sesekali ingin

pulang ke asal kejadian

sehingga termimpi-mimpi

semak samunnya yang hijau

menaung alam,

ia terkenangkan sentul

yang tidak pernah pun ditanam orang

tetapi tumbuh subur menjulang,

Rangsang sari (blurb) buku ini saya buat khas untuk buku ini, dan antara rangsang sari yang paling saya senangi dan sukai, kerana mengapresiasi emosi penyair, Hilmi Rindu dan juga membuat tribute kepada kenangan zaman kecilnya. Dan rangsang sari ini juga mengikut susunan 4 fragmen dalam kumpulan puisi ini. Siapa kata susunan kumpulan puisi tidak boleh bercerita kepada pembaca, seperti mana novel? Walhal kumpulan puisi, ialah diari penulis yang dibaca secara terbuka dan besar-besaran. 🙂

Kumpulan puisi remaja Mimpi Kotaku, Hilmi Rindu mengunjungi kenangan dan memori masa kecilnya dalam fragmen “Selupat Pucuk”. Dia kembali menjadi anak kecil yang bermain dengan alamnya dan melukis sketsa kampung yang sederhana tetapi meriah. Kemudian diam-diam membangunkan fragment “Rumah” dalam ingatannya. Dari pintu rumah sehinggalah ke kain-kain yang tersimpan rapi di dalam almari, dia menggambarkan dengan menarik dan dekat dengan pembaca. Kemudian, dia menjelma dewasa dalam fragmen “Sayur Lemak Pucuk Kemudu” laksana seorang bapa yang berkongsi ilmu dan pengalamannya kepada anak-anak.

Daripada mimpi yang jauh sehingga ke sepi yang penuh, Helmi Rindu menyampaikan diri dan kenangan lalunya dalam bahasa yang langsung dan sederhana. Sebuah kumpulan puisi yang membawa kita ke dalam ingatan masa lalu.

Setelah itu, saya menghubungi Rasydan Fitri, designer yang punya nilai artistik dalam menterjemahkan judul-judul puitis ini, hihi kerana mungkin dia juga seorang penulis. Dalam memilih designer, tidak semua designer boleh dipaksa membuat design yang kita mahukan, apatah lagi kita sudah ada rujukan dan gambaran awal. Kalau tidak kena melantik designer, maka kulit buku tidak mencapai tahap yang diinginkan. Saya sudah terkena beberapa kali sebenarnya. Setelah beberapa siri perbincangan, Rasydan mengemukakan beberapa cadangan design yang sangaaaat cantik dan menangkap hati. Setiapnya ada perincian. Dan kulit pangsapuri terbalik itu menjadi pilihan akhir. Berikut deskripsi designer buku ini:

Menggunakan gambar pangsapuri yang sendat, tetapi diterbalikkan (simbolik mimpi). Gambar pokok sebagai mimpi kota dan juga membesar sebagai simbolik penulis membesar.

Baru-baru ini, diumumkan buku ini memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (kategori Kumpulan Puisi Remaja) . Saya mendapat tahu lebih awal sebenarnya apabila penulisnya menghubungi saya dan memaklumkan kemenangannya serta mengucapkan terima kasih kerana mengendalikan buku itu dan mencalonkan untuk HSPM. Ketika itu dia baru sahaja dihubungi DBP. Betapa mengharukan perasaan saya waktu itu, dihargai oleh penulisnya, dan musim-musim lelah mengendalikan buku itu terasa sangat berbaloi.

 

Senarai Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 HSPM2014 & Sorotan Ringkas


4799174e73e5a1e78c36825b98c40dd6.jpg
Lukisan: Afu Chan

Tahun ini, sekretariat HSPM iaitu DBP membuat kelainan pada penganjurannya, dengan membuat sidang akhbar dan mengumumkan senarai pemenang sebelum hari penyampaian hadiah. Jadi tidaklah khalayak sastera tertanya-tanya dan penganjuran menjadi sepi-sepi. Tahniah kepada DBP.

Tahun ini menyaksikan beberapa kejutan terutamanya kepada kategori A iaitu kategori Buku dan Karya Perseorangan, iaitu kemenangan kepada calon bukan pilihan serta kumpulan puisi penulis muda yang menewaskan penyair mapan. Sebagai contoh, antara nama-nama yang disebut untuk novel ialah Luka Nering (Malim Ghozali Pk) dan Boneka Rusia Guido (Wan Nor Azriq). Selain daripada itu kumpulan puisi dimenangi oleh penulis muda yang hanya berusia 23 tahun menerusi Jaulah Sampai Syurga, iaitu Muzaf Ahmad diterbitkan oleh Karyawan Luar Negara yang dinaungi oleh Grup Karyawan Luar Negara. Ini tentu sahaja satu perihal yang menarik apabila penerbit kecil atau indie, menerbitkan kumpulan puisi dan memenangi HSPM. Apatah lagi Muzaf Ahmad itu bukan lulusan sastera tetapi kejuruteraan dari Jepun. Mungkin itu salah satu faktor yang menarik. Kumpulan puisi Jaulah Sampai Syurga berjaya memenangi hati juri berbanding beberapa nama besar yang turut dipertandingkan pada tahun 2014 seperti Seluas-luas dan Setenang-tenangnya (Abrak Othman), Aroma (S.M Zakir), Surat dari Awan (Siti Zainon Ismail). Manakala kumpulan cerpen dimenangi tokoh tidak asing lagi, yang mana baru-baru ini novelnya dicalonkan untuk Anugerah IMPAC Dublin, Malim Ghozali Pk, Langit Tidak Berbintang di Ulu Slim. Orang Perak mesti rasa sangat dekat dengan kumpulan cerpen ini. Manakala buku kajian sastera, sudah menampakkan kemenangannya sejak awal buku ini terbit iaitu daripada Presiden PENA dan juga pensyarah Universiti Malaya, Dr. Saleeh Rahamad. Hal ini kerana bukunya merupakan kajian tesis Ph.D beliau. Oleh yang demikian, kita harus menggalakkan lagi penerbitan tesis Ph.D sarjana sastera ke dalam bentuk buku.Kalau dilihat kategori C, turut bersaing juga dan meriah meskipun ramai yang tidak memberi perhatian kepada kategori ini. Walhal kemenangan dalam buku kanak-kanak dan remaja tidak kurang pentingnya dalam landskap kesusateraan. Berbanding beberapa tahun lalu, tidak banyak pencalonan daripada penerbit. Merujuk tahun lepas, dalam kategori remaja, hanya saya seorang diri memenangi kategori novel menerusi Sepetang di Kafe Biblioholic. Tetapi tahun ini, nampak meriah. Nampaknya, penganjuran pertandingan penulisan novel remaja dan kanak-kanak anjuran koperasi DBP ketika zaman gelap DAWAMA-DBP, membuahkan hasil lebih besar apabila kategori novel kanak-kanak dan remaja digondoli oleh pemenang sayembara ini. Kita juga boleh melihat bahawa novel-novel yang memenangi HSKU sepertinya sudah tidak mendapat “tempat” di hati panel penilai memandangkan sudah lebih 2 tahun, novel HSKU tidak menjadi calon kegemaran berbanding tahun-tahun sebelum ini. Adakah mutunya sudah jatuh atau novel HSKU terlalu ‘dewasa’ untuk bertanding dalam kategori remaja HSPM?

Kedua-dua kategori (A & C) yang mempertandingkan buku memperlihatkan persaingan sihat oleh ITBM dan DBP. Walaupun begitu, penerbit-penerbit kecil mula menunjukkan mutu dan kualiti penerbitan sehingga menyaingi penerbit besar dan mula mendapat tempat sejak dua tiga tahun kebelakangan ini. Ini menunjukkan bahawa sudah ada kesedaran mungkin untuk penerbit menghantar pencalonan dan juga menerbitkan karya-karya bermutu tinggi yang memandaikan akal budi bangsa. Dominasi DBP dilihat sudah mula dipecahkan.

Kalau melihat pemenang Kategori B, kategori eceran yang juga tidak kurang dalam mencetuskan polemik, dilihat bahawa pemenang HSKU 2014 menguasai senarai pemenang. Hampir sebahagian besar pemenang HSKU 2014 memenangi HSPM 2014 sama ada kategori puisi atau cerpen. Ini berbeza dengan HSPM 2013 yang mana terdapat satu atau dua sahaja pemenang HSKU 2013 mendapat kemenangan di HSPM. Mungkin panel penilai yang sama di HSKU menjadi panel penilai HSPM? Senarai pemenang untuk cerpen eceran dan puisi eceran sememangnya didominasi oleh karya yang terbit di Mingguan Malaysia diikuti Dewan Sastera dan Berita Harian. Mungkinkah faktor HSKU membuatkan pengarang menghantar cerpen dan puisi yang kuat kepada Mingguan Malaysia, meski pun dua tiga tahun kebelakangan ini HSKU memperlihatkan pengurusan penganjuran yang sedikit lemah? Dalam kategori puisi eceran juga, dua orang pengarang besar, Siti Zainon Ismail dan SN Muhammad Haji Salleh memenanginya menerusi 2 buah puisi setiap seorang. Manakala arwah Rahimidin Zahari memenangi menerusi puisi, Jika Papa Memukulmu Adib.

Dewan Sastera mengekalkan penguasaan dalam kategori esei dan kritikan apabila 5 daripada 7 pemenang merupakan dari Dewan Sastera. Ini meninggikan mutu penerbitan majalah Dewan Sastera di bawah pimpinan editornya Fadli Al Akiti. Manakala Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) yang dianjurkan tahun lalu, kemudian kertas kerjanya dibukukan, memungkinkan kemenangan 2 kertas kerjanya. Hal ini membuktikan kepentingan membukukan dan menyebarluaskan makalah serta kertas kerja seminar atau persidangan seperti yang dilaksanakan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia. Namun, hanya 7 esei sahaja diakui kemenangannya berbanding 10 esei.

Walaupun demikian, kita harus juga menyorot, kategori yang tidak langsung pemenang, iaitu Kumpulan Cerpen Kanak-kanak, Kumpulan Drama, Kumpulan Esei/Kritikan Sastera, Drama Eceran dan Cerpen Eceran Remaja. Manakala Kumpulan Drama Kanak-kanak dan Kumpulan Drama Remaja tiada pencalonan. Kategori Cerpen Remaja Eceran baru sahaja diperkenalkan tahun ini bersama dengan Buku Bergambar Kanak-kanak. Apakah tiada langsung cerpen remaja yang bermutu dalam penerbitan sepanjang tahun lalu atau tiada pencalonan?

Sebagai orang yang bertungkus lumus menyenaraikan buku serta membahagikan kepada kategori, serta menghantar berkotak-kotak buku ke Seketariat, DBP, tentu sahaja saya rasa berbangga dengan kemenangan buku ITBM. Apatah lagi ada sebuah buku yang saya kendalikan memenangi HSPM iaitu Mimpi Kotaku. Saya akan kongsikan lebih lanjut tentang proses buku itu kelak.

Saya kongsikan senarai penuh pemenang HSPM 2014 dari sidang akhbar tadi

Kategori A

Novel – Nenek – Razali Endut (ITBM)

Kumpulan Cerpen – Langit Tidak Berbintang di Ulu Slim – Malim Ghozali Pk (DBP)

Kumpulan Puisi – Jaulah Sampai Syurga – Muzaf Ahmad (Karyawan Publishing House)

Kajian Sastera – Oksidentalisme dalam Novel Melayu Sebelum Merdeka Hingga Era Mahathir – Dr. Saleeh Rahamad (ITBM)

Biografi/Autobiografi – Biografi Ishak Shaari Pejuang Bumi Semua Manusia – Dr. Mohamed Salleh Lamry (Penerbit UKM)

Kategori C

Novel Remaja – Gerbang Raudhah – Rohaidah Yon ( Koperasi DBP)

Kumpulan Cerpen Remaja – Tetamu Istimewa – Mohd Helmi Ahmad (ITBM)

Kumpulan Puisi Remaja – Mimpi Kotaku – Hilmi Rindu (ITBM)

Novel Kanak-kanak – Rahsia Dhia – Zainun Mustapha (Koperasi DBP)

Kumpulan Puisi Kanak-kanak – Sakura – Mahaya Mohd Yassin (DBP)

Buku Bergambar Kanak-kanak – Di Mana Sebelah Lagi – Razisatul Asyifah Ismail (Cerdik Publication)

Kategori B

Cerpen Eceran

1. Al-Kisah Ratu Kebaya dan Walhal Naga – Zainal Rashid Ahmad (Berita Minggu, 14 September 2014)

2. Hingyaku – Ratna Laila Shahidin (Mingguan Malaysia, 31 Ogos 2014)

3. Bara Sang Suri – Zaniffa Azzura Abdullah (Mingguan Malaysia, 20 Julai 2014)

4. Infithaar di Taman Salju – Mawar Shafei (Berita Minggu, 3 Ogos 2014)

5. Selimut – Maskiah Haji Masrom (Mingguan Malaysia, 12 Januari 2014)

6. Delusisma 2.0 (Denggi) – Fahd Razy (Mingguan Malaysia)

7. Psiko – Fudzail (Mingguan Malaysia, 16 Jun 2014)

8. Pesanku Pada Hujan – Malim Ghozali Pk (13 Julai 2014)

9. Seru – Jais Sahok (Dewan Sastera, Mei 2014)

10. Cekur – Lee Keok Chih (Dewan Sastera, September 2014)

Puisi Eceran

1. Membaca Aksara (Buat Profesor Siti Chamamah) – Muhammad Haji Salleh (Dewan Masyarakat, Julai 2014)

2. Al-Kisah, Di Negara yang Memansuhkan Bahasa – Muhammad Haji Salleh (Antologi Puisi Nyala Api dalam Dada, ITBM 2014)

3. Kepada Perempuan Laut – Siti Zainon Ismail (Dewan Sastera, Mei 2014)

4. Rezeki Bumi -Siti Zainon Ismail (Dewan Sastera)

5. Perkebunan Budaya Melayu – Basri Abdilah

6. Di Padang Sarjana- Tuah Sujana (Mingguan Malaysia, 5 Januari 2014)

7. Tigris -Rosli K. Matari (Jendela Timur, Ogos 2014)

8. Dari Mimbar Shinjuku (dedikasi buat anakanda) – Syafiq Zulakifli (Mingguan Malaysia, 30 November 2014)

9. Mencari Jernih – Shapiai Mohammad Ramly (Antologi Puisi Cerita Alam Gelora Hujung Benua, DBP Wilayah Selatan)

10. Kalaulah Papa Memukulmu, Adib – Rahimidin Zahari (Mingguan Malaysia, 23 Februari 2014)

Esei/Kritikan Sastera

1. Penciptaan Drama Metasejarah Suatu Hasil Eksperimental – Mana Sikana (Dewan Sastera, Mac 2014)

2. Menilai Semula Makna Ekstetik – Prof Madya Dr. A. Halim Ali (Dewan Sastera, April 2014)

3. Teknoteks Menyepadukan Sastera, Teknologi dan Kritikan – Prof. Dr. Sohaimi Abdul Aziz (Dewan Sastera, Julai 2014)

4. Perhubungan Sastera dengan Wayang: Meneliti Genre dalam Prespektif Budaya -Dr. Norman Yusoff (Dewan Sastera, Oktober 2014)

5. Sastera Profetik: Kaffah dalam Revolusi yang Ditangguhkan – Saifullizan Yahaya (Dewan Sastera, Mei 2014)

6. Pembinaan Mercu Tanda Penulisan Malaysia: Yang Dipelajari Adalah Secara Saka (Perennial) – Prof Emeritus Dato’ Ahmad Ibrahim Bajunid (Sastera Teras Negara Bangsa, ITBM)

7. Pembinaan Mercu Tanda Sastera Malaysia: Sastera Sebagai Budaya Tinggi -S.M. Zakir (Sastera Teras Negara Bangsa, ITBM)

K-PaP: Kata Pengarang Kata Pembaca (Pascasejarah & Meski Jauh Dibatasi Bumi)


12183755_965680456803595_3218711817799567169_o

Kepada pembaca blog saya yang budiman, saya jemput ke acara Kata Pengarang, Kata Pembaca atau nama popularnya Kpap.

Acara ini adalah sebuah acara bual bicara antara pengarang dan pembaca buku dalam satu sesi yang santai. Dalam sesi ini, pengarang akan berkongsi proses kreatif dan pembaca akan membicarakan pengalaman membaca buku pengarang tersebut.

Saya akan menjadi pemudah cara untuk acara ini, jemput hadir ya, sebab bukan selalu dapat dengar saya menggasak serta ‘menggoda’ pembaca dan penulis untuk menceritakan tentang buku mereka 🙂

Maklumat lanjut di sini

https://www.facebook.com/events/1644295569153423/

Pelancaran Buku Perempuan Bulan Perempuan Hujan


12189428_10153633398658903_6052776180731855145_o

Kumpulan puisi pertama saya, Perempuan Bulan Perempuan Hujan akan dilancarkan di Rumah PENA sempena Malam Baca Puisi PENA -ITBM-DBP.

Antara buku-buku yang turut dilancarkan bersama-sama:

Kumpulan Puisi Perempuan Bulan Perempuan Hujan – Ainunl Muaiyanah Sulaiman

Kumpulan Puisi Secangkir Seduhan Hujan – Hani Salwah Yaakup

Kumpulan Puisi Perlabuhan Waktu – Ratna Laila Saadin

Novel Meski Jauh Di Batas Waktu – Sutung Umar RS

Drama Trilogi Opera – Zakaria Ariffin.

Jemput datang ya, sebab saya ada ada merencana nak buat persembahan istimewaaa 🙂

Lat Town Boy – Anugerah Gaiman 2015


townboy

Buku “Town Boy” dalam bahasa Jepun “タウンボーイ” karya Lat dicalonkan untuk Gaiman Award 2015. Tahun lalu, karya Kampung Boy memperoleh tempat kedua (kategori antarabangsa) hadiah manga tertinggi di Jepun ini.

Ayuh undi buku タウンボーイ(Town Boy) di http://www.gaiman.jp/form/index.php. Langkah-langkahnya (boleh tekan “Translate this page” untuk pilihan bahasa yang difahami:

i- お名前またはペンネーム等
(Masukkan Nama atau Nama Pena dan lain-lain *:)

ii- 作品名
(Masukkan Tajuk Manga*:) タウンボーイ(Town Boy)

iii- 感想やメッセージ(任意)
(Masukkan Pendapat atau Mesej [Tidak wajib diisi]:) Contoh: A VERY GOOD READ AND PROBABLY ONE OF THE BEST MALAYSIAN COMICS

Klik https://youtu.be/ulAxWfrV3FQ untuk video penghasilan buku terjemahan oleh Tokyo University of Foreign Studies Press.